penyakit arteri periferal
Ia paling kerap terjadi kerana penambahan simpanan lemak di arteri.

Penyakit arteri periferal (Peripheral artery disease) atau PAD merujuk kepada penyakit saluran darah yang terletak di luar jantung dan otak. Ia paling kerap terjadi kerana penambahan simpanan lemak di arteri. Selain itu, PAD juga dikenali sebagai penyakit vaskular periferal (termasuk kedua-dua arteri dan urat).

Penyakit ini memberi kesan kepada saluran darah yang menyebabkan ia menjadi sempit, jadi ia akan menyekat aliran darah ke lengan, buah pinggang, perut dan kaki.

Dianggarkan seramai 8.5 juta orang di Amerika Syarikat mempunyai penyakit arteri periferal, dan ia telah menjejaskan kira-kira 12 hingga 20 peratus rakyat Amerika yang berumur melebihi 60 tahun.

Penyakit arteri periferal (PAD) adalah faktor risiko utama untuk serangan jantung dan strok. Malah, ia lebih biasa memberi kesan pada golongan Afrika-Amerika berbanding kumpulan perkauman yang lain. Golongan lelaki juga lebih berkemungkinan mengembangkan PAD berbanding wanita . Ia juga lebih banyak menyerang kelompok perokok.

Walaupun keadaan ini boleh membawa kesan serius, aktiviti fizikal dapat mengurangkan gejalanya secara mendadak.

Simptom Penyakit Arteri Periferal

Sesetengah orang berasa seperti terbakar atau kaku. Ada juga yang mempunyai penyumbatan yang teruk tanpa kesakitan sama sekali, dan ini biasanya terjadi kerana penyumbatan mengelilingi saluran darah.

Tanda-tanda dan gejala penyakit arteri periferal lain termasuklah:

  • Luka yang lambat sembuh.
  • Kaki lebih sejuk berbanding lengan.
  • Kulit berkilat di atas kaki.
  • Kehilangan bulu kaki.
  • Denyutan lemah di kaki.

Punca Penyakit Arteri Periferal

Penyakit arteri periferal sering terjadi kerana aterosklerosis. Dalam aterosklerosis, deposit lemak (plak) terbina di dinding arteri dan mengurangkan aliran darah anda.

Walaupun aterosklerosis biasanya bertumpu pada jantung, penyakit ini biasanya menjejaskan arteri di seluruh badan anda. Apabila ia berlaku pada arteri yang membekalkan darah kepada anggota badan, ia boleh menyebabkan penyakit arteri periferal.

Penyebab penyakit arteri periferal mungkin kerana keradangan darah, kecederaan pada anggota badan, anatomi yang luar biasa di ligamen atau otot ataupun pendedahan terhadap radiasi.

Diagnosis Penyakit Arteri Periferal

Doktor biasanya akan memeriksa “indeks pergelangan kaki-brachial” anda, yang akan membandingkan tekanan darah di pergelangan kaki dan lengan atas. Pengukuran tersebut sepatutnya sama. Jika tekanan darah di pergelangan kaki anda jauh lebih rendah, anda mungkin mempunyai penyakit arteri periferal.

Jika kes anda adalah lebih serius, anda mungkin akan menerima ujian sinar-X yang dipanggil angiogram untuk melihat lokasi penyumbatan tersebut dengan tepat. Doktor akan menyuntik pewarna ke dalam saluran darah untuk membantu menunjukkan apa yang sedang berlaku.

Faktor Risiko Penyakit Arteri Periferal

Faktor-faktor yang meningkatkan risiko anda mendapat penyakit arteri periferal termasuk:

  • Merokok.
  • Diabetes.
  • Obesiti (indeks jisim badan lebih daripada 30).
  • Tekanan darah tinggi.
  • Kolesterol tinggi.
  • Peningkatan umur, terutamanya selepas mencapai umur 50 tahun.
  • Sejarah keluarga dengan penyakit arteri periferal, penyakit jantung atau strok.
  • Tahap ‘homocysteine yang tinggi’ iaitu komponen protein yang membantu membina dan mengekalkan tisu.

Rawatan Penyakit Arteri Periferal

Rawatan untuk penyakit arteri periferal (Peripheral artery diseases)mempunyai dua matlamat utama iaitu:

  • Mengurangkan gejala seperti sakit kaki supaya anda dapat meneruskan aktiviti fizikal
  • Menghentikan perkembangan aterosklerosis di seluruh badan untuk mengurangkan risiko serangan jantung dan strok

Anda mungkin dapat mencapai matlamat ini dengan merubah gaya hidup, terutama pada peringkat awal penyakit arteri periferal. Sekiranya anda merokok, berhenti merokok adalah perkara paling penting yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko komplikasi anda.

Seterusnya, sekiranya anda mempunyai gejala atau tanda-tanda penyakit arteri periferal, anda mungkin memerlukan rawatan perubatan tambahan. Doktor mungkin akan memberikan ubat untuk mengelakkan pembekuan darah, menurunkan tekanan darah dan kolesterol serta mengendalikan sakit dan gejala lain.

Ubat-ubatan

  • Ubat kurangkan kolesterol. Anda boleh mengambil ubat kurangkan kolesterol yang dipanggil statin untuk mengurangkan risiko serangan jantung dan strok.

Matlamat bagi pesakit penyakit arteri periferal adalah untuk mengurangkan kolesterol lipoprotein berkepadatan rendah (LDL) atau kolesterol “buruk” kepada kurang 100 miligram per desiliter (mg / dL), atau 2.6 milimol per liter (mmol/ L). Ianya akan menjadi lebih rendah jika anda mempunyai faktor risiko tambahan bagi serangan jantung dan strok, terutamanya seperti diabetes atau aktiviti merokok yang berterusan.

  • Ubat tekanan darah tinggi. Jika anda juga mempunyai tekanan darah tinggi, doktor mungkin akan mempreskripsikan ubat untuk menurunkannya.

Bacaan tekanan darah, yang diberikan dalam milimeter merkuri (mm Hg), mempunyai dua nombor. Nombor atas dalam bacaan mengukur tekanan di arteri anda apabila jantung berdegup (tekanan sistolik). Nombor bawah dalam bacaan pula mengukur tekanan di arteri anda di antara denyutan (tekanan diastolik).

Matlamat bacaan tekanan darah anda hendaklah kurang daripada 130/80 mm Hg. Ini adalah panduan bagi sesiapa yang mempunyai penyakit arteri koronari, diabetes atau penyakit buah pinggang kronik. Mencapai 130/80 mm Hg juga merupakan matlamat untuk orang dewasa yang berumur 65 tahun ke atas dan individu dewasa yang lebih muda dari usia 65 tahun pula dengan 10 peratus atau risiko lebih tinggi mendapat penyakit kardiovaskular dalam tempoh 10 tahun akan datang.

  • Ubat untuk mengawal gula dalam darah. Jika anda mempunyai diabetes, ianya adalah penting untuk mengawal tahap gula darah (glukosa). Berbincanglah dengan doktor mengenai kadar gula dalam darah yang ingin dicapai dan apakah langkah-langkah yang diperlukan untuk mencapai matlamat ini.
  • Ubat-ubatan untuk mencegah pembekuan darah. Memandangkan penyakit arteri periferal berkaitan dengan aliran darah yang berkurangan pada anggota badan, ianya adalah penting untuk memperbaiki aliran tersebut.

Jadi, doktor mungkin menetapkan terapi aspirin setiap hari atau ubatan lain seperti clopidogrel (Plavix).

  • Ubat-ubatan bagi melegakan gejala. Ubat cilostazol dapat meningkatkan aliran darah ke anggota badan dengan menetapkan aliran darah nipis dan meluaskan saluran darah. Ia secara khusus dapat membantu merawat gejala-gejala ‘claudication’, seperti sakit kaki bagi mereka yang mempunyai penyakit arteri periferal. Kesan sampingan ubat ini termasuklah sakit kepala dan cirit-birit.

Alternatif lain selain cilostazol adalah pentoxifylline. Kesan sampingannya jarang berlaku, tetapi secara amnya ia adalah kurang efektif berbanding ubat cilostazol.

Angioplasti dan pembedahan

  • Angioplasti. Dalam prosedur ini, tiub berongga kecil (katerer) dimasukkan melalui saluran darah ke arteri yang terjejas. Di sana, belon kecil di hujung kateter dinaikkan untuk membuka semula arteri dan meratakan penyumbatan ke dinding arteri. Pada masa yang sama, ia meregangkan arteri supaya kekal terbuka untuk meningkatkan aliran darah.

Doktor juga boleh memasukkan kerangka jejaring yang disebut ‘stent’ di arteri untuk memastikan ia terbuka. Ini adalah prosedur sama yang digunakan doktor untuk membuka arteri jantung.

  • Pembedahan pintasan. Doktor mungkin membuat pintasan menggunakan sebuah graf dari bahagian badan lain atau saluran darah yang diperbuat daripada kain sintetik (buatan manusia). Teknik ini membolehkan darah mengalir sekitarnya atau memintas arteri yang disekat atau yang sempit.
  • Terapi trombolitik. Jika anda mempunyai bekuan darah yang menyekat arteri, doktor boleh menyuntik ubat pembekuan darah ke arteri anda pada titik beku untuk memecahkannya.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/peripheral-artery-disease/symptoms-causes/syc-20350557

https://www.medicalnewstoday.com/articles/188939

https://www.webmd.com/heart-disease/peripheral-artery-disease-of-the-legs#1

Summary
Penyakit Arteri Periferal (Peripheral artery disease) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Penyakit Arteri Periferal (Peripheral artery disease) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Penyakit arteri periferal (PAD) merujuk kepada penyakit saluran darah yang terletak di luar jantung dan otak.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: