penyakit pick
Penyakit Pick adalah sejenis demensia yang serupa dengan penyakit Alzheimer tetapi ia jarang berlaku

Penyakit Pick adalah sejenis demensia yang serupa dengan penyakit Alzheimer tetapi ia jarang berlaku. Ia boleh memberi kesan kepada bahagian otak yang mengawal emosi, tingkah laku, keperibadian dan bahasa. Selain itu, penyakit ini juga adalah sejenis gangguan yang dikenali sebagai demensia temporal depan (frontotemporal dementia – FTD) atau degenerasi lobar temporal depan (frontotemporal lobar degenaration – FTLD).     

Otak anda menggunakan sistem pengangkutan untuk membantu menggerakkan nutrien yang diperlukan. Sistem ini terhasil daripada protein seperti trek kereta api yang membimbing kereta api memandu nutrien ke mana ia perlu pergi. Protein yang mengekalkan jejak lurus ini dipanggil sebagai protein ‘tau’.   

Apabila anda mempunyai penyakit Pick, protein ‘tau’ tidak berfungsi seperti yang sepatutnya. Di samping itu, anda juga mungkin mempunyai lebih banyak protein ini dalam otak anda berbanding orang lain. 

Kelompok protein yang tidak normal ini dipanggil sebagai badan Pick (Pick bodies). Badan Pick “tergelincir” daripada sistem pengangkutan anda. Jadi, trek itu tidak lagi lurus dan nutrien di dalam otak tidak dapat pergi ke destinasi mereka. Ini kemudian akan menyebabkan kerosakan otak yang tidak boleh diterbalikkan (reverse). 

Sekitar 50,000 hingga 60,000 orang di Amerika Syarikat mempunyai penyakit Pick. Ia biasanya didiagnosis antara umur 40 dan 75 tahun, tetapi ia boleh berlaku pada individu seawal umur 20 tahun juga. Ia biasanya lebih banyak memberi kesan kepada golongan lelaki berbanding golongan wanita. Individu berketurunan Scandinavia pula berada pada risiko yang lebih tinggi untuk mendapatkannya berbanding keturunan yang lain.

Simptom Penyakit Pick

Badan Pick biasanya terbentuk di lobus depan dan temporal otak. Bahagian ini mengawal tingkah laku, keperibadian dan ucapan anda. Gejala biasanya muncul di kawasan tersebut.

Anda mungkin boleh:

  • Bertindak agresif terhadap orang lain.
  • Tidak berminat dalam aktiviti harian.
  • Terlalu berhati-hati dengan semua perkara yang anda lakukan sepanjang masa.
  • Rasa marah atau gelisah.
  • Mempunyai perubahan emosi yang drastik dan cepat.
  • Bermasalah dengan rasa mesra, simpati atau memberi perhatian kepada orang lain.
  • Mempunyai masalah dengan aktiviti yang tidak dirancang.
  • Membuat keputusan secara terburu-buru.
  • Mengulangi tindakan berulang kali.
  • Berkata dan melakukan perkara-perkara yang tidak sesuai.

Sesetengah individu boleh menjadi lapar setiap masa, dan ada juga yang mengalami fasa menginginkan makanan manis (sweet tooth) yang tidak sihat dan makan lebih banyak gula daripada yang diperlukan. 

Seterusnya, masalah dengan bahasa biasanya berlaku pada peringkat awal penyakit. Badan Pick dalam bahagian ucapan otak anda boleh menyebabkan masalah dengan:

  • Mengingati nama objek umum.
  • Menyalin bentuk mudah dengan pensil dan kertas.
  • Memahami kata-kata bertulis.
  • Bercakap kerana ucapan terhenti atau tergantung.

Kadangkala, individu dengan penyakit Pick mungkin juga mengalami:

  • Hilang ingatan.
  • Masalah untuk bergerak.
  • Otot kaku atau lemah.
  • Masalah membuang air kecil.
  • Masalah dengan koordinasi.

Punca Penyakit Pick

Hampir 25% individu dengan penyakit Pick menerima gen yang menyebabkannya daripada ibu bapa. Pakar tidak pasti mengapa ia berlaku dalam kes-kes lain.

Diagnosis Penyakit Pick

Bagi mengetahui sama ada anda mempunyai penyakit Pick atau tidak, doktor akan bertanyakan tentang gejala dan memeriksa sejarah perubatan anda. Kemudian, anda akan melakukan ujian khas yang memeriksa memori, tingkah laku, bahasa dan fungsi mental yang lain. Ini biasanya melibatkan ujian menggunakan pensil dan kertas. Anda akan menjawab soalan secara bertulis dan mungkin diminta untuk melukisobjek tertentu.

Tambahan pula, doktor juga boleh mengesyorkan ujian darah yang memeriksa DNA anda untuk melihat sekiranya anda mempunyai gen yang menyebabkan penyakit ini atau tidak. 

Bagi mendapatkan gambaran yang lebih baik tentang apa yang berlaku di otak anda, doktor boleh meminta anda melakukan ujian pencitraan, seperti:

  • Imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI scan): Magnet dan gelombang radio kuat digunakan untuk membuat imej terperinci otak anda.
  • Imbasan tomografi terkompresi tunggal-foton (SPECT scan) atau imbasan imbasan tomografi pelepasan positron (PET scan): Satu bahan radioaktif dan kamera khas akan menghasilkan gambar 3-dimensi yang menunjukkan bahagian-bahagian otak anda yang lebih atau kurang aktif. 

Anda juga mungkin perlu melakukan suntikan lumbar. Doktor akan menggunakan jarum panjang untuk mengambil sejumlah kecil bendalir dari kawasan berhampiran tulang belakang anda bagi diperiksa. Dalam kes-kes yang jarang berlaku, doktor mungkin mengambil sejumlah kecil tisu otak anda untuk diuji. Proses ini dipanggil sebagai biopsi.  

Rawatan Penyakit Pick

Tiada ubat untuk merawat penyakit Pick, dan ubat-ubatan tidak boleh memperlahankannya. Ia boleh berkembang dengan perlahan, tetapi biasanya menjadi semakin serius dari masa ke masa. Sesetengah individu hidup selama 10 tahun dengan penyakit ini.

Namun, doktor boleh mengesyorkan rawatan untuk membantu anda menangani kebanyakan gejala anda. Dia mungkin mencadangkan terapi tingkah laku untuk membantu mengawal sebarang tingkah laku berbahaya dan ubat anti-depresan untuk membantu kekacauan atau sikap agresif anda.   

SUMBER

https://www.webmd.com/alzheimers/guide/picks-disease

https://emedicine.medscape.com/article/1135504-overview

https://mayoclinic.pure.elsevier.com/en/publications/picks-disease-a-modern-approach

https://www.healthline.com/health/picks-disease

Summary
Penyakit Pick (Pick disease) - Simptom, Punca, Diagnosis dan Rawatan
Article Name
Penyakit Pick (Pick disease) - Simptom, Punca, Diagnosis dan Rawatan
Description
Penyakit Pick adalah sejenis demensia yang biasanya memberi kesan pada bahagian otak yang mengawal emosi, tingkah laku, keperibadian dan bahasa.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: