purpura henoch-schonlein
Purpura Henoch-Schonlein (Henoch-Schonlein Purpura - HSP) adalah penyakit yang melibatkan keradangan saluran darah kecil.

Purpura Henoch-Schonlein (Henoch-Schonlein Purpura – HSP) adalah penyakit yang melibatkan keradangan saluran darah kecil. Ia biasanya berlaku pada golongan kanak-kanak. Keradangan ini boleh menyebabkan saluran darah di kulit, usus, buah pinggang dan sendi mula bocor. Gejala utama bagi penyakit ini adalah ruam dengan lebam kecil yang banyak, serta kelihatan menaik pada kaki atau pinggul.            

Walaupun HSP boleh menjejaskan individu pada mana-mana usia, kebanyakan kes berlaku pada kanak-kanak berumur 2 dan 11 tahun. Di samping itu, ia juga lebih biasa terjadi pada kanak-kanak lelaki berbanding kanak-kanak perempuan. Individu dewasa dengan penyakit HSP adalah lebih cenderung mempunyai penyakit yang lebih serius berbanding kanak-kanak.

Seterusnya, penyakit ini biasanya berakhir selepas empat hingga enam minggu. Kadangkala, gejala-gejala ini berulang selama tempoh tersebut, tetapi tidak berlaku untuk jangka masa panjang (perulangan keadaan ini adalah perkara biasa). Jika organ-organ seperti buah pinggang dan usus terjejas, rawatan sering diperlukan dan. Ia juga penting untuk melakukan pemeriksaan susulan secara teratur untuk mencegah komplikasi yang serius.   

Simptom Purpura Henoch-Schonlein

Empat ciri utama Purpura Henoch-Schonlein termasuk:

  • Ruam (purpura). Tompok merah-ungu yang kelihatan seperti lebam adalah tanda yang paling universal dan paling mudah dikesan bagi penyakit Purpura Henoch-Schonlein. Ruam biasanya terbentuk terutamanya pada pinggul, bahagian atas kaki dan kaki, tetapi boleh juga muncul di lengan, muka dan badan. Keadaan ini mungkin menjadi lebih buruk di kawasan dengan tekanan, seperti garis sarung kaki (sock line) dan pinggang.
  • Bengkak, sakit sendi (artritis). Individu dengan Purpura Henoch-Schonlein sering mengalami kesakitan dan bengkak di sekitar sendi terutamanya di bahagian lutut dan pergelangan kaki. Kesakitan sendi ini kadangkala muncul dahulu sebelum ruam klasik sekitar satu atau dua minggu. Di samping itu, gejala-gejala ini merosot apabila penyakit itu hilang dan tidak meninggalkan kerosakan yang berkekalan.
  • Gejala masalah usus (gastrointestinal). Ramai kanak-kanak dengan Purpura Henoch-Schonlein mengalami gejala masalah usus seperti sakit perut, loya, muntah-muntah atau najis berdarah. Gejala-gejala ini kadangkala berlaku sebelum ruam muncul.

Punca Purpura Henoch-Schonlein

Dalam penyakit ini, beberapa saluran darah kecil badan meradang dan boleh menyebabkan pendarahan pada kulit, perut dan buah pinggang. Punca mengapa keradangan awal ini berlaku masih tidak jelas. Ia mungkin terjadi disebabkan sistem imun bertindak balas dengan tidak tepat kepada pencetus tertentu.

Hampir separuh individu yang mempunyai penyakit Purpura Henoch-Schonlein mendapat penyakit itu selepas mengalami jangkitan pernafasan bahagian atas, seperti selesema. Pencetus berjangkit mungkin termasuk cacar air, tekak streptokokus, demam campak dan hepatitis. Seterusnya, penyebab lain bagi penyakit ini mungkin termasuk pengambilan ubat-ubatan tertentu, makanan, gigitan serangga atau pendedahan kepada cuaca sejuk.

Diagnosis Purpura Henoch-Schonlein

Tiada ujian yang boleh dipercayai untuk mendiagnosis penyakit HSP, dan ia mungkin dikelirukan dengan bentuk keradangan vaskular yang lain. Doktor sebaliknya akan mencari kombinasi gejala yang secara kolektif boleh menunjukkan diagnosis bagi penyakit ini.

Sebagai contoh, kombinasi gejala termasuk ruam, sakit perut dan artritis biasanya menunjukkan kehadiran HSP. Diagnosis ini lebih dipercayai jika terdapat deposit antibodi pada kulit.

Kehadiran darah atau protein dalam urin pula biasanya menunjukkan masalah buah pinggang dan boleh menunjukkan kehadiran penyakit HSP jika tanda ruam juga dapat dilihat.

Prosedur dan ujian klinikal berikut boleh membantu mengesahkan diagnosis penyakit HSP yang disyaki seperti:

  • Biopsi kulit: Biasanya, dampel tisu kulit akan diambil di bawah anestesia tempatan bagi memeriksa bukti kehadiran antibodi.
  • Biopsi buah pinggang: Teknik pengimejan digunakan untuk membimbing jarum biopsi ke dalam buah pinggang bagi mengumpul sampel tisu.
  • Ujian urin: Doktor akan menilai urin untuk mengesan kehadiran darah (hematuria) atau protein (proteinuria).

Faktor Risiko Purpura Henoch-Schonlein

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko mengembangkan Purpura Henoch-Schonlein termasuk:

  • Umur. Penyakit ini memberi kesan terutamanya kepada kanak-kanak dan orang dewasa muda. Majoriti kes ini berlaku pada kanak-kanak berumur antara 2 hingga 6 tahun.
  • Jantina. Purpura Henoch-Schonlein lebih biasa berlaku pada kanak-kanak lelaki berbanding kanak-kanak perempuan.
  • Bangsa. Kanak-kanak dengan keturunan Barat dan Asia lebih cenderung untuk mengembangkan Purpura Henoch-Schonlein berbanding kanak-kanak berkulit hitam.
  • Musim. Penyakit Purpura Henoch-Schonlein menyerang terutamanya pada musim gugur, musim sejuk dan musim bunga tetapi jarang berlaku pada musim panas.

Rawatan Purpura Henoch-Schonlein

Setakat ini, tiada penawar untuk merawat penyakit HSP, tetapi dalam kebanyakan kes, gejala-gejala akan sembuh tanpa rawatan.

Seseorang mungkin mengambil langkah untuk melegakan dan menguruskan kesakitan sendi, sakit perut atau keradangan yang mereka alami seperti langkah di bawah:

  • Kesakitan pada mulanya boleh diuruskan dengan pengambilan ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs). Dalam sesetengah kes, ubat steroid yang dipreskripsikan boleh membantu mengurangkan keradangan tisu lembut. 
  • Sekiranya buah pinggang terjejas dengan serius, maka ubat imunosupresif boleh dipreskripsi oleh doktor. Dalam kes yang jarang berlaku, kemasukan ke hospital mungkin diperlukan untuk gejala sakit perut, pendarahan daripada saluran pencernaan atau masalah buah pinggang.
  • Sekiranya alergi adalah punca yang menyebabkan penyakit HSP, maka individu harus cuba menghindari makanan atau ubat yang boleh mencetus masalah alergi. Sekiranya terdapat jangkitan streptokokus, maka doktor boleh mempreskripsikanubat antibiotik.
  • Walaupun pemindahan buah pinggang sebelum ini telah dilakukan dalam kes-kes yang serius, penyakit ini masih boleh berulang pada buah pinggang yang dipindahkan itu.

Kredit: Gambar diambil daripada sumber https://henochschonleinpurpura.weebly.com/bibliography.html

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/henoch-schonlein-purpura/symptoms-causes/syc-20354040

https://www.webmd.com/skin-problems-and-treatments/henoch-schonlein-purpura-causes-symptoms-treatment

https://www.medicalnewstoday.com/articles/318948

https://www.healthline.com/health/henoch-schonlein-purpura

Summary
Purpura Henoch-Schonlein (Henoch-Schonlein Purpura) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Purpura Henoch-Schonlein (Henoch-Schonlein Purpura) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Purpura Henoch-Schonlein adalah penyakit keradangan saluran darah kecil dan menyebabkan saluran darah di kulit, usus, buah pinggang dan sendi bocor.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: