penyakit raynaud
Penyakit Raynaud berlaku apabila saluran darah di jari tangan dan jari kaki anda bertindak balas terhadap suhu atau tekanan rendah buat sementara waktu.

Penyakit Raynaud berlaku apabila saluran darah di jari tangan dan jari kaki anda bertindak balas terhadap suhu atau tekanan rendah buat sementara waktu. Bagi kebanyakan individu, ia bukanlah satu masalah kesihatan yang serius. Tetapi bagi sesetengah daripada mereka, aliran darah yang berkurang boleh menyebabkan kerosakan yang teruk.

Jenis Penyakit Raynaud

Terdapat dua jenis penyakit Raynaud:

  • Raynaud utama (atau penyakit Raynaud) Berlaku tanpa kaitan dengan sebarang penyakit lain. Simptom selalunya ringan.
  • Raynaud sekunder (sindrom Raynaud, fenomena Raynaud) berlaku akibat penyakit lain. Ia menyerang tisu penghubung dalam badan anda, sama seperti penyakit lupus atau artritis rheumatoid. Jenis ini jarang berlaku tetapi ia boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius kepada anda seperti luka atau gangrene. Sel-sel dan tisu di kaki anda akan mati akibat kekurangan darah sewaktu gejala Raynaud sekunder berlaku.

Simptom Penyakit Raynaud

Beberapa tanda dan simptom penyakit Raynaud adalah:

  • Kulit pada bahagian yang terjejas berubah warna sebagai tindak balas kepada sejuk atau tekanan
  • Rasa kebas atau menyucuk pada bahagian terjejas sewaktu suhu atau tekanan dikurangkan.

Sewaktu serangan Raynaud berlaku, kawasan kulit anda yang terjejas biasanya akan berubah menjadi putih. Kemudian, ia bertukar menjadi biru dan berasa sejuk serta kebas. Apabila suhu telah dinaikkan, badan anda menjadi panas semula dan peredaran darah bertambah baik. Namun, kawasan tersebut akan bertukar menjadi warna merah, berdenyut-denyut, kesemutan atau membengkak.

Walaupun jari tangan dan jari kaki anda merupakan bahagian utama bagi serangan Raynaud, ia juga boleh menjejaskan bahagian badan lain seperti hidung, telinga, bibir dan puting payudara anda.

Selepas suhu meningkat, ia mengambil masa sekurang-kurangnya 15 minit untuk aliran darah anda kembali normal di bahagian terjejas.

Punca Penyakit Raynaud

Punca sebenar penyakit Raynaud adalah tidak jelas. Namun, hiperaktiviti sistem saraf simpatik telah pun diketahui sebagai salah satu punca kepada penyempitan melampau saluran darah, keadaan ini dikenali sebagai ‘vasoconstriction’.

Sekiranya anda mengalami penyakit Raynaud, keadaan tersebut boleh terjadi  apabila anda memasuki tempat yang sejuk, membuka peti sejuk, atau meletakkan tangan ke dalam air sejuk.

Sesetengah individu mengalami simptom ini apabila mereka menghadapi tekanan, walaupun tanpa faktor suhu rendah.

Bagi individu yang sihat, sistem peredaran darah di bahagian jari tangan dan jari kaki bertindak balas untuk memelihara haba badan dalam keadaan sejuk. Arteri kecil yang membekalkan kulit dengan oksigen menjadi sempit untuk meminimumkan jumlah haba yang hilang melalui permukaan kulit yang terdedah.

Sebaliknya,  apa yang berlaku kepada individu yang mempunyai penyakit Raynaud pula ialah penyempitan tersebut menjadi berlebihan. Maksudnya, arteri menjadi sangat sempit sehingga darah sukar mengalir ke Kawasan terjejas. Perkara inilah yang menyebabkan saluran darah pesakit Raynaud hampir berhenti berfungsi.

Diagnosis Penyakit Raynaud

Sekiranya anda mengalami simptom penyakit Raynaud, jumpalah doktor anda untuk mengesahkannya. Pada awal sesi diagnosis, doktor akan bertanya anda beberapa soalan tentang simptom, diet, tabiat, dan hobi anda. Anda harus bersedia untuk menjelaskan bila simptom itu muncul buat pertama kalinya, berapa kerap anda telah mengalaminya, dan faktor apa yang menyebabkan gejalanya muncul pada diri anda. Ia sangat membantu jika anda menyimpan catatan harian tentang maklumat ini.

  • Untuk membezakan antara Raynaud sekunder dan utama, doktor akan melakukan kapillaroskopi. Prosedur ini melibatkan pengambilan sampel kulit di pangkal kuku anda dan doktor akan memeriksanya di bawah mikroskop untuk menilai sebarang komplikasi seperti kecacatan atau pembesaran kapilari.
  • Ujian darah juga akan dilakukan bagi mencari antibodi antinuklear atau untuk mengukur kadar pemendapan erythrocyte, yang boleh menunjukkan masalah autoimun atau proses keradangan yang lain.

Faktor Risiko Penyakit Raynaud

Faktor risiko Raynaud utama termasuklah:

  • Jantina. Lebih ramai wanita mengalami penyakit Raynaud utama berbanding lelaki..
  • Umur. Sesiapa sahaja boleh menghidapi penyakit ini. Tetapi Raynaud utama selalunya bermula antara usia 15 hingga 30 tahun.
  • Iklim. Penyakit ini juga lebih sering dihidapi oleh individu yang tinggal di iklim sejuk.
  • Sejarah keluarga. Ahli keluarga terdekat, misalnya, jika ibu bapa, adik-beradik atau anak anda mengalami penyakit ini, ia mampu meningkatkan risiko Raynaud utama kepada diri anda.

Faktor risiko Raynaud sekunder pula adalah seperti berikut:

  • Penyakit berkaitan. Penyakit yang mempunyai kaitan dengan penyakit Raynaud seperti scleroderma dan lupus, boleh meningkatkan risiko mengalaminya.
  • Pekerjaan tertentu. Terutama sekali pekerjaan yang menyebabkan trauma secara berulang, seperti mengendalikan atau mengguna peralatan yang bergetar.
  • Pendedahan kepada bahan tertentu. Merokok, mengambil ubat-ubatan yang menjejaskan saluran darah dan terdedah kepada bahan kimia tertentu, seperti vinil klorida boleh juga meningkatkan risiko anda.

Rawatan Penyakit Raynaud

Sewaktu suhu rendah atau sejuk, pakailah pakaian yang berlapis sebagai contoh t-shirt dan sweater. Lindungi tangan dan kaki anda dari suhu rendah dengan memakai sarung tangan serta sarung kaki yang tebal. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan  beberapa jenis ubat-ubatan untuk merawat simptom yang teruk.

Matlamat rawatan dilakukan adalah untuk:

  • Mengurangkan kekerapan dan keparahan serangan penyakit Raynaud.
  • Mencegah sebarang kerosakan tisu
  • Merawat penyakit lain yang tersembunyi

– Ubat-ubatan

Pengambilan ubat-ubatan bergantung pada punca dan simptom anda. Bagi tujuan meluaskan saluran darah (dilate) dan menggalakkan peredaran darah, doktor mungkin akan memberikan:

  • Penyekat saluran kalsium. Ubat-ubatan ini merehatkan dan membuka saluran darah yang sempit di tangan dan kaki anda. Selain itu, ia juga boleh mengurangkan kekerapan dan keparahan serangan kepada pesakit. Ubat-ubatan ini juga boleh membantu menyembuhkan ulser kulit pada jari tangan atau jari kaki anda. Contoh ubat-ubatan dalam kategori ini adalah nifedipine (Afeditab CR, Procardia, yang lain), amlodipine (Norvasc), felodipine dan isradipine.

  • Vasodilators. Ubat-ubatan ini, berfungsi untuk merehatkan saluran darah. Salah satu contoh ubat jenis ini adalah krim nitrogliserin yang digunakan pada pangkal jari anda untuk membantu menyembuhkan ulser kulit. Vasodilator lain termasuklah ubat tekanan darah tinggi losartan (Cozaar), sildenafil, ubat disfungsi ereksi (Viagra, Revatio), fluoxetine antidepressan (Prozac, Sarafem) serta kategori ubat-ubatan yang digelar prostaglandin.

– Pembedahan dan prosedur perubatan

Bagi sesetengah kes Raynaud yang teruk, prosedur pilihan rawatan yang boleh anda pilih termasuklah:

  • Pembedahan saraf. Saraf simpatik di tangan dan kaki anda mengawal pembukaan dan penyempitan saluran darah pada kulit anda. Memotong saraf ini dapat mengawal tindak balas yang berlebihan.
    Melalui pemotongan kecil di tangan atau kaki yang terjejas, doktor akan mengeluarkan saraf-saraf kecil ini di sekitar saluran darah anda. Pembedahan ini (sympathectomy), jika berjaya, mungkin mengurangkan kekerapan dan tempoh serangan.

  • Suntikan kimia. Doktor akan menyuntik bahan kimia seperti anestesia tempatan atau onabotulinumtoxin jenis A (Botox) untuk menghalang kegiatan berlebihan saraf simpatik di tangan atau kaki yang terjejas. Anda mungkin perlu menjalani prosedur ini berulang kali jika simptom anda kembali atau berterusan.

SUMBER

https://www.webmd.com/arthritis/raynauds-phenomenon

https://www.healthline.com/health/raynauds-phenomenon

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/raynauds-disease/symptoms-causes/syc-20363571

https://www.medicalnewstoday.com/articles/176713

Summary
Penyakit Raynaud (Raynaud's Disease) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Penyakit Raynaud (Raynaud's Disease) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Penyakit Raynaud berlaku apabila saluran darah di jari tangan dan jari kaki anda bertindak balas terhadap suhu atau tekanan rendah.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: