Pengsan
Pengsan boleh berlaku sekiranya aliran darah ke otak anda berkurangan.

Pengsan (sinkope) adalah keadaan hilang kesedaran secara tiba-tiba akibat aliran darah yang rendah ke otak. Ia biasanya berlaku selepas sakit kepala yang ringan atau pening kepala. Beberapa penyebab kepada pengsan ialah kandungan gula dalam darah yang rendah, serangan panik, anemia, ketakutan dan banyak lagi.

 

Punca Pengsan

Pengsan mungkin berlaku kerana pelbagai faktor. Satu kejadian mudah yang juga dikenali sebagai serangan vasovagal atau sinkope jenis ‘neurally-mediated’ adalah jenis pengsan yang paling biasa. Ia paling banyak berlaku pada golongan kanak-kanak dan golongan belia. Berikut adalah antara punca yang menyebabkan individu pengsan.

  • Tekanan darah menurun

Serangan vasovagal berlaku kerana tekanan darah menurun dan menyebabkan pengurangan peredaran darah ke otak. Ini seterusnya menyebabkan individu hilang kesedaran. Lazimnya, serangan ini berlaku semasa keadaan berdiri dan sering didahului dengan rasa hangat, mual, sakit kepala yang ringan dan penglihatan yang seperti kekelabuan (grayout).

  • Berasa cemas, takut, sakit, tekanan emosi yang serius, lapar atau mengambil minuman keras atau dadah

Sekiranya keadaan sinkope itu berpanjangan, ia boleh mencetuskan kekejangan secara tiba-tiba. Anda mungkin mudah pengsan kerana rasa cemas, ketakutan, kesakitan, tekanan emosi yang serius, kelaparan atau pengambilan minuman keras atau dadah. Kebanyakan orang yang mudah pengsan tidak mempunyai masalah jantung atau neurologi (saraf atau otak).

  • Mempunyai masalah untuk mengawal tekanan darah

Selain itu, sesetengah individu mempunyai masalah dengan cara bagaimana badan mereka mengawal tekanan darah, terutamanya apabila mereka mengubah kedudukan daripada posisi baring atau duduk ke kedudukan berdiri dengan terlalu cepat. Keadaan ini dipanggil hipotensi postur dan mungkin cukup serius untuk menyebabkan seseorang itu pengsan. Jenis pengsan ini biasanya berlaku pada orang tua atau individu yang baru mendapat penyakit yang memerlukannya berada di tempat tidur secara berpanjangan ataupun pada individu yang mempunyai otot yang lemah.

 

Simptom Pengsan

Bergantung kepada punca yang boleh menyebabkan anda pengsan, anda mungkin mengalami beberapa atau kesemua gejala ini sebelum atau semasa kejadian seperti:

  • Pening.
  • Rasa lemah.
  • Berpeluh.
  • Penglihatan kabur, melihat bintik-bintik.
  • Sakit kepala.
  • Rasa seperti bilik sedang bergerak.
  • Rasa berdesing di dalam telinga.
  • Loya, muntah.
  • Tidak berdaya.
  • Rasa kesemutan atau kebas pada hujung jari dan di sekeliling bibir.
  • Kulit seperti warna kebiruan.
  • Sesak nafas.
  • Kawalan pembuangan bahan buangan yang lemah (kencing atau buang air besar yang tidak terkawal).

Berhubung dengan doktor anda mengenai keadaan pengsan jika anda mempunyai kejadian pengsan yang tidak dapat dijelaskan.

Ini adalah penting terutamanya jika kejadian itu berlaku semasa bersenam, semasa jantung sedang berdebar-debar (denyutan jantung yang tidak teratur), atau jika anda mempunyai sejarah keluarga yang pengsan berulang kali mahupun kematian secara mengejut.

 

Diagnosis Pengsan

Sekiranya anda mengalami kejadian pengsan, doktor anda akan memerlukan penerangan lengkap mengenai gejala dan keadaan yang merangkumi kejadian itu. Sebagai contoh, doktor mungkin bertanya:

  • Adakah kejadian ini berlaku secara tiba-tiba atau secara beransuran?
  • Adakah anda berdiri, duduk atau berbaring semasa anda pengsan?
  • Adakah anda dapat mengenal pasti gejala yang lain?
  • Berapa lamakah kejadian itu berlaku?
  • Adakah anda kembali normal dengan cepat selepas pengsan, atau adakah anda berasa keliru buat seketika?

Bagi melakukan diagnosis untuk mengetahui punca berlakunya pengsan, doktor akan melakukan beberapa ujian seperti:

  • Simulasi

Doktor anda mungkin akan cuba menghasilkan semula gejala-gejala pengsan dengan membuat simulasi menunjukkan keadaan di mana anda biasanya mengalami kejadian pengsan. Sebagai contoh, jika anda cenderung menjadi lemah selepas batuk, anda mungkin diminta untuk menanggung kesakitan secara paksa untuk melihat jika keadaan batuk ini boleh menyebabkan gejala pengsan itu. Denyutan nadi dan tekanan darah anda juga mungkin diambil semasa berbaring dan kemudian diambil sekali lagi dalam keadaan berdiri dengan cepat untuk melihat perubahan yang berlaku disebabkan kedudukan yang berbeza ini.

Kesemua penilaian ini mungkin dilakukan kepada kanak-kanak yang sihat atau golongan belia. Namun begitu, dalam beberapa kes, doktor anda mungkin ingin menilai anda dengan lebih lanjut untuk mengenal pasti masalah jantung atau otak.

  • Elektrokardiogram

Bagi penilaian jantung, ia biasanya bermula dengan elektrokardiogram (ECG) yang mengukur aktiviti elektrik jantung anda untuk mencari aritmia jantung (heart arrhythmias). Ujian lain seperti ujian senaman tekanan, monitor Holter atau ekokardiogram mungkin diperlukan untuk mengetepikan masalah jantung lain yang boleh menyebabkan individu jatuh tidak sedarkan diri.

  • Ujian kecondongan meja

Sekiranya ECG dan ujian jantung lain adalah normal tetapi doktor anda masih mengesyaki adanya kelainan jantung, doktor mungkin akan melakukan ujian kecondongan meja (tilt-table test). Ujian ini sering digunakan kerana sesetengah orang mempunyai gejala awal pengsan atau sebenarnya akan pengsan apabila kepala dan badan mereka condong ke sekitar 60 atau 70 darjah. Seseorang mungkin pengsan semasa dalam posisi condong disebabkan penurunan tekanan darah dan/ atau penurunan denyutan jantung. Sebaik sahaja orang itu diletakkan dalam posisi baring, aliran darah dan kesedaran akan pulih.

  • Elektroensepalogram

Dalam pada itu, sekiranya doktor anda mengesyaki bahawa anda pengsan disebabkan serangan secara tiba-tiba, doktor boleh melakukan elektroensepalogram (electroencephalogram) yang merekodkan aktiviti gelombang otak anda.

 

Faktor Risiko Pengsan

Risiko keadaan sinkope kardiovaskular meningkat dengan peningkatan usia. Individu yang paling berisiko adalah orang yang mempunyai keadaan seperti berikut:

  • Penyakit arteri koronari (saluran darah tersumbat ke jantung).
  • Kesakitan dada yang disebabkan oleh ‘angina’ (bekalan darah yang rendah ke jantung).
  • Serangan jantung terdahulu (penginfarkan miokardium).
  • Ventrikel yang tidak berfungsi (kelemahan dalam ruang pam jantung).
  • Kardiomiopati (masalah struktur pada otot jantung).
  • Elektrokardiogram yang tidak normal (ujian biasa untuk memeriksa irama jantung yang tidak normal).
  • Kejadian pengsan yang berulang dan berlaku secara tiba-tiba tanpa amaran.
  • Pengsan semasa melakukan aktiviti luar atau senaman.
  • Sesetengah kecacatan jantung secara semula jadi atau sindrom (seperti sindrom William).
  • Channellopathies (kecacatan sistem elektrik pada jantung) seperti sindrom ‘Long QT’ dan sindrom Brugada.

 

Rawatan Pengsan

Jika anda bersama seseorang yang telah tidak sedarkan diri, terdapat beberapa perkara yang perlu anda lakukan.

  • Posisi duduk

Jika dia dalam posisi duduk, berhati-hati bantu dia untuk berada dalam kedudukan yang bengkok, dengan keadaan kepala di antara lutut.

  • Posisi berbaring

Jika dia sedang berbaring, letakkan individu itu secara berbaring dan angkat kakinya lebih tinggi dari kepala. Pusingkan kepala dia ke tepi, supaya lidahnya tidak menghalang pernafasan dan juga agar muntah yang keluar tidak menyebabkan dia tercekik. Selain itu, anda boleh cuba untuk menyedarkan dia semula dengan meletakkan kain lap yang sejuk dan kering di muka atau leher. Sekiranya individu itu berasa sejuk, selimutkan dia.

  • Selepas sedar

Sebaik sahaja dia sedar, jangan biarkannya bangun dengan segera. Tinggikan kaki orang itu terlebih dahulu. Jika dia sedang berbaring, tunggu beberapa minit sebelum memintanya untuk duduk selama beberapa minit sebelum berdiri. Kemudian, anda harus bersedia untuk menyokong badan individu itu sekiranya dia pengsan lagi apabila mereka berdiri.

Jika anda mengalami kejadian pengsan, jenis rawatan yang ditawarkan oleh doktor bergantung kepada penyebab pengsan anda dan berapa kerap anda mengalaminya.

  • Pengsan yang tidak serius tidak perlu dirawat

Pengsan yang jarang berlaku dan tidak berkaitan dengan masalah jantung mungkin tidak perlu dirawat.

  • Pengambilan ubat tertentu

Anda juga mungkin akan diberikan ubat tertentu untuk mengatasi masalah asas yang boleh membuat anda pengsan. Sekiranya anda mempunyai degupan jantung yang tidak teratur, anda mungkin memerlukan perentak jantung (pacemaker).

  • Menggunakan hos sokongan

Dalam keadaan tertentu, anda mungkin diminta memakai hos sokongan yang membantu mengekalkan tekanan darah secara seimbang atau meningkatkan pengambilan garam yang dapat meningkatkan jumlah darah anda.

 

Langkah Pencegahan Pengsan

Sekiranya anda cenderung untuk pengsan dan dapat mengenal pasti sebarang keadaan yang boleh membuatkan anda pengsan, cuba untuk elakkannya. Sebagai contoh, anda mungkin perlu memastikan bahawa anda makan secara teratur untuk mengelak berasa lapar.

  • Elakkan berasa letih, persekitaran panas dan pengambilan minuman keras

Selain itu, perkara lain yang boleh membantu adalah dengan mengelakkan rasa letih yang berlebihan, persekitaran yang panas dan pengambilan minuman keras kerana kesemuanya boleh menyebabkan anda pengsan. Anda juga mungkin perlu belajar mengawal pernafasan supaya anda tidak bernafas terlalu cepat dan rasa sesak nafas apabila berasa cemas. Seterusnya, anda perlu bangun secara perlahan-lahan sekiranya ingin mengubah kedudukan daripada posisi berbaring.

  • Kemas kawasan sekeliling 

Banyak kejadian pengsan berlaku apabila bangun dari tempat tidur, jadi ianya penting untuk anda sentiasa mengemas kawasan di sekeliling tempat tidur. Pastikan tiada objek yang boleh terkena semasa anda jatuh.

  • Amalkan diet yang sihat

Untuk membantu mencegah pengsan, individu yang telah mempunyai catatan serangan berkaitan dengan jantung yang dikenali sebagai sinkopi neurokardiogenik haruslah mengamalkan diet untuk meningkatkan kadar garam, minum banyak air untuk mengelakkan dehidrasi dan mengekalkan jumlah darah. Serangan berkaitan jantung ini biasanya berlaku pada kanak-kanak dan belia. Selain itu, individu juga perlu melihat tanda-tanda amaran pengsan seperti pening, loya dan tangan berpeluh. Duduk atau berbaring dengan segera jika anda merasakan tanda-tanda amaran sebegitu.

  • Ubat-ubatan perlu diteliti semula

Ubat-ubatan yang diambil oleh warga tua yang pengsan perlu diteliti semula oleh doktor mereka dan diperiksa untuk sebarang masalah jantung atau neurologi yang serius. Golongan ini juga perlu berhati-hati apabila menukar kedudukan daripada posisi berbaring kepada posisi berdiri. Mengangkat badan secara perlahan-lahan membolehkan badan untuk menyesuaikan diri dengan kedudukan baru dan seterusnya meminimumkan peluang pengsan. Dehidrasi juga harus dielakkan bagi pesakit yang lebih tua.

SUMBER

https://www.healthline.com/health/types-of-syncope

https://www.medicalnewstoday.com/articles/182524

https://www.webmd.com/brain/understanding-fainting-basics

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/vasovagal-syncope/symptoms-causes/syc-20350527

Summary
Pengsan 'Sinkope' (Syncope) - Punca, Simptom, Diagnosis, Faktor Risiko, Rawatan dan Langkah Pencegahan
Article Name
Pengsan 'Sinkope' (Syncope) - Punca, Simptom, Diagnosis, Faktor Risiko, Rawatan dan Langkah Pencegahan
Description
Pengsan selalunya berlaku apabila kurangnya aliran darah yang mengalir ke otak. Ia boleh berlaku kepada sesiap sahaja dan tidak dapat diduga.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: