pendidikan

Finland seringkali dijadikan antara contoh negara yang mempunyai sistem pendidikan yang terbaik bertaraf dunia selain Jepun. Membandingkan sistem pendidikan di negara kita dengan Finland, masih banyak yang perlu kita contohi dari negara maju ini. 

Umum mengetahui, Finland adalah merupakan di antara negara-negara peneraju yang memiliki sistem pendidikan serta persekitaran pembelajaran yang sangat baik terutamanya untuk perkembangan kanak-kanak. 

Mari kita lihat 8 sebab mengapa sistem pendidikan Finland perlu dicontohi untuk penambahbaikkan ke dalam sistem pendidikan di negara kita khususnya. 

 8 Sebab Sistem Pendidikan Di Finland Perlu Dicontohi 

  1. Sistem Peperiksaan/Ujian/Penilaian

Pelajar di Finland tidak perlu bersengkang mata menelaah pelajaran demi peperiksaan. Di Finland, tiada sebarang peperiksaan/ujian yang spesifik seperti di negara kita (Ujian Pertengahan Tahun, Peperiksaan Akhir, Ujian Penilaian Sekolah Rendah dan lain-lain) yang dijalankan. 

Malah, ujian National Matriculation Exam untuk pelajar di tahun akhir sekolah menengah juga tidak wajib diambil. Sesiapa yang mahu boleh mengambil peperiksaan tersebut secara sukarela. 

Kanak-kanak di Finland digredkan menggunakan sistem yang di set oleh guru-guru mereka sendiri. Tiada tekanan untuk mendapatkan gred terbaik atau skor tertinggi. Ini membolehkan para pelajar menerokai bakat dan kelebihan diri mereka tanpa perlu bergantung terhadap pencapaian akademik semata-mata. 

  1. Persekitaran pembelajaran yang kondusif dan memberangsangkan semangat pelajar.

Konsep yang diamalkan adalah, pelajar perlu berasa selesa seperti berada di rumah sendiri ketika sedang belajar di sekolah. Ini menjadikan ruang pembelajaran mereka sangat kondusif, dan dihiasi dengan menarik untuk menaikkan semangat pelajar datang ke sekolah.

Suasana yang ceria serta guru-guru yang mesra dan mengenali anak muridnya (kerana jumlah pelajar yang sedikit) menyebabkan sekolah adalah antara tempat yang paling digemari oleh kanak-kanak.

  1. Menyediakan keperluan asas pelajar secara percuma.

Di Finland, pihak kerajaan menyediakan keperluan asas pelajar-pelajarnya secara percuma seperti makanan, kemudahan kesihatan, kaunseling psikologi, bimbingan secara individu dan macam-macam perkara lagi yang tidak ditawarkan oleh sistem pendidikan di negara kita. 

Inisiatif ini amat berguna terutamanya buat para pelajar yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah. Dengan sistem yang diamalkan oleh negara Finland, mereka yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan turut boleh merasai kemudahan pembelajaran seperti rakan-rakan yang lain.

Maka tiada pelajar yang tercicir dalam sistem pendidikan dan  pembelajaran di Finland.  

  1. Tahap Pendidikan.

Di Finland, kanak-kanak wajib didaftarkan untuk mengikuti sistem pendidikan di sekolah pada usia 7 tahun. Terdapat dua fasa persekolahan iaitu, sekolah rendah selama 6 tahun dan sekolah menengah selama 3 tahun. Kemudian, peringkat menengah atas (latihan teknikal) dan tertiari (universiti, politeknik dll).

Dalam 9 tahun pertama sesi persekolahan (6 tahun sekolah rendah, 3 tahun sekolah menengah), kanak-kanak akan dilatih dalam mata pelajaran yang berbeza bagi menyediakan mereka untuk latihan selanjutnya. Manakala, pendidikan prasekolah adalah tidak wajib di Finland tetapi dianggap sebagai hak untuk mendapat nurseri. 

Pelajar tidak wajib untuk meneruskan pendidikan sampai ke peringkat sekolah menengah. Pendidikan menengah atas dibahagikan kepada dua bahagian iaitu, umum dan professional. Pendidikan menengah atas di Finland memiliki program 3 tahun, di mana program tersebut menyediakan para pelajar untuk menduduki ujian matrikulasi bagi yang ingin memasuki universiti.

Selain itu, sistem pendidikan di Finland mempunyai pendidikan vokasional bagi yang ingin terus ke alam pekerjaan. Ia merupakan program praktikal bertempoh 3 tahun yang bertujuan menyediakan para pelajar untuk memasuki mana-mana bidang kerjaya yang diingini.

Manakala untuk kategori profesional, pelajar akan menjalani latihan profesional dan akan mendapat akses untuk mengamalkan profesion (OECD, 2003 dalam Institut Antarabangsa untuk Pendekatan Pendidikan, 2007).

Menarikkan?

  1. Sesi Persekolahan Bermula Lambat.

Di Malaysia, kanak-kanak seawal usia 5 tahun perlu bangun awal untuk ke sekolah. Bermacam-macam ragam yang boleh kita saksikan di awal pagi. Tetapi di Finland, sesi persekolahan bermula pukul 9 atau 9.45 pagi dan tamat diantara jam 2.00 petang ke 2.45 petang.

  1. Kerja Rumah (Homework) Kurang.

Berbeza dengan Malaysia, di Finland, guru-guru amat jarang memberikan kerja rumah untuk disiapkan. Cuti sekolah adalah waktu untuk bercuti dan dimanfaatkan dengan aktiviti-aktiviti berfaedah selain daripada menghadap buku menyiapkan kerja rumah. Tahukah anda,  mereka hanya menghabiskan masa setengah jam untuk kerja rumah dan juga tidak menghadiri tuisyen. 

  1. Guru Tidak Bertukar.

Guru yang sama ditugaskan untuk mengajar sepanjang 6 tahun sesi persekolahan untuk peringkat sekolah rendah. Ini untuk memudahkan guru mengetahui perkembangan pelajar dan memantau serta membimbing mereka. 

Selain itu, ikatan (bonding) para pelajar dengan guru akan erat dan dapat memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran. 

  1. Jadual Kelas Yang Tidak Padat. 

Tahukah anda, setiap sesi persekolahan di Finland hanya mempunyai beberapa kelas subjek sahaja dan beberapa kali waktu makan. Suasana persekolahan lebih santai. Bukan para pelajar sahaja, guru-guru juga tidak dibebankan dengan banyak kerja dan mempunyai persekitaran ruang bilik guru yang kondusif.

Kebajikan para guru dijaga dengan baik agar mereka dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelajar.

Penutup

Sistem pendidikan yang baik bukan sahaja membentuk generasi yang cemerlang namun membantu mereka untuk berkembang sebaiknya sebagai manusia. Walaupun dengan suasana dan jadual sekolah harian yang tidak sepadat negara lain, Finland tetap mengungguli carta antara negara yang mempunyai pencapaian yang terbaik. 

Sumber:

https://ms.thpanorama.com/articles/psicologa-educativa/sistema-educativo-finlands-14-caractersticas-de-su-xito.html

10 Sebab Utama Sistem Pendidikan Finland Terbaik Di Dunia

https://says.com/my/seismik/10-sebab-sistem-pendidikan-finland-terbaik-di-dunia

Tagged: