Larian adalah sukan yang mudah dan boleh dilakukan di mana saja. Namun, dengan peralatan larian yang betul boleh memberi impak besar kepada prestasi dan motivasi latihan anda.
Malah, mempunyai peralatan yang betul juga adalah penting sama ada anda seorang pemula ataupun seorang atlet veteran. Peralatan yang betul meningkatkan peluang anda untuk berjaya, dan mungkin membuatkan larian anda lebih menyenangkan.
Peralatan larian adalah istilah umum yang digunakan untuk merujuk kepada senarai barang yang anda perlu ada semasa membuat latihan. Apa yang anda perlukan bergantung pada keutamaan peribadi anda, tahap latihan, matlamat latihan, tempat tinggal anda, bajet dan betapa banyak anda menyukai alat kecergasan berteknologi tinggi yang bergaya.Jadi, mari kenali peralatan larian biasa yang anda boleh dapatkan.
1. Stokin larian
Kepentingan stokin kaki yang baik adalah sangat ditekankan dalam semua jenis sukan. Pastikan anda membeli beberapa stokin larian yang baik dan lembut serta telah direka untuk mengelakkan kelembapan dan peluh dari kaki. Ini boleh membantu dalam mengurangkan geseran dan mencegah kecederaan.
Cari stokin kaki dengan pelindung atau pad yang lebih banyak di kawasan tertentu untuk membantu kasut dalam aspek perlindungan. Sesetengah stokin kaki direka khusus bagi belah kiri dan kanan kaki, jadi perhatikan hal ini dan pakai pada belah kaki yang betul.
2. Kasut larian
Kasut larian anda adalah alat perlindungan yang paling penting dan diperlukan sebagai seorang pelari. Oleh itu, anda perlu menghabiskan masa dan wang bagi mencari kasut yang sempurna. Sekiranya anda mahu kekal sebagai pelari yang sihat dan bebas daripada rasa sakit, maka anda memerlukan sepasang kasut larian yang selesa dengan biomekanik kaki dan gaya berjalan kaki yang unik.
Berlari menggunakan kasut lama atau tidak sesuai adalah perkara tidak bijak untuk dilakukan. Ia juga sebenarnya adalah salah satu punca utama yang menyebabkan kesakitan dan kecederaan semasa berlari.
3. Baju larian
Baju dengan lengan pendek dan lengan panjang telah bertambah baik sehinggakan anda tidak lagi perlu memilih untuk memakai pakaian kapas biasa. Pakaian kapas yang longgar boleh menjadi menggelebeh di bawah lengan dan bergesel dengan puting. Anda boleh memakai apa-apa pakaian kapas apabila sedang memanaskan badan atau selepas menghabiskan larian anda, tetapi jangan memakainya ketika berlari.
Seterusnya, baju larian harus cukup ketat tetapi tidak semestinya sehingga menampakkan bentuk tubuh. Namun, baju-baju ini juga seharusnya tidak berkibaran ketika anda berlari menggunakannya. Baju larian yang baik adalah jika ia mempunyai keseimbangan antara mempunyai rasa ketat yang baik serta sedikit longgar. Bagi kemeja lengan panjang, anda harus mendapatkan jenis yang mencengkam supaya ia kekal dan tidak bergerak di sekitar pergelangan tangan anda. Jika baju itu tidak berlengan sebegitu, ini membolehkan lengan baju itu bergerak atas bawah ketika anda berlari yang mungkin menjengkelkan anda.
4. Seluar ketat larian
Seluar ketat yang betul dibuat daripada fabrik elastik dengan prestasi tinggi, seperti Nylon atau Supplex. Ini boleh menarik kelembapan dari badan, dan membuatkan anda berlari dengan selesa, tanpa mengira suhu di luar. Selain itu, ia juga berfungsi dengan baik bagi individu yang baru berjinak dengan larian dan mempunyai berat badan berlebihan kerana ia melindungi daripada kerengsaan yang menyakitkan di paha dalaman.
Ianya adalah penting untuk mencuba seluar ini dahulu sebelum anda membelinya kerana banyak pengeluar mempunyai pemotongan berbeza untuk menyesuaikan gaya pelari yang berbeza. Pada umumnya, lebih mahal seluar ketat itu, maka lebih selesalah ia apabila dipakai.
5. Seluar pendek larian
Seluar pendek yang terbaik adalah kain diperbuat daripada kain yang boleh bernafas, ringan, dan mempunyai lapisan seluar dalam di dalamnya. Juga, pertimbangkan untuk mendapatkan seluar pendek dengan poket utama atau poket tambahan untuk memudahkan anda membawa wang tunai, kunci, kad pengenalan atau telefon bimbit.
Di samping itu, kebanyakan seluar pendek direka dengan lapisan seluar di dalamnya jadi anda tidak perlu memakai apa-apa lagi. Cuba satu per satu terlebih dahulu, kerana sesetengah bahagian dalamnya boleh menjadi sedikit ketat atau longgar jika anda tidak mendapatkan saiz yang betul. Seluar pendek anda tidak sepatutnya ketat sehingga menghalang peredaran di sekeliling pinggang anda tetapi pada masa yang sama juga tidak begitu longgar sehingga ia boleh berkibar apabila ditiup angin.
6. Jam sukan (pilihan)
Walaupun ini adalah item pilihan, jika anda serius tentang latihan anda, maka mempunyai jam yang khas bagi sukan akan menjadi sangat berguna. Jam dengan kemudahan GPS yang baik boleh mendapatkan data daripada setiap latihan anda. Ia adalah sangat sesuai untuk mengesan masa berlari nda, mengambil jarak pemisahan semasa perlumbaan, dan membantu anda melihat corak latihan sendiri. Kesemua ini boleh mendorong anda untuk menambah kelajuan dan berlari dengan lebih cepat.
Sebagai pelari yang baru berjinak dengan sukan ini, anda tidak memerlukan jam tangan digital yang mewah sebegini. Sebenarnya, jam tangan biasa dengan butang berhenti dan mula juga sudah memadai. Sebaik sahaja anda lebih serius akan latihan ini, pertimbangkan untuk mendapatkan jam larian yang dapat mengesan langkah anda, kadar denyutan jantung, interval larian dan kadarnya, serta lain-lain lagi terutamanya jika anda melakukan apa-apa senaman dengan cepat atau latihan yang penuh teliti.
7. Jaket larian atau gilet (pilihan)
Apabila cuaca menjadi sangat sejuk atau basah, anda disarankan untuk berlari dengan memakai ‘gilet’ atau baju dengan lengan panjang yang kalis air. Terdapat pelbagai pilihan yang menawarkan keupayaan untuk menghalang angin dan hujan dengan sangat baik serta membantu anda kekal anda hangat dan kering sepanjang episod larian paling buruk. Versi jaket atau gilet yang lebih murah masih boleh digunakan untuk kebanyakan keadaan larian tetapi jenis ini mungkin tidak mempunyai aspek tertentu seperti tidak kalis air atau angin 100 peratus.
8. Bra sukan yang baik (pilihan)
Bagi individu wanita, bra sukan yang baik dapat mengurangkan pergerakan dada yang tidak diingini dan tidak selesa. Ini adalah penting jika anda ingin menghindari regangan ligamen yang tidak dapat dipulihkan. Namun, ketahui bahawa bra sukan yang baik pastinya lebih mahal berbanding jenis yang standard. Anda mungkin boleh membelinya di kedai bra yang membolehkan anda diukur terlebih dahulu agar anda membeli bra sukan yang betul mengikut saiz dan bentuk badan anda.
SUMBER
https://www.runnersblueprint.com/running-gear-for-beginners-the-6-essential-items
https://www.realbuzz.com/articles-interests/running/article/beginners-guide-to-running-gear