perkembangan budak 1 tahun
Sekiranya anda mempunyai anak berusia 1 tahun, anda pasti tahu betapa sibuknya mereka dalam usia ini!

Sekiranya anda mempunyai anak berusia 1 tahun, anda pasti tahu betapa sibuknya mereka dalam usia ini! Setiap hari, kehidupan anak anda yang sedang berkembang ini pasti dipenuhi dengan aktiviti yang melibatkan penerokaan dan pembelajaran. Namun, adakah anda tidak pasti akan perkembangan normal dan tidak normal bagi  kanak-kanak pada usia ini?

Mari baca dengan lebih lanjut untuk mengetahui bagaimana perkembangan kanak-kanak berusia 1 tahun yang normal. Anda juga boleh membaca artikel lain bagi perkembangan budak mengikut tahun seperti dalam kandungan berikut.

Kandungan

  1. Perkembangan budak: 1 tahun
  2. Perkembangan budak: 2 tahun
  3. Perkembangan budak: 3 tahun
  4. Perkembangan budak: 4 tahun
  5. Perkembangan budak: 5 tahun

Pertumbuhan

Berat bayi anda mungkin meningkat tiga kali ganda sejak lahir. Pada bulan ke-12, bayi anda juga telah mengalami pertumbuhan sebanyak 50% iaitu sekitar 9 hingga 11 inci  dan otak mereka juga berkembang kira-kira 60% daripada ukuran dewasa. Setelah lonjakan pertumbuhan satu tahun yang luar biasa, kenaikan berat badan bayi anda akan mula menjadi perlahan apabila tahap aktivitinya meningkat.

Corak tidur

Menjelang usia satu tahun, bayi anda semestinya akan kurang tidur pada waktu siang dan lebih banyak lagi tidur pada waktu malam. Sebilangan besar kanak-kanak pada usia ini masih memerlukan tidur pada waktu siang, tetapi tempohnya mungkin tidak seperti masa lalu. Mereka mungkin lebih gemar melakukan aktiviti ketika waktu siang dan tidur lebih lama pada waktu malam kerana kepenatan.

Pembangunan dan interaksi sosial

Walaupun anda mungkin perasan bahawa pada usia ini anak anda tahun menjadi lebih berhati-hati dengan individu yang tidak dikenali, anda juga akan melihat keinginannya yang luar biasa untuk berinteraksi dengan orang lain, terutamanya adik-beradik dan penjaga mereka. Anak anda mungkin akan berasa teruja melihat kanak-kanak lain. Biasanya, kanak-kanak berumur 1 tahun lebih suka bermain di sebelah kanak-kanak lain, berbanding bermain bersama. Tetapi, ada juga masa di mana mereka mula bermain bersama kanak-kanak lain selepas berasa sedikit selesa dengan individu luar.

Menjelang usia satu tahun, bayi biasanya akan menjadi lebih sosial. Mereka mula memahami apa yang dikatakan kepada mereka, dan akan mula menggunakan kemahiran berbahasa mereka untuk mendapatkan perhatian individu di sekitar mereka. Pada bulan ke-12, bayi anda juga akan mulai menguji batas anda, seperti mula menjawab “tidak” kepada permintaan anda dengan atau bahkan mula meragam dengan teruk. Jadi, pastikan anda bersikap tegas dan beritahu anak anda bahawa tingkah laku sebegini tidak boleh diterima. Sementara itu, beri tindak balas positif sekiranya mereka mempunyai tingkah laku yang baik dengan memberikan pujian atau ganjaran.

Perkembangan kognitif

Anda mungkin akan melihat beberapa perubahan besar berkaitan dengan perkembangan kognitif anak anda pada usia ini. Antara usia 12 hingga 24 bulan, anak anda kini mungkin dapat mengenali barang bernama, seperti kucing atau anjing.

Mereka juga akan dapat bermain permainan dan menunjukkan kemampuan lebih baik untuk mengikuti arahan anda.

Mari ketahui maklumat lanjut bagi aspek di bawah pula.

Percakapan dan bahasa

Pada akhir tahun pertama bayi anda, mereka cenderung bergantung pada strategi komunikasi tidak verbal, seperti menunjuk, memberi isyarat atau membuang barang untuk menyatakan perasaan atau memberitahu anda sesuatu.

Tetapi, bebelan dan jeritan daripada percakapan awal bayi akan membolehkan anda membezakan suara babling seperti “da”, “ba”, “ga” dan “ma.” Anak anda juga akan perlahan-lahan mula menyatukan suku kata yang mudah ini menjadi kata-kata yang dapat dikenali, dan seterusnya boleh memahami lebih banyak perkara yang anda katakan

Selain itu, sebelum mencecah usia 2 tahun, mereka mungkin akan dapat menyebut ayat mudah dengan dua hingga empat perkataan dan menunjuk pada objek mudah apabila anda menamakannya seperti bola, kereta dan lain-lain lagi.

Bermain

Pada usia ini, aktiviti bermain adalah penting untuk perkembangan anak anda. Ketangkasan baru yang diperoleh oleh anak anda akan menjadikan mereka bersemangat untuk menyiasat objek yang berdekatan.

Menggoyang atau memukul alat muzik dan bermain dengan mainan yang mempunyai tuas, roda dan bahagian bergerak yang lain semuanya adalah popular bagi kanak-kanak seusia ini. Mainan blok selalunya menjadi pilihan yang baik, terutamanya apabila anak anda merobohkan menara yang anda bina bersama mereka. Ia tidaklah begitu berbahaya kerana hanya mempunyai bentuk-bentuk biasa sahaja namun pastikan anda sentiasa berdekatan semasa mereka sedang bermain.

Bagi pilihan mainan lain yang sesuai untuk kanak-kanak berumur 1 tahun, mainan yang boleh ditolak juga sangat menyeronokkan. Cari objek kukuh yang akan membantu anak kecil anda mengekalkan keseimbangan ketika mereka mula menguji kemahiran motor baru.

Emosi

Anak anda yang berusia 1 tahun akan mula mencuba menjadi berdikari dalam pelbagai cara. Mereka mungkin berkeras untuk berusaha memakai pakaian sendiri dan mungkin ingin menguji kemahiran fizikal baru. Tetapi, pada masa yang sama, mereka juga cenderung menjadi sangat manja dan meminta anda menjaga mereka ketika berasa letih, takut atau kesepian.

Perkembangan pergerakan

Memandangkan sekarang bayi anda sudah boleh mula berjalan, inilah masanya untuk memikirkan pembelian kasut pertama mereka. Walaupun anda mungkin tergoda untuk mendapatkan kasut kerana faktor cantik dan comel, namun aspek keselesaan dan kesesuaian adalah keutamaan paling penting untuk sepasang kasut bayi. Pastikan anda membelinya ke kedai yang menjual barangan bayi dan minta jurujual untuk mengukur kaki bayi anda. Selain itu, pastikan juga terdapat ruang yang mencukupi dalam kasut bagi kaki bayi anda yang sedang membesar. Jadi, ianya haruslah tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar. Anda juga mungkin perlu pergi membeli-belah  dalam dua atau tiga bulan lagi kerana kaki bayi anda akan terus membesar.

Nutrisi

Pada usia satu tahun, anda boleh melakukan peralihan daripada susu ibu atau susu formula kepada susu lembu. Mulakan dengan susu penuh. Bayi anda memerlukan lemak tambahan untuk pertumbuhan dan perkembangan otak yang sihat. Jadi, elakkan menggantikan susu biasa ke susu rendah lemak atau makanan rendah lemak lain, sehingga selepas ulang tahun kedua bayi anda. Dapatkan nasihat pakar pediatrik bayi mengenai ini kerana ia mungkin berbeza bagi setiap bayi.

Sekiranya anda menyusukan bayi, anda mungkin memutuskan bahawa usia satu tahun ini adalah masanya untuk menghentikan penyusuan sebegini. Ini cenderung menjadi lebih mudah pada kedua-dua ibu dan bayi untuk menghentikan penyusuan secara terus ini dengan beransur-ansur walaupun ia mungkin mengambil masa. Penyusuan pada waktu tidur biasanya yang paling susah untuk dilakukan. Untuk menggantikan penyusuan biasa, anda boleh memberikan secawan susu, makanan ringan atau sesuatu yang boleh diminum kepada anak anda pada usia ini.

Sekarang, bayi anda akan makan lebih banyak makanan, jadi berhati-hati agar mereka tidak tersedak. Elakkan memberikan keseluruhan anggur, ‘hot dog’, ‘popcorn’, atau makanan lain yang mungkin tersekat di kerongkongnya. Sentiasa berada dekat dengan bayi semasa mereka sedang makan. Anda juga kini sudah boleh memberi makanan yang mengandungi madu. Telur dan mentega kacang pada kadar yang sedikit juga boleh diterima.

Cara membantu perkembangan anak anda

Berikut adalah beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk membantu perkembangan anak kecil anda:

  • Bacakan cerita atau apa-apa kepada anak anda setiap hari.
  • Minta bayi anda cari objek untuk anda atau namakan bahagian objek dan badan.
  • Main permainan yang sesuai dengan anak kecil anda, seperti penyusunan bentuk dan teka-teki mudah.
  • Dorong dia untuk meneroka dan mencuba perkara baru.
  • Bantu perkembangan bahasa anak anda dengan bercakap dengannya dan menambah kata-kata yang dimulakan.
  • Galakkan kemandirian anak anda dengan membiarkannya membantu ketika mengenakan pakaian dan memberi makan kepada dirinya sendiri.
  • Beri tindak balas positif kepada tingkah laku yang baik lebih daripada hukuman kerana kelakuan yang tidak baik. Sentiasa beritahu atau tunjukkan kepada anak anda perkara betul yang harus dilakukannya.
  • Galakkan rasa ingin tahu dan kemampuan anak kecil anda untuk mengenali objek dengan melakukan lawatan lapangan ke taman atau menaiki bas.

Tanda-tanda masalah pembangunan (Perkara yang perlu diperhatikan)

Walaupun semua bayi berkembang pada kadar yang berbeza, anda harus berbincang dengan doktor jika anak anda tidak mencapai perkembangan tertentu atau jika anda melihat ada kemungkinan berlakunya kelewatan dalam perkembangan bayi anda.

Berbincang dengan doktor anda sekiranya anak anda:

  • Tidak boleh berjalan.
  • Tidak menunjuk untuk menunjukkan sesuatu.
  • Kehilangan kemahiran yang dimiliki sebelumnya.
  • Tidak meniru perbuatan atau percakapan orang lain.
  • Tidak boleh berkata-kata sekurang-kurangnya enam perkataan.
  • Tidak memperoleh perkataan baru.
  • Tidak menyedari atau memberi tindak balas ketika anda atau orang lain meninggalkannya.

SUMBER

https://www.understood.org/en/learning-thinking-differences/signs-symptoms/developmental-milestones/developmental-milestones-for-typical-1-year-olds

https://www.verywellfamily.com/1-year-old-developmental-milestones-289864

https://www.webmd.com/parenting/baby/baby-development-1-year-old#1-5

https://www.cdc.gov/ncbddd/childdevelopment/positiveparenting/toddlers.html

Summary
Article Name
Perkembangan budak: 1 tahun
Description
Sekiranya anda mempunyai anak berusia 1 tahun, anda pasti tahu betapa sibuknya mereka dalam usia ini! Setiap hari, perkembangan budak 1 tahun sangatlah menarik untuk kita ikuti!
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: