pernio
Pernio atau juga dikenali sebagai ‘Chilblains’ adalah keradangan menyakitkan pada saluran darah kecil di kulit yang berlaku akibat tindak balas terhadap pendedahan berulang kali kepada hawa sejuk yang tidak membeku.

Pernio atau juga dikenali sebagai ‘Chilblains’ adalah keradangan menyakitkan pada saluran darah kecil di kulit yang berlaku akibat tindak balas terhadap pendedahan berulang kali kepada hawa sejuk yang tidak membeku. Ia boleh menyebabkan gatal-gatal, tompokan merah, bengkak dan melepuh di tangan dan kaki anda.

Seterusnya, ia biasanya sembuh dalam masa satu hingga tiga minggu, terutamanya jika cuaca menjadi semakin hangat. Anda mungkin mengalami pengulangan keadaan ini selama bertahun-tahun. Rawatan yang terlibat adalah seperti melindungi diri daripada cuaca sejuk dan menggunakan losyen untuk meredakan gejala. Pernio biasanya tidak mengakibatkan kecederaan kekal. Namun, keadaan tersebut boleh mendorong kepada jangkitan yang boleh menyebabkan kerosakan serius jika tidak ditangani.

Simptom Pernio

Masalah pernio biasanya muncul sebaik sahaja individu berada dalam keadaan sejuk. Gejala menjadi lebih buruk jika individu kemudian berjalan ke tempat yang hangat.

Tanda-tanda dan gejala Pernio termasuklah:

  • Rasa terbakar dan sensasi gatal, biasanya di bahagian kaki, tangan, hidung atau telinga.
  • Kulit di kawasan yang terjejas mungkin berubah warna daripada merah ke biru tua dan meradang (bengkak).
  • Luka dan lepuh mungkin muncul namun ia jarang berlaku.

Punca Pernio

Punca yang menyebabkan keadaan pernio masih tidak diketahui. Ia mungkin merupakan reaksi tidak normal dalam badan kerana pendedahan kepada keadaan sejuk diikuti dengan keadaan panas serta merta. Kulit sejuk boleh menyebabkan saluran darah kecil di bawah kulit berkembang dengan lebih cepat daripada apa yang dapat dikendalikan oleh saluran darah berdekatan. Ini kemudian mengakibatkan kesesakan dan darah yang bocor ke dalam tisu berdekatan.

Diagnosis Pernio

Diagnosis pernio boleh dibuat dengan mudah. Sekiranya gejala hadir dan pesakit telah terdedah kepada keadaan sejuk, doktor akan mendiagnosis ia sebagai pernio.

Namun, doktor mungkin mahu mengetepikan keadaan kesihatan lain seperti lupus, fenomena Raynaud, eritromelalgia dan iskemia. Jika diagnosis tersebut mempunyai keraguan, biopsi kulit boleh dilakukan namun ia hanya bagi kes-kes tertentu sahaja.

Faktor Risiko Pernio

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko pernio termasuklah:

  • Pakaian yang ketat atau mendedahkan kulit kepada keadaan sejuk. Memakai pakaian dan kasut yang ketat dalam cuaca sejuk dan lembap mungkin membuatkan anda lebih mudah terdedah kepada pernio. Selain itu, kulit yang terdedah kepada keadaan yang sejuk dan lembap juga lebih cenderung mendapat masalah ini.
  • Jantina. Wanita lebih cenderung untuk mendapatkan masalah pernio berbanding lelaki.
  • Kurang berat badan. Individu dengan berat badan kira-kira 20 peratus kurang daripada yang sepatutnya untuk ketinggian mereka mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat pernio.
  • Persekitaran dan musim. Pernio kurang berlaku di kawasan yang lebih sejuk dan kering kerana keadaan hidup dan pakaian yang digunakan di kawasan-kawasan ini lebih sesuai. Risiko keluarga anda mendapatnya adalah lebih tinggi jika anda tinggal di kawasan dengan kelembapan yang tinggi dan sejuk yang tetapi bukanlah suhu sejuk beku. Selain itu, ia lebih kerap berlaku antara bulan November hingga April.
  • Mempunyai peredaran darah yang lemah. Individu dengan keadaan ini cenderung menjadi lebih sensitif terhadap perubahan suhu, lalu menjadikannya lebih mudah terdedah kepada masalah keradangan.
  • Mempunyai penyakit Raynaud. Individu dengan penyakit Raynaud lebih mudah terdedah kepada keadaan pernio. Penyakit ini juga boleh menyebabkan pelbagai jenis perubahan warna pada kulit dan juga luka.
  • Mempunyai gangguan autoimun. Lupus, iaitu sejenis penyakit tisu penghubung autoimun adalah penyakit autoimun yang paling biasa dikaitkan dengan pernio.

Rawatan Pernio

Pakar perubatan terdahulu mengesyorkan bahawa pernio dirawat dengan campuran telur, wain dan akar adas, tetapi itu tidak lagi diamalkan pada masa kini.

Pesakit boleh mendapatkan rawatan pernio yang belum berkembang menjadi jangkitan atau ulser kulit dengan ubat OTC yang boleh dibeli di farmasi.

Menurut bimbingan daripada pakar, pesakit mempunyai hasil yang baik setelah menggunakan campuran balsam friar dan larutan iodin lemah.

Selain itu, rawatan lain juga boleh dilakukan seperti pengambilan:

  • Krim kortikosteroid – ini boleh membantu dengan gejala keradangan dan kegatalan. Sekiranya kulit merekah, individu perlu berjumpa dengan doktor. Krim ini boleh dibeli di kaunter farmasi atau dalam talian.
  • Vasodilators – bagi kes-kes yang berterusan, ‘vasodilators’ seperti nifedipine atau diltiazem mungkin akan diberikan. Ada yang mempercayai bahawa vitamin D dan suplemen kalsium dapat meringankan simptom, namun hal ini belum terbukti secara saintifik.

– Penjagaan di rumah

Berikut boleh mengurangkan simptom seperti:

  • Menggosok kulit dengan perlahan – jangan urut, sapu atau gunakan haba secara langsung.
  • Menjaga kulit kering dan panas.
  • Meletakkan losyen untuk mengurangkan gatal-gatal. Losyen bebas wangian boleh didapati melalui pembelian secara dalam talian.
  • Bersihkan kulit dengan antiseptik untuk mengurangkan risiko jangkitan.
  • Jangan bercukur.

Langkah Pencegahan Pernio

Untuk mengelakkan pernio:

  • Berpakaianlah dengan baik apabila sejuk – ini termasuklah memakai kasut hangat (kasut dan toking kaki), sarung tangan, topi dan selendang. Pendek kata, pakai pakaian yang melindungi kaki, tangan dan telinga. Anda juga boleh melindungi hidung dengan membungkus sesuatu seperti selendang di bahagian muka.
  • Meningkatkan peredaran – bergerak dengan aktif boleh membantu meningkatkan peredaran dalam badan.
  • Elakkan pendedahan – individu yang mudah terdedah dalam keadaan tertentu harus cuba untuk mengelakkan pendedahan terhadap cuaca sejuk.
  • Bersedia dengan awal – sebelum pergi ke keadaan yang sejuk, panaskan stokin dan kasut pada radiator dahulu.
  • Menggalakkan peredaran yang baik – elakkan daripada memakai kasut yang ketat kerana ini boleh menyekat pembuluh darah.
  • Kekalkan perubahan suhu secara minimum – apabila sudah beralih daripada keadaan sejuk, jangan terdedah kepada kawasan yang hangat secara mendadak (proses beransur-ansur adalah lebih baik).
  • Jaga badan – bersenam sekurang-kurangnya empat kali seminggu dapat membantu mengekalkan peredaran yang baik.

Kredit: Gambar diambil daripada sumber https://www.wikiwand.com/en/Chilblains

SUMBER

https://www.uptodate.com/contents/pernio-chilblains

https://emedicine.medscape.com/article/1087946-overview

https://www.dermatologyadvisor.com/home/decision-support-in-medicine/dermatology/pernio-perniosis-erythema-pernio-chilblains-kibes-trenchfoot/

Summary
Pernio - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko, Rawatan dan Langkah Pencegahan
Article Name
Pernio - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko, Rawatan dan Langkah Pencegahan
Description
Pernio atau ‘Chilblains’ adalah keradangan menyakitkan pada saluran darah kecil di kulit akibat tindak balas kepada hawa sejuk yang tidak membeku.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: