Apakah itu prostat
Semua lelaki mempunyai prostat, iaitu kelenjar bersaiz aprikot dan berotot yang menghasilkan beberapa ramuan air mani. Ia terletak tepat di depan rektum dan di bawah pundi kencing.
Dengan berat sekitar 1 auns (30 gram), organ ini mengelilingi uretra, tiub yang membawa air kencing dari pundi kencing ke zakar. Malah, ia juga perlu berfungsi dengan baik agar sistem pembiakan lelaki juga dalam keadaan baik.
Anatomi prostat
Prostat dikelilingi oleh tisu penghubung yang mengandungi banyak serat otot. Kapsul ini menjadikan prostat terasa elastik ketika disentuh. Para saintis sering membahagikan organ ini menjadi empat zon yang mengelilingi uretra seperti lapisan bawang. Di sini ia disenaraikan dari bahagian paling luar hingga yang paling dalam.
- Zon ‘anterior fibromuscular’ (stroma) – diperbuat daripada tisu otot dan berserat. Ini adalah sebahagian daripada kapsul.
- Zon periferal – kebanyakannya terletak di bahagian belakang kelenjar, dan di sinilah sebahagian besar tisu kelenjar terletak.
- Zon tengah – mengelilingi saluran ejakulasi dan membentuk sekitar satu perempat daripada jumlah keseluruhan prostat.
- Zon peralihan – ini adalah bahagian paling kecil bagi prostat dan mengelilingi uretra. Ia adalah satu-satunya bahagian prostat yang terus tumbuh sepanjang hayat.
Bagaimana prostat berfungsi
Prostat adalah kelenjar yang terletak di antara pundi kencing dan zakar. Ia terletak tepat di hadapan rektum. Uretra mengalir melalui pusat organ, iaitu dari pundi kencing ke zakar bagi membiarkan air kencing mengalir keluar dari badan.
Selain itu, ia juga mengeluarkan cecair yang menyuburkan dan melindungi sperma. Semasa ejakulasi, prostat memerah cairan ini ke dalam uretra, dan dikeluarkan dengan sperma sebagai air mani. ‘Vasa deferentia’ (tunggal: ‘vas deferens’) membawa sperma dari testis ke vesikel mani. Vesikel mani menyumbang cecair kepada air mani semasa ejakulasi.
Dalam proses ejakulasi, berjuta-juta sperma bergerak dari testis melalui tiub yang disebut ‘vas deferens’ ke kawasan prostat. Pada ketika ini, prostat mengecut, menutup bukaan antara pundi kencing dan uretra, melepaskan cecair ke dalam uretra dan mendorong air mani untuk masuk.
Cecair yang dikeluarkan oleh prostat membentuk sekitar sepertiga dari jumlah air mani dan mengandungi pelbagai enzim, zink dan asid sitrik. Walaupun cecair prostat adalah sedikit berasid, cairan lain dalam air mani yang dihasilkan oleh vesikel mani menjadikan air mani sedikit alkali, atau ‘basic’.
Masalah kesihatan biasa berkaitan prostat
Terdapat beberapa cara di mana prostat boleh menyebabkan masalah perubatan, termasuk:
- Prostatitis: Keradangan prostat, kadangkala berlaku disebabkan jangkitan. Ia biasanya dirawat dengan antibiotik.
- Pembesaran prostat: Disebut sebagai hipertropi prostat jinak atau BPH, pertumbuhan prostat boleh mempengaruhi hampir semua lelaki berusia lebih dari 50 tahun. Gejalanya termasuk sukar membuang air kecil yang cenderung meningkat seiring pertambahan usia. Ubat atau pembedahan dapat merawat masalah BPH.
- Kanser prostat: Ini adalah bentuk kanser yang paling biasa pada lelaki (selain kanser kulit), tetapi hanya satu dari 41 lelaki mati akibat kanser prostat. Pembedahan, radiasi, terapi hormon dan kemoterapi dapat dilakukan untuk merawat kanser prostat.
Cara menjaga prostat anda
Sebaik sahaja lelaki mendapati diri mereka menghadapi masalah kesihatan berkaitan prostat, sama ada kanser prostat, pembesaran prostat kerana hiperplasia prostat jinak (BPH), atau prostatitis, mereka pasti ingin mengetahui apa yang boleh mereka dilakukan untuk mengurangkan masalah itu.
Walaupun pelan terbaik adalah untuk mencegah masalah prostat melalui gaya hidup yang sihat, masih terdapat banyak cara semula jadi yang dapat dilakukan untuk meningkatkan kesihatan prostat walaupun individu sudah mempunyai gejala atau didiagnosis masalah yang berkaitan.
– Ikuti diet yang baik untuk prostat
Terdapat banyak makanan mesra prostat yang dapat membantu mencegah kanser dan melambatkan pertumbuhan sel prostat dan sel kanser. Beberapa makanan terbaik untuk kesihatan prostat termasuk yang kaya dengan asid lemak omega-3, sayur-sayuran, dan makanan yang tinggi kandungan lemak sihat seperti alpukat, kacang dan zaitun. Makanan yang membantu melawan kanser prostat pula termasuk cendawan Asia, tomato, jus delima dan walnut.
Seterusnya, makanan terbaik untuk kesihatan prostat adalah makanan yang rendah dalam kandungan gula, kurang makanan yang diproses dan kurang lemak tepu. Diet Mediterranean adalah salah satu diet yang perlu diperhatikan kerana ia juga merupakan gaya hidup dan cara makan yang sihat yang dan boleh diikuti sepanjang hayat anda.
– Bersenam dan turunkan berat badan
Bersenam dan menurunkan berat badan adalah beberapa perkara terbaik yang boleh anda lakukan untuk meningkatkan kesihatan prostat. Banyak kajian menunjukkan bahawa senaman secara sederhana atau kuat boleh mengurangkan risiko gejala hipertropi prostat jinak (BPH) dan saluran kencing serta membantu dengan masalah prostatitis juga. Senaman juga memberi manfaat kepada kesihatan kardiovaskular anda dan dapat membantu mencegah masalah kesihatan dan seksual lain seperti disfungsi ereksi.
Sekiranya anda mempunyai berat badan berlebihan, menurunkan berat badan adalah salah satu perubahan semula jadi yang dapat anda lakukan bagi meningkatkan kesihatan prostat anda.
– Kurangkan tekanan
Tekanan memberi kesan negatif kepada kesihatan prostat. Sebenarnya, sebilangan lelaki secara tidak sedar mengetatkan otot pelvis ketika mengalami tekanan. Pengetatan secara kronik ini boleh menimbulkan masalah otot lantai pelvis dan dapat menjadi salah satu penyebab prostatitis kronik.
Di samping itu, tekanan boleh mempengaruhi lelaki dengan masalah hipertropi prostat jinak (BPH). Ia juga mampu memburukkan lagi gejala seperti desakan, kekerapan dan kesakitan ketika kencing. Ianya adalah penting untuk menguruskan tahap tekanan anda, melepaskan ketegangan dan menjaga kesihatan emosi anda. Teknik yang patut dipertimbangkan termasuk melakukan terapi, meditasi, pernafasan dalam, atau aktiviti seperti senaman, yoga atau tai chi.
– Ambil makanan tambahan
Kadangkala, anda tidak boleh mendapatkan semua aspek positif hanya melalui diet dan jumlah terapi yang konsisten. Jadi, justeru itulah anda digalakkan mengambil suplemen setiap hari agar mendapat keputusan baik dalam kesihatan prostat anda. Banyak suplemen semula jadi berbeza dapat membantu menguruskan kesihatan prostat dengan lebih baik.
SUMBER
https://www.medicalnewstoday.com/articles/319859
https://www.webmd.com/men/picture-of-the-prostate#1
https://www.livescience.com/32751-what-does-the-prostate-gland-do.html
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK279291/
https://prostate.org.nz/2014/12/5-steps-better-prostate-health/