Pengubahsuaian dos suntikan insulin
Pengubahsuaian dos suntikan insulin pada bulan puasa amat penting untuk pesakit kencing manis. Bagi golongan ini, pengambilan dos suntikan insulin adalah satu keperluan

Pengubahsuaian dos suntikan insulin pada bulan puasa amat penting untuk pesakit kencing manis dan satu keperluan. Bagi golongan ini, pengambilan dos suntikan insulin adalah satu keperluan untuk membolehkan sel dalam otot, lemak dan hati menyerap glukosa dalam darah bagi digunakan sebagai tenaga. Sel dalam tubuh kita memerlukan gula untuk diproses menjadi tenaga. Jadi, sekiranya anda adalah pesakit kencing manis, ini bermakna tubuh anda tidak menghasilkan insulin yang mencukupi atau adanya perintang terhadap pengaruh insulin.

Jadi, mari kita lihat sedikit panduan bagi pengubahsuaian dos suntikan insulin yang diubah suai bagi mereka yang dibenarkan berpuasa.

PERHATIAN: Ini adalah informasi yang diambil daripada ‘Public Health Malaysia’. Sila dapatkan maklumat yang lebih sahih daripada doktor anda sebelum sebarang pengubahsuaian dos suntikan atau ubat-ubatan.

1. Insugen Basal/ Insulatard (Insulin berwarna hijau)

  • Pengambilan pada hari biasa: Suntikan diambil sebelum waktu tidur.
  • Pengambilan pada hari berpuasa: Suntikan diambil sebelum waktu tidur. Tetapi, individu dinasihatkan untuk mengurangkan dos insulin sebanyak 20% daripada dos asal jika kerap mengalami ‘hypoglycaemia’ (kekurangan glukos dalam darah) pada waktu siang.

2. Glargine

  • Pengambilan pada hari biasa: Suntikan diambil pada waktu pagi dan petang.
  • Pengambilan pada hari berpuasa: Suntikan diambil pada waktu pagi dan petang. Tetapi, individu dinasihatkan untuk mengurangkan dos insulin sebanyak 20% daripada dos asal pada waktu pagi dan ubah dos asal (sama ada tambah atau kurangkan) pada waktu petang jika kerap mengalami ‘hypoglycaemia’ pada waktu siang.

3. Insugen Combo/ Mixtard (Insulin berwarna coklat)

  • Pengambilan pada hari biasa: Suntikan diambil pada waktu pagi dan petang.
  • Pengambilan pada hari berpuasa: Terbalikkan dos antara waktu pagi dan petang. Dos pagi diambil ketika berbuka puasa dan dos petang pula diambil semasa bersahur. Kurangkan dos ketika bersahur sebanyak 20 hingga 50% untuk mengelakkan keadaan ‘hypoglycaemia’ pada waktu siang.

4. Gabungan Insugen Rapid/ Actrapid (Insulin berwarna kuning) bersama Insugen Basal/ Insulatard (Insulin berwarna hijau) atau Glargine

  • Pengambilan pada hari biasa: Suntikan diambil pada waktu pagi, tengah hari, petang dan sebelum waktu tidur.
  • Pengambilan pada hari berpuasa: Tidak perlu mengambil suntikan pada waktu tengah hari. Dos pagi pula diambil pada waktu sahur dengan pengurangan dos sebanyak 25 hingga 50%. Bagi dos petang, ia seharusnya diambil ketika berbuka puasa. Seterusnya, dos sebelum tidur pula boleh dikekalkan atau dikurangkan sebanyak 20% jika ‘hypoglycaemia’ kerap berlaku pada waktu siang.

Pastikan anda sedia maklum bahawa dos seperti di atas adalah untuk individu yang dibenarkan berpuasa sahaja. Jika anda tidak dibenarkan berpuasa atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan, ikuti nasihat doktor kerana itu adalah terbaik buat anda. Jangan bersedih jika anda tidak dapat berpuasa, kerana masih banyak lagi ibadah lain yang anda boleh lakukan dalam bulan yang mulia ini.

Selain itu, sentiasa jaga kesihatan terutama dalam bulan puasa ini memandangkan kadar pengambilan makanan dan minuman dalam bulan ini adalah kurang daripada kebiasaan. Jika anda mengalami kesan yang negatif disebabkan berpuasa, maklumkan pada doktor serta merta kerana ibadah ini mungkin boleh mengganggu kesihatan anda.

Akhir sekali, selamat berpuasa kepada semua umat Islam di luar sana. Lakukan ibadan dengan sebaik mungkin tanpa perlu mengabaikan kesihatan kita.

SUMBER

https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/posts/pengambilan-insulin-semasa-menjalankan-ibadah-puasabulan-ramadan-adalah-bulan-ya/10154406502421237/

www.diabetesincontrol.com/recommendations-for-insulin-using-patients-when-fasting/

Summary
Pengubahsuaian dos suntikan insulin pada bulan puasa
Article Name
Pengubahsuaian dos suntikan insulin pada bulan puasa
Description
Pengubahsuaian dos suntikan insulin pada bulan puasa amat penting untuk pesakit kencing manis. Bagi golongan ini, pengambilan dos suntikan insulin adalah satu keperluan
Tagged: