perkembangan bayi 7 bulan
Dari usia empat hingga tujuh bulan, perubahan yang paling penting berlaku pada bayi anda.

Dari usia empat hingga tujuh bulan, perkembangan dan perubahan yang paling penting berlaku pada bayi anda. Ini adalah masa di mana si bayi akan belajar untuk berlatih koordinasi bagi aspek tertentu (penggunaan deria seperti penglihatan, sentuhan dan pendengaran) dan kemampuan motornya yang semakin meningkat untuk mengembangkan kemahiran seperti menggenggam, berguling, duduk dan mungkin juga merangkak.

Sekarang, mari kita lihat beberapa aspek tentang perkembangan bayi 7 bulan seperti di bawah. Anda juga boleh membaca artikel lain bagi perkembangan bayi mengikut bulan seperti dalam kandungan berikut.

Kandungan

  1. Perkembangan bayi: 1 bulan
  2. Perkembangan bayi: 2 bulan
  3. Perkembangan bayi: 3 bulan
  4. Perkembangan bayi: 4 bulan
  5. Perkembangan bayi: 5 bulan
  6. Perkembangan bayi: 6 bulan
  7. Perkembangan bayi: 7 bulan
  8. Perkembangan bayi: 8 bulan
  9. Perkembangan bayi: 9 bulan
  10. Perkembangan bayi: 10 bulan
  11. Perkembangan bayi: 11 bulan
  12. Perkembangan bayi: 12 bulan

Pertumbuhan (berat, ketinggian, fizikal)

Pada bulan ini, bayi anda mungkin akan mempunyai penambahan berat badan sekitar 1 (0.45kg) hingga 1 ¼ paun (0.5kg). Menjelang akhir bulan ini, dia mungkin mempunyai berat badan kira-kira 2.5 kali ganda daripada berat kelahirannya. Sekiranya anda membawa bayi anda untuk pemeriksaan pada bulan ini, pembekal penjagaan kesihatan bayi anda akan memastikan berat bayi, panjang, dan lilitan kepala bayi anda adalah mengikut carta pertumbuhan bayi yang betul.

Seterusnya, berat purata bagi bayi lelaki berusia 7 bulan adalah 18 paun (8kg), dengan purata berat dari 14 paun (6.4kg) hinggalah 22 paun (10kg). Bagi bayi perempuan pula, berat puratanya adalah 16 paun (7.2kg) dengan purata antara 13 paun (5.9kg) hingga 21 paun (9.5kg). Panjang purata untuk bayi lelaki dan perempuan adalah sekitar 27 dan 26 inci.

Dalam tempoh antara 5 dan 7 bulan, anda boleh melihat putik gigi pertamanya muncul di mulut bayi, mungkin di bahagian tengah rahang bawahnya. Jangan panik sekiranya bayi anda belum tumbuh gigi lagi kerana ianya agak normal untuk tidak melihat gigi sehingga bayi mencapai 12 bulan. Apabila gigi mula tumbuh, harapkan lebih banyak air liur. Anda boleh memberikan bayi anda objek yang selamat untuk dikunyah untuk mengurangkan ketidakselesaan.

Maklumat kesihatan dan perubatan

Tiada pemeriksaan kesihatan pada bulan ini kerana bayi anda hanya melakukan pemeriksaan semasa lawatan pada 6 bulan. Walau bagaimanapun, jika anda berasa ada sesuatu yang tidak kena dengan bayi anda, buatlah janji temu dengan pembekal penjagaan kesihatan bayi. Mereka boleh membantu anda menilai perkembangan fizikal dan emosi anak anda, memberi panduan dan imunisasi serta melakukan ujian yang diperlukan.

Sekiranya tiada masalah dengan bayi anda pada usia ini, tiada pemeriksaan kesihatan diperlukan.

Corak tidur

Semua bayi mempunyai keperluan tidur yang berbeza tetapi secara purata, bayi berusia 7 bulan memerlukan kira-kira 14½ jam tidur sehari, termasuk tidur pada waktu siang yang pendek (30 hingga 40 minit) dan tidur lebih lama (2 hingga 3 jam) pada waktu setelah makan di siang hari. Kebanyakan bayi berusia 7 bulan biasanya tidak lagi tidur tengah hari pada sebelah petang.

Ramai ibu bapa menetapkan waktu tidur untuk bayinya sekitar jam 7 malam atau 8 malam. Pada waktu malam, ada yang akan tidur selama 8 hingga 12 jam secara terus tanpa bangun, tetapi ada juga yang tidak. Mereka biasanya boleh terjaga kerana sakit, rasa tidak selesa atau kelaparan pada waktu malam. Ianya adalah perkara biasa jika anda dan pasangan anda tidak mendapatkan tidur malam yang mencukupi kerana lebih daripada satu dalam empat bayi tidak tidur 8 jam secara tetap sehinggalah mereka berumur setahun dan lebih satu dalam sepuluh bayi di bawah umur 1 tahun tidak tidur selama 5 jam tanpa bangun pada tengah malam.

Pembangunan sosial dan interaksi

Dalam perkembangan bayi 7 bulan, kesedaran mereka semakin meningkat pada usia ini yang bermakna mereka lebih memahami apa yang anda mahukan daripada mereka. Mereka akan menjadi teruja apabila anda memasuki bilik dan tidak suka terpisah daripada anda – itulah sebabnya mengapa mereka selalu mahukan anda pada pertengahan malam. Ini adalah permulaan “kebimbangan pemisahan” atau ‘seperation anxiety’ dan ia akan pudar apabila mereka semakin tua. Selain itu, pada usia ini, mereka juga boleh mula menguji kesabaran anda pada usia ini dan enggan melakukan apa yang anda minta. Ini tidak bermakna mereka berperangai buruk namun mereka hanya ingin menguji sempadan yang merupakan sebahagian daripada perkembangan mereka.

Seterusnya, bayi anda akan membebel dengan banyak dan mula meniru bunyi bahasa. Mereka mungkin mengatakan ‘mama’ atau ‘dada’, walaupun mereka tidak faham akan maknanya. Bayi anda juga akan dapat menggunakan bunyi untuk menarik perhatian anda dan menggunakan ekspresi wajah seperti mengerutkan kening atau tersenyum untuk berkomunikasi.

Perkembangan kognitif

Bayi berusia 7 bulan akan mempunyai keperibadiannya sendiri dan sudah mampu untuk menyatakan pandangannya. Sebagai contoh, pada bulan-bulan yang terawal, bayi anda akan menangis hanya apabila dia lapar atau tidak selesa. Tetapi, sekarang dia akan menangis atas pelbagai alasan. Sebagai contoh, dia mungkin menangis untuk memberitahu anda bahawa dia mahukan mainan yang berbeza, atau bosan dan ingin melakukan sesuatu yang berbeza, ataupun sekiranya dia berasa cemas apabila didukung oleh orang yang tidak dikenali.

Ianya benar bahawa anda tidak akan selalu menyukai keadaan di mana dia menangis atau menjatuhkan sesuatu untuk mendapatkan perhatian anda. Tetapi, ini adalah sesuatu yang baik kerana ia adalah langkah awal sebelum dalam perkembangan komunikasi bayi sebelum ia mendedahkan keperibadian dan sifatnya. Semua orang adalah unik, jadi cuba untuk ketahui apa yang berkesan buat anda dan bayi anda.

Contohnya, jika dia memerlukan keselesaan sebelum tidur pada waktu malam, bantunya dengan cara yang sesuai. Sebagai alternatif, jika dia lebih suka berasa tenang dan masa bersendirian, ikuti sahaja pilihannya dan beri ruang persendirian itu. Anda harus ingat bahawa pilihan bayi anda boleh berubah dari satu bulan ke satu bulan seterusnya.

Perkembangan pergerakan

Menjelang umur 7 bulan, kebanyakan bayi boleh duduk tanpa sokongan – tetapi anda masih perlu memastikan mereka dikelilingi dengan kusyen untuk pendaratan yang lembut. Mereka juga akan dapat memusingkan badan untuk mencapai sesuatu dan bahkan boleh duduk sendiri selepas berbaring di perut mereka. Malah, bayi dalam usia ini akan dapat menyokong sebahagian berat badan pada kaki mereka dan suka melantun naik dan turun.

Sesetengah bayi pada 7 bulan juga boleh bergerak dengan merangkak, berguling atau menyeret. Pastikan keadaan persekitaran bayi adalah selamat bagi memudahkan pergerakan mereka yang semakin aktif ini.

Sekiranya bayi anda suka merangkak, ketahui bahawa tiada cara yang pasti untuk merangkak (gaya mungkin adalah berbeza). Kebanyakan bayi mula merangkak ke belakang atau ke sisi. Sesetengahnya akan menekan pada satu lutut atau di bahagian bawahnya manakala yang lain bergerak menggunakan tangan dan kaki.

Bagaimana bayi bergerak dari titik A hingga point B adalah tidak penting. Tetapi, sejak bayi anda boleh bergerak dalam gayanya sendiri, ianya adalah penting untuk memilih mainan yang membolehkannya bergerak, seperti mainan pada roda yang boleh ditolak di seberang bilik semasa merangkak atau menyeret, bola yang bayi boleh gulingkan, mainan muzik yang boleh membuatkan bayi bergerak, dan mainan yang menggalakkan anak kecil anda untuk berdiri (seperti meja atau mainan ‘push’ yang kuat tetapi tidak akan bergerak).

Nutrisi

Sekitar masa ini, anda mungkin boleh mula memperkenalkan bayi anda kepada makanan pepejal. Berikut adalah beberapa petua dan pandangan tentang cara menambahkan makanan baru ini ke dalam diet bayi anda:

  • Pada peringkat ini, makanan pepejal bertindak hanya sebagai suplemen – keperluan pemakanan bayi anda masih dikuasai oleh susu ibu dan/ atau susu formula. Matlamatnya kini hanya untuk memperkenalkannya kepada cara makan menggunakan sudu. Jangan terkejut jika kebanyakan makanan berakhir pada mukanya dan alas dada, atau lantai.

  • Gunakan sudu bersaiz kecil, dan mulakan dengan memberinya makan dengan setengah sudu makanan, atau kurang.

  • Pastikan bayi anda duduk tegak – contohnya, di pangkuan anda atau di kerusi tinggi.

  • Pilih masa ketika bayi anda tidak penat, merengek, atau terlalu lapar.

  • Cuba tawarkan sudu selepas menyusu atau minum botol secara sedikit. Ini akan membantu dia berasa selesa makan menggunakan sudu.

  • Tawarkan makanan bayi seperti bijirin tunggal yang dicampur dengan susu formula, susu ibu, air, sayur-sayuran atau buah-buahan tulen untuk bayi anda berusia 7 bulan. Ianya adalah lebih baik untuk memberikan hanya satu makanan baru pada satu masa selama beberapa hari berturut-turut supaya anda boleh melihat apa-apa reaksi alahan.

  • Jika anda ingin membuat makanan bayi anda sendiri, gunakan pemproses makanan, pengisar, atau garpu untuk melenyekkan buah-buahan dan sayur-sayuran. Hanya pastikan makanan dimasak dengan baik, lembut, dan tidak diperasakan – termasuk tanpa garam.

  • Bayi anda mungkin belum bersedia untuk makanan pepejal dan mungkin memberi reaksi kepada anda jika ini berlaku. Sebagai contoh, jika bayi anda berpaling atau mula menangis apabila anda cuba memberikannya sudu puri, ianya mungkin lebih baik untuk menghentikannya sekarang dan cuba lagi dalam beberapa hari atau minggu.

  • Anda boleh berikan makanan berjari supaya dia boleh makan sendiri sebaik sahaja bayi anda boleh duduk sendiri. Pilihan yang baik boleh menjadi kepingan kecil kentang manis, ayam, atau keropok bijirin.

  • Bertanyakan kepada penyedia penjagaan kesihatan bayi sama ada bayi anda memerlukan vitamin D atau suplemen zat besi sebagai sebahagian daripada dietnya memandangkan setiap keadaan adalah unik.

Cara kesan lampin basah

Apabila anda mula memberikan makanan pepejal kepada bayi, anda mungkin melihat perubahan warna dan konsistensi pada najisnya. Ia mungkin menjadi lebih pejal dan berbau. Sekiranya anda melihat najis yang berair, hubungi pembekal penjagaan kesihatan bayi anda, agar mereka boleh melihat apa yang boleh merangsang sistem penghadaman anak kecil anda.

Apabila bayi anda semakin berusia, anda perlu menukar saiz lampinnya juga. Biasanya, bayi lelaki memerlukan saiz lebih besar kerana mereka umumnya lebih besar berbanding dengan bayi perempuan. Sekiranya anda berasa seperti bayi anda tidak dapat menyesuaikan dengan saiz lampin semasa, cubalah menyesuaikan saiz lampin mengikut berat dan ketinggiannya.

Bagaimana untuk membantu bayi anda berkembang

Bagi perkembangan bayi 7 bulan, mereka lebih menyukai objek dan mainan yang mempunyai bentuk, warna, saiz dan tekstur yang berbeza. Mereka juga suka akan perkara yang membuat bunyi apabila dipegang. Anda tidak perlu membeli banyak mainan untuk menggalakkan perkembangannya, jadi jangan risau. Dalam usia ini juga, anda mungkin mendapati dia hanya berminat dengan barangan isi rumah biasa seperti periuk dan kuali, sudu kayu, dan majalah dengan gambar berwarna-warni. Hanya pastikan apa sahaja yang dimahukan adalah selamat, dan anda sentiasa mengawasinya semasa dia bermain.

Selain itu, terdapat juga beberapa aktiviti yang anda boleh lakukan untuk membantu bayi 7 bulan anda berkembang:

  • Bayi anda belajar dengan mengikuti anda, jadi jangan terkejut jika mainan kegemaran mereka adalah kunci kereta anda, telefon bimbit. Membeli beberapa mainan ‘mini’ seperti telefon plastik boleh membantu, walaupun mereka mungkin lebih menyukai objek sebenar.

  • Permainan “mencari” adalah menyeronokkan – sembunyikan sebahagian mainan di bawah kain di depan bayi anda dan bertanya “Di manakah itu?” Beri banyak pujian apabila bayi anda tahu di mana ia berada agar mereka gembira akan diri sendiri.

  • Pegang tangan bayi anda, biarkan mereka berdiri di atas pangkuan anda dan bangkit dan turun.

  • Biarkan bayi anda menjatuhkan mainan di lantai. Kemudian, ambil dan serahkannya semula kepada mereka.

  • Baca buku dan lakukan perbualan bayi dengan bayi anda setiap hari.

Tanda-tanda masalah pembangunan (Perkara yang perlu diperhatikan)

Perkembangan bayi 7 bulan boleh jadi berbeza-beza antara bayi. Apabila bayi mencapai 7 bulan, berbincang dengan doktor atau jururawat jika:

  • Bayi anda tidak mula bergerak sama sekali.
  • Bayi anda tidak menunjukkan apa-apa rasa minat dalam bermain atau mencapai objek.
  • Bayi anda tidak mengenali anda atau penjaga utama.
  • Bayi anda tidak pusing ke arah bunyi yang bising.
  • Bayi anda tidak membebel atau mengenali bunyi yang dibuat oleh orang lain.
  • Bayi anda tidak membuat hubungan mata.
  • Bayi anda tidak boleh ditenangkan oleh anda atau penjaga utama.
  • Bayi anda duduk dalam kedudukan keras berbanding cuba untuk duduk.

SUMBER

https://www.pregnancybirthbaby.org.au/babys-growth-and-development-7-months-old

https://www.emmasdiary.co.uk/baby/month-by-month-baby-development/7-month-old-baby-development

https://www.bounty.com/baby-0-to-12-months/development/7-12-months/your-baby-at-7-months

https://www.pampers.com/en-us/baby/development/article/7-month-old-baby

https://www.allinahealth.org/health-conditions-and-treatments/health-library/patient-education/care-of-children/well-checkups

https://www.whattoexpect.com/first-year/month-by-month/month-7.aspx

Summary
Perkembangan bayi: 7 bulan
Article Name
Perkembangan bayi: 7 bulan
Description
Dari usia 4 hingga 7 bulan, perubahan paling penting berlaku pada bayi anda. Ini adalah masa di mana si bayi akan berlatih koordinasi bagi aspek tertentu.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: