Pengalaman Ngeri Sewaktu Menghidap Demam Denggi Berdarah
Demam Denggi merupakan sejenis penyakit pembawaan nyamuk.

Di Malaysia, Demam Denggi bukanlah satu penyakit yang asing dalam kalangan masyarakat sejak bertahun-tahun yang lalu.

Demam Denggi merupakan sejenis penyakit pembawaan nyamuk. Nyamuk yang menyebarkan penyakit ini adalah nyamuk betina spesies Aedes Aegypti yang membiak dengan pesat. Nyamuk-nyamuk ini juga merupakan vektor kepada penyakit lain seperti Chikungunya, Demam Kuning dan Virus Zika. Demam Denggi berkembang luas di sepanjang kawasan tropika dan risikonya meningkat bergantung pada musim hujan, suhu, kelembapan serta proses pembandaran yang tidak dirancang.

Ia mengakibatkan spektrum penyakit yang luas. Ia boleh terdiri daripada penyakit subklinikal yang menyebabkan simptom seperti selesema yang teruk kepada individu yang dijangkiti. Dalam sesetengah kes, pesakit yang mengalami Demam Denggi yang teruk boleh mendapat beberapa komplikasi berkaitan oendarahan teruk, gangguan organ dan/atau kebocoran plasma darah. Demam Denggi yang teruk boleh meningkatkan kes kematian mengancam nyawa jika tidak dirawat dengan baik.

Berikut merupakan pengalaman saya sewaktu menghidap Demam Denggi Berdarah yang boleh dijadikan sebagai pengajaran kepada anda semua.

Ia merupakan antara mimpi buruk yang pernah saya alami. Waktu itu, saya sekeluarga melawat saudara kami di sebuah negeri di Pantai Timur. Dalam keadaan yang gembira dapat mengembara ke negeri lain, sesuatu yang tidak disangka pula menjejaskan percutian kami sekeluarga. Saya masih ingat lagi, di rumah saudara saya, ia bermula ketika saya sedang membaca buku di dalam bilik.

Secara tiba-tiba seluruh badan saya menggigil kesejukan dan suhu badan saya meningkat secara mendadak. Saya pun mengambil ubat tahan sakit bagi melegakan demam panas dan berehat seperti biasa. Tetapi pada keesokannya, demam datang kembali dan sendi-sendi berasa sangat sakit. Hari-hari berikutnya berlalu dengan saya mengalami demam panas yang berulang sehingga hampir 3-4 hari dan diikuti dengan kesakitan sendi-sendi badan serta kulit menjadi kemerahan dan sakit kepala yang teruk.

Berikut merupakan beberapa simptom-simptom yang saya alami:

  • Demam bersuhu tinggi secara tiba-tiba tanpa sebab (sewaktu membaca buku di dalam bilik)
  • Sakit kepala yang teruk
  • Sakit di belakang mata (mata berasa panas dan sengal, membuatkan saya kerap menutup mata atau tidur)
  • Kesakitan sendi dan otot yang teruk (mengehadkan pergerakan saya)
  • Keletihan (walaupun saya tidak melakukan sebarang aktiviti berat, saya berasa sangat letih termasuklah untuk bercakap dan menggerakkan kepala dan anggota badan lain)
  • Loya (lebih-lebih lagi apabila saya makan sesuatu)
  • Muntah (saya akan memuntahkan makanan yang saya makan)
  • Pendarahan ringan yang keluar dalam bentuk haid (perkara ini berlaku sewaktu di hospital)

Selama simptom muncul, pergerakan saya sangat terhad. Kebanyakan masa saya dihabiskan dengan terbaring di atas katil kerana setiap kali saya menggerakkan sendi-sendi saya, kesakitan yang teruk membuatkan saya menangis dan hanya memilih untuk berbaring sepanjang hari. Ubat-ubat tahan sakit merupakan rutin harian saya bagi mengawal demam dan kesakitan, walaupun kesannya adalah sementara kerana demam bersuhu tinggi akan kembali pada bila-bila masa. Tetapi ialah yang membantu melegakan keseksaan yang saya alami akibat kesakitan yang teruk pada seluruh badan.

Pada mulanya, kami semua mengesyaki ia sebagai demam biasa. Namun setelah demam panas yang saya alami berterusan hampir seminggu, jadi, pada satu malam keluarga saya telah membawa saya ke Hospital Besar berdekatan rumah saudara kami.

Sewaktu itu, saya berada dalam keadaan separa sedar kerana berasa sangat letih dan lesu disertai dengan sakit kepala yang teruk walaupun saya tidak melakukan sebarang aktiviti berat sepanjang hari. Selepas didiagnosis, saya terus dibawa ke bilik pemeriksaan dan dibaringkan di atas katil untuk diambil darah.

Namun, apa yang berlaku selepas itu adalah samar-samar, dan saya hanya menyedari saat saya disorong di atas kerusi roda menuju keluar dari bilik tersebut. Rupa-rupanya, saya disyaki menghidap Demam Denggi Berdarah dan dimasukkan ke wad pada waktu itu juga. Sepanjang saya berada di hospital, saya berada dalam keadaan separa sedar jadi saya tidak begitu mengingati situasi yang saya alami.

Seingat saya, tiada ubat yang diberikan oleh doktor untuk merawat keadaan saya melainkan ubat tahan sakit dan cecair intravena yang disuntik kepada saya sepanjang masa saya berada di sana. Doktor juga mengambil darah saya pada setiap hari dalam beberapa kali. Proses rawatan saya memakan masa selama seminggu dan saya diberikan cuti sakit sepanjang ketidakhadiran saya ke sekolah, ya saya masih bersekolah pada waktu itu. Pihak hospital hanya memberikan ubat tahan sakit untuk diambil selepas keluar dari hospital.

Walau bagaimanapun, selepas itu, saya masih mengalami simptom-simptom Demam Denggi seperti keletihan, kelesuan, loya, muntah-muntah dan sakit sendi pada setiap hari. Jadi, keadaan ini menyukarkan saya untuk meneruskan aktiviti harian saya seperti biasa. Berdiri atau duduk pun menjadi masalah bagi saya dan saya tidak dapat melakukannya dalam masa yang lama.

Pelbagai alternatif yang dilakukan untuk memulihkan keadaan saya ini, antaranya melalui petua tradisional. Ibu saya merawat saya dengan menyediakan beberapa petua tradisional yang telah banyak membantu saya memulihkan kembali tenaga dan kekuatan saya seperti biasa selepas rawatan di hospital.

Berikut merupakan beberapa petua yang dilakukan oleh ibu saya yang boleh membantu mengawal simptom Demam Denggi selepas rawatan di hospital.

Jus jambu segar

Buah jambu diperkaya dengan pelbagai nutrien seperti Vitamin C. Vitamin C merupakan sejenis vitamin yang membantu membina imuniti. Anda boleh menambah jus jamb uke dalam diet anda untuk merawat Demam Denggi. Selain itu, jus jambu juga boleh memberikan faedah kesihatan lain kepada anda. Ibu saya menyediakan segelas jus jambu tanpa gula untuk saya minum sebanyak 2 kali sehari. Rasa buah jambu yang enak digabungkan dengan kasih sayang seorang ibu, membangkitkan semangat saya untuk kembali pulih seperti biasa. Bukan itu sahaja, buah jambu boleh juga dimakan selain menjadikannya sebagai jus.

Biji Halba

Biji halba juga mengandungi pelbagai pelbagai nutrien yang membantu mengawal Demam Denggi. Apa yang ibu saya lakukan adalah, merendam biji halba ke dalam secawan air panas. Kemudian, ia dibiarkan sejuk dan saya diberi minum sebanyak 2 kali dalam sehari. Air biji halba kaya dengan vitamin C, K dan serat. Oleh itu, ia dapat meningkatkan imuniti dalam badan yang telah terjejas.

Makanan untuk meningkatkan imuniti

Sistem imun yang kuat membantu melawan simptom-simptom Demam Denggi dan pemulihan pasca-rawatan. Selain itu, imuniti yang kuat juga boleh mengurangkan simptom awal Demam Denggi. Saya masih ingat lagi ibu saya telah menambah bahan-bahan yang boleh meningkatkan imuniti dalam jumlah yang banyak ke dalam masakannya seperti limau, bawang putih, kunyit dan sebagainya untuk saya makan. Bahan-bahan makanan seperti ini banyak membantu proses pemulihan pasca-rawatan saya.

Minum banyak air

Air memberi banyak manfaat sewaktu mengalami Demam Denggi. Secara umum, badan akan kehilangan air yang banyak apabila demam panas. Selain itu, ia juga diperlukan untuk mengepam ‘virus’ yang berbahaya keluar daripada sistem tubuh, melalui pengeluaran air kencing. Dalam kes Demam Denggi, cecair intravena digunakan untuk membantu mengeluarkan virus yang dibawa oleh nyamuk Aedes dalam tubuh badan supaya pesakit segera sembuh dan simptom dikurangkan. Sewaktu saya menghidap Demam Denggi, saya disyorkan meminum banyak air yang boleh menggantikan elektrolit yang hilang. Jadi, ibu saya telah menyediakan berbotol-botol air mineral untuk saya minum sewaktu di hospital.

Petua-petua ini boleh diikuti selepas rawatan di hospital. Demam Denggi memerlukan rawatan perubatan segera oleh doktor dan pihak hospital supaya penyakit dapat dibendung daripada mengancam nyawa seseorang pesakit. Saya merupakan antara pesakit yang bertuah kerana telah mendapat rawatan awal bagi penyakit ini. Doktor yang merawat saya juga telah berkata kepada keluarga saya pada hari yang sama sewaktu didiagnosis dengan Demam Denggi bahawa, saya amat bertuah kerana telah didiagnosis awal. Sekiranya keadaan saya dibiarkan dalam 1-2 hari lagi, iaitu apabila simptom pendarahan pada hidung atau telinga muncul, mungkin saya mempunyai peluang yang tipis untuk hidup. Begitulah betapa pentingnya diagnosis awal oleh pakar perubatan yang bertauliah!

Oleh itu, anggaplah petua-petua ini sebagai rawatan sampingan di samping rawatan utama daripada pakar perubatan atau hospital.

Sumber:

https://www.healthline.com/health/dengue-hemorrhagic-fever

Summary
Pengalaman Ngeri Sewaktu Menghidap Demam Denggi Berdarah
Article Name
Pengalaman Ngeri Sewaktu Menghidap Demam Denggi Berdarah
Description
Di Malaysia, Demam Denggi bukanlah satu penyakit yang asing dalam kalangan masyarakat sejak bertahun-tahun yang lalu.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: