persamaan covid-19 dan hiv
Wabak COVID-19 yang sedang melanda di seluruh dunia dikatakan mempunyai persamaan dengan penyakit HIV.

Persamaan COVID-19 dan HIV dikatakan oleh para saintis bahawa adanya sedikit persamaan keduanya. Jadi, adakah mereka berkaitan? Para saintis telah memberi amaran bahawa Coronavirus yang menyebabkan penyakit COVID-19 boleh membunuh sel imun berkuasa yang sepatutnya membunuh virus itu. Penemuan mengejutkan itu yang dibuat oleh pasukan penyelidik dari Shanghai dan New York adalah bertepatan dengan pemerhatian doktor barisan hadapan (frontline) bahawa Coronavirus boleh menyerang sistem imun manusia dan menyebabkan kerosakan yang serupa dengan yang terdapat pada pesakit HIV.

Lu Lu, dari Universiti Fudan di Shanghai dan Jang Shibo, dari Pusat New York Blood, menyertai kajian virus hidup tersebut yang secara rasminya dikenali sebagai Sars-CoV-2, pada sel-sel sel limfosit- yang hidup dalam makmal.

Limfosit T, juga dikenali sebagai sel T, memainkan peranan penting dalam mengenal pasti dan menghilangkan bahan asing yang menyerang di dalam badan. Sel ini berfungsi dengan menangkap sel yang telah dijangkiti virus, membuat lubang pada membrannya dan menyuntikkan bahan kimia toksik ke dalam sel tersebut. Bahan kimia ini kemudian akan membunuh virus dan sel yang dijangkiti dan merobeknya dalam kepingan kecil.

Namun begitu, apa yang mengejutkan pada saintis adalah sel T boleh menjadi mangsa kepada Coronavirus dalam eksperimen yang mereka lakukan. Malah, mereka mendapati bahawa struktur unik dalam pacak (spike) protein virus  itu kelihatan telah mencetuskan cantuman sarung virus dan membran sel ketika kedua-duanya bersentuhan.

Gen virus kemudian memasuki sel T dan menjadikannya sebagai tahanan, melumpuhkan fungsinya untuk melindungi manusia.

Para penyelidik melakukan eksperimen yang sama dengan sindrom pernafasan akut teruk, atau dipanggil sebagai SARS, iaitu sejenis Coronavirus lain dan mendapati bahawa virus SARS tidak mempunyai keupayaan untuk menjangkiti sel T.

Punca bagi keadaan ini disyaki berlaku disebabkan kekurangan fungsi gabungan membran. Wabak SARS yang telah membunuh ratusan individu dalam tahun 2003, hanya dapat menjangkiti sel yang membawa protein reseptor tertentu dikenali sebagai ACE2, dan protein ini mempunyai kehadiran yang sangat rendah dalam sel T.

Penyelidikan lebih lanjut mengenai jangkitan Coronavirus pada sel T primer akan membangkitkan “idea baru mengenai mekanisme patogen dan intervensi terapi,” kata para penyelidik dalam makalah yang diterbitkan dalam jurnal peer-review bagi tajuk Cellular & Molecular Immunology.

Seorang doktor, yang bekerja di sebuah hospital awam dan telah merawat pesakit COVID-19 di Beijing mengatakan bahawa penemuan itu menambahkan bukti lain yang semakin membimbangkan dalam bidang perubatan memandangkan virus ini kadangkala boleh berkelakuan seperti beberapa virus paling terkenal yang menyerang sistem ketahanan badan manusia secara langsung. Di samping itu, semakin ramai orang yang membandingkan penyakit ini dengan HIV. Jadi, apakah persamaan COVID-19 dan HIV sebenarnya?

Pada bulan Februari lalu, Chen Yongwen dan rakan-rakannya di Institut Imunologi PLA mengeluarkan laporan klinikal yang memberi amaran bahawa bilangan sel T dapat menurun dengan ketara pada pesakit COVID-19, terutama jika mereka sudah berusia atau memerlukan rawatan di unit rawatan intensif. Semakin rendah bilangan sel T, semakin tinggilah risiko kematian bagi individu yang terbabit.

Pemerhatian ini kemudiannya disahkan oleh ujian autopsi pada lebih 20 pesakit, di mana sistem kekebalan mereka hampir hancur sepenuhnya. Malah, doktor yang pernah melihat mayat pesakit COVID-19 berkata bahawa kerosakan kepada organ dalaman pesakit adalah serupa dengan gabungan keadaan SARS dan AIDS.

Gen di sebalik fungsi gabungan bagi Sars-CoV-2 tidak terdapat dalam jenis Coronavirus lain pada manusia atau haiwan.

Tetapi, beberapa virus yang sangat berbahaya buat manusia dan boleh menyebabkan kematian seperti AIDS dan Ebola mempunyai urutan yang serupa. Ini mendorong kepada spekulasi bahawa novel Coronavirus mungkin telah lama merebak secara senyap di dalam masyarakat manusia sebelum tercetusnya wabak ini secara besar-besaran di seluruh dunia.

TETAPI,

Terdapat satu perbezaan utama antara Sars-CoV-2 dan HIV, menurut kajian yang terkini. HIV boleh membuat salinan dalam sel T dan menjadikannya seperti sebuah “kilang” untuk menjana lebih banyak salinan diri sendiri bagi menjangkiti sel-sel lain.

Tetapi, keadaan yang sama tidak dilihat  selepas Coronavirus memasuki sel T, yang mana ia boleh menunjukkan bahawa virus itu dan sel T mungkin akhirnya mati bersama.

Kajian terbaru ini telah menimbulkan beberapa persoalan baru. Sebagai contoh, Coronavirus boleh wujud selama beberapa minggu pada sesetengah pesakit tanpa menyebabkan sebarang gejala. Bagaimana ia berinteraksi dengan sel T dalam pesakit-pesakit ini juga masih tidak jelas.

Sesetengah pesakit kritikal ada mengalami ‘cytokine storms’, di mana sistem kekebalan tubuh menyerang dan menyerang sel-sel yang sihat.

SUMBER

https://www.poz.com/article/covid19-hiv

https://codeblue.galencentre.org/2020/04/13/covid-19-may-attack-immune-system-like-hiv-study/

https://www.contagionlive.com/news/covid19-vs-hiv-how-the-epidemics-compare

Summary
Persamaan antara COVID-19 dan HIV
Article Name
Persamaan antara COVID-19 dan HIV
Description
Persamaan antara penyakit COVID-19 dan HIV dikatakan oleh para saintis bahawa adanya sedikit persamaan keduanya.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: