penyakit taun kolera
Taun merupakan penyakit berjangkit yang menyebabkan cirit-birit berair yang serius, seterusnya menyebabkan dehidrasi dan juga kematian jika tidak dirawat. Ia disebabkan oleh pemakanan makanan atau peminuman air minuman yang tercemar dengan bakteria yang dikenali sebagai Vibrio cholerae.

Penyakit Taun atau juga dikenali sebagai “Kolera” merupakan penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan cirit-birit berair yang serius, seterusnya menyebabkan dehidrasi dan juga kematian jika ia tidak dirawat. Keadaan ini berlaku disebabkan pengambilan makanan atau minuman yang tercemar dengan bakteria yang dikenali sebagai ‘Vibrio cholerae’.

Penyakit ini lazimnya berlaku di Amerika Syarikat pada tahun 1800-an, sebelum wujudnya sistem rawatan air dan kumbahan moden bagi menghapuskan penyebaran kuman melalui air yang tercemar. Hanya kira-kira 10 kes Taun dilaporkan setiap tahun di Amerika Syarikat dan separuh daripadanya diperoleh dari luar negara. Makanan laut yang tercemar boleh menyebabkan wabak Taun atau lebih dikenali sebagai “Wabak Kolera” dan ia jarang berlaku. Walau bagaimanapun, wabak ini masih menjadi masalah serius di sebahagian kawasan di dunia ini. Sekurang-kurangnya 150,000 kes telah dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia setiap tahun.

Seterusnya, penyakit Kolera paling kerap berlaku di tempat-tempat yang kurang bersih, tempat berkerumun, kawasan perang dan kawasan kebuluran. Lokasi biasa termasuklah bahagian-bahagian Afrika, Asia Selatan dan Amerika Latin. Jika anda melawati salah satu kawasan tersebut, mengetahui fakta-fakta tentang penyakit Taun berikut boleh membantu anda untuk melindungi diri sendiri dan keluarga anda.

 

Punca Penyakit Taun

‘Vibrio cholerae’ iaitu bakteria yang menyebabkan penyakit Taun atau Kolera, biasanya dijumpai dalam makanan atau air yang tercemar oleh najis daripada individu yang dijangkiti. Sumber-sumber biasa termasuklah:

  • Bekalan air perbandaran.
  • Ais diperbuat daripada air perbandaran.
  • Makanan dan minuman yang dijual oleh penjual jalanan.
  • Sayur-sayuran ditanam dengan air yang mengandungi sisa buangan manusia.
  • Ikan mentah atau kurang masak dan makanan laut yang ditangkap di perairan tercemar dengan kumbahan.
  • Apabila seseorang mengambil makanan atau air yang tercemar, bakteria akan membebaskan toksin di dalam usus yang menyebabkan cirit-birit yang teruk.
  • Anda tidak mungkin akan dijangkiti penyakit Taun hanya daripada perhubungan biasa dengan individu yang telah dijangkiti penyakit ini.

 

Simptom Penyakit Taun

Gejala penyakit Kolera ini dapat dilihat beberapa jam atau selama lima hari selepas terkena jangkitan. Selalunya, gejala awal penyakit Taun adalah bersifat ringan. Namun, kadangkala ia boleh menjadi sangat serius. Kira-kira satu dalam 20 orang yang dijangkiti penyakit tersebut mempunyai cirit-birit yang parah diikuti dengan kemuntahan dan boleh menyebabkan dehidrasi dengan cepat. Walaupun kebanyakan individu dijangkiti mempunyai gejala yang minimum atau tidak mengalami sebarang gejala, mereka masih boleh menyumbang kepada penyebaran jangkitan.

Tanda dan gejala dehidrasi termasuklah:

  • Kadar denyutan yang deras.
  • Kehilangan keanjalan kulit (keupayaan untuk kembali ke kedudukan asal dengan cepat setelah dicubit).
  • Membran lendir yang kering, termasuk bahagian dalam mulut, tekak, hidung dan kelopak mata.
  • Tekanan darah yang rendah.
  • Dahaga.
  • Kekejangan otot.

Jika tidak dirawat, dehidrasi boleh mengakibatkan kejutan dan kematian dalam masa beberapa jam.

 

Diagnosis Penyakit Taun

Walaupun tanda dan gejala penyakit ini yang serius mungkin tidak jelas di kawasan endemik, satu-satunya cara untuk mengesahkan diagnosis adalah dengan mengenal pasti bakteria yang ada dalam sampel najis.

Ujian bebatang (dipstick) Taun atau Kolera yang cepat kini boleh didapati dan membolehkan kakitangan kesihatan di kawasan terpencil untuk mengesahkan diagnosis penyakit Taun dengan lebih awal. Pengesahan yang lebih cepat membantu menurunkan kadar kematian pada permulaan wabak Taun dan membawa kepada campur tangan awal pihak kesihatan awam untuk mengawal wabak penyakit ini.

 

Faktor Risiko Penyakit Taun

Faktor risiko penyakit Taun atau Kolera termasuklah:

  • Keadaan kebersihan yang buruk: Individu yang tinggal di kawasan-kawasan yang mana keadaan kebersihan tidak mencukupi dan jika terdapat kekurangan bekalan air minuman yang selamat lebih berisiko tinggi untuk diserang penyakit berkenaan. Tempat-tempat ini adalah seperti kem pelarian, kawasan dengan penduduk yang padat bahkan juga beberapa negara yang kurang maju.
  • Bencana alam: Apabila berlakunya bencana alam seperti gempa bumi atau banjir, bencana ini akan mengganggu kebersihan dan bekalan air bersih, meletakkan individu lebih berisiko untuk dijangkiti penyakit tersebut.
  • Pengurangan asid perut: Asid di dalam perut biasanya membunuh bakteria Cholera yang menjadi penyebab penyakit ini. Individu yang mengalami penurunan asid (hypochlorhydria) atau ketidakhadiran asid (achlorhydria) berisiko tinggi dijangkiti Taun berbanding individu yang mempunyai tahap pengeluaran asid biasa.
  • Kanak-kanak: Golongan kanak-kanak terutamanya yang tinggal di kawasan endemik lebih terdedah kepada jangkitan penyakit ini berbanding orang dewasa yang lebih tua. Walau bagaimanapun, bagi kawasan yang tidak terjejas dengan penyakit tersebut, semua kumpulan umur mempunyai risiko yang sama.
  • Sumber air tercemar: Bakteria boleh ditemui dalam najis pada individu yang terjejas dengan penyakit Taun. Di kawasan yang kurang bersih, individu-individu ini boleh mencemarkan sumber air seperti telaga awam yang akan membuatkan individu dan masyarakat lain berisiko menerima jangkitan penyakit tersebut.
  • Jenis darah O: Individu yang mempunyai kumpulan darah jenis “O” berisiko untuk mendapatkan penyakit Taun yang lebih serius.
  • Individu yang mengalami kekurangan retinol (vitamin A): Kekurangan retional membolehkan individu ini mempunyai peningkatan risiko bagi mendapatkan penyakit tersebut yang serius.
  • Genetik: Penyelidik mempercayai bahawa ada kemungkinan bahawa genetik boleh menimbulkan penyebaran awal individu kepada penyakit berjangkit.
  • Sumber makanan yang tercemar: Individu yang memakan kerang yang mentah atau kurang masak, tiram, buah tidak dikupas atau sayur-sayuran yang belum masak berisiko tinggi mendapat jangkitan Taun.
  • Biji-bijian yang tercemar: Biji-bijian (seperti beras atau bijirin) boleh tercemar dengan penyakit Taun apabila dimasak dengan air yang tidak selamat dan dibiarkan pada suhu bilik untuk waktu yang lama.

 

Rawatan Penyakit Taun

Sekiranya anda mengalami cirit-birit berair dan muntah yang teruk, terutamanya selepas memakan kerang mentah atau semasa lawatan ke negara yang terjejas dengan wabak Taun, dapatkan bantuan perubatan dengan segera. Penyakit Taun mudah dirawat, tetapi memandangkan dehidrasi boleh berlaku dengan cepat, ianya adalah penting untuk anda mendapatkan rawatan dengan segera.

Penghidratan (hydration) adalah ciri rawatan yang penting untuk penyakit Taun atau Kolera ini. Bergantung pada betapa teruknya cirit-birit anda, rawatan biasanya terdiri daripada penggunaan ubat-ubatan atau intravena untuk menggantikan cecair yang hilang. Antibiotik, yang boleh membunuh bakteria bukanlah sebahagian daripada rawatan kecemasan untuk kes yang ringan. Namun begitu, ubat antibiotik boleh mengurangkan tempoh berlakunya cirit-birit sebanyak separuh kali dan juga mengurangkan perkumuhan bakteria yang seterusnya membantu mencegah penyebaran penyakit Taun.

 

Langkah Pencegahan Penyakit Taun

Walaupun terdapat vaksin untuk penyakit Taun, pakar perubatan biasanya tidak mengesyorkannya kerana ia mungkin tidak melindungi hampir separuh daripada orang yang menerimanya dan hanya bertahan selama beberapa bulan. Walau bagaimanapun, anda boleh melindungi diri sendiri dan keluarga dengan hanya menggunakan air yang telah direbus, air yang telah dibersihkan secara kimia atau air botol. Pastikan anda menggunakan kesemua itu untuk tujuan berikut:

  • Dijadikan minuman.
  • Menyediakan makanan atau minuman.
  • Membuat ais.
  • Memberus gigi anda.
  • Membasuh muka dan tangan anda.
  • Membasuh pinggan mangkuk dan peralatan yang anda gunakan untuk makan atau menyediakan makanan.
  • Membasuh buah-buahan dan sayur-sayuran.

Untuk membersihkan air anda sendiri, masak air selama satu minit (atau 3 minit pada suhu yang lebih tinggi) atau tapisnya serta gunakan bahan kimia disinfektan komersial. Anda juga harus mengelakkan pengambilan makanan mentah, termasuk yang berikut:

  • Buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak dibuang kulit.
  • Produk susu dan susu yang tidak dipasteurisasi.
  • Daging atau kerang yang kurang masak atau mentah.
  • Ikan yang terperangkap di terumbu tropika yang mungkin tercemar.

SUMBER

https://www.medicalnewstoday.com/articles/158634

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/cholera/symptoms-causes/syc-20355287

https://www.webmd.com/a-to-z-guides/cholera-faq#:~:text=Cholera%20is%20an%20infectious%20disease,a%20bacterium%20called%20Vibrio%20cholerae.

https://www.healthline.com/health/cholera

Summary
Penyakit Taun 'Kolera' (Taun disease 'Cholera') - Punca, Simptom, Diagnosis, Faktor Risiko, Rawatan dan Langkah Pencegahan
Article Name
Penyakit Taun 'Kolera' (Taun disease 'Cholera') - Punca, Simptom, Diagnosis, Faktor Risiko, Rawatan dan Langkah Pencegahan
Description
Taun merupakan penyakit berjangkit yang menyebabkan cirit-birit berair yang serius, seterusnya menyebabkan dehidrasi dan juga kematian jika tidak dirawat. Ia disebabkan oleh pemakanan makanan atau peminuman air minuman yang tercemar dengan bakteria yang dikenali sebagai Vibrio cholerae.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: