Perkahwinan dalam islam

Islam adalah satu agama yang menganjurkan perkahwinan. Malah tiada agama tidak menganjurkan perkahwinan kerana perkahwinan adalah satu-satunya cara untuk membina keluarga dan mengembangbiakkan umat manusia.

Islam melihat perkahwinan sebagai satu daripada fitrah manusia. Setiap manusia perlukan teman hidup yang dapat mententeramkan jiwa dan berkongsi suka dan duka. Itulah sebabnya Allah menjadikan manusia ini berpasangan-pasangan (ar-Rum: 21).

Melalui perkahwinan juga, Allah mengurniakan manusia dengan keturunan yang melaluinya umat manusia berkembang biak (an-Nahl: 72). Selain ayat-ayat ini, Allah juga berfirman di dalam Al-Quran tentang kehidupan para rasul yang juga berumahtangga (ar-Ra’d: 38). Demikianlah fitrah manusia, sama ada manusia biasa mahupun para rasul, mereka tetap ingin hidup berteman dalam sesebuah perkahwinan.

Apa Itu Rukun Nikah?

Pertama sekali kita perlu mengetahui bahawa terdapat perbezaan di antara rukun nikah dan syarat sah nikah tetapi keduanya wajib disempurnakan bagi tujuan sah sesuatu pernikahan tersebut. Pada asasnya, seperti yang telah dipersetujui oleh jumhur ulama. Rukun nikah ada lima perkara iaitu:

  • Pengantin lelaki (suami)
  • Pengantin perempuan (isteri)
  • Wali
  • Dua orang saksi
  • Ijab dan kabul

Setiap perkara yang terdapat pada rukun nikah seperti yang dinyatakan di atas, haruslah memenuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan. Di sinilah, syarat sah nikah diaplikasi dan digunapakai. Oleh itu, penting di sini untuk syarat sah setiap rukun nikah tersebut diperjelaskan dengan lebih terperinci.

  1. Syarat-Syarat Sah Nikah Pengantin Lelaki (Suami)

Di dalam konteks ini, seorang lelaki itu boleh dijadikan calon suami apabila dia telah memenuhi syarat-syarat seperti yang telah digariskan di bawah, iaitu:

  • Beragama Islam
    • Nyata calon itu ialah lelaki
    • Bukan mahram dengan calon isteri
    • Lelaki yang diketahui dan tertentu
    • Berkahwin atas kerelaan sendiri dan tidak terpaksa
    • Mengenali wali yang sah di dalam perkahwinan tersebut
    • Mengetahui bahawa calon isteri itu halal untuk dinikahi
    • Tak mempunyai 4 orang isteri yang sah dalam suatu masa
    • Bukan di dalam ihram umrah atau haji

2. Syarat-Syarat Sah Nikah Pengantin Perempuan (Isteri)

Wanita juga harus memenuhi syarat-syarat di bawah ini untuk sah dijadikan isteri di dalam sesebuah perkahwinan, iaitu :

  • Beragama Islam
    • Nyata calon itu ialah perempuan dan bukan khunsa
    • Wanita yang halal dikahwini oleh lelaki tersebut iaitu bukan muhrim
    • Perempuan yang tertentu
    • Berkahwin atas kerelaan sendiri dan bukan terpaksa
    • Bukan dalam keadaan iddah’
    • Jelas statusnya sebagai perempuan yang tidak bersuami
    • Bukan dalam keadaan ihram Haji atau Umrah

3.    Syarat Sah Wali

Islam mewajibkan kepada setiap wanita itu seorang wali yang sah untuk menikahkannya sebagai suatu tanda kemuliaan maruah diri dan demi kepentingan masa depannya.

Wali memainkan peranan yang cukup penting di dalam kehidupan seseorang wanita kerana menjadi wali merupakan suatu amanah dan tanggungjawab untuk memastikan wanita yang berada di bawah jagaannya terpelihara bukan hanya dari segi perkahwinan, tetapi juga dalam soal pemberian nafkah dan nasab umpamanya.

Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa wali bukan hanya boleh dipilih secara membuta tuli, tetapi Islam telah menggariskan panduan yang ketat bagi syarat sah wali, iaitu:

  • Beragama Islam
  • Seorang lelaki
  • Baligh & berakal
  • Waras
  • Adil & tdak fasiq ketika aqad
  • tidak dalam ihram
  • Bukan seorang safih (atau orang yang dicabut wilayahnya ke atas hartanya sebab mubazzir dan boros)
  • Merdeka

Namun begitu, isu wali ini merupakan antara isu yang seringkali menjadi kekeliruan dalam kalangan bakal pengantin terutamanya pengantin perempuan yang mempunyai masalah daripada segi kesahihan wali.

4.   Dua Orang Saksi

Peranan saksi juga amat penting di dalam sesebuah pernikahan yang bakal dilangsungkan. Ini kerana, saksi merupakan mereka yang bertanggungjawab menjamin kesahihan ijab dan kabul selain daripada berperanan untuk memberikan penjelasan sekiranya pertelingkahan atau permasalahan berlaku di dalam sesebuah rumahtangga di kemudian hari.      

Seterusnya, kehadiran saksi yang sah juga dapat mengelakkan sebarang fitnah terhadap sesebuah perkahwinan yang dibina. Oleh itu, hanya sebahagian daripada mereka yang layak sahaja yang dibenarkan untuk menjadi saksi menurut Islam, iaitu :

  • Beragama Islam
  • Lelaki
  • Baligh
  • Berakal
  • Merdeka
  • Sekurang-kurangnya dua orang
  • Tahu dan faham kandungan lafaz ijab dan qabul
  • Tidak buta, bisu atau pekak
  • Adil (Tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil)
  • Bukan tertentu yang menjadi wali

5.     Lafaz Ijab Dan Kabul

Ijab merupakan ayat yang dilafazkan oleh wali yang sah sebagai tanda keizinan untuk menikahi seseorang wanita yang berada di bawah tanggungjawabnya kepada pengantin lelaki.

Kesimpulannya, perkahwinan merupakan sunnah Nabi Muhammad saw yang dituntut dan digalakkan oleh Islam bagi mereka yang telah cukup memenuhi syarat dan berkemampuan daripada pelbagai aspek.

Perkahwinan di dalam pandangan Islam bukan hanya semata-mata sebagai penyatuan dua jiwa dan soal cinta, tetapi ia merupakan ibadah dan kepentingan untuk memikul tanggungjawab di antara suami dan isteri.

Buat mereka yang sedang merancang untuk mendirikan rumahtangga dalam masa terdekat atau sebaliknya, adalah penting untuk mempersiapkan diri dengan ilmu agama dan bukannya hanya tertumpu kepada persediaan majlis sahaja.

SUMBER

http://www.ikim.gov.my/new-wp/index.php/2002/01/22/perkahwinan-dalam-islam-jangan-tunggu-lama-lama/

https://www.pengantinbaru.com.my/rukun-nikah/

Summary
Perkara Yang Ada Perlu Tahu tentang Perkahwinan Dalam Islam
Article Name
Perkara Yang Ada Perlu Tahu tentang Perkahwinan Dalam Islam
Description
Islam adalah satu agama yang menganjurkan perkahwinan. Malah tiada agama tidak menganjurkan perkahwinan kerana perkahwinan adalah satu-satunya cara untuk membina keluarga dan mengembangbiakkan umat manusia.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: