Pil Azo
Pil Azo adalah ubat penghilang rasa sakit yang mempengaruhi bahagian bawah saluran kencing anda (pundi kencing dan uretra).

Pengenalan

Pil Azo adalah ubat penghilang rasa sakit yang mempengaruhi bahagian bawah saluran kencing anda (pundi kencing dan uretra).

Malah, ia juga boleh dikenali dengan nama yang berbeza seperti berikut: Pyridium, Prodium, Pyridiate, Baridium, Uricalm, Urodine, dan pelega UTI.

Kegunaan Pil Azo

Pil Azo digunakan untuk melegakan gejala yang terjadi disebabkan kerengsaan saluran kencing seperti rasa sakit, terbakar dan perasaan perlu membuang air kecil dengan segera atau kerap. Namun begitu, ubat ini tidak merawat penyebab kerengsaan kencing, tetapi dapat membantu melegakan simptom sementara rawatan lain berjalan. Seterusnya, pil Azo ini adalah pewarna yang berfungsi sebagai ubat penahan sakit untuk menenangkan lapisan saluran kencing.

Memandangkan ubat ini tidak akan merawat jangkitan saluran kencing, pastikan anda mengambil sebarang antibiotik yang ditetapkan oleh doktor untuk merawat masalah jangkitan.

Kesan sampingan Pil Azo

Kesan sampingan pil Azo yang mungkin berlaku termasuklah sakit kepala, pening atau sakit perut. Sekiranya kesan ini berlanjutan atau bertambah buruk, beritahu doktor atau ahli farmasi anda dengan segera.

Seterusnya, jika doktor telah mengarahkan anda untuk menggunakan ubat ini, ingatlah bahawa dia pasti telah menilai faedah penggunaan ubat ini adalah lebih besar berbanding risiko kesan sampingannya bagi anda. Ramai orang yang menggunakan ubat ini tidak mempunyai kesan sampingan yang serius.

Tetapi, beritahu doktor sekiranya ada kesan sampingan yang jarang berlaku tetapi adalah sangat serius seperti kulit/ mata menguning, warna air kencing yang gelap, tanda-tanda masalah buah pinggang (seperti perubahan jumlah air kencing, kencing berdarah), sakit perut, muntah, demam, menggigil, lebam/ pendarahan yang mudah, keletihan yang tidak biasa, sesak nafas, degupan jantung yang cepat atau sawan.

Reaksi alergi yang sangat serius terhadap ubat ini mungkin tidak berlaku, tetapi dapatkan rawatan perubatan segera sekiranya ia berlaku. Gejala reaksi alergi yang serius mungkin termasuk ruam, gatal/ bengkak (terutama pada bahagian muka/ lidah/ tekak), pening teruk, kesukaran bernafas.

Ini bukanlah senarai lengkap kesan sampingan yang berkemungkinan berlaku. Sekiranya anda melihat kesan lain yang tidak disenaraikan di atas, hubungi doktor atau ahli farmasi anda.

Interaksi Pil Azo

Sekiranya doktor telah mengarahkan anda untuk menggunakan ubat ini, doktor atau ahli farmasi anda mungkin sudah mengetahui berkenaan interaksi ubat atau kesan sampingannya dan mungkin akan mengawasi keadaan anda.

Jangan mula, hentikan atau ubah dos ubat ini atau sebarang ubat lain sebelum mendapatkan maklumat lebih lanjut daripada doktor, penyedia penjagaan kesihatan atau ahli farmasi anda terlebih dahulu.

Pil Azo biasanya tidak mempunyai interaksi teruk dengan ubat lain. Tetapi, interaksi sederhananya mungkin melibatkan:

  • prilocaine

Malah, ia juga tidak mempunyai interaksi ringan yang diketahui dengan ubat lain.

Ketahui bahawa dokumen ini tidak mengandungi semua interaksi pil Azo yang boleh berlaku. Oleh itu, sebelum menggunakan produk ini, beritahu doktor atau ahli farmasi anda tentang semua produk yang anda gunakan. Simpan senarai semua ubat dengan anda, dan berikan senarai tersebut dengan doktor dan ahli farmasi anda. Bertanyakan kepada doktor jika anda mempunyai sebarang pertanyaan atau masalah kesihatan.

Kontraindikasi Pil Azo

Anda tidak boleh menggunakan pil Azo jika anda alah kepadanya, atau jika anda mempunyai penyakit buah pinggang.

Untuk memastikan pil Azo adalah selamat untuk anda, beritahu doktor jika anda mempunyai:

  • penyakit hati
  • diabetes
  • kekurangan enzim genetik yang disebut kekurangan glukosa-6-fosfat dehydrogenase (G6PD)

Ubat ini mengandungi phenazopyridine. Jadi, jangan ambil Azo Standard, Pyridium, Prodium, Pyridiate, Baridium, Uricalm, Urodine, atau pelega UTI jika anda alah kepada phenazopyridine atau sebarang bahan yang terdapat dalam ubat ini.

Jauhi ubat ini daripada kanak-kanak juga. Sekiranya berlaku kes dos berlebihan, dapatkan bantuan perubatan atau segera hubungi Pusat Kawalan Racun.

Pil Azo dan kehamilan

Pil Azo dilihat tidak membahayakan bayi yang belum lahir. Tetapi, jangan gunakannya tanpa mendapatkan nasihat daripada doktor jika anda hamil.

Malah, ia juga tidak diketahui sama adabahan phenazopyridine boleh meresap masuk ke dalam susu ibu atau jika ia boleh membahayakan bayi yang menyusu. Jangan gunakan ubat ini tanpa nasihat doktor jika anda menyusukan bayi.

Dos Pil Azo

Gunakan ubat ini tepat seperti yang tertera pada label, atau seperti yang diarah oleh doktor anda Jangan gunakannya dalam jumlah yang lebih besar atau lebih kecil mahupun lebih lama daripada yang disyorkan. Dos yang ditetapkan dibuat berdasarkan keadaan perubatan anda dan tindak balas terhadap terapi.

Seterusnya, ambil ubat ini secara oral, biasanya 3 kali sehari selepas makan atau seperti yang diarahkan oleh doktor. Sekiranya anda mengambil ubat ini bersama dengan antibiotik untuk gejala yang berkaitan dengan jangkitan saluran kencing, atau untuk merawat diri sendiri, jangan ambilnya lebih dari 2 hari tanpa berbincang dengan doktor anda.

Pil ini berkemungkinan besar akan menyebabkan warna air kencing yang gelap dan menjadi seperti warna oren atau merah. Ini adalah kesan biasa dan tidak berbahaya. Air kencing yang gelap juga boleh menyebabkan kekotoran pada seluar dalam anda yang mungkin sukar untuk dibersihkan.

Di samping itu, ia mungkin juga boleh mengotorkan kanta lekap lembut secara kekal, jadi anda tidak boleh memakainya semasa mengambil ubat ini. Ubat ini juga boleh menyebabkan hasil yang luar biasa dengan ujian air kencing. Beritahu mana-mana doktor yang merawat anda bahawa anda menggunakan pil Azo sebelum membuat sebarang ujian.

Maklumkan kepada doktor sekiranya keadaan anda berterusan atau bertambah buruk.

SUMBER

https://www.webmd.com/drugs/2/drug-77838/azo-oral/details

https://www.drugs.com/mtm/azo-urinary-pain-relief.html

https://www.rxlist.com/consumer_phenazopyridine_azo/drugs-condition.htm

Summary
Pil Azo
Article Name
Pil Azo
Description
Pil Azo adalah ubat penghilang rasa sakit yang mempengaruhi bahagian bawah saluran kencing anda (pundi kencing dan uretra).
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: