perkembangan budak 4 tahun
Sebagai ibu bapa kepada kanak-kanak berusia 4 tahun, anda mungkin menyedari bahawa anak anda sekarang sedang menjalani kehidupan sepenuhnya dan memanfaatkan setiap peluang untuk belajar, bermain dan berkembang.

Sebagai ibu bapa kepada kanak-kanak berusia 4 tahun, anda mungkin menyedari bahawa anak anda sekarang sedang menjalani kehidupan sepenuhnya dan memanfaatkan setiap peluang untuk belajar, bermain dan berkembang. Bersiap sedia kerana kemahiran dan pengetahuan anak anda akan terus berkembang dengan pesat ketika mereka bersiap untuk memasuki alam persekolahan tadika.

Sekarang, mari kita lihat perkembangan bagi kanak-kanak berusia 4 tahun dalam beberapa aspek seperti di bawah. Anda juga boleh membaca artikel lain bagi perkembangan budak mengikut tahun seperti dalam kandungan berikut.

Kandungan

  1. Perkembangan budak: 1 tahun
  2. Perkembangan budak: 2 tahun
  3. Perkembangan budak: 3 tahun
  4. Perkembangan budak: 4 tahun
  5. Perkembangan budak: 5 tahun

Pertumbuhan

Kanak-kanak berusia 4 tahun biasanya memperoleh berat sekitar 4 hingga 5 paun (2 kilogram) dan mengalami pertumbuhan sekitar 2 hingga 3 inci (5 hingga 8 sentimeter) setiap tahun. Berat badan purata bagi kanak-kanak berusia 4 tahun adalah sekitar 40 paun (18kg) dan tingginya sekitar 40 inci. Anda juga mungkin mendapati bahawa lemak bayi pada wajahnya mula hilang dan kelihatan lebih lentur, memandangkan anggota badannya berkembang lebih baik semasa zaman pra-sekolah.

Corak tidur

Ketika bayi mula memasuki alam kanak-kanak prasekolah, dan kemudian mencecah alam remaja, pola tidur dan keperluan tidur mereka mungkin berubah. Sudah tentu ianya tidak mudah untuk memerhatikan berapa jam tidur yang anak anda perlukan, adakah ia mencukupi atau tidak bagi usia itu. Bagi kanak-kanak berusia 4 tahun, walaupun tidur siang masih disyorkan, kira-kira 50 peratus daripada mereka berhenti tidur siang pada usia empat tahun. Namun, secara amnya, kanak-kanak pada usia 4 tahun memerlukan tidur sekitar 10 hingga 12 jam setiap hari.

Pembangunan dan interaksi sosial

Perangai memberontak biasanya menjadi semakin jarang kerana anak anda telah belajar mekanisme untuk bertenang, tetapi peristiwa hidup yang besar seperti perpindahan, perceraian, atau kelahiran adik baru pasti dapat mempengaruhi emosi dan tingkah laku anak anda.

Walaupun orang dewasa yang dipercayai, seperti ibu bapa masih menjadi sumber utama kepada interaksi anak anda, pada usia ini mereka mungkin lebih mementingkan pendapat daripada rakan sebaya terutamanya jika mereka sudah memasuki alam prasekolah. Mereka juga mungkin menjalin persahabatan yang sebenar dan mungkin sudah mempunyai sahabat baik. Tambahan lagi, pada usia ini, mereka lebih bersedia untuk berkongsi dan mengamalkan sikap bergilir-gilir dengan rakan mereka. Tetapi, anak anda masih akan meminta bantuan orang dewasa yang dipercayai apabila diperlukan.

Perkembangan kognitif

Anak anda yang berusia 4 tahun cenderung menjadi lebih baik dalam menyelesaikan masalah dan mempunyai pegangan yang baik mengenai bagaimana untuk menyelesaikan sesuatu yang akan menyenangkan semua orang.

Walaupun kebanyakan kanak-kanak berusia 4 tahun dapat membaca huruf dan menghafal bentuk dan warna, perkembangan kognitif bukanlah hanya mengenai fakta pembelajaran dan asas akademik sahaja. Pembelajaran untuk kanak-kanak pada usia ini juga merangkumi pembelajaran tentang bagaimana untuk menanyakan soalan dan bagaimana memproses maklumat menjadi satu pemahaman.

Sekarang, mari kita lihat perkembangan kognitif bagi aspek di bawah pula.

Percakapan dan bahasa

Dalam fasa ini, anda semestinya dapat melihat anak anda menjadi sangat ramah, kerana semakin banyak kemahiran berbahasa berkembang (apa yang mereka katakan dan apa yang mereka fahami) dengan kadar yang luar biasa. Anak berusia 4 tahun anda seharusnya mempunyai kira-kira 2,500 hingga 3,000 perkataan yang mereka sudah dapat fahami. Menjelang ulang tahun ke-5, kosa kata mereka akan mempunyai lebih 5,000 perkataan.

Bermain

Sebilangan besar kanak-kanak berusia 4 tahun suka menggunakan khayalan mereka. Mereka bahkan boleh mencipta rakan khayalan sendiri. Anak anda juga mungkin berada di antara realiti dan berpura-pura bermain secara berterusan. Malah, mereka mungkin gemar bermain mainan melibatkan rumah atau dandanan, dan melibatkan rakan mereka juga. Kanak-kanak pada usia ini biasanya menunjukkan minat dengan menetapkan matlamat seperti belajar menunggang basikal dan banyak lagi.

Emosi

Pada usia 4 tahun, anak-anak akan mula menunjukkan keinginan yang besar untuk berasa bebas dan ingin melakukan sebanyak mungkin secara sendirian. Ianya adalah normal jika mereka bekerjasama dengan anda selama satu minit kemudian meminta anda mengikut keputusannya pula selepas itu. Tetapi secara keseluruhan, mereka kini sudah dapat mengawal emosi mereka dengan lebih baik. Selain itu, mereka juga lebih mengetahui perasaan orang lain kerana mereka sekarang dapat mengalami dan membezakan pelbagai emosi seperti cemburu, kegembiraan, kemarahan dan ketakutan dalam kehidupan.

Perkembangan pergerakan

Anak anda yang berusia 4 tahun akan menyedari kedudukan mereka sendiri dan kurang cenderung untuk berlanggaran dengan orang lain semasa bergerak. Kebolehan berlari mereka juga akan meningkat secara mendadak dan mereka mungkin dapat menggelecek bola sepak. Pada usia 4 tahun, koordinasi tangan-mata anak anda semestinya meningkat bagi menghasilkan kemampuan untuk memasukkan manik dalam benang, bermain teka-teki lengkap, dan mewarna di dalam garisan. Selain itu, kebanyakan mereka kini sudah boleh berpakaian, menggosok gigi dengan bantuan individu dewasa. Kanak-kanak seusia ini masih berkembang bagi menyempurnakan kemahiran motor kasar mereka (menggunakan tangan dan kaki mereka untuk bergerak dan bermain), serta kemahiran motor halus mereka (melakukan aktiviti seni dan kraf). Sementara itu, pada usia ini, kanak-kanak biasanya boleh melompat sebelah kaki dan belajar untuk melompat dengan baik.

Nutrisi

Kanak-kanak berumur 4 tahun memerlukan kira-kira 1,200 hingga 1,400 kalori setiap hari untuk memenuhi keperluan pemakanannya dan membantu dalam proses pertumbuhan dan perkembangan yang baik. Memandangkan mereka sedang dalam fasa aktif dan sedang membesar, mereka memerlukan kalori daripada makanan yang sihat. Elakkan memberikan makanan bergula dan lemak tinggi berlebihan. Sebaliknya, tawarkan pelbagai pilihan makanan agar mereka mendapat keseimbangan vitamin yang diperlukan untuk membesar. Pilihan yang sihat termasuklah sayur-sayuran dan buah-buahan segar, produk tenusu rendah lemak (susu, yogurt, keju) atau produk pengganti tenusu, protein tanpa lemak (kacang, ayam, ayam belanda, ikan, hamburger tanpa lemak, tauhu, telur), bijirin dan roti gandum.

Hidangkan saiz makanan yang sesuai, tetapi jangan berharap bahawa anak anda akan menghabiskan semua makanan itu. Ianya tidak mengapa jika anak-anak tidak makan semua yang ada di pinggannya. Hidangkan makanan pada waktu makan dan snek biasa. Berhati-hati dan cuba untuk tidak menawarkan makanan antara waktu makan ini. Apabila tiba waktu makan atau makanan ringan, tutup TV dan makan bersama-sama di meja makan. Ini akan membantu mewujudkan persekitaran yang tenang untuk makan.

Cara membantu perkembangan anak anda

Ada banyak perkara yang boleh anda lakukan untuk membantu anak anda belajar dan membesar, seperti:

  • Biarkan anak anda membuat pilihan mudah, seperti apa yang harus dipakai atau mainan apa yang dia mahukan.
  • Beri banyak masa untuk anak anda kekal aktif, dan bermain permainan bersamanya seperti permainan tag.
  • Biarkan anak anda melakukan penjagaan diri sendiri, seperti berpakaian, menggunakan bilik mandi dan menggosok gigi.
  • Berlatih mengira nombor dan nyanyikan lagu-lagu sederhana, seperti ABC bersama.
  • Membaca kepada anak anda setiap hari.
  • Tetapkan masa untuk bermain dengan kanak-kanak lain – biarkan mereka selesaikan konflik sendiri, tetapi bantu mereka bila diperlukan.
  • Cadangkan aktiviti seperti melukis dan membuat aktiviti seni dengan kertas, gunting dan gam.
  • Bercakap dengan anak anda – dengan sabar jawab soalan dan tolong mereka meluahkan perasaan mereka.
  • Ajarkan anak anda cara berdamai dan meminta maaf setelah melukai perasaan seseorang.

Tanda-tanda masalah pembangunan (Perkara yang perlu diperhatikan)

Walaupun semua kanak-kanak berkembang pada kadar yang sedikit berbeza, ianya penting untuk melihat petanda sekiranya anak anda tidak memenuhi aspek perkembangan tertentu. Anda disyorkan berbincang dengan pakar pediatrik anak anda jika anda melihat perkara-perkara ini pada anak anda ketika usia 4 tahun:

  • Tidak dapat melompat dalam keadaan setempat.
  • Mempunyai masalah untuk menulis.
  • Tidak mengikut arahan pendek.
  • Tidak menggunakan “saya” dan “anda” dengan betul.
  • Tidak menunjukkan minat dalam permainan interaktif.
  • Mengabaikan kanak-kanak lain atau tidak bertindak balas terhadap orang luar.
  • Tidak mahu berpakaian, tidur dan menggunakan tandas.
  • Tidak dapat menceritakan semula kisah kegemarannya.
  • Tidak memahami aspek perkara yang “sama” dan “berbeza”.
  • Bercakap secara tidak jelas.
  • Kehilangan kemahiran yang pernah dimiliki.

SUMBER

https://www.verywellfamily.com/4-year-old-developmental-milestones-2764713

https://www.webmd.com/parenting/guide/child-4-milestones#2-7

https://www.healthychildren.org/English/ages-stages/preschool/nutrition-fitness/Pages/Feeding-and-Nutrition-Your-4-to-5-Year-Old.aspx

https://healthyeating.sfgate.com/ideal-diet-4-year-old-kids-2221.html

https://www.sleep.org/articles/how-much-sleep-children-need

https://kidshealth.org/en/parents/growth-4-to-5.html

https://www.parents.com/toddlers-preschoolers/development/physical/age-by-age-growth-chart-for-children

Summary
Perkembangan budak: 4 tahun
Article Name
Perkembangan budak: 4 tahun
Description
Sebagai ibu bapa kepada kanak-kanak berusia 4 tahun, anda mungkin menyedari bahawa anak anda sedang menjalani kehidupan sepenuhnya.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: