Now Reading
Perangi Mitos: COVID-19

Perangi Mitos: COVID-19

perangi mitos covid-19

PELBAGAI mitos COVID-19 ditularkan menerusi perkongsian orang ramai terutamanya di media sosial seperti Facebook dan aplikasi sosial lain seperti Whatsapp.

Ekoran itu, dalam artikel ini, kami akan kongsikan ‘fakta’ tentang mitos COVID-19 agar anda tidak diselubungi maklumat palsu yang boleh mendatangkan mudarat kepada diri anda serta individu lain.

COVID-19 BOLEH merebak di kawasan beriklim panas dan lembap

Daripada bukti yang telah didapati sehingga hari ini, coronavirus boleh merebak di semua kawasan, termasuklah kawasan yang beriklim panas dan lembap. Tanpa menghiraukan iklim, anda perlu sentiasa amalkan langkah berjaga-jaga sekiranya anda menetap atau melancong ke kawasan yang dilaporkan mempunyai kes COVID-19. Cara terbaik untuk melindungi diri anda daripada penyakit COVID-19 ini adalah dengan membasuh tangan secara berkala. Dengan cara ini, anda boleh mencegah virus yang mungkin berada pada tangan bagi mengelakkan jangkitan yang boleh berlaku apabila anda menyentuh mata, mulut dan hidung anda.

Cuaca sejuk dan salji TIDAK BOLEH membunuh Coronavirus

Tiada sebab untuk mempercayai bahawa cuaca sejuk boleh membunuh Coronavirus baru atau penyakit lain. Suhu badan normal manusia kekal di 36.5°C hingga 37°C, tanpa mengira suhu atau cuaca luaran. Cara yang terbaik untuk melindungi diri anda dari Coronavirus adalah dengan membersihkan tangan menggunakan hand sanitizer beralkohol atau membasuhnya dengan sabun dan air.

Mandian air panas TIDAK BOLEH mencegah penyakit Coronavirus

Mandian air panas tidak mencegah diri anda daripada dijangkiti coronavirus. Suhu badan normal anda kekal di sekitar 36.5°C hingga 37°C, tanpa mengira suhu air mandian anda. Sebenarnya, mandi dengan air yang sangat panas boleh menjadi bahaya kerana ia boleh membakar badan anda. Jadi, cara terbaik untuk melindungi dir anda daripada penyakit COVID-19 adalah membersihkan tangan dengan kerap. Dengan melakukan ini, anda membasmi virus yang terdapat pada tangan serta mengelakkan jangkitan yang mungkin berlaku apabila anda menyentuh mata, mulut dan hidung.

Coronavirus TIDAK BOLEH disebarkan melalui gigitan nyamuk

Sehingga hari ini, tiada maklumat atau bukti sahih yang mencadangkan Coronavirus mungkin boleh disebarkan oleh nyamuk. Coronavirus adalah sejenis virus pernafasan yang merebak melalui titisan pernafasan daripada individu yang dijangkiti apabila mereka batuk atau bersin, ataupun melalui air liur dan lendir dari hidung. Untuk melindungi diri anda, bersihkan tangan dengan kerap yang boleh dan gunakan hand sanitizer yang mengandungi alkohol atau basuhnya dengan sabun dan air. Juga, elakkan hubungan rapat dengan individu yang batuk atau bersin.

Adakah pengering tangan berkesan untuk membunuh Coronavirus?

Tidak. Pengering tangan tidak berkesan membunuh Coronavirus. Sebaliknya, untuk melindungi diri anda daripada Coronavirus, anda perlu membersihkan tangan secara kerap menggunakan hand sanitizer beralkohol atau membasuh tangan menggunakan sabun dan air. Setelah tangan anda benar-benar bersih, keringkannya menggunakan tisu kertas atau pengering tangan.

Bolehkah lampu ultraviolet membunuh Coronavirus?

Lampu ultraviolet (UV) tidak boleh digunakan untuk mensteril tangan atau bahagian kulit lain kerana radiasi UV boleh mengakibatkan iritasi atau keradangan kulit.

Adakah alat pengimbas suhu sungguh berguna dalam mengesan individu yang dijangkiti Coronavirus?

Alat pengimbas suhu berkesan untuk mengesan individu yang mempunyai simptom demam (melebihi suhu badan normal) akibat jangkitan Coronavirus.

Walau bagaimanapun, ia tidak boleh mengesan individu dijangkiti yang belum menunjukkan simptom demam. Hal ini kerana, tanda demam biasanya mengambil masa selama 2 hingga 10 hari untuk muncul pada individu yang dijangkiti.

Adakah menyembur alkohol atau klorin di seluruh badan membunuh Coronavirus?

Tidak. Menyembur alkohol dan klorin di seluruh badan tidak membunuh virus yang telah masuk ke dalam badan anda. Malah, semburan bahan-bahan seperti itu boleh membahayakan baju atau membran mukus (mata dan mulut). Namun begitu, alkohol dan klorin berkesan untuk menyahkuman sesuatu permukaan tetapi, ia perlu digunakan untuk keadaan yang sesuai.

Adakah vaksin pneumonia melindungi diri anda daripada Coronavirus?

Tidak. Vaksin pneumonia seperti vaksin pneumococcal dan vaksin influenza Haemophilus jenis B (Hib), tidak memberi perlindungan terhadap Coronavirus.

Coronavirus masih baru dan berbeza dari virus-virus lain, jadi ia memerlukan vaksin yang khusus. Pihak penyelidik sedang mencuba menghasilkan vaksin bagi COVID-19 dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendukung usaha ini.

Bolehkah membilas hidung menggunakan larutan air garam dengan kerap mencegah Coronavirus?

Tidak. Tiada bukti bahawa membilas hidung menggunakan larutan air garam melindungi seseorang daripada jangkitan Coronavirus. Justeru itu, ini adalah antara mitos COVID-19 yang anda perlu hindarkan.

Bolehkah bawang putih mencegah jangkitan Coronavirus?

Bawang putih adalah makanan sihat yang mempunyai ciri antrimikrobial. Walau bagaimanapun, tiada bukti daripada penularan wabak ini bahawa memakan bawang putih boleh melindungi seseorang daripada Coronavirus.

Adakah Coronavirus hanya menjangkiti warga emas atau individu muda juga boleh mendapatkannya?

Semua individu daripada pelbagai peringkat umur boleh dijangkiti COVID-19. Namun begitu, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit kronik (seperti kencing manis, asma dan penyakit jantung) lebih berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi penyakit COVID-19.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menasihati individu pada semua peringkat umur supaya sentiasa mengamalkan langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri mereka daripada virus tersebut. Sebagai contoh, dengan cara mengamalkan kebersihan tangan.

Adakah antibiotik berkesan untuk mencegah dan merawat penyakit COVID-19?

Tidak, antibiotik tidak berkesan terhadap Coronavirus, tetapi boleh menghapuskan bakteria sahaja.

COVID-19 adalah sejenis penyakit virus, oleh itu, antibiotik tidak boleh digunakan sebagai rawatan atau pencegahan penyakit tersebut.

Namun, jika anda dirawat di hospital bagi kes COVID-19, anda mungkin akan menerima antibiotik kerana risiko jangkitan bakteria lain,

Adakah terdapat ubat-ubatan khas untuk mencegah atau merawat COVID-19?

Sehingga kini, tiada ubat khusus yang disyorkan untuk mencegah atau merawat penyakit COVID-19.

Walau bagaimanapun, individu yang dijangkiti perlu mendapat penjagaan kesihatan yang betul untuk melegakan dan merawat simptom. Malah, individu yang sangat terjejas dengan COVID-19 pula, haruslah diberi penjagaan sokongan yang menyeluruh. Sesetengah rawatan khas masih dalam penyelidikan dan diuji melalui percubaan perubatan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang bertungkus-lumus untuk mempercepatkan usaha dan perkembangan kajian bersama pihak-pihak lain.

INGAT, semak dahulu sumbernya sebelum menularkan sesuatu maklumat seperti mitos COVID-19.

SUMBER

https://www.who.int/emergencies/diseases/novel-coronavirus-2019/advice-for-public/myth-busters

https://www.avert.org/coronavirus/covid-19-myths-and-facts

https://www.avert.org/coronavirus/covid-19-myths-and-facts

error: Content is protected !!