Now Reading
Perkaitan antara Penyakit Jantung dan Penyakit lain

Perkaitan antara Penyakit Jantung dan Penyakit lain

Perkaitan antara Penyakit Jantung dan Penyakit lain

Penyakit jantung adalah istilah yang merangkumi sebarang gangguan jantung. Ia juga merupakan penyebab utama kematian bagi golongan lelaki dan wanita di seluruh dunia dan bukan hanya di Malaysia. Oleh itu, ini menjadikan penyakit jantung sebagai salah satu penyakit paling berbahaya di dunia.

Terdapat banyak keadaan dan masalah jantung yang disebut sebagai penyakit jantung. Pada tahun 2018, lebih daripada 18,000 orang di Malaysia meninggal dunia akibat penyakit jantung iskemia. Umumnya, penyakit jantung iskemia adalah penyakit yang dicirikan dengan pengurangan bekalan darah ke jantung. Ia boleh menyebabkan serangan jantung yang merupakan pembunuh nombor satu bagi individu lelaki di Malaysia pada tahun 2018.

Selain itu, adakah anda tahu bahawa penyakit jantung juga mempunyai kaitan dengan penyakit lain? Sekiranya tidak, teruskan membaca. Dalam artikel ini, kami menyertakan hubungan antara penyakit jantung dan penyakit lain untuk pemahaman anda yang lebih baik mengenai mengapa penyakit jantung tidak boleh diabaikan oleh sesiapa sahaja terutama mereka yang berpendapat bahawa mereka tidak berada dalam golongan berisiko bagi penyakit ini.

1. Penyakit jantung dan darah tinggi (hipertensi)

Penyakit jantung hipertensi adalah penyebab kematian nombor satu yang berkaitan dengan tekanan darah tinggi. Ia merujuk kepada sekumpulan gangguan yang merangkumi kegagalan jantung, penyakit jantung iskemia dan hipertrofi ventrikel kiri (penebalan otot jantung yang berlebihan).

Ketegangan yang berlebihan dan kerosakan akibat tekanan darah tinggi (hipertensi) menyebabkan arteri koronari yang bekerjasama dengan jantung perlahan-lahan menjadi sempit akibat penumpukan lemak, kolesterol dan bahan lain yang bersama-sama disebut sebagai plak. Proses perlahan ini dikenali sebagai aterosklerosis.

Semasa arteri mengeras dengan plak, gumpalan darah lebih cenderung untuk terbentuk. Apabila arteri tersumbat kerana pengumpulan plak atau gumpalan darah, aliran darah melalui otot jantung terganggu, menyebabkan otot kekurangan oksigen dan nutrien. Kerosakan atau kematian sebahagian otot jantung yang berlaku ini akibatnya disebut serangan jantung (myocardial infarction).

Kesakitan atau tekanan di dada adalah simptom serangan jantung yang paling biasa. Walau bagaimanapun, rasa sakit atau ketidakselesaan di lengan, punggung, leher atau rahang juga boleh menjadi petanda begitu juga sesak nafas, mual atau sakit kepala.

Oleh itu, memantau dan mencegah tekanan darah anda daripada menjadi terlalu tinggi adalah salah satu cara terpenting untuk mencegah penyakit jantung hipertensi. Menurunkan tekanan darah dan kolesterol dengan mengamalkan pemakanan yang sihat dan memantau tahap tekanan mungkin merupakan kaedah terbaik untuk mencegah masalah jantung.

Malah, mengekalkan berat badan yang sihat, tidur yang mencukupi dan bersenam secara teratur adalah cadangan gaya hidup yang biasa. Bercakap dengan doktor  mengenai cara untuk meningkatkan kesihatan keseluruhan anda.

2. Penyakit jantung dan diabetes

Penyakit jantung adalah perkara biasa pada orang yang menghidap diabetes. Walaupun semua orang yang menghidap diabetes mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit jantung, keadaannya lebih biasa pada mereka yang menghidap diabetes jenis 2. Sebenarnya, penyakit jantung adalah penyebab kematian nombor satu di kalangan penghidap diabetes jenis 2.

Anda mungkin tertanya-tanya mengapa diabetes boleh meningkatkan risiko penyakit jantung dan inilah penjelasannya yang baik. Sekiranya anda mempunyai kadar gula darah yang tinggi untuk satu jangka waktu, saluran darah anda boleh mula rosak dan menyebabkan komplikasi jantung yang serius walaupun kadarnya hanyalah sedikit lebih tinggi daripada kadar normal.

Ini berlaku kerana badan anda tidak dapat menggunakan semua gula ini dengan betul, jadi kebanyakannya melekat pada sel darah merah dan menumpuk di dalam darah anda. Penumpukan ini dapat menyekat dan merosakkan saluran yang membawa darah ke dan dari jantung anda, menyebabkan jantung kekurangan oksigen dan nutrien.

Semakin banyak faktor risiko kesihatan seseorang untuk penyakit jantung, semakin tinggilah kemungkinan mereka untuk menghidap penyakit jantung dan bahkan mati akibat penyakit ini. Sama seperti orang lain, orang yang menghidap diabetes mempunyai risiko kematian yang tinggi akibat penyakit jantung jika mereka mempunyai lebih banyak faktor risiko kesihatan.

Kebarangkalian pesakit diabetes untuk mati akibat penyakit jantung adalah 2 hingga 4 kali lebih tinggi berbanding individu normal. Jadi, seseorang dengan satu faktor risiko kesihatan, seperti tekanan darah tinggi, mungkin mempunyai peluang tertentu untuk mati akibat penyakit jantung, manakala pesakit diabetes pula mempunyai risiko kematian sehingga dua atau bahkan empat kali ganda bagi keadaan ini.

Pada umumnya, individu yang mempunyai ketahanan insulin atau diabetes dalam kombinasi dengan satu atau lebih faktor risiko ini mempunyai risiko penyakit jantung atau strok yang lebih tinggi. Namun, dengan menguruskan faktor risiko mereka, pesakit diabetes boleh mengelakkan atau melambatkan perkembangan penyakit jantung dan saluran darah.

3. Penyakit jantung dan strok

Penyakit jantung dan strok adalah kedua-dua jenis penyakit kardiovaskular. Hubungan antara penyakit jantung dan strok juga adalah ketara. Beberapa jenis penyakit jantung adalah faktor risiko strok. Malah, strok juga adalah faktor risiko bagi penyakit jantung koronari.

Pembuluh darah yang sihat biasanya adalah fleksibel, tetapi dengan pertambahan usia dan pilihan gaya hidup yang tidak sihat, ia dapat menebal dan menjadi kaku yang seterusnya dapat menyekat aliran darah ke seluruh tubuh. Proses ini dikenali sebagai arteriosklerosis dan biasanya disebut sebagai ‘pengerasan arteri’. Apabila proses ini berlaku pada arteri yang membekalkan darah ke otot jantung (penyakit jantung koronari), ia boleh mencetuskan angina atau serangan jantung.

Tambahan pula, tekanan darah tinggi juga merupakan faktor risiko utama penyakit jantung dan strok kerana ia merosakkan lapisan arteri, menjadikannya lebih mudah terkesan dengan penumpukan plak yang menyempitkan arteri menuju ke jantung dan otak.

Mengambil terlalu banyak sodium boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Kolesterol LDL yang tinggi juga dapat menggandakan risiko seseorang untuk penyakit jantung. Ini adalah kerana kolesterol yang berlebihan dapat menumpuk di dinding arteri dan membataskan aliran darah ke jantung, otak, ginjal, organ dan kaki seseorang.

Individu dapat mengurangkan tekanan darah dan kadar kolesterol mereka dengan makan makanan sihat yang rendah sodium, aktif secara fizikal, menjaga berat badan yang sihat dan ambil ubat seperti yang disarankan.

Berjumpa dengan doktor untuk membincangkan pilihan gaya hidup yang akan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular anda. Anda juga boleh meminta nasihat mengenai pemeriksaan secara berkala untuk mencari tanda-tanda awal keadaan perubatan seperti:

  • kemurungan
  • diabetes
  • tekanan darah tinggi
  • kolesterol tinggi

4. Penyakit jantung dan kegagalan buah pinggang

Pernahkah anda terfikir mengapa penyakit jantung dan buah pinggang sering dikaitkan bersama? Sekarang, fikirkan organ penting anda sebagai bandar utama yang dihubungkan oleh rangkaian lebuh raya dan jalan utama iaitu arteri dan urat. Jadi, apabila terdapat masalah dalam satu perkara, masalah lain juga sering kali akan berlaku di tempat lain kerana mereka saling berkaitan.

Tugas jantung adalah untuk menghantar bekalan darah beroksigen secara berterusan ke seluruh badan. Buah pinggang menyaring darah, mengeluarkan sisa dalam bentuk air kencing dan juga membantu mengatur kadar air dan garam untuk mengawal tekanan darah. Penyelidikan baru-baru ini menunjukkan bahawa kegagalan jantung adalah faktor risiko yang signifikan untuk penyakit buah pinggang.

Oleh itu, penyakit jantung boleh menyebabkan penyakit buah pinggang, tetapi begitu juga sebaliknya penyakit buah pinggang juga dapat menyebabkan penyakit jantung. Penyakit jantung adalah penyebab kematian yang paling biasa di kalangan pesakit yang menjalani dialisis. Apabila buah pinggang anda tidak berfungsi dengan baik, ia tidak dapat menyokong bahagian lain dalam badan seperti yang sepatutnya. Ini justeru boleh menyebabkan masalah pada jantung anda.

Apabila buah pinggang mengalami gangguan, sistem hormon yang mengatur tekanan darah menjadi berlebihan dalam usaha untuk meningkatkan bekalan darah ke buah pinggang. Jantung kemudian harus mengepam dengan tekanan yang lebih tinggi di arteri, dan akhirnya menderita kerana beban kerja berlebihan.

Penyakit jantung selalunya tidak mempunyai simptom sehinggalah jantung dan saluran darah anda rosak dengan teruk. Cara terbaik untuk mencegah penyakit jantung adalah dengan mencegah masalah yang boleh meyebabkannya, seperti anemia, tekanan darah tinggi dan masalah dengan kadar kalsium dan fosfat.

Jadikan pemeriksaan di doktor sebagai rutin agar doktor dapat memeriksa fungsi buah pinggang dengan baik jika mereka merasakan bahawa anda mungkin menghidap penyakit jantung. Ujian darah biasa juga dapat memeriksa adakah tahap kreatinin, produk buangan yang biasanya dikeluarkan oleh buah pinggang meningkat, dan menunjukkan sesuatu tidak normal. Sebilangan pesakit juga mungkin memerlukan ujian ultrabunyi atau imbasan CT untuk meneliti struktur dan fungsi buah pinggang mereka.

SUMBER

https://codeblue.galencentre.org/2019/10/31/heart-disease-malaysias-number-one-killer/

https://www.heart.org/en/health-topics/high-blood-pressure/health-threats-from-high-blood-pressure/how-high-blood-pressure-can-lead-to-a-heart-attack

https://www.webmd.com/hypertension-high-blood-pressure/guide/hypertensive-heart-disease#1

https://www.heart.org/en/health-topics/diabetes/why-diabetes-matters/cardiovascular-disease–diabetes

https://www.diabetes.org.uk/guide-to-diabetes/complications/cardiovascular_disease

https://www.webmd.com/diabetes/heart-blood-disease

https://www.cdc.gov/chronicdisease/resources/publications/factsheets/heart-disease-stroke.htm

https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/conditionsandtreatments/heart-disease-and-stroke

https://www.stroke.org/en/about-stroke/stroke-risk-factors/how-cardiovascular-stroke-risks-relate

https://www.kidneyfund.org/kidney-disease/chronic-kidney-disease-ckd/complications/heart-disease/

https://www.bhf.org.uk/informationsupport/heart-matters-magazine/medical/kidney-heart-link

error: Content is protected !!