perkembangan bayi 9 bulan
kini bayi anda sudah mencecah usia 9 bulan! Bayi anda mungkin sudah boleh duduk dengan sendirinya, merangkak mahupun mencuba untuk berdiri.

Wah, kini bayi anda sudah mencecah usia 9 bulan! Bayi anda mungkin sudah boleh duduk dengan sendirinya, merangkak mahupun mencuba untuk berdiri. Namun, jangan terlalu bandingkan bayi anda dengan yang lain jika mereka tidak mencapai sesuatu aspek lagi kerana perkembangan setiap bayi adalah berbeza. Ada yang mungkin berkembang lebih cepat dan juga sebaliknya.

Sekarang, mari kita lihat beberapa aspek tentang perkembangan bayi 9 bulan seperti di bawah. Anda juga boleh membaca artikel lain bagi perkembangan bayi mengikut bulan seperti dalam kandungan berikut.

Kandungan

  1. Perkembangan bayi: 1 bulan
  2. Perkembangan bayi: 2 bulan
  3. Perkembangan bayi: 3 bulan
  4. Perkembangan bayi: 4 bulan
  5. Perkembangan bayi: 5 bulan
  6. Perkembangan bayi: 6 bulan
  7. Perkembangan bayi: 7 bulan
  8. Perkembangan bayi: 8 bulan
  9. Perkembangan bayi: 9 bulan
  10. Perkembangan bayi: 10 bulan
  11. Perkembangan bayi: 11 bulan
  12. Perkembangan bayi: 12 tahun

Pertumbuhan (berat, fizikal, ketinggian)

Berat purata bagi bayi berumur 9 bulan adalah 18.1 paun (8,2kg) untuk bayi perempuan dan 19.6 paun (8,9kg) untuk bayi lelaki. Panjang purata badan mereka ialah 27.6 inci untuk bayi perempuan dan 28.3 inci bagi bayi lelaki, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sudah tentu, ketinggian dan berat badan bayi adalah berbeza-beza antara bayi yang sihat, jadi selagi bayi anda berkembang pada kadar yang sihat dan mengikut  lengkung mantap pada carta pertumbuhan, tiada masalah yang memerlukan perhatian doktor atau pakar pediatrik. Bayi anda juga mungkin berkembang hampir setengah inci pada bulan ini dan bertambah berat badan sebanyak 3 hingga 5 auns setiap minggu.

Apabila bayi anda mula berdiri (sama ada sekarang atau dalam beberapa bulan akan datang), anda mungkin memerhatikan bahawa perut dan bahagian bawahnya seperti terjojol keluar sedikit. Ia mungkin kelihatan sedikit aneh, tetapi ia adalah sangat normal pada peringkat perkembangan ini. Ia akan mula diperbetulkan sendiri apabila bayi anda lebih yakin untuk mengimbangi badan – mungkin dalam tahun kedua.

Maklumat kesihatan dan perubatan

Berita baik mengenai pemeriksaan bagi bayi berusia 9 bulan adalah tiada suntikan diperlukan untuk bayi anda (kecuali dia memerlukan beberapa vaksin untuk diambil dari pemeriksaan bulan-bulan lepas). Oleh itu, gunakan masa ini untuk berbincang dengan pakar pediatrik mengenai semua perkembangan terkini bayi dan peringkat perkembangan bayi anda. Malah, anda juga boleh bertanyakan soalan mengenai corak tidur, ‘weaning’ (ceraikan bayi daripada susu), kebimbangan terhadap orang asing, objek yang menyelesakan, ‘teething’ dan sebagainya jika anda mempunyai keraguan tentangnya.

Prosedur yang akan dilakukan oleh doktor termasuklah:

Corak tidur

Bayi 9 bulan biasanya tidur kira-kira 10 hingga 12 jam pada waktu malam, dan tidur kira-kira 2 kali pada waktu siang, biasanya pada pertengahan pagi dan tengah hari. Pada peringkat ini, bayi anda mungkin tidak memerlukan makanan pada tengah-tengah malam, tetapi mungkin bangun pada waktu malam jika dia berasa cemas tentang keberadaan anda. Bayi anda juga mungkin menghisap ibu jari untuk mengatasi atau mendakap objek yang selesa seperti selimut kecil.

Tetapi, jika anda mendengar dia menangis, pergi kepadanya dan yakinkannya bahawa semuanya baik-baik sahaja. Sentiasa pastikan bayi anda selesa dan tidak sakit, dan jika semuanya kelihatan baik, jangan bawanya ke tempat tidur anda atau membuka lampu. Kekal tenang dan konsisten dalam menenangkannya dan perlahan-lahan mengajarnya bahawa dia boleh tidur dengan aman tanpa perlu rasa risau sekiranya anda tidak berada di sisinya.

Pembangunan sosial dan interaksi

Pada usia 9 bukan, anda akan mendapati bayi anda sedang mengembangkan sifat jenaka dan memberi tindak balas gembira dengan isyarat seperti melambai atau memberi ciuman. Ini adalah salah satu perkembangan bayi 9 bulan yang menarik! Sekiranya anda belum mendedahkannya kepada bayi-bayi lain, ini adalah masa yang baik untuk menggalakkan kemesraan dan membiasakannya dengan kehadiran orang lain pada usia yang sama.

Selain itu, bayi anda boleh menggunakan isyarat untuk berkomunikasi seperti menunjuk pada benda dengan jari telunjuk mereka. Walaupun mereka tidak dapat bercakap lagi, mereka dapat memahami banyak perkara yang anda katakan dan mungkin bekerjasama dengan aktiviti harian. Contohnya seperti mengangkat tangan untuk memakai baju atau memegang tangan mereka untuk memudahkan anda mengelap selepas mandi.

Perkembangan kognitif

Dalam perkembangan bayi 9 bulan, bayi anda mempunyai tempoh perhatian yang sangat pendek dan mungkin hanya berminat bermain dengan mainan selama 2 atau 3 minit sebelum menginginkan objek lain. Anda tidak perlu membeli mainan baru buat mereka. Dia mungkin masih gembira dengan barangan rumah yang asas seperti kotak bijirin atau tab plastik. Namun, bayi anda akan berasa seronok bermain dengan perkara yang sedikit berbeza daripada kebiasaannya. Tetapi, jika sesuatu objek itu adalah terlalu baru dan berbeza, dia mungkin berasa takut atau terkejut dengannya. Jadi, jika anak kecil anda suka bermain dengan kotak bijirin, anda boleh letakkan bola di dalamnya atau menambah tali kepadanya supaya bayi dapat menarik kotak itu bersama

Satu lagi keseronokan mudah untuk bayi anda adalah bermain dengan cermin. Walaupun dalam beberapa bulan lalu dia mungkin tidak dapat mengenali refleksinya sendiri (mungkin dia menyangka ia adalah bayi lain atau hanya persembahan magik), sekarang dia mungkin bertindak balas terhadap pantulannya sendiri dengan cara yang menunjukkan bahawa dia mengenali dirinya sendiri. Sebagai contoh, ketika melihat di cermin, ia boleh menarik sehelai rambut atau cuba memegang dagunya. Sentuh bahagian-bahagian tubuh yang berlainan dan namakannya atau buat ekspresi wajah yang berbeza agar bayi tahu apakah jenis wajah yang anda buat.

Adakah anda perasan betapa perseptifnya anak anda? Pada usia 9 bulan, bayi anda boleh membaca emosi pada wajah anda. Jadi, cuba untuk elakkan emosi negatif yang kuat. Sebaliknya, berikan dia dengan sentuhan yang konsisten dan hangat, supaya dia berasa aman dan disayangi, tidak terkejut dan kecewa.

Perkembangan pergerakan

Pada usia 9 bulan, bayi anda mungkin boleh merangkak sekarang dan mungkin juga cukup kuat untuk berdiri dan kekal dalam posisi itu selama beberapa saat. Mereka juga mungkin dapat bergerak ke kedudukan duduk walaupun kebanyakan bayi yang berdiri lebih awal masih memerlukan bantuan untuk dapat duduk kembali dari posisi berdiri. Di samping itu, mereka juga masih akan meletakkan segala-galanya di dalam mulut, jadi berhati-hati akan objek yang boleh mereka capai dengan mudah di dalam bilik.

Kemahiran tangan dan jari anak anda juga semakin berkembang dalam perkembangan bayi 9 bulan. Sebagai contoh, dia mungkin telah menguasai cara menggenggam, yang bermakna dia dapat mencapai dan menarik objek ke arahnya. Sekarang, dia juga sedang berusaha untuk mengembangkan pergerakan atau genggaman “penyepit” – keupayaan untuk mengambil dan memegang objek antara ibu jari dan jari telunjuknya.

Bayi mungkin tidak terus menjadi handal, tetapi dia akan mendapatkan kawalan yang lebih baik pada jari dan tangannya jika selalu bermain dengan objek dan mula makan dengan sendirinya. Dia juga akan mengambil barang, menggoncang, memukul dan melemparkan mereka dengan perasaan gembira mendengar bunyi yang dihasilkan apabila barang-barang itu jatuh ke lantai. Oleh sebab itu, pastikan dia bermain dengan barangan yang selamat dan tidak dapat dipecahkan.

Nutrisi

Sekitar umur ini, kira-kira separuh daripada kalori harian bayi anda mungkin berasal daripada makanan bayi, dan kira-kira separuh lagi datang dari susu ibu atau susu formula. Bayi yang menyusu biasanya harus diberi makan setiap 3 atau 4 jam. Sebaliknya, bayi yang minum susu formula pula perlu mendapatkan 24 hingga 32 auns susu dalam tempoh 24 jam.

Apabila bayi mencecah usia kira-kira 9 bulan, dia mungkin sudah dapat menyesuaikan dengan makanan baru. Pilihan yang baik termasuklah kepingan kecil sayur-sayuran kukus atau pisang yang lembut. Anda juga boleh menawarkan satu sudu kecil dengan sedikit yogurt supaya dia boleh cuba menggerakkannya ke arah mulutnya. Kebanyakan makanan akan berakhir di atas meja atau lantai, jadi jangan berharap bahawa dia boleh memberi makan secara baik. Sentiasa awasi bayi apabila dia cuba untuk makan dan jangan berikan potongan makanan yang besar, atau makanan keras yang kecil. Pada peringkat ini, dia mungkin menelan tanpa mengunyah dan kepingan yang besar boleh menyebabkan bayi tercekik.

Beri bayi pelbagai makanan dalam kumpulan makanan yang berlainan dan pelbagai warna berlainan: pisang kuning, lada merah, avokado hijau, ubi keledek jingga, tauhu putih, bijirin penuh berwarna coklat. Pastikan bayi anda mendapatkan protein, karbohidrat dan lemak yang mencukupi dalam setiap hidangan.

Cara kesan lampin basah

Memandangkan anda mungkin ingin memperkenalkan makanan baru kepada bayi anda pada usia ini, ambil perhatian bahawa ia boleh menyebabkan perubahan warna dan konsistensi dalam najis bayi. Oleh itu, berhati-hati bayi mempunyai najis yang keras atau mengalami cirit-birit. Jika itu berlaku, bawa bayi anda kepada doktor supaya dia dapat diperiksa lebih awal.

Juga, perhatikan keperluan untuk menukar saiz lampin kerana bayi anda semakin membesar setiap hari. Ia mungkin berbeza untuk kedua-dua bayi perempuan dan bayi lelaki memandangkan bayi perempuan cenderung menjadi lebih kecil berbanding bayi lelaki.

Bagaimana untuk membantu bayi anda berkembang

Berikut adalah beberapa petua dan strategi untuk membantu pertumbuhan dan perkembangan sihat bayi anda pada tahap ini:

  • Luangkan masa bermain di lantai dengan bayi anda. Sekiranya bayi anda sudah merangkak, satu idea yang menyeronokkan ialah mewujudkan halangan menggunakan bantal, kotak dan kusyen agar bayi boleh merangkak dalam kawasan itu. Biarkan objek berada di luar jangkauannya untuk memujuknya merangkak ke arah objek itu.

  • Tunggu sebentar sebelum membantunya. Ketahui bila untuk membantu anak anda dan bila untuk membiarkannya belajar untuk melakukan sesuatu sendiri. Ia mungkin akan membuatnya marah sekiranya perkara yang berlaku tidak mengikut kehendaknya. Jika anda dapat melihat dia kecewa jika mainannya berguling ke tempat lain, bantu untuk ambilnya. Tetapi, jika dia melihatnya sebagai cabaran dan cuba untuk mengambilnya sendiri, biarkan sahaja.

  • Bantu bayi anda tingkatkan kemahiran jari dengan memberikan mainan yang selamat dengan bahagian yang boleh bergerak dan berubah ketika dia bermain dengannya. Idea yang anda boleh ikuti termasuklah mainan yang disusun seperti blok bangunan, mainan terapung, mainan mandian yang boleh dipicit seperti mainan itik getah, atau mainan tarik-tolak seperti kereta api kecil.

  • Berikan bayi anda peluang untuk bertemu bayi lain dan ibu bapa mereka, tetapi pastikan anda ketahui bahawa dia mungkin berasa tidak selesa di kalangan orang baru. Berinya waktu untuk menerima kehadiran individu dan situasi baru.

  • Pertimbangkan untuk mulakan proses “menceraikan” bayi daripada ‘pacifier’ atau sekurang-kurangnya hadkan penggunaanya pada waktu siang dalam usia 9 bulan ini. Ramai bayi yang sukakan ‘pacifier’ mereka mungkin akan memberontak dan sukar melepaskannya, jadi ia mungkin berguna untuk memulakan proses ini secara perlahan-lahan.

Tanda-tanda masalah pembangunan (Perkara yang perlu diperhatikan)

Bayi berkembang pada kadar yang berbeza. Pada 9 bulan, berbincang dengan doktor atau jururawat jika:

  • Bayi anda belum mula bergerak sama sekali.
  • Bayi anda tidak menunjukkan minat dalam objek atau ingin mencapai objek.
  • Bayi anda tidak mengenali anda atau penjaga utama.
  • Bayi anda tidak berpusing ke arah bunyi yang bising.
  • Bayi anda tidak membebel atau mengenali bunyi yang dibuat oleh orang lain.
  • Bayi anda tidak membuat hubungan mata.
  • Bayi anda tidak boleh ditenangkan oleh anda atau penjaga utama.
  • Bayi anda kekal dalam posisi kaku berbanding duduk.

SUMBER

https://www.pregnancybirthbaby.org.au/babys-growth-and-development-9-months-old

https://www.pampers.com/en-us/baby/development/article/9-month-old-baby

https://www.thebump.com/baby-month-by-month/9-month-old-baby

https://www.bounty.com/baby-0-to-12-months/development/7-12-months/your-baby-at-9-months

https://www.emmasdiary.co.uk/baby/month-by-month-baby-development/9-month-old-baby-development

https://www.verywellfamily.com/your-9-month-old-baby-development-and-milestones-4172786

https://www.whattoexpect.com/first-year/month-by-month/month-9.aspx

Summary
Perkembangan bayi: 9 bulan
Article Name
Perkembangan bayi: 9 bulan
Description
Setiap bayi adalah berbeza. Justeru itu, ia adalah penting untuk mengetahui perkembangan bayi 9 bulan agar anda dapat mengenal pasti masalah tertentu yang boleh berlaku.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: