penyakit addison
Penyakit Addison juga disebut sebagai penyakit kekurangan adrenal utama. Kesan penyakit ini ke atas individu ialah merencatkan aktiviti kelenjar adrenal yang berfungsi untuk menghasilkan hormon.

Salah satu cara untuk tubuh kekal seimbang adalah dengan pertolongan sejenis bahan kimia yang dikenali sebagai hormon yang mengawal selia pelbagai fungsi tubuh badan. Setiap buah pinggang terdapat kelenjar yang digelar adrenal kecil. Kelenjar ini menghasilkan hormon penting untuk kehidupan yang sihat. Namun, apabila ia tidak menghasilkan hormon yang cukup, penyakit yang digelar Addison akan menyerang individu tersebut.

Penyakit Addison adalah penyakit yang jarang berlaku. Hanya 1 daripada 100,000 individu dalam dunia menghidapinya. Ia boleh berlaku pada sebarang peringkat umur, tidak mengira jantina sama ada lelaki atau wanita.

Kebiasaannya, individu yang menghidap penyakit Addison boleh menjalani kehidupan seperti biasa jika mereka mengambil ubat preskripsi. Salah seorang presiden Amerika, iaitu John F. Kennedy menghidap penyakit ini.

Penyakit Addison juga disebut sebagai penyakit kekurangan adrenal utama. Kesan penyakit ini ke atas individu ialah merencatkan aktiviti kelenjar adrenal yang berfungsi untuk menghasilkan hormon. Hormon yang dipanggil kortisol dan aldosteron tidak dihasilkan dengan mencukupi.

Fungsi hormon kortisol adalah untuk membantu mengawal tahap gula dalam darah, mengawal metabolisme, mengurangkan keradangan, dan membantu pembentukan memori. Selain itu, ia juga mengawal garam, keseimbangan air dalam badan dan membantu mengawal tekanan darah.

Aldosteron pula membantu mengawal tekanan darah pada organ seperti ginjal dan usus besar untuk meningkatkan jumlah garam (natrium) yang diserap semula ke dalam aliran darah dan meningkatkan jumlah kalium yang dikeluarkan dalam air kencing. Aldosteron juga mengakibatkan proses penyerapan air bersama dengan natrium. Hal ini meningkatkan jumlah darah dan tekanan darah.

Simptom Penyakit Addison

Simptom penyakit Addison biasanya berlaku secara perlahan, selalunya mengambil masa selama beberapa bulan untuk muncul. Sering kali, simptom penyakit ini diabaikan sehinggalah penyakit ini menjadi semakin teruk. Simptom dan gejala penyakit ini termasuklah:

  • Keletihan yang melampau
  • Kulit menjadi gelap (hyperpigmentation)
  • Tekanan darah rendah, atau pengsan
  • Keinginan memakan makanan mengandungi garam (masin)
  • Tahap gula dalam darah rendah (hypoglycemia)
  • Mual, cirit-birit atau muntah (gejala gastrointestinal)
  • Sakit perut
  • Sakit otot atau sendi
  • Sering rasa haus
  • Kemurungan atau gejala tingkah laku yang lain

Kegagalan Adrenal Akut (Krisis Addisonian)

Kadangkala simptom dan gejala penyakit ini muncul secara tiba-tiba. Salah satunya adalah kegagalan akut adrenal (krisis addisonian). Simptom ini boleh membawa kepada kejutan yang boleh mengancam nyawa. Anda harus mendapatkan rawatan perubatan kecemasan jika anda mengalami tanda-tanda dan gejala berikut:

  • Badan berasa sangat lemah
  • Kekeliruan
  • Sakit di belakang atau kaki anda
  • Sakit perut, muntah dan cirit-birit yang teruk sehingga menyebabkan dehidrasi
  • Separa sedar atau pening

Selain itu, anda juga akan mengalami:

  • Tekanan darah rendah
  • Kandungan kalium yang tinggi (hyperkalemia) dan natrium rendah (hyponatremia) dalam badan.

Punca Penyakit Addison

Kebanyakan kes penyakit kekurangan adrenal utama adalah disebabkan oleh masalah kelenjar adrenal. Penyakit autoimun pula menyumbang kepada 70% daripada penyakit ini. Ia berlaku apabila sistem imun badan anda tersilap menyerang kelenjar adrenal yang sihat. Serangan autoimun ini memusnahkan lapisan luar kelenjar.

Bukan itu sahaja, jangkitan berpanjangan seperti tuberkulosis, HIV, dan beberapa jangkitan kulat juga boleh merosakkan kelenjar adrenal. Sel kanser yang merebak dari bahagian lain dalam badan ke kelenjar adrenal boleh menjadi salah satu punca penyakit kekurangan adrenal utama.

Walaupun keadaan ini jarang berlaku, kelenjar adrenal boleh cedera akibat dari jangkitan bakteria.

Selain itu, dalam beberapa kes lain, kelenjar adrenal juga boleh dipengaruhi oleh “kekurangan adrenal sekunder” yang berpunca dari masalah kelenjar pituitari atau  hipotalamus (kedua-duanya terletak di pusat otak). Kelenjar ini menghasilkan hormon yang berfungsi sebagai suis yang boleh menghidupkan atau mematikan pengeluaran hormon di seluruh badan. Hormon pituitari yang dipanggil adrenokortikotropik (ACTH) adalah suis yang menghidupkan pengeluaran kortisol dalam kelenjar adrenal. Fungsi ACTH adalah untuk mengawal tahap steroid hormon kortisol yang dikeluarkan dari kelenjar adrenal. Sekiranya tahap ACTH terlalu rendah, fungsi kelenjar adrenal akan dimatikan.

Diagnosis Penyakit Addison

Doktor akan berbincang dengan anda terlebih dahulu mengenai sejarah perubatan anda dan gejala yang anda alami. Seterusnya, anda akan menjalani beberapa ujian berikut:

  • Ujian darah. Ujian ini mengukur tahap darah serta kandungan natrium, kalium, kortisol dan hormon adrenokortikotropik (ACTH) yang merangsang korteks adrenal untuk menghasilkan hormonnya. Ujian darah juga boleh mengukur antibodi yang berkaitan dengan penyakit autoimun Addison.
  • Ujian rangsangan ACTH. Ujian ACTH mengukur tahap adrenokortikotropik (ACTH) dan kortisol dalam darah dan membantu doktor mengesan penyakit yang dikaitkan tahap kortisol dalam badan.
  • Ujian hipoglikemia disebabkan oleh insulin. Anda mungkin akan menjalani ujian ini jika doktor mengesyaki anda mengalami kekurangan adrenal akibat penyakit hipofisis (kekurangan adrenal sekunder). Ujian ini melibatkan pemeriksaan kandungan gula dalam darah (glukosa darah) dan tahap kortisol selepas suntikan insulin diberi.  Dalam keadaan tertentu, doktor mungkin akan melakukan ujian alternatif untuk mengesan kekurangan adrenal sekunder, seperti ujian rangsangan ACTH dos rendah, ujian rangsangan ACTH yang berpanjangan atau ujian rangsangan glukagon.
  • Ujian pengimejan. Doktor boleh menjalankan pemeriksaan tomografi berkomputer (CT) abdomen untuk memeriksa saiz kelenjar adrenal anda dan mengesan sebarang abnormal yang lain. Jika ujian menunjukkan anda mengalami kekurangan adrenal sekunder anda akan menjalani pemeriksaan MRI kelenjar pituitari pula.

Rawatan Penyakit Addison

Semua rawatan untuk penyakit Addison melibatkan ubat. Anda juga akan diberikan terapi penggantian hormon untuk memperbaiki tahap hormon steroid yang tidak dapat dihasilkan oleh badan anda. Sesetengah pilihan rawatan yang tersedia termasuklah ubat-ubatan kortikosteroid yang diberi secara oral seperti:

  • Hydrocortisone (Cortef), prednisone atau methylprednisolone untuk menggantikan kortisol. Hormon-hormon ini diberikan mengikut jadual untuk meniru paras penurunan dan kenaikan kortisol normal dalam badan anda selama 24 jam.
  • Fludrocortisone asetat berfungsi untuk menggantikan hormon aldosteron.

Selain itu anda juga harus mengubah diet harian anda. Anda perlu menambah banyak garam (sodium) dalam diet anda terutamanya jika anda ingin melakukan aktiviti berat, apabila cuaca panas atau jika anda mengalami gangguan gastrousus seperti cirit-birit.

Doktor juga akan mencadangkan peningkatan sementara dalam dos ubat anda jika badan anda menghadapi tekanan daripada sebarang jangkitan atau penyakit ringan.

Sekiranya anda sakit, mengalami muntah-muntah dan tidak dapat mengekalkan ubat oral, anda mungkin memerlukan suntikan kortikosteroid.

Cadangan rawatan lain yang disyorkan adalah:

  • Bawa kad amaran dan pakai gelang perubatan setiap masa. Kad kecemasan steroid dan kad identiti amaran perubatan akan memberitahu kakitangan perubatan kecemasan mengenai jenis penjagaan yang anda perlukan. Anda juga memerlukan pelan tindakan bertulis.
  • Simpan ubat tambahan yang berguna. Tidak mengambil ubat walaupun selama satu hari boleh membahayakan keadaan anda, jadi pastikan anda sentiasa menyediakan bekalan ubat di rumah, tempat kerja atau setiap kali anda melancong.
  • Bawa kit suntikan glukokortikoid. Kit ini mengandungi jarum suntikan dan  kortikosteroid untuk digunakan dalam kes kecemasan.
  • Sentiasa berhubung dengan doktor anda. Anda harus sentiasa berhubung dengan doktor anda untuk memastikan bahawa dos hormon pengganti yang anda ambil mencukupi tetapi tidak berlebihan. Jika anda mengalami masalah yang berterusan dengan ubat-ubatan anda, anda mungkin memerlukan penyesuaian dalam dos atau tempoh pengambilan ubat.
  • Lakukan pemeriksaan tahunan. Jumpa doktor atau pakar endokrinologi sekurang-kurangnya sekali setahun. Doktor akan mencadangkan pemeriksaan tahunan untuk beberapa penyakit autoimun yang anda alami.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/addisons-disease/symptoms-causes/syc-20350293#:~:text=Addison’s%20disease%2C%20also%20called%20adrenal,%2C%20often%2C%20too%20little%20aldosterone.

https://www.healthline.com/health/addisons-disease

https://www.webmd.com/a-to-z-guides/understanding-addisons-disease-symptoms

https://www.medicalnewstoday.com/articles/186236

Summary
Penyakit Addison (Addison Disease) - Simptom, Punca, Diagnosis dan Rawatan
Article Name
Penyakit Addison (Addison Disease) - Simptom, Punca, Diagnosis dan Rawatan
Description
Penyakit Addison juga disebut sebagai penyakit kekurangan adrenal utama boleh merencatkan aktiviti kelenjar adrenal anda.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: