Now Reading
Penyakit Peyronie (Peyronie disease) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

Penyakit Peyronie (Peyronie disease) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

penyakit peyronie

Penyakit Peyronie, juga dikenali sebagai zakar bengkok adalah keadaan di mana zakar ketika tegak, ia melengkung secara tidak normal. Ia adalah satu punca yang jarang berlaku bagi masalah disfungsi ereksi – suatu keadaan di mana seorang lelaki mempunyai kesukaran untuk mencapai atau mengekalkan ereksi.

Masalah ini terjadi disebabkan tisu parut berurat (plak berserat) yang tumbuh di bawah kulit zakar.

Ianya adalah fenomena biasa bagi zakar lelaki untuk melengkung sedikit dan perkara ini dianggap normal. Walau bagaimanapun, jika lengkungan itu menyebabkan rasa sakit atau jika bengkok itu teruk, maka itu menjadi suatu masalah. Selain itu, penyakit Peyronie boleh menjejaskan keupayaan lelaki untuk melakukan hubungan seks dan  boleh juga menyebabkan disfungsi erektil.

Mempunyai kebimbangan berkenaan keadaan ini boleh menyebabkan tekanan dan kerisauan serta boleh menyebabkan disfungsi erektil pada masa yang sama.

Walau bagaimanapun, sejumlah besar individu lelaki dewasa yang mempunyai penyakit Peyronie masih mempunyai kehidupan seks yang memuaskan.

Simptom Penyakit Peyronie

Anda mungkin melihat benjolan keras di bawah kulit zakar di mana lengkungan bermula. Tisu parut boleh bervariasi mengikut saiz kecil ke besar dan tidak selalunya berada dalam satu tempat sahaja. Ia boleh menyebabkan masalah ereksi, tetapi tidak melengkung.

Di samping keadaan yang bengkok, anda mungkin merasakan kekerasan, yang boleh membuatkannya sukar untuk mengekalkan ereksi.

Anda juga mungkin mempunyai ereksi yang menyakitkan. Kesakitan ini biasanya berpunca daripada keradangan dan boleh berlanjutan selama berbulan-bulan. Kesakitan biasanya berkurang apabila tisu parut menjadi kering.

Punca Penyakit Peyronie

Punca penyakit Peyronie masih tidak difahami sepenuhnya, tetapi beberapa faktor mungkin terlibat.

Pakar perubatan berfikir bahawa penyakit Peyronie secara amnya berpunca daripada kecederaan berulang pada zakar. Contohnya, zakar mungkin rosak semasa melakukan hubungan seks, aktiviti sukan atau akibat kemalangan. Walau bagaimanapun, tiada kecederaan khusus pada zakar yang telah ditetapkan.

Semasa proses penyembuhan zakar, tisu parut terbentuk dengan cara yang tidak teratur. Ini boleh menyebabkan nodul yang boleh dirasakan atau lengkungan semakin berkembang.

Setiap sisi zakar mengandungi tiub seperti span (corpus cavernosum) yang mengandungi banyak saluran darah kecil. Setiap satu dibungkus dalam sarung tisu elastik yang dinamakan ‘tunica albuginea’  yang meregang semasa ereksi.

Di samping itu, semasa anda menjadi terangsang, aliran darah ke ruangan ini meningkat. Apabila ruangan ini diisi dengan darah, zakar akan mengembang, melurus dan mengeras ke arah ereksi.

Dalam kes penyakit Peyronie, apabila zakar menjadi tegak, kawasan dengan tisu parut ini tidak meregang, lalu penis akan membengkak atau menjadi cacat dan mungkin menyakitkan.

Pada sesetengah lelaki, penyakit Peyronie muncul secara beransur-ansur dan nampaknya tidak berkaitan dengan kecederaan. Penyelidik masih menyiasat sama ada penyakit Peyronie mungkin boleh dikaitkan dengan sifat yang diwarisi atau keadaan kesihatan yang tertentu.

Diagnosis Penyakit Peyronie

Doktor biasanya mendiagnosis penyakit Peyronie dengan bertanyakan tentang gejala dan sebarang kecederaan serta dengan memeriksa zakar. Sesetengah doktor akan menyuntik ubat ke dalam zakar untuk menyebabkan ereksi supaya mereka dapat melihat sudut yang terlibat. Jika anda membawa gambar ereksi anda, anda mungkin tidak perlu melakukan langkah tersebut. Tambahan pula, doktor juga juga boleh menjalankan ujian ultrabunyi di kawasan tersebut.

Ada cara untuk merawat penyakit Peyronie. Jika anda berjumpa seorang doktor keluarga atau pakar perubatan dalaman (internist) bagi masalah itu, dia boleh merujuk anda kepada ahli urologi untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Faktor Risiko Penyakit Peyronie

Kecederaan kecil kepada zakar tidak selalunya menyebabkan penyakit Peyronie. Walau bagaimanapun, pelbagai faktor boleh menyumbang kepada penyembuhan luka yang lemah dan pembentukan tisu parut yang mungkin memainkan peranan dalam penyakit Peyronie. Ini termasuk:

  • Keturunan. Jika ahli keluarga mempunyai penyakit Peyronie, anda mempunyai risiko yang lebih tinggi terhadap keadaan ini.
  • Masalah tisu penghubung. Lelaki dengan masalah tisu penghubung tertentu biasanya mempunyai peningkatan risiko bagi penyakit Peyronie. Contohnya, beberapa lelaki yang mempunyai penyakit Peyronie juga mempunyai penebalan di telapak tangan yang menyebabkan jari-jari seperti ditarik ke dalam (kontraksi Dupuytren).
  • Umur. Penyakit Peyronie boleh berlaku pada individu lelaki tanpa mengira usia, namun ia lazim terjadi seiring dengan peningkatan usia, terutamanya bagi lelaki berusia 50-an dan 60-an. Lengkungan pada lelaki yang lebih muda kurang kerap terjadi  kerana penyakit Peyronie dan ia selalunya dipanggil kelengkungan zakar sejak kelahiran. Sebilangan kecil kes sama pada lelaki muda adalah normal dan tidak berkaitan.

Rawatan Penyakit Peyronie

Doktor akan bertanyakan soalan pada pesakit mengenai gejala, berapa lama ia telah terjadi, dan bagaimana ia berkembang dari masa ke masa (secara tiba-tiba atau beransur-ansur). Selain itu, pesakit juga akan menjalani pemeriksaan fizikal.

Sekiranya lengkungan atau bengkok yang terjadi itu tidak menjadi lebih teruk, tidak menyakitkan atau hanya menyebabkan kesakitan yang sangat sedikit mahupun gejala itu tidak mengganggu hubungan seks, doktor mungkin akan mengesyorkan pesakit supaya menunggu dengan sabar, atau lebih dikenali sebagai pendekatan tunggu dan lihat. Secara amnya, individu akan diminta untuk melihat perubahan selama sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum mempertimbangkan intervensi pembedahan.

Dalam kes-kes yang lebih serius, pesakit boleh dirawat dengan ubat atau dinasihatkan untuk menjalani pembedahan.

Pilihan melibatkan ubat

  • Clostridium hystolyticum (Xiaflex) – ini adalah satu-satunya ubat yang diluluskan oleh FDA untuk digunakan dalam penyakit Peyronie. Ia disyorkan bagi individu yang mempunyai pembengkokan zakar pada sudut 30 darjah atau lebih apabila sedang mengalami ereksi.
  • Suntikan zakar – kelengkungan boleh dikurangkan dengan suntikan terus ke dalam zakar. Rawatan boleh berlangsung selama beberapa bulan. Ubat interferon membantu memecahkan tisu berurat dan mengurangkan pengeluarannya. Selain itu, verapamil, iaitu ubat terapi hipertensi boleh merangsang aktiviti ‘collagenase’, yang memainkan peranan dalam pembentukan tisu parut dan penyembuhan luka.

Walau bagaimanapun, terdapat hanya kajian kecil yang dilakukan terhadap suntikan zakar. Pakar urologi bimbang sekiranya suntikan itu menembusi kulit  dan mungkin menyebabkan lepuhan yang boleh menggalakkan pertumbuhan plak.

  • Vitamin E dan kalium aminobenzoat – ubat-ubatan ini boleh mengurangkan kesakitan, tetapi ia biasanya tidak mempunyai kesan yang signifikan terhadap kelengkungan yang tidak normal sebelum ini.
  • Tamoxifen – ubat ini digunakan untuk merawat kanser payudara estrogen reseptor positif yang boleh mengurangkan kesakitan, kelengkungan dan saiz benjolan bagi sesetengah pesakit.
  • ‘Collagenase’ – ini adalah sejenis enzim yang dapat mengurangkan saiz plak, dan kadangkala boleh menghilangkannya sama sekali.

Sebatian lain yang sedang disiasat untuk rawatan penyakit Peyronie termasuklah asetil-l-karnitin dan koenzim Q10.

Pilihan tanpa ubat

Sesetengah individu dengan penyakit Peyronie boleh mendapat rawatan dengan:

  • Iontopheresis – menggunakan isyarat elektrik yang lemah untuk memindahkan ubat melalui kulit.
  • Terapi gelombang kejutan – memecahkan tisu parut.
  • Terapi daya tarikan penis – membantu meregangkan zakar.
  • Alat vakum

Perubahan gaya hidup

Perubahan gaya hidup tertentu boleh membantu mengurangkan gejala:

  • Kurangkan pengambilan minuman keras.
  • Jangan merokok.
  • Elakkan dadah yang haram.
  • Bersenam dengan kerap.

Intervensi pembedahan

Sekiranya pembengkokan itu serius dan menghalang pesakit daripada melakukan hubungan seks, pakar urologi boleh mengesyorkan pembedahan. Kebanyakan pakar mengatakan bahawa pesakit perlulah tidak mengalami kesakitan selama beberapa bulan sebelum rawatan intervensi pembedahan dipertimbangkan serta lengkungan itu mesti sudah berhenti daripada menjadi lebih buruk.

  • Memendekkan satu sisi zakar

Sisi zakar yang tidak terjejas iaitu bahagian tanpa plak boleh dipendekkan dan ini dapat menghentikan lengkungan semasa ereksi. Prosedur ini akan mengurangkan panjang zakar dan boleh dipertimbangkan jika lengkungan itu tidak terlalu serius (kurang dikehendaki atau diperlukan), serta saiz zakar pesakit cukup panjang.

  • Memanjangkan satu sisi zakar

Tisu parut akan dipotong di beberapa tempat untuk membolehkan sarung meregang  lagi. Sekiranya sarung meregang secukupnya, ereksi pada zakar lelaki akan menjadi lurus. Sesetengah tisu parut boleh dikeluarkan dalam prosedur ini. Malah, ada juga sesetengah tisu yang dicantumkan ke atas bahagian yang telah dikeluarkan itu.

Di samping itu, prosedur ini lebih disyorkan untuk pesakit dengan zakar yang lebih pendek, atau kelengkungan yang lebih parah. Walau bagaimanapun, memanjangkan sisi zakar mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menyebabkan masalah mati pucuk berbanding prosedur pemendekan zakar.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/peyronies-disease/symptoms-causes/syc-20353468

https://www.webmd.com/men/peyronies-disease#1

https://www.healthline.com/health/erectile-dysfunction/peyronies-disease

error: Content is protected !!