pokok pandan

Pokok pandan ataupun nama umumnya dikalangan masyarakat sebagai pandan wangi. Kegunaannya dalam kehidupan harian tidak dapat disangkal lagi. Memandangkan pandan adalah salah satu bahan asas dalam kebanyakan menu masakan rakyat Malaysia. Ianya mempunyai banyak kegunaan terutamanya dalam masakan seperti dalam pembuatan kuih tradisional.

Ketika menjelang musim perayaan, permintaannya akan melonjak naik bahkan tidak cukup tangan untuk menampung permintaan masyarakat. Ianya juga mempunyai aroma yang wangi.

Disamping memberi aroma pada masakan, ianya juga mempunyai kesan aroma yang bertindak sebagai penghalau serangga seperti lipas dalam kegunaan harian masyarakat kita.

Dari situ, kita dapat melihat potensi jualan untuk tanaman pandan juga amat tinggi dan lumayan berikutan daripada permintaan yang kian meningkat.

Oleh itu, langkah proaktif bagi memajukan tanaman pandan ini perlulah dilaksanakan. Sebagai langkah perlaksanaan di masa akan datang, sebelum menanamnya kita perlulah mempunyai ilmu dan asas penanamannya.

Keperluan Asas Tanaman Pokok Pandan

Tanaman ini tidak rumit untuk diusahakan kerana ianya mudah tumbuh di atas apa-apa jenis tanah berikutan daripada ciri akarnya iaitu akar udara.

Ianya tidak rumit dari segi suhu, pH, kelembapan, taburan hujan dan sebagainya. Akan tetapi, untuk jaminan kesuburan dan kualiti hasil yang terbaik, ianya perlu diusahakan di kawasan tanah lapang dan mempunyai kadar naungan terhadap matahari yang sederhana.

Penyediaan Tanah Untuk Tanaman Pokok Pandan

Ianya sesuai pada pelbagai jenis tanah. Tiada sebarang kekangan untuk mengusahakan penanaman secara terus ke tanah, dalam polibeg ataupun pasu. Bergantung kepada pilihan anda.

Untuk penghasilan yang terbaik, kami mengesyorkan menggunakan tanah campuran yang mengandungi 3 bahagian tanah, 1 bahagian tahi ayam reput atau kompos dan 1 bahagian pasir.

Kemudian, penuhkan pasu ataupun polibeg dengan mengisi tanah campuran tersebut sehingga 5cm dari bahagian permukaan sebelum ditanam.

Untuk secara terus atas tanah, sediakan lubang berukuran 25cm x 25cm dan benih pandan sudah boleh terus ditanam.

Cara Menanam Benih Pokok Pandan

Pertama sekali, penyediaan benih perlu dilakukan. Anda boleh memilih samada mahu menggunakan keratan yang berakar ataupun dengan menggunakan pucuk pangkal pokok. Ianya bergantung kepada pilihan anda.

Kemudian dengan benih yang disediakan tadi, anda sudah boleh terus tanam pada tanah, polibeg ataupun pasu seperti yang dinyatakan tadi dengan memasukkan pada lubang yang berukuran 25cm x 25cm.

Seterusnya, timbus dan padatkan tanah keliling bersama dengan benih pandan.

Akhir sekali, siram benih yang ditanam pada kadar yang mencukupi sehingga kelihatan basah dan lembap.

Penyiraman Pokok Pandan

Untuk program penyiraman pula, siram tanaman sebanyak 2 kali sehari iaitu pada awal pagi dan lewat petang. Keperluan air perlulah mencukup bagi memastikan daun yang terhasil lebih lebar dan kekal subur.

Penjagaan Pokok Pandan

Tiada perosak dan penyakit serius yang akan menyerang pokok pandan. Namun begitu, amalan penyelenggaraan masih perlu diutamakan bagi hasil yang bermutu dan berkualiti.

Oleh itu, program pencantasan daun kering hendaklah kerap dilaksanakan. Sekiranya tidak dilakukan, berkemungkinan kawasan tanaman akan mengundang kehadiran haiwan tidak diingini seperti ular, tikus dan sebagainya. Antara sebab lain adalah tujuan kekemasan landskap.

Jika telah tumbuh tunas baru pada rumpun yang sama, potong sahaja rumpun yang lama dan pindah untuk penanaman baru.

Sebagai langkah kawalan rumpai, cabut dan buang rumpai yang tumbuh di keliling pokok. Untuk tujuan ini sebaiknya anda menggunakan kaedah manual samada menggunkan tangan ataupun mesin rumput. Hal ini kerana, untuk mengelakkan tempias semburan secara terus yang boleh mengakibatkan kesan negatif terhadap pokok pandan.

Pembajaan Pokok Pandan

Tabur baja dengan menggunakan baja NPK (21:21:21) yang dikhaskan untuk pertumbuhan daun. Baja perlu digunakan sebanyak 5g sepokok bagi tanaman dalam pasu ataupun polibeg dan 10g sepokok bagi tanaman di atas tanah.

Penuaian Pokok Pandan

Daun boleh dipetik selepas 12 bulan ditanam dengan memotong bahagian pangkal rumpun menggunakan pisau yang tajam. Untuk pemprosesan yang lebih baik, sebaiknya pangkal tersebut dibuang terlebih dahulu.

Kemudian, daun diceraikan satu per satu dan diikat untuk dijual.

Penutup

Setelah mengetahui cara penanamannya, tanpa disangkal lagi begitu mudah sekali penyediaannya. Tanaman ini merupakan satu perusahaan yang paling mudah dan kurang risiko untuk diusahakan. Mahupun untuk diusahakan pada skala komersial, kecil ataupun sekadar hiasan.

Ianya tidak dikekang dengan faktor tanah dan sebagainya malah ianya juga turut tidak berisiko serius terhadap serangga dan penyakit.

Disebabkan tanpa kekangan faktor tanah, tanaman ini boleh sahaja ditanam di kediaman anda walaupun anda tinggal di rumah pangsa sekalipun. Pokok pandan juga sesuai dijadikan hiasan landskap di kawasan kediaman.

Oleh itu, marilah sama-sama memulakan penanaman pandan di rumah.

Diharapkan artikel cara tanam pokok pandan ini dapat membantu para pembaca untuk menanam pokok pandan dengan betul di rumah.

Sumber:

https://www.modestpie.com/how-to-grow-pandan-plant/

https://homeguides.sfgate.com/plant-pandan-103293.html

https://rootofscience.com/blog/2020/sains-pertanian/cara-tanam-pandan-dengan-betul-dan-mudah/

http://animhosnan.blogspot.com/2010/12/pandan.html

Summary
Pokok Pandan: Cara Tanam Pokok Pandan Dengan Betul dan Mudah
Article Name
Pokok Pandan: Cara Tanam Pokok Pandan Dengan Betul dan Mudah
Description
Pokok pandan ataupun nama umumnya dikalangan masyarakat sebagai pandan wangi. Kegunaannya dalam kehidupan harian tidak dapat disangkal lagi. Memandangkan pandan adalah salah satu bahan asas dalam kebanyakan menu masakan rakyat Malaysia. Ianya mempunyai banyak kegunaan terutamanya dalam masakan seperti dalam pembuatan kuih tradisional.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: