penyakit buerger
Penyakit Buerger mengakibatkan pembuluh darah di tangan dan kaki anda tersekat.

Semua individu tahu bahawa tabiat merokok boleh menyebabkan masalah seperti penyakit jantung dan kanser paru-paru. Tetapi, kadangkala ia juga boleh menyebabkan sejenis penyakit yang jarang berlaku, seperti Penyakit Buerger.

Apabila anda mempunyai Penyakit Buerger, pembuluh darah di tangan dan kaki anda tersekat. Keadaan ini menghalang aliran darah lalu menyebabkan darah beku yang menjejaskan tangan dan kaki.

Penyakit ini tidak boleh disembuhkan, tetapi jika anda berhenti menggunakan tembakau, anda boleh menghalang simptom ini daripada menjadi lebih teruk. Namun, sekiranya anda tidak berhenti, anda mungkin mengalami kerosakan tisu yang lebih teruk. Sehingga, anda juga boleh kehilangan jari, jari kaki, atau bahagian lain anggota badan anda.

Simptom Penyakit Buerger

Simptom Penyakit Buerger termasuklah:

• Kesemutan atau rasa kebas pada tangan atau kaki.

• Tangan atau kaki berwarna pucat, kemerahan atau kebiruan.

• Kesakitan yang datang dan pergi pada kaki atau lengan dan tangan anda. Ia mungkin berlaku apabila anda menggunakan tangan atau kaki anda dan apabila anda berhenti (claudication), atau ketika anda sedang merehatkannya.

• Keradangan di sepanjang urat di bawah permukaan kulit (kerana terdapat darah beku dalam urat).

• Jari tangan dan jari kaki yang menjadi pucat apabila terdedah kepada keadaan sejuk (fenomena Raynaud).

• Luka terbuka yang sakit pada jari tangan dan jari kaki anda.

Punca Penyakit Buerger

Doktor tidak pasti apa yang menyebabkan keadaan ini, tetapi hampir semua pesakit yang menghidapinya menggunakan produk tembakau. Ini termasuklah rokok, cerut serta mengunyah tembakau.

Walaupun hubungan antara tembakau dan Penyakit Buerger adalah tidak jelas, gen anda mungkin memainkan peranan dalam memngembangkan penyakit ini menyebabkan sesetengah individu mungkin lebih cenderung untuk mendapatkannya.

Sesetengah pakar berpendapat bahawa bahan kimia tertentu dalam tembakau boleh merengsakan saluran darah anda dan menjadikannya bengkak. Ada juga yang berpendapat bahawa ia mungkin berpunca daripada tindak balas autoimun. Ini bermakna tembakau mencetuskan sistem imun anda untuk menyerang saluran darah anda sebagaimana ia menyerang kuman jahat.

Diagnosis Penyakit Buerger

Penyakit Buerger adalah sejenis “diagnosis klinikal” yang bermaksud tiada ujian khusus untuk menentukan sama ada anda mempunyai penyakit ini. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan lain yang menyerupai penyakit Buerger yang boleh diketepikan oleh doktor anda dengan melakukan ujian tertentu.

Setelah melihat simptom anda, doktor akan menjalankan ujian darah untuk mengetepikan penyakit seperti Lupus, Kencing Manis, atau Gangguan Pembekuan Darah. Sekiranya ujian penyakit lain adalah negatif, doktor anda akan menjalankan imbasan pengimejan dalam bentuk ultrabunyi vaskular atau angiogram.

Angiogram adalah jenis X-ray khas yang melibatkan doktor menyuntik pewarna kontra ke dalam arteri anda pada masa yang sama X-ray dilakukan. Doktor akan menyuntik jarum berisi pewarna ke dalam arteri besar pada kaki atau lengan anda. Kadangkala prosedur ini memerlukan penggunaan kateter.

Ujian lain yang mungkin dilakukan oleh doktor adalah ujian Allen. Ujian ini memeriksa aliran darah tangan anda. Hasil ujian yang positif boleh membantu doktor mendiagnosis Penyakit Buerger, tetapi ia juga boleh menunjukkan beberapa keadaan lain.

Faktor Risiko Penyakit Buerger

Penggunaan tembakau

Rokok meningkatkan risiko Penyakit Buerger. Penyakit Buerger lazim berlaku pada individu yang menggunakan sebarang bentuk tembakau, termasuklah cerut dan mengunyah tembakau.

Individu yang merokok menggunakan rokok mentah dan mereka yang merokok melebihi daripada satu pek atau separuh pek setiap hari mempunyai risiko paling besar untuk menghidap Penyakit Buerger. Kadar Penyakit Buerger berada pada tahap tertinggi di kawasan Mediterranean, Timur Tengah dan Asia di mana merokok merupakan tabiat yang biasa.

Penyakit gusi kronik

Jangkitan gusi jangka panjang boleh dikaitkan dengan perkembangan Penyakit Buerger, namun sebabnya adalah masih belum jelas.

Jantina

Penyakit Buerger cenderung berlaku pada golongan lelaki berbanding wanita. Walau bagaimanapun, perbezaan ini mungkin dikaitkan dengan kadar merokok yang lebih tinggi bagi golongan lelaki.

Umur

Penyakit ini sering kali berlaku dalam kalangan individu yang berumur di bawah 45 tahun.

Rawatan Penyakit Buerger

  • Berhenti merokok. Tidak ada ubat bagi menyembuhkan Penyakit Buerger. Walau bagaimanapun, faktor tunggal yang paling penting dalam menangani simptomnya dan menghalang perkembangannya adalah berhenti merokok.
  • Elakkan cuaca sejuk. Selain itu, dalam beberapa kes, kesakitan yang dialami boleh dikawal dengan mengelakkan cuaca sejuk.
  • Pembedahan ‘sympathectomy’. Dalam kes-kes yang jarang berlaku, kesakitan mungkin sangat teruk sehingga prosedur pembedahan sympathectomy perlu dilakukan untuk menghilangkan rasa sakit.
  • Minum banyak air dan kekal aktif. Selain itu, sesetengah individu melaporkan pengurangan simptom dengan cara meminum banyak cecair dan kekal aktif yang membantu meningkatkan peredaran darah mereka.

Kredit: Gambar diambil daripada https://forum.facmedicine.com/threads/buergers-disease-overview.28016/

SUMBER

https://www.healthline.com/health/thromboangiitis-obliterans

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/buergers-disease/symptoms-causes/syc-20350658

https://www.hopkinsvasculitis.org/types-vasculitis/buergers-disease/

Summary
Penyakit Buerger (Buerger Disease) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Penyakit Buerger (Buerger Disease) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Penyakit Buerger tidak boleh sembuh dan ia berpunca dari penggunaan tembakau seperti rokok, cerut dan tabiat mengunyah tembakau.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: