prosedur nikah

Bagi pasangan yang ingin melangsungkan majlis pernikahan di negeri selangor, beberapa prosedur nikah harus dipatuhi sebelum pasangan tersebut dapat melakukan urusan tersebut.

Prosedur nikah berlainan bagi setiap negara, bagi negeri pula, terpulang sama ada anda dan pasangan anda dari negeri yang sama ataupun negeri yang berlainan.

Pada artikel kali ini, kami akan menekankan perosedur nikah bagi negeri Selangor.

Oleh itu, jom baca di bawah mengenai prosedur nikah perkahwinan Islam di negeri Selangor.

PERKARA PENTING BAGI PROSEDUR NIKAH

1. Kursus pra perkahwinan

Kursus Pra Perkahwinan yang dilaksanakan di Jabatan Agama Islam Selangor adalah mengikut Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam (MBKPPI) yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Kursus tersebut adalah diwajibkan kepada setiap individu yang belum pernah berkahwin.

Kursus ini dianjurkan oleh semua Pejabat Agama Islam Daerah dan Bahagian Perundangan Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor dengan tujuan memberikan maklumat dan pendedahan awal kepada bakal-bakal suami isteri yang akan mendirikan rumahtangga.

Ia diharap dapat dijadikan panduan oleh mereka dalam menghadapi kehidupan berkeluarga. JAIS berharap, kursus ini akan dapat membantu dalam mengurangkan permasalahan rumahtangga dan perceraian yang dihadapi oleh umat Islam di Selangor khususnya dan Malaysia amnya. 

Bagi bakal-bakal pengantin, perkara yang perlu diambil kira bagi menjalani kursus pra perkahwinan ialah:

  • menetapkan tarikh nikah dan menentukan tempat untuk menjalani kursus.
  • mengisi borang pendaftaran kursus di Pejabat Agama yang berhampiran atau di Jabatan Agama Islam di kawasan anda.
  • mendaftar pada hari pertama kursus di tempat kursus dengan bayaran yang telah ditetapkan.
  • mengikuti dua hari kursus (tanpa bermalam)
  • peserta kursus akan diberikan sijil kursus.

Prosedur ini telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Sijil kursus yang dikeluarkan JAIS tiada had tempoh dan diiktiraf oleh semua negeri di Malaysia. Bayaran kursus yang dikenakan adalah sebanyak RM 80.00 sahaja.

2. Prosedur permohonan nikah pihak lelaki

Berikut merupakan prosedur bagi lelaki bujang atau duda yang hendak mendirikan rumahtangga di Negeri Selangor.

  1. Pemohon yang bujang hendaklah menghadiri Kursus Pra Perkahwinan.
  2. Pemohon hendaklah mendapatkan borang nikah (1A) dari JAIS atau Pejabat Agama Islam Daerah (PAID)
  3. Pemohon dan dua orang saksi lelaki dewasa hendaklah menandatangani borang pemohonan nikah (1A) dan mengemukakan sijil kursus kepada Penolong Pendaftar Nikah Kariah, mengikut alamat dalam kad pengenalan pemohon.
  4. Pemohon hendaklah menyerahkan borang pemohonan nikah (1A), sijil kursus dan dokumen yang berkaitan kepada Pejabat Agama Islam Daerah dan mendapatkan pengesahan Pendaftar Nikah Daerah.
  5. Pemohon hendaklah menyerahkan borang yang telah disiapkan bersama dokumen berkaitan dan sijil kursus kepada pihak perempuan

Terdapat beberapa dokumen sokongan yang perlu disediakan oleh pihak lelaki seperti:

  • Salinan Kad Pengenalan/Passport (Jika pemohon warganegara asing)
  • Salinan Kad Pengenalan 2 orang saksi/Passport (Jika saksi warganegara asing)
  • Salinan Sijil Kursus Pra Perkahwinan (Diiktiraf oleh JAKIM/JAIS/JAWI/JAIN)
  • Salinan Borang Permohonan 1A (Jika pemohon nikah luar daerah/negeri/negara)
  • Surat Pengesahan Mastautin Pemohon Daripada Penghulu/ Ketua Kampung/ Nazir Masjid/ Pengerusi JKKK/ Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Perumahan
  • Surat Perakuan Cerai/ Kematian Pasangan dan salinannya (Jika pemohon duda)
  • Surat atau Kad Perakuan Islam dan salinannya (Jika pemohon Saudara Baru)
  • Surat Kelulusan dari KAGAT/ PDRM (Jika pemohon anggota Tentera Polis)
  • Surat Kebenaran Berkahwin daripada Konsult atau Kedutaan atau Imegresen (Jika pemohon warganegara asing)

Selain itu, anda juga perlu memberi perhatian kepada beberapa perkara seperti di bawah:

  • Mereka yang telah bercerai hidup atau mati, hendaklah mengemukakan surat cerau atau surat mati.
  • Mereka yang di bawah umur 18 tahun, hendaklah mendapatkan kebenaran mahkamah Seksyen 18 terlebih dahulu.
  • Bagi pemohon yang baru memeluk Islam, hendaklah mengemukakan kad memeluk agama Islam.
  • Pemohon boleh memulakan proses pemohonan tiga bulan sebelum tarikah nikah.

3. Prosedur permohonan nikah pihak perempuan

Berikut merupakan prosedur bagi perempuan baik anak dara atau janda yang hendak berkahwin;

  1. Pemohon yang belum pernah berkahwin hendaklah menghadiri kursus pra perkahwinan terlebih dahulu.
  2. Pemohon hendaklah mendapatkan borang pemohonan nikah (IC dan ID) dari JAIS atau Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).
  3. Pemohon wali dan dua orang saksi lelaki dewasa hendaklah menandatangani borang pemohonan nikah (IC dan ID) dan mengemukakan sijil kursus dan borang pihak lelaki serta dokumen berkaitan yang telah disahkan dihadapan Penolong Pendaftar Nikah Kariah mengikut alamat dalam kad pengenalan atau tempat pemastautinan.
  4. Pemohon atau wali hadir di Pejabat Agama Islam untuk mendapatkan pengesahan atau surat kebenaran bernikah (Kebenaran seksyen 17: RM5)
  5. Akad nikah boleh dijalankan dengan Perunding Pendaftar atau Penolong Pendaftar atau dinikahkan sendiri oleh walinya di hadapan Pendaftar atau Penolong Pendaftar.

Terdapat beberapa dokumen sokongan yang perlu disediakan oleh pihak perempuan seperti:

  • Salinan Kad Pengenalan/Passport (Jika pemohon warganegara asing)
  • Salinan Kad Pengenalan 2 orang saksi/Passport (Jika saksi warganegara asing)
  • Salinan Sijil Kursus Pra Perkahwinan (Diiktiraf oleh JAKIM/JAIS/JAWI/JAIN)
  • Salinan Borang Permohonan 1C (Jika pemohon nikah luar daerah/negeri/negara)
  • Surat Pengesahan Mastautin Pemohon Daripada Penghulu/ Ketua Kampung/ Nazir Masjid/ Pengerusi JKKK/ Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Perumahan
  • Borang Kelulusan Berkahwin/ Surat Kebenaran Berkahwin bagi lelaki
  • Surat Perakuan/ Pengesahan/ Akuan Sumpah Nikah Ibu Bapa (Jika perempuan anak sulung atau wali adalah abang lelaki yang sulung)
  • Surat Wakalah (Jika wali tidak dapat hadir semasa akad nikah)
  • Surat Perakuan/ Akuan Sumpah Kematian Wali (Bapa)
  • Surat atau Kad Perakuan Islam dan salinannya (Jika pemohon Saudara Baru)
  • Surat Kelulusan dari KAGAT/ PDRM (Jika pemohon anggota Tentera Polis)
  • Surat Perakuan Cerai/ Kematian Pasangan dan Salinannya (Jika pemohon janda)
  • Surat Kebenaran Berkahwin daripada Konsult atau Kedutaan atau Imegresen (Jika pemohon warganegara asing)

Selain itu, anda juga perlu memberi perhatian kepada beberapa perkara seperti di bawah:

  • Mereka yang telah bercerai hidup atau mati, hendaklah mengemukakan surat cerau atau surat mati.
  • Mereka yang di bawah umur 16 tahun, tiada wali dan janda berhias dalam masa iddah, hendaklah mendapatkan kebenaran Mahkamah Syariah (Seksyen 18).
  • Bagi pemohon yang baru memeluk Islam, hendaklah mengemukakan kad memeluk agama Islam.
  • Jika perempuan kerabat Diraja, hendaklah mendapatkan surat kebenaran ke bawah DYMM Sultan.
  • Bagi anak sulung perempuan atau wali (abang sulung) hendaklah mengemukakan surat nikah asal atau surat pengesahan dari mana-mana pejabat agama berhubung tarikh nikah ibu bapanya.

Artikel diatas ini dipetik dari laman sumber rasmi pihak jabatan agama di negeri Selangor untuk panduan anda.

Semoga dengan panduan prosedur nikah yang kami sediakan untuk bacaan anda ini, anda dapat serba sedikit melakukan persediaan sebelum menghadapi hari bahagia anda kelak.

Sumber:

https://www.jais.gov.my/v2/index.php

http://qasehdarwinsyapanduan.blogspot.com/2010/10/prosedur-perkahwinan-islam-negeri.html

http://tipspersiapanmajlisperkahwinan.blogspot.com/2013/08/prosedur-pernikahan-di-malaysia.html



Tagged: