wabak polio di Malaysia
Virus polio telah kembali di Malaysia setelah 27 tahun.

Satu negara menjadi heboh apabila pelbagai berita mengatakan bahawa jangkitan penyakit polio yang telah lama tiada di negara ini kini kembali menyerang mangsanya. Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari negeri di bawah bayu dikatakan dijangkiti virus itu yang mempunyai perkaitan dengan penyakit polio yang dikesan di negara Filipina.

Isu ini amat membimbangkan kerana jangkitan ini boleh merebak pada individu lain yang tidak mempunyai imuniti terhadap penyakit polio. Jadi, sesiapa yang tidak mendapatkan vaksin penyakit polio sebelum ini, mereka mempunyai risiko lebih tinggi untuk menjangkiti penyakit berbahaya ini.

Sekarang, apakah yang anda semua tahu mengenai penyakit polio ini? Jadi, mari kita kupas tentangnya dengan lebih lanjut. Penyakit polio ini berlaku apabila virus polio menyerang sistem saraf manusia dan menyebabkan kelumpuhan kekal pada individu. Sekiranya kegagalan fungsi pernafasan berlaku, ia boleh menyebabkan kematian.

Virus ini boleh merebak dengan mudah melalui makanan dan minuman tercemar. Individu yang tidak mencuci tangan dengan sempurna dan mengambil makanan dengan tangan yang ‘kotor’ ini akan memasukkan virus ke dalam badan yang kemudiannya akan membiak dalam usus. Ia seterusnya akan dikumuhkan melalui najis dan menjangkiti mangsa seterusnya dengan cara yang sama.

Anda berisiko tinggi menjangkiti virus polio sekiranya anda:

  • Tidak membasuh tangan dengan sempurna.
  • Tidak menggunakan bekalan air yang bersih.
  • Tidak menggunakan tandas dengan sempurna.
  • Mempunyai sistem imun yang rendah.
  • Melawat atau mengembara ke negara yang dilanda wabak polio.
  • Mengendalikan spesimen virus polio di makmal.

Langkah terbaik untuk mengurangkan risiko ini adalah dengan mengambil vaksin yang sepatutnya. Vaksin ini boleh membantu melindungi diri anda selagi anda mengambil langkah-langkah pencegahan lain seperti menjaga kebersihan diri, persekitaran serta sentiasa berjaga-jaga dengan individu lain yang mungkin sudah menjangkiti virus ini.

Namun begitu, walaupun kita sudah berada dalam era yang canggih dan moden ini, masih ada golongan masyarakat yang tidak mempercayai akan kelebihan dan keberkesanan suntikan vaksin. Ada yang menghalang keluarga mereka daripada menerima vaksin kerana yakin bahawa ianya akan memberi kesan negatif pada badan ahli keluarga mereka.

JADI,

Sekiranya anda mempunyai pemahaman yang sama seperti golongan ini, buanglah perspektif negatif anda dan cuba berfikir secara terbuka. Adakah anda mahu keluarga anda mengalami kelumpuhan secara kekal, cacat anggota badan mahupun kematian? Tidakkah anda berasa zalim membiarkan keluarga anda dalam keadaan yang terdedah kepada penyakit walaupun terdapat jalan penyelesaian di depan mata?

Oleh itu, ambil langkah yang betul dan bawa keluarga anda untuk menerima vaksin penyakit polio dengan segera di mana-mana klinik atau hospital berdekatan. Bersama-sama, kita boleh mengembalikan sejarah untuk ‘menghalau keluar’ virus ini seperti 27 tahun dahulu.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/polio/symptoms-causes/syc-20376512

https://www.healthline.com/health/poliomyelitis

https://www.webmd.com/children/what-is-polio

https://www.medicalnewstoday.com/articles/155580

Summary
Penyakit Polio telah kembali di Malaysia selepas 27 tahun!
Article Name
Penyakit Polio telah kembali di Malaysia selepas 27 tahun!
Description
Satu negara menjadi heboh apabila pelbagai berita mengatakan bahawa jangkitan polio yang telah lama tiada di negara ini kini kembali menyerang mangsanya. Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari negeri di bawah bayu dikatakan dijangkiti virus itu yang mempunyai perkaitan dengan virus polio yang dikesan di negara Filipina.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: