Perangi Mitos Buasir
Mitos tidak asing lagi dalam masyarakat kita dan salah satu mitos yang terkait adalah mitos buasir, tapi sejauh mana kebenarannya?

Mitos tidak asing lagi dalam masyarakat kita dan salah satu mitos yang terkait adalah mitos buasir, tapi sejauh mana kebenarannya? Sekiranya anda mengalami masalah buasir yang juga dikenali sebagai ‘Hemorrhoids’, anda tidak bersendirian. Separuh daripada populasi di dunia pasti pernah mengalami keadaan ini dalam kehidupan mereka. Risiko penyakit ini biasanya lebih tinggi bagi individu yang mengalami sembelit, ibu hamil atau yang baru sahaja melahirkan. Berat badan dan gaya hidup tidak aktif juga boleh mencetuskan simptom. Contohnya, mengangkat objek berat dengan kerap. Selain itu, cirit-birit juga boleh menjadi punca buasir.

Buasir terjadi apabila pembuluh darah membengkak dan membesar di sekitar rektum. Ia kemudian menyebabkan ketidakselesaan, gatal-gatal dan kerengsaan, terutamanya selepas membuang air besar.

Simptom lain termasuklah pendarahan atau lendir selepas membuang air besar, kesakitan, kemerahan dan pembengkakan.

Mari kita lihat beberapa mitos dan fakta mengenai buasir bagi memahami keadaan buasir dengan lebih tepat.

Mitos Buasir

  • Mitos bahawa semua individu mempunyai buasir

Setiap individu memiliki urat di rektum. Apabila urat-urat ini menjadi bengkak, barulah buasir akan terbentuk. Sekurang-kurangnya separuh daripada populasi akan menderita penyakit ini pada satu ketika dalam kehidupan mereka.

Oleh itu, pesakit tidak boleh membiarkan rasa malu menghalang mereka untuk mendapatkan bantuan bagi meringankan kesakitan ini. Jangan bimbang kerana anda bukanlah pesakit pertama yang meminta bantuan doktor dan anda pastinya bukan yang terakhir.

  • Mitos bahawa buasir boleh terjadi apabila duduk di atas permukaan yang sangat sejuk atau panas

Suhu permukaan di mana anda duduk tidak akan menyebabkan buasir dan ia juga tidak akan memberi kesan kepada mereka yang mengalami buasir. Tidak kira apa jua suhu kerusi tersebut, duduk dalam jangka masa panjang boleh meningkatkan risiko anda.

  • Mitos bahawa hanya individu tidak sihat sahaja boleh mengalami buasir

Sesiapa sahaja boleh mengalami buasir dan terdapat juga ramai individu sihat yang menderita penyakit ini. Tetapi, jika anda ingin mengurangkan risiko mendapat buasir, makanlah makanan yang sihat dan seimbang.

  • Mitos bahawa buasir hanya berlaku kepada orang tua

Buasir juga boleh menjejaskan anak-anak muda malahan bayi juga tidak terkecuali darinya. Namun, risikonya meningkat dengan usia, kerana tisu-tisu sokongan dalam badan anda menjadi semakin lemah. Bukan itu sahaja, ia juga lazim terjadi kepada individu yang lebih muda kerana dicetuskan oleh faktor-faktor seperti ketegangan yang berlebihan semasa membuang air besar, cirit-birit atau sembelit yang kronik. Selain itu, ia juga boleh menjejaskan wanita yang sedang hamil atau baru bersalin.

Terdapat beberapa rawatan berkesan untuk menguruskan kesakitan buasir yang boleh didapati dari farmasi. Berbincang dengan doktor atau ahli farmasi dan dapatkan nasihat mereka. Malah, terdapat juga rawatan yang boleh mengurangkan bengkak dan ketidakselesaan dan juga melegakan kesakitan. Sekiranya anda masih menderita dengan penyakit buasir, bincang dengan doktor tentang langkah seterusnya yang perlu dicuba dan jika perlu, doktor boleh merujuk anda kepada pakar dalam bidang buasir.

Anda juga boleh menguruskan keadaan anda ini melalui diet. Sekiranya sembelit merupakan punca utama buasir anda, anda perlu meningkatkan jumlah serat ke dalam diet anda. Berusaha juga untuk menjaga konsistensi najis anda pada tekstur yang lembut dan pukal.

Tiada bukti yang mengaitkan buasir dengan makanan panas, pedas atau eksotik. Namun, makanan ini boleh menyebabkan sakit perut yang menimbulkan rasa tidak selesa bagi mereka yang mengalami buasir ketika membuang air besar. Cirit-birit juga mungkin menyakitkan sekiranya anda mempunyai buasir.

Tiada bukti bahawa buasir boleh menyebabkan kanser kolon tetapi kedua-dua keadaan ini mempunyai simptom yang sama iaitu pendarahan rektum. Oleh sebab itu, apabila pendarahan rektum berlaku, anda harus merujuk kepada doktor untuk mendapatkan diagnosis yang tepat.

  • Mitos bahawa anda tidak boleh bersenam sekiranya mempunyai buasir:

Kebanyakan senaman adalah baik untuk menghalang masalah buasir. Namun, senaman seperti angkat berat dengan teknik yang salah boleh meningkatkan tekanan pada urat rektum yang kemudiannya menimbulkan risiko buasir. Jika anda mempunyai buasir, rutin senaman yang tetap dapat menyembuhkannya. Selain itu, jika anda mudah terdedah kepada buasir, senaman ringan seperti yoga, berenang atau berjalan boleh membantu menjaga kolon anda tanpa perlu meningkatkan ketegangan atau memberi tekanan pada perut.

Fakta Buasir

  • Kehamilan boleh menyebabkan buasir

Sepertigawanita hamil berisiko mengalami buasir yang berkaitan dengan kehamilan. Hal ini kerana peningkatan tekanan pada saluran darah pelvik dari rahim yang berkembang boleh menyebabkan buasir menjadi membengkak dan prolaps. Namun begitu, ia tidak bermakna anda mesti bertahan dengannya. Berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan nasihat tentang rawatan terbaik buat anda.

  • Pendarahan pada dubur adalah simptom buasir

Buasir mungkin merupakan punca paling biasa bagi pendarahan dari dubur. Darah mungkin keluar dengan sedikit, tetapi kadangkala buasir juga boleh menyebabkan pendarahan yang lebih berat. Walau bagaimanapun, terdapat juga sebab lain yang menyebabkan pendarahan rektum seperti kanser. Jadi, simptom ini tidak boleh diabaikan dan harus diperiksa oleh doktor.

  • Gaya hidup tidak aktif boleh meningkatkan risiko buasir

Duduk untuk jangka masa yang panjang akan meningkatkan kemungkinan anda mengalami buasir. Jadi, pastikan anda berehat secara berkala. Di tempat kerja, anda berhak untuk menjauhkan diri dari skrin komputer seketika untuk mengelakkan kepenatan mata. Ambil masa untuk berdiri dan berjalan di sekitar anda. Pada waktu petang pula, ambil kesempatan untuk keluar dan lakukan sesuatu yang membuatkan anda bergerak dan dapat meningkatkan kadar denyutan jantung anda. Semakin anda aktif, semakin aktif juga usus anda bekerja. Usus yang sihat adalah penting kerana ia boleh mencegah sembelit yang merupakan faktor risiko utama bagi buasir.

  • Diet melegakan simptom buasir

Meneran dengan kuat ketika membuang air besar merupakan salah satu punca biasa bagi penyakit buasir. Oleh itu, mengelakkan sembelit dan keperluan untuk meneran dengan kuat adalah penting untuk mengurangkan simptom buasir anda.

Tambahan lagi, makanan sihat seperti buah-buahan segar, sayur-sayuran yang mengandungi serat, minum air dalam jumlah yang banyak dan kekal aktif dapat mengawal tahap tekanan dalam rektum anda dan membantu usus berfungsi dengan baik.

Bagaimana untuk membuang atau merawat buasir?

Sesetengah kes buasir boleh sembuh tanpa rawatan perubatan, terutamanya jika ia terjadi kerana sembelit.

Doktor mungkin mengesyorkan perubahan diet dengan penambahan serat yang lebih banyak.

Selain itu, anda juga boleh mengurangkan risiko keradangan buasir dengan menggunakan tisu tandas yang lembap untuk membersihkan bahagian dubur anda. Anda juga boleh menepuk kawasan yang basah untuk dikeringkan.

Ubat-ubatan seperti ‘paracetamol’ dan ubat anti-adang seperti ‘ibuprofen’ boleh membantu melegakan kesakitan. Elakkan ‘codeine’ dan ubat tahan sakit lain yang berkaitan dengan opiat, kerana ia cenderung menyebabkan atau memburukkan lagi masalah sembelit. Buasir yang agak kecil boleh dirawat dengan menggunakan krim, minyak atau suppositori yang boleh didapati dari farmasi berdekatan atau melalui preskripsi doktor, seperti ‘Germoloids Suppositories’.

Kes-kes yang lebih serius pula perlu dirawat oleh pakar dan anda harus berjumpa doktor sekiranya buasir itu mengakibatkan ketidakselesaan yang teruk.

Sumber:

https://www.medicalnewstoday.com/articles/322976

https://www.onhealth.com/content/1/hemorrhoid_treatment

https://www.health.harvard.edu/blog/6-self-help-tips-for-hemorrhoid-flare-ups-201307196496

https://www.healthline.com/nutrition/food-for-piles

Summary
Perangi Mitos: Edisi Buasir
Article Name
Perangi Mitos: Edisi Buasir
Description
Mitos tidak asing lagi dalam masyarakat kita dan salah satu mitos yang terkait adalah mitos buasir, tapi sejauh mana kebenarannya?
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: