penyakit ginjal polisistik
Penyakit ginjal polisistik (PKD) adalah penyakit diwarisi yang mana kelompok sista berkembang terutamanya dalam ginjal anda, lalu menyebabkan ginjal anda membesar dan kehilangan fungsi dari masa ke masa. Sista adalah kantung bulat bukan kanser yang mengandungi cecair.

Penyakit ginjal polisistik (PKD) adalah penyakit diwarisi yang mana kelompok sista berkembang terutamanya dalam ginjal anda, lalu menyebabkan ginjal anda membesar dan kehilangan fungsi dari masa ke masa. Sista adalah kantung bulat bukan kanser yang mengandungi cecair. Ia terdiri daripada pelbagai saiz dan boleh tumbuh dengan sangat besar. Mempunyai banyak sista atau sista bersaiz besar boleh merosakkan ginjal anda.

Selain itu, penyakit ini juga boleh menyebabkan sista berkembang di hati dan di tempat lain dalam badan anda. Ia dapat mendorong berlakunya komplikasi serius, termasuklah tekanan darah tinggi dan masalah kegagalan ginjal.

Simptom Penyakit Ginjal Polisistik

Tidak semua individu yang mempunyai penyakit ginjal polisitik akan mengalami gejala. Mereka yang mengalaminya mungkin tidak dapat mengesan simptom ini selama bertahun-tahun. Kebanyakan individu dengan penyakit ini biasanya mempunyai tekanan darah tinggi. Jangkitan saluran kencing dan kehadiran batu ginjal juga adalah perkara biasa bagi penyakit ini.

Tanda-tanda lain yang menunjukkan anda mempunyai penyakit ginjal polisistik termasuklah:

  • Sakit di bahagian belakang atau sisi badan anda, selalunya kerana sista telah pecah, batu ginjal atau jangkitan saluran kencing.
  • Kehadiran darah dalam air kencing.
  • Bengkak di perut apabila sista tumbuh.

Punca Penyakit Ginjal Polisistik

Gen tidak normal boleh menyebabkan penyakit ginjal polisistik, dan ini bermaksud bahawa penyakit ini berlaku dalam keluarga. Jarang sekali mutasi genetik berlaku secara sendiri (spontan), jika kedua ibu bapa tidak mempunyai salinan gen yang bermutasi.

Dua jenis penyakit ginjal polisistik utama berlaku kerana kecacatan genetik yang berbeza, iaitu:

  • Penyakit ginjal polisistik dominan autosomal (ADPKD). Tanda-tanda dan gejala ADPKD sering berkembang pada individu antara umur 30 dan 40 tahun. Pada masa lalu, jenis penyakit ini dikenali sebagai penyakit ginjal polisistik dewasa, tetapi kanak-kanak juga boleh mendapat gangguan tersebut.

Hanya satu pihak penjaga (sama ada ibu atau bapa) dengan penyakit itu yang diperlukan untuk menyampaikan masalah sama kepada anak-anak. Sekiranya salah satu ibu bapa mempunyai ADPKD, setiap kanak-kanak mempunyai peluang sebanyak 50 peratus untuk mendapat penyakit sama. Bentuk ini menyumbang pada kira-kira 90 peratus daripada kes penyakit ginjal polisistik.

  • Penyakit ginjal polisistik resesif autosomal (ARPKD). Jenis ini lebih jarang berlaku berbanding ADPKD. Tanda-tanda dan gejala biasanya muncul sejurus selepas kelahiran. Kadangkala, gejala tidak muncul sehinggalah peringkat kanak-kanak atau semasa remaja.

Kedua-dua ibu bapa mesti mempunyai gen yang tidak normal untuk mewarisi bentuk penyakit ini. Jika kedua-dua ibu bapa membawa gen yang terganggu ini, setiap kanak-kanak mempunyai peluang sebanyak 25 peratus untuk mendapat penyakit ini.

Diagnosis Penyakit Ginjal Polisistik

Bagi penyakit ginjal polisistik, ujian tertentu dapat mengesan saiz dan jumlah sista ginjal yang anda miliki serta menilai jumlah tisu ginjal yang sihat, termasuk:

  • Ultrabunyi. Dalam proses ultrabunyi, peranti seperti tongkat yang dipanggil transduser diletakkan di atas badan anda. Ia memancarkan gelombang bunyi yang dipantulkan kembali ke sonar transduser. Kemudian, komputer akan menterjemahkan gelombang bunyi yang dipantulkan kepada imej ginjal anda.
  • Imbasan CT. Ketika anda berbaring di atas meja yang mudah digerakkan, anda akan dibimbing masuk ke dalam alat berbentuk donat besar yang memaparkan sinar-X yang tipis melalui tubuh anda. Ini membolehkan doktor  melihat imej keratan rentas ginjal anda.
  • Imbasan MRI. Semasa anda berbaring di dalam silinder besar, medan magnet dan gelombang radio akan menjana pandangan keratan rentas ginjal anda.

Rawatan Penyakit Ginjal Polisistik

Merawat penyakit ginjal polisistik melibatkan cara untuk menguruskan tanda-tanda, gejala dan komplikasi yang berikut pada peringkat awal seperti:

  • Tekanan darah tinggi. Mengawal tekanan darah tinggi dapat melambatkan perkembangan penyakit dan melambatkan kerosakan ginjal. Menggabungkan diet rendah natrium dan rendah lemak yang sederhana dalam kandungan protein dan kalori serta tidak merokok, meningkatkan aktiviti senaman dan mengurangkan tekanan boleh membantu mengawal tekanan darah tinggi.

Walau bagaimanapun, ubat-ubatan biasanya diperlukan untuk mengawal masalah tekanan darah tinggi. Ubat yang dipanggil ‘angiotensin-converting enzyme’ (ACE) inhibitor atau ‘angiotensin II receptor blockers’ (ARBs) sering digunakan untuk mengawal tekanan darah tinggi.

  • Sakit. Anda mungkin dapat mengendalikan kesakitan penyakit ginjal polisistik dengan pengambilan ubat-ubatan mengandungi ‘acetaminophen’. Bagi sesetengah orang, kesakitan boleh menjadi lebih teruk dan berterusan. Dalam kes-kes yang jarang berlaku, doktor mungkin mengesyorkan prosedur pembedahan untuk mengeluarkan sista jika ia sudah cukup besar untuk menyebabkan tekanan dan kesakitan.
  • Pundi kencing atau jangkitan ginjal. Rawatan cepat untuk merawat jangkitan dengan antibiotik diperlukan untuk mencegah kerosakan ginjal.
  • Darah dalam air kencing. Anda perlu minum banyak cecair, sebaiknya pengambilan air kosong sebaik sahaja anda melihat darah dalam air kencing anda. Ini dilakukan untuk mencairkan air kencing. Pencairan ini mungkin membantu mengelakkan gumpalan darah daripada terbentuk dalam saluran kencing anda.
  • Kegagalan ginjal. Jika ginjal anda kehilangan keupayaannya untuk mengeluarkan produk buangan dan cecair tambahan dari darah anda, anda mungkin memerlukan sama ada prosedur dialisis atau pemindahan ginjal.
  • Aneurisme. Jika anda mempunyai penyakit ginjal polisistik dan sejarah keluarga dengan masalah otak yang pecah (intrakranial) aneurisma, doktor boleh mengesyorkan anda melakukan pemeriksaan teratur untuk mengesan penyakit aneurisme intrakranial.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/polycystic-kidney-disease/symptoms-causes/syc-20352820

https://www.kidneyfund.org/kidney-disease/other-kidney-conditions/polycystic-kidney-disease.html

https://www.healthline.com/health/polycystic-kidney-disease

Summary
Penyakit Ginjal Polisistik (Polycystic kidney disease) - Simptom, Punca, Diagnosis dan Rawatan
Article Name
Penyakit Ginjal Polisistik (Polycystic kidney disease) - Simptom, Punca, Diagnosis dan Rawatan
Description
Penyakit ginjal polisistik berlaku apabila kelompok sista berkembang terutamanya dalam ginjal, lalu menyebabkan pembesaran dan kehilangan fungsi ginjal.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: