Petua dan tips untuk mencegah kulit berminyak
Kulit berminyak berlaku akibat pengeluaran sebum berlebihan dari kelenjar sebum.

Kulit berminyak berlaku akibat pengeluaran sebum berlebihan dari kelenjar sebum. Kelenjar ini terletak di bawah permukaan kulit dan bertindak sebagai ‘kilang’ yang mengeluarkan minyak atau sebum.

Sebum adalah sejenis bahan berminyak yang dihasilkan daripada lemak. Bukan semua sebum adalah buruk kerana ia berfungsi untuk melindungi dan melembapkan kulit anda di samping memastikan rambut anda berkilat dan sihat.

Walau bagaimanapun, sebum yang berlebihan boleh menyebabkan kulit berminyak serta masalah liang pori tersumbat dan jerawat. Faktor genetik, perubahan hormon, atau tekanan memainkan peranan untuk meningkatkan pengeluaran sebum ini.

Kulit berminyak dan berjerawat adalah sukar untuk diuruskan. Namun, beberapa petua di rumah boleh mengurangkan simptom tanpa menggunakan ubat preskripsi atau rejimen penjagaan kulit yang mahal. Berikut adalah 10 cara mencegah kulit berminyak yang boleh anda cuba di rumah.

1. Cuci muka anda

Ini merupakan perkara paling penting bagi semua individu. Namun begitu, ramai yang mempunyai kulit berminyak tidak mencuci wajah mereka setiap hari. Jika kulit anda berminyak, seeloknya anda harus mencuci wajah anda dua kali sehari tetapi, jangan berlebihan atau keterlaluan. Elakkan pencuci muka yang kasar dan mengeringkan. Gunakan pencuci muka yang lembut dan diformulasikan khas untuk kulit berminyak.

2. ‘Blotting Paper’

Kertas-kertas yang kecil dan nipis ini tidak menghalang kelenjar sebum daripada menghasilkan minyak berlebihan tetapi, ia membantu mengurangkan minyak berlebihan dari wajah anda. ‘Blotting Paper’ boleh didapati di farmasi dengan harga yang murah. Gunakannya mengikut keperluab sepanjang hari.

3. Madu

Madu adalah salah satu petua semulajadi yang mempunyai pelbagai manfaat pada kulit. Oleh kerana cirinya sebagai antibakteria dan antiseptik, ia boleh memberi manfaat kepada kulit berminyak dan kulit yang mudah berjerawat.

Selain itu, madu adalah bahan ‘humectant’ semula jadi, jadi ia membantu mengekalkan kelembapan kulit tanpa berminyak. Ini disebabkan oleh ‘humectant’ menarikkeluar kelembapan dari kulit tanpa menggantikannya.

Untuk menggunakan madu bagi merawat jerawat dan kulit berminyak, sapukan lapisan nipis madu ke seluruh wajah dan biarkan ia kering selama  10 minit, kemudian bilas dengan air.

4. Tanah liat kosmetik (Cosmetic Clay)

Tanah liat kosmetik, atau juga digelar sebagai tanah liat peneymbuhan (healing clay), digunakan untuk menyerap minyak dari kulit dan merawat pelbagai keadaan kulit yang lain. Tanah liat hijau Perancis (French green clay) merupakan rawatan yang paling terkenal untuk kulit berminyak dan berjerawat kerana keupayaannya untuk menyerap minyak dan kotoran di wajah. Tanah liat ini disediakan dalam bentuk serbuk.

Untuk menyediakan ‘mask’ tanah liat hijau Perancis seperti di spa:

  • Tambah air yang ditapis atau air bunga mawar sebanyak bersama satu sudu teh tanah liat sehingga ia membentuk konsistensi seperti puding.
  • Sapukan campuran tanah liat ke seluruh wajah anda dan biarkannya sehingga kering.
  • Basuh tanah liat dengan air suam dan keringkan.
  • ‘Mask’ tanah liat yang dibasuh dengan air adalah lebih lembut pada kulit daripada ‘mask’ wajah lain.

5. Oatmeal

Oatmeal bagus untuk menenangkan kulit yang meradang dan menyerap minyak yang berlebihan. Selain itu, ia juga membantu membuang kulit mati. Apabila digunakan sebagai ‘mask’ pada wajah, oatmeal biasanya dihancurkan menjadi seperti serbuk. Apa yang bagusnya adalah ia boleh digabungkan dengan yogurt, madu atau buah-buahan seperti pisang, epal, atau betik. Untuk menggunakan oatmeal di muka anda:

  • Campurkan 1/2 cawan serbuk oatmeal dengan air panas untuk membentuk pes.
  • Kacau bersama 1 sudu madu.
  • Urut campuran oatmeal pada wajah anda selama kira-kira tiga minit; kemudian bilas dengan air suam, dan lapkan kering.
  • Alternatif lain, sapukan campuran oatmeal ke muka anda dan biarkan selama 10-15 minit kemudian bilas dengan air suam, dan lapkan kering.

6. Putih telur dan lemon

Putih telur dan lemon adalah petua yang baik untuk kulit berminyak. Kedua-dua ramuan ini dianggap boleh mengecilkan liang pori di kulit wajah anda. Tambahan lagi, asid yang terkandung dalam kemon dan buah sitrus lain boleh membantu menyerap minyak pada wajah anda. Menurut kajian yang dijalankan pada tahun 2008, lemon juga mempunyai ciri antibakteria. Walau bagaimanapun, petua ini bukanlah pilihan yang terbaik untuk individu yang mempunyai alahan terhadap telur.

Untuk menyediakan ‘mask’ wajah putih telur dan lemon:

  • Campurkan putih telur dengan 1 sudu teh jus lemon yang diperah.
  • Sapukan pada wajah anda, dan biarkan ia sehingga kering.
  • Basuh dengan air suam, dan lap sehingga kering.

7. Badam

Serbuk badam halus bukan sahaja berfungsi untuk mengelupaskan kulit anda, tetapi juga boleh mengurangkan minyak berlebihan dan membuang kotoran pada wajah. Untuk menggunakan skrub muka badam:

  • Ambil 2 sudu teh serbuk badam.
  • Campurkan bersama 2 sudu besar madu asli.
  • Sapukan pada muka anda dengan lembut, dalam gerakan bulatan.
  • Bilas dengan air suam, dan lap sehingga kering.

Sebagai alternatif, anda juga boleh menyediakan ‘mask’ wajah badam dengan mengisar badam menjadi pes dahulu sebelum menambah madu. Biarkannya selama 10-15 minit pada wajah. Bilas dengan air suam, dan lap sehingga kering. Jangan ikuti petua ini jika anda mempunyai alahan terhadap kacang.

8. Lidah buaya (Aloe vera)

Lidah buaya dikenali akan kebolehannya melegakan kulit dari kesan terbakar dan keadaan kulit yang lain. Terdapat bukti ilmiah mengenai lidah buaya bahawa ia telah membantu merawat kulit yang kering dan mengelupas disebabkan oleh minyak. Ramai individu menggunakan lidah buaya untuk merawat kulit berminyak.

Anda boleh menyapu lapisan nipis gel lidah buaya ke muka anda sebelum tidur dan biarkannya sehingga pagi. Walau bagaimanapun, lidah buaya diketahui boleh menyebabkan reaksi alahan pada kulit yang sensitif. Sekiranya anda tidak pernah menggunakan lidah buaya sebelum ini, cuba letak sedikit gel lidah buaya pada bawah lengan anda. Sekiranya tiada sebarang reaksi muncul dalam tempoh 24 hingga 48 jam, ia selamat untuk digunakan.

9. Tomato

Tomato mengandungi asid salisilik iaitu salah satu bahan yang terkandung dalam ubat jerawat klinikal di farmasi. Asid dalam tomato boleh membantu menyerap lebihan minyak dan membuka liang pori yang tersumbat. Untuk menyediakan ‘mask’ tomato anda perlu:

  • Campurkan 1 sudu teh gula dengan 1 biji tomato (isinya).
  • Sapukan pada kulit wajah dalam gerakan bulatan. Biarkan ‘mask’ selama 5 minit.
  • Bilas dengan air, dan keringkan.

Anda juga boleh menggunakan isi tomato sahaja atau kepingan tomato pada wajah anda.

10. Minyak jojoba

Idea meletakkan minyak pada kulit berminyak kedengaran seolah-olah tidak mendatangkan kesan tetapi, minyak jojoba adalah petua tradisi untuk  merawat masalah kulit berminyak, berjerawat, dan masalah kulit yang lain.

Jojoba bertindak dengan meniru sebum pada kulit wajah anda untuk ‘menipu’ kelenjar sebum supaya menghasilkan sebum yang kurang dan mengawal kesimbangan minyak di wajah. Namun, tiada kajain saintifik untuk menyokong teori ini.

Walau bagaimanapun, kajian pada tahun 2012 telah mendapati bahawa menggunakan ’mask’ yang diperbuat daripada tanah liat penyembuhan (healing clay) dan minyak jojoba sebanyak dua hingga tiga kali dalam seminggu membantu menyembuhkan luka pada kulit dan jerawat ringan.

Anda boleh menyapu minyak jojoba pada wajah tetapi jangan terlalu banyak. Ini kerana, menggunakan terlalu banyak minyak jojoba boleh memburukkan keadaan kulit berminyak. Urut beberapa titisan minyak jojoba pada kulit yang bersih beberapa hari dalam seminggu untuk melihat kesannya. Sekiranya anda suka akan hasil yang diberikan, anda boleh menggunakannya setiap hari.

Tip mencegah kulit berminyak

Kulit berminyak yang terjadi disebabkan faktor genetik atau hormon adalah sukar untuk dielakkan. Anda boleh mengurangkan minyak dengan cara mengamalkan rejimen penjagaan kulit yang konsisten dan mengelakkan makanan yang tidak sihat seperti makanan bergoreng, makanan yang tinggi gula dan makanan yang diproses.

Anda mungkin berfikir untuk memakai solekan yang berat untuk menutupi kesan kulit berminyak, namun, perbuatan ini akan menjadikan keadaan anda lebih teruk. Sekiranya anda mengalami kulit berminyak, kurangkan pemakaian solekan, terutamanya ‘foundation’. Pilih produk berasaskan air daripada produk berasaskan minyak. Carilah produk yang dilabel sebagai ‘noncomedogenic’ yang tidak akan menyumbat liang pori anda.

Ramai individu mencari jalan untuk menyelesaikan masalah kulit berminyak dengan mengikuti petua di rumah. Walau bagaimanapun, kebanyakan petua masih belum dikaji dengan jelas. Kesan dan hasil daripada petua bergantung kepada banyak perkara seperti keadaan kulit anda dan kualiti bahan yang digunakan.

Bukan itu sahaja, petua juga mungkin akan mengakibatkan alahan sementara terhadap bahan-bahan yang anda gunakan Sekiranya kulit anda menjadi sensitif apabila menggunakan sebarang produk/bahan semula jadi, hentikan penggunaannya dengan segera.

Jika petua di rumah memburukkan lagi simptom kulit berminyak anda, hentikan penggunaannya dan hubungi doktor atau pakar dermatologi. Anda juga dinasihatkan mendapatkan bantuan perubatan jika anda mengalami simptom kulit berminyak yang teruk seperti jerawat yang parah kerana ia boleh menyebabkan jangkitan atau parut jerawat di wajah anda.

Sumber

https://www.healthline.com/health/home-remedies-for-oily-skin

https://www.medicalnewstoday.com/articles/321090

Summary
Petua Dan Tips Untuk Mencegah Kulit Berminyak
Article Name
Petua Dan Tips Untuk Mencegah Kulit Berminyak
Description
Kulit berminyak berlaku akibat pengeluaran sebum berlebihan dari kelenjar sebum yang terletak di bawah permukaan kulit dan mengeluarkan sebum.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: