Now Reading
Penyakit Skizoafektif Ataupun Gangguan Jiwa (Schizoaffective Disorder) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

Penyakit Skizoafektif Ataupun Gangguan Jiwa (Schizoaffective Disorder) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

Penyakit Skizoafektif

Penyakit Skizoafektif adalah keadaan kesihatan mental kronik yang melibatkan gejala skizofrenia dan gangguan mood seperti gangguan kemurungan utama (major depressive disorder) atau Bipolar (bipolar disorder). Sebenarnya, ramai individu yang mengalami penyakit Skizofrenia pada mulanya tidak didiagnosis dengan betul. Mereka cenderung didiagnosis dengan kemurungan atau gangguan Bipolar.

Walau bagaimanapun, para saintis masih tidak pasti jika Gangguan Skizoafektif mempunyai kaitan dengan Skizofrenia atau gangguan jiwa. Biasanya, Penyakit Skizoafektif ini di rawat dengan gabungan kedua-dua keadaan tersebut.

Gangguan Skizoafektif hanya dihidapi oleh sebilangan kecil individu. Gangguan ini boleh menjejaskan kedua-dua jantina, lelaki dan perempuan lazimnya pada usia muda.

Doktor boleh membantu pesakit mengawal gangguan ini namun, ramai diantara pesakit mengalami pengulangan gangguan ini. Penyalahgunaan dadah terlarang merupakan salah satu punca yang mendorong kepada Gangguan Skizoafektif.

Jenis Gangguan Penyakit Skizoafektif

Terdapat dua jenis Gangguan Skizoafektif yang telah dikenalpasti. Setiap jenis mempunyai beberapa simptom berkaitan Skizofrenia:

  • Jenis bipolar: Menunjukkan beberapa episod mania dan mengalami kemurungan utama. 
  • Jenis kemurungan: Hanya mengalami kemurungan utama

Simptom Gangguan Penyakit Skizoafektif

Simptom Gangguan Skizoafektif termasuklah simptom Skizofrenia seperti:

  • Tempoh penyakit yang tidak terganggu, di mana pesakit mengalami kemurungan atau episod mood manik yang diiringi simptom Skizofrenia.
  • Jika tidak mengalami kemurungan utama atau berasa manik sepanjang menghidap gangguan ini, pesakit akan menunjukkan simptom seperti berkhayal atau berhalusinasi selama 2 minggu berterusan.
  • Mengalami simptom gangguan jiwa utama sepanjang menghidap Skizoafektif.
  • Gangguan yang dialami tidak berkaitan dengan keadaan perubatan atau penyalahgunaan dadah serta ubat-ubatan.

Simptom spesifik yang dialami termasuklah:

  • Suka berkhayal dan mempunyai kepercayaan palsu yang tetap.
  • Corak pemikiran yang tidak teratur, mengelirukan, dan tidak jelas
  • Mempunyai tahap pemikiran dan persepsi yang luar biasa
  • Halusinasi
  • Paranoid terhadap sesuatu idea atau perkara
  • Mengalami tempoh kemurungan
  • Mengalami episod mood manik atau peningkatan tenaga yang tidak dijangka beserta perangai yang luar biasa
  • Tidak dapat mengawal kemarahan
  • Senang marah
  • Ucapan yang luar biasa. Sewaktu perbualan berlangsung, pesakit sering menukar topik yang tidak berkaitan.
  • Sukar untuk memberi perhatian
  • Tingkah laku katatonik di mana pesakit tidak memberi respon atau kelihatan gelisah tanpa sebab yang jelas
  • Kurang memberi perhatian terhadap kebersihan diri atau penampilan fizikal
  • Mengalami gangguan tidur seperti kesukaran tidur

Punca Gangguan Penyakit Skizoafektif

Para penyelidik masih mencari punca sebenar Penyakit Skizoafektif. Namun begitu, faktor genetic mungkin memainkan peranan penting dalam Gangguan Skizoafektif.


Diagnosis Gangguan Penyakit Skizoafektif

Diagnosis penyakit ini melibatkan doktor menolak kebarangkalian gangguan kesihatan mental lain dan menyimpulkan bahawa gejala tidak disebabkan oleh penyalahgunaan dadah, ubat atau keadaan perubatan lain. Cara untuk mengesahkan diagnosis Skizoafektif termasuklah:

  • Ujian fizikal. Ini boleh dilakukan bagi membantu menolak kemungkinan pesakit mengalami masalah lain yang boleh menyebabkan simptom yang sama seperti Gangguan Skizoafektif dan untuk memeriksa sebarang komplikasi yang berkaitan.
  • Ujian dan pengimbasan. Matlamat utama ujian ini adalah untuk mengesahkan simptom yang dialami pesakit adalah gangguan Skizofrenia dan menyingkirkan kebarangkalian penyakit yang mempunyai simptom serupa. Ia juga memeriksa kadar alkohol dan ubat-ubatan yang diambil pesakit. Dalam keadaan tertentu, doktor juga boleh melakukan imbasan pencitraan seperti imbasan MRI atau CT.
  • Penilaian psikiatri. Doktor atau pakar kesihatan mental akan memeriksa status mental pesakit dengan cara membuat pemerhatian terhadap penampilan dan tingkah laku pesakit. Selain itu, mereka juga akan bertanya mengenai fikiran, perasaan, khayalan, halusinasi dan penggunaan dadah. Mereka akan menyelidik tentang potensi pesakit untuk membunuh diri. Hal ini termasuklah perbincangan mengenai sejarah keluarga dan peribadi.
  • Kriteria diagnostik untuk Gangguan atau penyakit Skizoafektif. Doktor atau pakar kesihatan mental anda akan menggunakan kriteria yang tersenarai dalam Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental DSM-5.

Faktor Risiko Gangguan Penyakit Skizoafektif

Faktor-faktor yang meningkatkan risiko Skizoafektif terhadap seseorang individu termasuklah:

  • Mempunyai saudara terdekat seperti ibu bapa atau adik-beradik yang menghidap penyakit Skizoafektif, Skizofrenia atau gangguan Bipolar
  • Pernah mengalami peristiwa yang menimbulkan tekanan dan boleh membawa kepada simptom
  • Menyalahguna dadah yang kemudiannya memberi kesan kepada minda, dan membuatkan simptom bertambah parah.

Rawatan Gangguan Penyakit Skizoafektif

Individu yang mengalami penyakit Skizoafektif biasanya memberi tindak balas positif terhadap penggunaan ubat-ubatan, psikoterapi dan latihan kemahiran hidup. Rawatan bergantung kepada keparahan simptom dan sama ada gangguan yang dialami adalah jenis depresi atau bipolar. Dalam sesetengah kes, kemasukan pesakit ke hospital mungkin diperlukan. Rawatan dalam jangka panjang boleh membantu menguruskan simptom dialami pesakit.

Sumber:

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/schizoaffective-disorder/symptoms-causes/syc-20354504

https://www.webmd.com/schizophrenia/mental-health-schizoaffective-disorder

https://www.nami.org/About-Mental-Illness/Mental-Health-Conditions/Schizoaffective-Disorder

https://en.wikipedia.org/wiki/Schizoaffective_disorder

error: Content is protected !!