Cicak

Cicak sangat sinonim sebagai haiwan yang sering bersarang di rumah. Lebih-lebih lagi bagi kawasan perumahan rumah bawah.

Sering kali kita merasa marah apabila melihat rumah ditaburi tahi cicak di segenap pelusuk. Lebih-lebih lagi di perkarangan rumah termasuklah kawasan bertingkap dan berpintu seperti di ruang pintu masuk serta di bahagian tingkap dapur mahupun bilik.

Tak dinafikan juga, rumah bukan sahaja kelihatan kotor bahkan ia seolah mewujudkan suatu rasa ketidak-puasan hati bagi si tuan rumah.

Biarlah banyak mana sekalipun ia dicuci, cicak pasti akan kembali menapak dan menjadikan kawasan rumah sebagai ‘tandas awam’ sekaligus, mencacatkan penampilan rumah kerana kelihatan kotor dan menjijikan.

Cicak Tertarik Pada Cahaya Untuk Mencari Makan

Cicak rumah yang berwarna coklat atau kelabu kehitaman itu akan berlegar di sekitar dinding rumah pada malam hari -tatkala cahaya lampu terang dipancarkan. Ini kerana, cicak rumah  lebih tertarik untuk merayap dan bermain di sekitar kawasan berlampu terutamanya di permukaan siling bagi mencari mangsanya yang berupa serangga-serangga kecil yang turut menghampiri kawasan berlampu.

Tahukah kamu bahawa populasi spesis cicak rumah atau nama saintifiknya dikenali sebagai Hemidactylus Frenatus adalah berasal daripada kawasan Asia Selatan dan Tenggara? Jadi tidak hairanlah jika kebanyakan rumah orang Asia seperti di Malaysia, Thailand dan Indonesia sering didatangi haiwan reptilia kecil ini. Bahkan, suhu di Asia yang agak panas merupakan tempat terbaik untuk haiwan ini membiak pantas.

Bagi membantu kamu menyelesaikan permasalahan berkaitan limpahan tahi cicak di perkarangan rumah, ini beberapa petua bernas yang berkesan agar cicak tidak lagi menjadikan rumah kamu sebagai kawasan persinggahan seterusnya bersarang di rumah.

PETUA 1: Guna Kulit Telur

Cicak dikatakan sangat membenci telur kerana bau yang hadir daripada telur ayam. Jadi, salah satu cara tepat untuk menghalau ia daripada mendiami kawasan rumah adalah dengan menggunakan kulit telur.

Caranya, jika kamu menggoreng telur atau membuat kuih menggunakan telur, janganlah membuang lebihan kulit telur itu sebaliknya, hancurkan kulit telur tersebut untuk ditaburkan di segenap laluan yang sering dilalui serangga ini seperti di keliling penjuru rumah.

Ini termasuklah pada alur cermin tingkap mahupun di celah-celah besi gril pintu.

Lebih baik jikalau kulit telur tersebut tidak dibersihkan atau dicuci terlebih dahulu agar bau telurnya semerbak untuk kesan terbaik menghalau reptilia ini.

PETUA 2: Guna Cecair Peluntur

Nampaknya bukan manusia sahaja yang benci akan bau peluntur tetapi cicak juga. Cicak memang benci akan bau kimia kuat yang hadir daripada cecair peluntur,

Ianya merupakan antara bahan yang paling berkesan untuk menghalang kehadiran cicak di kediaman.

Caranya, cuci bahagian rumah yang sering dilalui atau didiami cicak menggunakan peluntur. Nah, ini secara tidak langsung menjadikan kamu lebih rajin untuk sentiasa mengemas dan membersihkan rumah lebih kerap. Barulah cicak tidak bersarang di rumah. Ucap selamat tinggal pada tahi cicak!

Namun, harus beringat untuk sentiasa berhati-hati tatkala mencuci rumah menggunakan peluntur. Bancuh peluntur dengan nisbah yang betul untuk mengelak perabot di rumah menjadi rosak.

Pastikan kamu mengalih perabot serta kereta di kawasan perkarangan rumah terlebih dahulu sebelum mencurah atau mencuci menggunakan peluntur.

PETUA 3: Guna Bawang Putih

Siapa tahu bahan dari dapur yang mudah didapati seperti bawang putih juga tersenarai sebagai bahan yang mampu menakutkan cicak untuk bersarang di rumah.

Seperti kulit telur dan peluntur, cicak juga membenci bauan yang dihasilkan bawang putih.

Jadi caranya, ambil beberapa ulas bawang putih dan letakkannya di beberapa sudut bahagian rumah atau di tepi-tepi sudut pintu dan tingkap yang kerap kali menjadi tempat laluan haiwan berkenaan.

Alternatifnya, kamu juga boleh mencampurkan bawang putih hancur bersama air untuk dijadikan cecair semburan yang disembur terus pada kawasan-kawasan dinding rumah serta siling.

Jangan khuatir jikalau cicak menghantui kawasan rumah kamu lagi selepas ini. Boleh cuba amal dan aplikasikan tiga petua ringkas paling berkesan seperti yang Ceria Sihat kongsikan ini.

Agar tiada lagi tahi cicak yang bertaburan dan mengotori rumah serta kawasan di sekitarnya!

Selamat mencuba.

SUMBER

https://en.wikipedia.org/wiki/Common_house_gecko

https://www.homeanddecor.com.sg/design/home-tips/home-tips-get-rid-of-lizards-at-home-the-natural-way/#:~:text=Lizards%20are%20said%20to%20hate,be%20for%20a%20stronger%20smell.

Summary
Petua Berkesan Elak Cicak Bersarang Di Rumah
Article Name
Petua Berkesan Elak Cicak Bersarang Di Rumah
Description
Cicak sangat sinonim sebagai haiwan yang sering bersarang di rumah. Lebih-lebih lagi bagi kawasan perumahan rumah bawah.
Publisher Name
CeriaSihat
Tagged: