buka akaun tabung haji

Buka akaun tabung haji adalah perkara yang baik dilakukan ibu bapa kepada anak-anak. Setiap ibu bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Samada dari aspek pendidikan, kesihatan dan kecukupan dalam kehidupan.

Atas sebab ini, penting bagi golongan ibu bapa mempunyai ilmu kewangan. Ilmu kewangan bukanlah satu ilmu eksklusif hanya untuk golongan berada yang mana mengajar cara-cara melabur wang sahaja.

Ilmu kewangan merupakan ilmu yang perlu dimiliki oleh setiap orang tanpa mengira status dan pangkat. Perkara paling asas dalam ilmu kewangan adalah cara mengurus dan menyimpan wang.

Walau bagaimanapun, tidak mudah untuk menyimpan wang untuk anak kerana kebanyakan ibu bapa pada hari ini mempunyai tanggungjawab kewangan yang lain seperti pinjaman rumah, pinjaman kereta, bil utiliti dan lain-lain. Ada juga sesetengah ibu bapa yang terpaksa menggunakan wang anak, lazimnya duit raya, bagi menampung perbelanjaan keluarga yang meningkat seiring dengan meningkatnya usia anak-anak.

Tetapi, perlu diingatkan bahawa amalan ini bukanlah amalan yang baik kerana duit tersebut adalah hak anak. Bagi mengelakkan amalan ini menjadi suatu kebiasaan, ibu bapa wajib mengamalkan kebiasaan yang baru, antaranya mengasingkan akaun bank.

Dalam kata mudahnya, bukakan satu akaun khusus untuk anak. Akaun yang berasingan akan membantu kita mengasingkan duit dengan lebih efektif. Kajian menunjukkan bahawa, dengan menamakan akaun simpanan dengan nama orang yang tersayang membantu menghubungkan tautan emosi sehingga mampu meningkatkan motivasi untuk menyimpan wang bagi orang tersayang tersebut.

Cara terbaik untuk menyimpan untuk anak adalah dengan menyimpan di tempat yang boleh memberi pulangan kepada pendeposit seiring bertambahnya masa. Di Malaysia, terdapat banyak platform untuk memulakan simpanan selain daripada bank-bank. Antaranya, Amanah Saham Berhad (ASB), Tabung Haji, Private Retirement Scheme (PRS), Simpanan Emas, Unit Trust dan lain-lain. Simpanan jenis ini adalah sebaiknya dimulakan di usia yang muda bagi menjamin masa depan yang cerah.

Salah satu platform simpanan wang yang agak popular yang menjadi pilihan umat Islam di Malaysia adalah Tabung Haji. Umum mengetahui bahawa simpanan Tabung Haji bertujuan untuk membuat simpanan jangka panjang untuk menunaikan Haji. Kebanyakan orang dewasa Islam di Malaysia pasti mempunyai akaun Tabung Haji. Akan tetapi, perlukah kita buka akaun Tabung Haji untuk anak seawal usia?

Entiti Tabung Haji merupakan entiti yang tidak asing lagi bagi umat Islam di Malaysia. Ianya ditubuhkan untuk menjadi wadah institusi kewangan Islam yang dapat memberi perkhidmatan kepada umat Islam di Malaysia untuk menyimpan wang bagi menanggung kos perbelanjaan menunaikan haji.Penubuhan Tabung Haji (pada asalnya ditubuhkan dengan nama “Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji”) sejak tahun 1963, sehingga ke hari ini telah berkembang pesat dengan 9 juta pendeposit, 123 cawangan dan 10 ribu sentuh di seluruh negara.

Selain daripada menjadi medan penyimpanan untuk menunaikan Haji, Tabung Haji juga kini telah menjadi platform umat Islam di Malaysia menyimpan wang dengan pengurusan simpanan yang halal di samping menerima manfaat dividen yang tinggi daripada Tabung Haji sendiri. Ini dapat dilihat kepada Misi Tabung Haji, selain daripada menyediakan perkhidmatan pengurusan Haji yang cemerlang, Tabung Haji juga komited memperkasa ekonomi ummah dengan mencari pelaburan strategik Global dan Lokal seterusnya dapat memperkaya modal pendeposit dengan memberi pulangan yang kompetitif, Halal dan Toyyiban.

Di Tabung Haji, akaun yang dibuka untuk kanak-kanak mestilah menepati beberapa pra-syarat, antara :

  1. kanak-kanak tersebut mestilah tidak lebih daripada umur 18 tahun mengikut tarikh lahir kanak-kanak tersebut;
  2. Penjaga yang membuka akaun bagi pihak kanak-kanak mestilah Penjaga yang sah menurut Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2001, Akta Penjagaan Budak 1961 dan AKta Pendaftaran Pengangkatan 1952;
  3. Penjaga merupakan warganegara Malaysia;
  4. Penjaga mestilah mempunyai akaun Tabung Haji;
  5. Hanya seorang penjaga dibenarkan memegang satu akaun kanak-kanak tersebut.

Sekiranya kanak-kanak tersebut telah mencapai usia 18 tahun, Penjaga bertanggungjawab untuk menukar akaun kanak-kanak kepada akaun dewasa.

Antara kelebihan menyimpan di Tabung Haji adalah :

  1. Modal awal yang rendah
  2. Modal simpanan dijamin
  3. Kos yang rendah
  4. Pemberian dividen dan bonus yang kompetitif
  5. Dividen dan bonus dikecualikan cukai
  6. Zakat dibayar pihak Tabung Haji
  7. Simpanan dan pengeluaran tanpa had
  8. Patuh Syariah
  9. Simpanan untuk menunaikan Haji.  

Bagi menjamin masa depan anak-anak yang cerah, sebaiknya bermula awal dengan jumlah yang sedikit tetapi konsisten. Kebanyakan ibu bapa dewasa ini mempunyai pelbagai tanggungjawab kewangan. Tabung Haji menawarkan pembukaan akaun dengan modal serendah RM 2. Dengan modal pembukaan yang rendah, para ibu bapa boleh memulakan urusan simpanan anak dengan lebih mudah.

Penting untuk setiap pendeposit tahu bahawa, walaupun modal pembukaan akaun adalah rendah, simpanan pendeposit adalah dijamin. Hal ini termaktub di dalam Akta Tabung Haji 1995. Konsep simpanan dalam akaun Tabung Haji adalah berdasarkan konsep Wadi’ah Yad Dhamanah (simpanan berasaskan jaminan).

Tabung Haji juga terkenal dengan reputasi sistem tadbir urus yang baik dan patuh syariah. Para ibu bapa juga dapat memastikan simpanan anak-anak dapat disimpan dan dilaburkan secara halal. Ini kerana setiap pelaburan yang dibuat perlulah menurut nasihat Panel Pelaburan dan Jawatankuasa Penasihat Syariah Tabung Haji sendiri.

Memandangkan tujuan para ibu bapa menyimpan untuk anak-anak adalah untuk menjamin masa depan yang baik, maka Tabung Haji adalah tempat simpanan jangka panjang yang bagus. Ini kerana rekod pemberian dividen dan bonus oleh Tabung Haji adalah lebih baik berbanding dividen yang diberikan akaun simpanan tetap bank (4.5% setahun).

Sepanjang tahun 2011 sehingga 2015, dividen yang diberikan Tabung Haji kepada Pendeposit adalah sekitar 5% hingga 6.25%. Manakala pemberian bonus meningkat kepada 3% pada tahun 2015. Pemberian dividen yang agak stabil sangat menguntungkan pendeposit pada masa jangka panjang. Anak-anak akan dapat menikmati hasilnya apabila mereka dewasa. Tidak ditambah lagi dengan pemberian bonus.

Pada hari ini, pendaftaran dapat dibuat secara maya (Virtual Account Opening [VAO]) iaitu dengan melayari www.thijari.com.my dan isikan maklumat lengkap anak anda dan anda sebagai Penjaga. Kemudian anda boleh hadir ke mana-mana cawangan TH (dengan membawa MyKad dan amaun deposit permulaan) bagi membuat pengesahan biometrik dan dokumen pengenalan dengan diberi keutamaan layanan iaitu masa menunggu SEMINIT SAHAJA.

Sekiranya akaun Tabung Haji anak anda sudah mempunyai minimum RM1,300, tolonglah daftarkan giliran haji untuk mereka memandangkan giliran haji pada masa kini semakin panjang. Kesimpulannya, mulalah menyimpan untuk anak-anak anda dengan mendaftarkan mereka akaun Tabung Haji. Siapa lagi yang hendak menyokong dan menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak selain kita sebagai ibu bapa yang perlu memulakan dahulu.

SUMBER:

https://www.womansday.com/life/work-money/a19779768/how-to-save-money-for-a-child/

https://says.com/my/seismik/6-tempat-simpan-duit-paling-bagus-untuk-anak-muda-yang-akan-beri-manfaat-di-masa-hadapan

https://www.tabunghaji.gov.my/ms/korporat/informasi-korporat/tentang-kami

https://www.tabunghaji.gov.my/ms/simpanan/maklumat-am/pembukaan-akaun

https://jomurusduit.com/2016/11/10-sebab-digalakkan-simpan-duit-dalam-tabung-haji.html

https://harianpost.my/buka-akaun-tabung-haji-online-th/

Summary
PERLU KE BUKA AKAUN TABUNG HAJI UNTUK ANAK?
Article Name
PERLU KE BUKA AKAUN TABUNG HAJI UNTUK ANAK?
Description
Buka akaun tabung haji adalah perkara yang baik dilakukan ibu bapa kepada anak-anak. Setiap ibu bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Samada dari aspek pendidikan, kesihatan dan kecukupan dalam kehidupan.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: