prolaps rahim
Prolaps rahim berlaku apabila otot lantai pelvis dan ligamen meregang, lemah dan tidak lagi memberi sokongan yang cukup buat uterus (rahim).

Prolaps rahim atau rahim jatuh berlaku apabila otot lantai pelvis dan ligamen meregang, lemah dan tidak lagi memberi sokongan yang cukup buat uterus (rahim). Akibatnya, rahim jatuh ke dalam atau terjojol keluar dari faraj.

Seterusnya, masalah prolaps rahim ini boleh berlaku pada wanita di semua peringkat umur. Tetapi, ia selalunya memberi kesan kepada wanita selepas menopaus yang melahirkan satu atau lebih anak melalui kelahiran faraj.

Jenis yang ringan biasanya tidak memerlukan rawatan. Namun, jika prolaps uterus menjadikan anda tidak selesa atau mengganggu kehidupan normal anda, anda mungkin perlu mendapatkan rawatan.

Simptom Prolaps Rahim

Gejala adalah berbeza-beza bergantung kepada tahap keparahan keadaan itu. Gejala biasa termasuk:

  • Pelvik terasa berat atau seperti tertarik.
  • Pendarahan faraj atau rembesan dari faraj yang semakin banyak.
  • Menghadapai kesukaran semasa melakukan hubungan seksual.
  • Kebocoran air kencing, penahanan atau jangkitan pundi.
  • Kesukaran dalam pergerakan usus, seperti sembelit.
  • Sakit belakang.
  • Penonjolan rahim dari pembukaan faraj.
  • Rasa sensasi semasa duduk di atas bola atau terasa seperti sesuatu jatuh dari faraj.
  • Tisu faraj lemah.

Punca Prolaps Rahim

Keadaan berikut boleh menyebabkan masalah prolaps rahim:

  • Kehamilan/ kelahiran yang normal atau rumit melalui faraj.
  • Kelemahan otot pinggul kerana usia yang semakin meningkat.
  • Kelemahan dan kehilangan tona tisu selepas menopaus dan kehilangan estrogen semulajadi.
  • Keadaan yang mendorong kepada peningkatan tekanan pada abdomen seperti batuk kronik (dengan bronkitis dan asma), sembelit, tumor pelvik (kes jarang berlaku), atau pengumpulan cecair di dalam abdomen.
  • Berat badan berlebihan atau obes dengan ketegangan tambahan pada otot pelvis.
  • Pembedahan utama di kawasan pinggul yang menyebabkan hilangnya sokongan luaran.
  • Merokok.

Diagnosis Prolaps Rahim

Doktor boleh mendiagnosis rahim jatuh dengan menilai gejala anda dan melakukan pemeriksaan pelvis. Semasa pemeriksaan ini, doktor akan memasukkan peranti yang dipanggil spekulum bagi membolehkan mereka melihat di dalam faraj dan memeriksa saluran faraj dan rahim. Anda mungkin perlu berbaring, atau doktor juga boleh meminta anda untuk berdiri semasa pemeriksaan ini dibuat.

Seterusnya, doktor mungkin akan meminta anda mencangkung seperti sedang mempunyai pergerakan usus untuk menentukan tahap prolaps.

Faktor Risiko Prolaps Rahim

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko prolaps rahim termasuk:

  • Satu atau lebih kehamilan dan kelahiran melalui faraj.
  • Melahirkan bayi yang besar.
  • Peningkatan umur.
  • Obesiti.
  • Pembedahan pelvik terdahulu.
  • Sembelit yang kronik atau bermasalah dalam pergerakan usus.
  • Sejarah keluarga dengan tisu penghubung yang lemah .
  • Berketurunan ‘Hispanic’ atau putih.

Rawatan Prolaps Uterus

Rawatan tidak semestinya diperlukan untuk keadaan ini. Jika rahim jatuh itu teruk, bincangkan dengan doktor mengenai pilihan rawatan yang sesuai untuk anda.

Rawatan tanpa pembedahan termasuk:

  • Mengurangkan berat badan untuk mengambil tekanan daripada struktur pelvis.
  • Mengelakkan mengangkat berat.
  • Melakukan senaman Kegel, iaitu latihan lantai pinggul yang membantu menguatkan otot faraj.
  • Memakai ‘pessary’, iaitu peranti yang dimasukkan ke dalam faraj yang sesuai di bawah serviks bagi membantu menaikkan dan menstabilkan rahim dan serviks.

Penggunaan estrogen faraj yang dikaji dengan baik telah menunjukkan peningkatan dalam regenerasi dan kekuatan tisu vagina. Walaupun penggunaan estrogen faraj dapat membantu dalam pilihan rawatan tambahan yang lain, ia mungkin tidak mengurangkan kejadian prolaps ini jika dilakukan secara sendirian.

Seterusnya, rawatan pembedahan termasuk gantungan rahim atau histerektomi. Semasa penggantungan rahim, pakar bedah akan meletakkan rahim kembali ke kedudukan asalnya dengan melekatkan semula ligamen pelvik atau menggunakan bahan pembedahan. Semasa prosedur histerektomi, pakar bedah akan mengeluarkan rahim dari badan melalui perut atau faraj.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/uterine-prolapse/symptoms-causes/syc-20353458

https://www.medicalnewstoday.com/articles/305971

https://www.healthline.com/health/uterine-prolapse

Summary
Prolaps Rahim (Uterine prolapse) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Prolaps Rahim (Uterine prolapse) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Prolaps rahim berlaku apabila otot lantai pelvis dan ligamen meregang, lemah dan tidak lagi memberi sokongan yang cukup buat uterus (rahim).
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: