Perayaan di Malaysia

Perayaan di Malaysia ini semestinya sesuatu yang dinantikan oleh kita semua. Negara Malaysia sememangnya terkenal dengan kepelbagaian masyarakat. Jadi, tidak menjadi satu kehairanan sekiranya terdapat banyak perayaan di Malaysia yang disambut sepanjang tahun dalam keadaan muhibah dan meriah.

perayaan di Malaysia

Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji – Sambutan Utama Umat Islam

Sebagai sebuah negara dimana majoriti penduduknya merupakan penganut agama Islam dan Islam juga merupakan agama persekutuan negara, sambutan utama masyarakat Islam iaitu Hari Raya Puasa (Aidilfitri) dan Hari Raya Haji (Aidiladha) disambut dengan meriah sekali. Sambutan Hari Raya Puasa dimulai dengan semua umat Islam diwajibkan untuk berpuasa dari trbit matahari sehingga terbenam matahari. Tempoh berpuasa ini dijalankan selama sebulan dan kemudiannya sambutan Aidilfitri dibuat sebagai tanda umat Islam menang melawan hawa nafsu lapar dan dahaga.

Manakala, untuk sambutan Hari Raya Haji, sambutan ini dibuat pada hari ke 10 bulan Zulhijjah menurut kalendar Islam. Pada ketika ini, umat Islam yang berkemampuan akan pergi ke Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan ibadah Haji. Umat Islam yang lain juga turut digalakkan melakukan ibadah korban di mana daging hasil sembelihan korban ini akan diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Selain dua Hari Raya ini, umat Islam di Malaysia juga turut menyambut Maal Hijrah (Sambutan tahun baru dalam kalendar Islam), Maulidur Rasul (tarikh memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW iaitu nabi terakhir dalam agama Islam) dan Nuzul Al-Quran (tarikh memperingati hari turunnya kitab suci Al-Quran yang menjadi panduan umat Islam seluruh dunia).

perayaan di Malaysia

Tahun Baru Cina – Perayaan Utama Masyarakat Cina Malaysia

Selain itu, bagi masyarakat Malaysia yang berketurunan Cina, mereka akan menyambut perayaan Tahun Baru Cina. Perayaan ini melambangkan permulaan tahun baru dalam kalendar masyarakat Cina. Kebanyakan masayarakat Cina akan menggayakan pakaian bewarna merah pada sambutan ini untuk mendapatkan tuah dan menghalau semangat jahat.

Secara tradisinya, perayaan Tahun Baru Cina ini berjalan selama 15 hari berturut-turut. Masyarakat Cina pada masa ini akan berkumpul beramai-ramai bersama keluarga masing-masing terutamanya pada dua hari pertama sambutan perayaan ini. Sambutan ini juga turut dimeriahkan dengan persembahan tradisi seperti tarian singa, menyalakan bunga api dan memberikan duit angpou kepada golongan muda yang belum berkahwin.

Masyarakat Cina yang majoritinya turut beragama Buddha juga turut menyambut perayaan Hari Wesak. Hari Wesak ini dirayakan untuk memperingati perjalanan kehidupan Buddha. Hari Wesak ini dipenuhi dengan ritual sembahyang dan perarakan. Masyarakat Cina juga turut mempunyai perayaan-perayaan lain seperti sambutan Tanglung dan Kuih Bulan, Bulan Sembahyang Hantu dan perayaan Qing Ming.

perayaan di Malaysia

Deepavali – Pesta Cahaya Bangsa India Malaysia

Tidak dilupakan juga perayaan Deepavali yang turut dijolok sebagai Pesta Cahaya masyarakat India di Malaysia. Perayaan ini disambut sebagai tanda kemenangan cahaya mengatasi kegelepan dalam tradisi kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu.

Perayaan ini dimulakan dengan ritual mandi dengan minyak dan upacara sembahyang. Kemudiannya, semua ahli keluarga akan berkumpul dan disajikan dengan hidangan tradisi. Pada sebelah malamnya, pelita minyak tradisional akan dinyalakan sebagai tanda merayakan pesta Deepavali ini.

Masyarakat Hindu di Malaysia juga turut merayakan Hari Thaipusam sebagai tanda menghormati Dewa Muruga dalam kepercayaan penganut agama Hindu. Pada Hari Thaipusam ini, penganut agama Hindu akan berkumpul di kuil mereka seperti di Kuil Batu Caves, Selangor. Sambutan seperti perarakan membawa kavadi untuk dipersembahkan kepada dewa akan dimeriahkan pada hari ini.

Krismas – Perayaan Akhir Tahun Penganut Agama Kristian

Pada akhir tahun pula iaitu pada bulan Disember. Masyarakat Kristian di Malaysia akan menyambut perayaan Krismas. Sambutan yang berlaku pada 25 Disember setiap tahun ini akan dimeriahkan dengan masa bersama keluarga untuk berkumpul dan saling bertukar hadiah. Persembahan nyanyian keagamaan yang dikenali sebagai nyanyian karol juga dibuat di gereja.

Perayaan Krismas ini disambut oleh masyarakat Kristian di Malaysia bersempena dengan kelahiran Jesus Christ. Masyarakat kristian akan turut beramai-ramai menghadiri upacara keagamaan di gereja pada tarikh ini.

Perayaan di Malaysia

Pesta Menuai dan Perayaan Hari Gawai – Sambutan Tradisi Bumiputera Sabah dan Sarawak

Di Malaysia Timur, ada dua buah negeri yang amat terkenal dengan keunikan mereka. Di kedua-dua buah negeri ini, masing-masing mempunyai ratusan etnik yang berbeza yang mempunyai perayaan masing-masing.

Di negeri Sabah yang turut dikenali sebagai Negeri Bawah Bayu, masyarakat beretnik Kadazan Dusun yang merupakan etnik utama di Sabah akan merayakan Pesta Menuai yang dipanggil sebagai Tadau Kaamatan. Sambutan ini dijalankan sepanjang bulan Mei dan disambut untuk menghargai dan berterima kasih kepada roh suci yang membantu etnik ini mendapatkan hasil tuaian yang sangat banyak pada tahun tersebut. Perayaan ini dimeriahakan dengan masyarakat etnik Kadazan Dusun akan memakai pakaian tradisional dan mempersembahkan tarian tradisi serta acara sukan rakyat akan disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Di Sarawak pula yang terkenal dengan gelaran Negeri Bumi Kenyalang, suku etnik utama seperti etnik Iban, Bidayuh dan Orang Ulu merayakan perayaan Hari Gawai. Perayaan ini disambut sebagai tanda kesyukuran untuk hasil tuaian yang banyak. Masyarakat etnik utama ini akan menggayakan pakaian tradisi mereka dan melakasanakan upacara ritual sebagai tanda kesyukuran di rumah panjang masing-masing. Persembahan tarian tradisi akan turut dibuat dan seluruh rumah panjang akan berkumpul bersama-sama menikmati juadah hari Gawai dan bergembira bersama-sama.

Secara umumnya, berikut merupakan perayaan di Malaysia yang disambut oleh pelabagai kaum dan etnik utama di Malaysia. Sudah menjadi kebiasaan pada setiap perayaan ini, majoriti masyarakat Malaysia akan bercuti umum. Perayaan yang pelbagai di Malaysia ini juga turut disambut dengan harmoni walaupun terdapat pelbagai kaum dan agama di Malaysia. Semoga keharmonian dan tradisi setiap agama serta kaum ini terus dapat dikekalkan sepanjang zaman sebagai identiti teras masyarakat Malaysia!

SUMBER

https://www.malaysia.gov.my/portal/content/141?language=my

https://traveltriangle.com/blog/festivals-in-malaysia/

https://asianinspirations.com.au/experiences/5-important-cultural-festivals-and-celebrations-in-malaysia/

https://i.ytimg.com/vi/vEFHfFk8ReY/maxresdefault.jpg

https://toppeaktravel.com/wp-content/uploads/2018/06/Playing-firecrackers-during-Raya.jpg

https://www.locco.com.my/wp-content/uploads/2021/02/b.jpg

https://www.nestle.com.my/sites/g/files/pydnoa251/files/asset-library/publishingimages/media/news/img-2016-nestle-lights-up-the-lives-this-deepavali-news.jpg

https://www.tsemrinpoche.com/wp-content/uploads/2016/11/Gawai002.jpg

Summary
PERAYAAN DI MALAYSIA ADA BANYAK DAN INI YANG UTAMA!
Article Name
PERAYAAN DI MALAYSIA ADA BANYAK DAN INI YANG UTAMA!
Description
Perayaan di Malaysia ini semestinya sesuatu yang dinantikan oleh kita semua. Negara Malaysia sememangnya terkenal dengan kepelbagaian masyarakat. Jadi, tidak menjadi satu kehairanan sekiranya terdapat banyak perayaan di Malaysia yang disambut sepanjang tahun dalam keadaan muhibah dan meriah.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: