pendarahan hidung
Kebiasaannya, pendarahan hidung berlaku disebabkan trauma setempat.

Pengenalan

Pendarahan hidung yang berlaku secara spontan merupakan perkara biasa, terutamanya pada golongan kanak-kanak. Apabila membran mukus (tisu yang menghasilkan mukus dalam hidung) kering, berkerak atau retak dan kemudian terganggu dengan perbuatan mengorek hidung, ia mungkin berdarah.

Oleh sebab kedudukan hidung berada di tengah muka dan ia memiliki ketumpatan darah yang tinggi, kebanyakan daripada anda akan mengalami sekurang-kurangnya satu situasi hidung berdarah pada waktu tertentu sepanjang hidup anda.

Walaupun ia jarang menyebabkan keadaan kecemasan, dalam kes-kes yang jarang berlaku, ia boleh mengancam nyawa.

Kebiasaannya, ia berlaku disebabkan trauma setempat. Namun, ia juga boleh berpunca daripada benda asing, jangkitan hidung atau sinus dan penyedutan udara kering yang berterusan.

Selain itu, tumor dan malformasi vaskular juga boleh menyebabkan pendarahan hidung, namun keadaan ini  jarang berlaku.

Hidung adalah bahagian yang penuh dengan pembuluh darah, jadi, sebarang kecederaan kecil pada wajah boleh menyebabkan pendarahan hidung dengan mudah.

Penerangan

Simptom utama pendarahan hidung adalah darah keluar dari hidung yang boleh menjadi ringan atau berat. Darah selalunya akan keluar melalui lubang hidung (biasanya satu lubang hidung sahaja).

Sekiranya ia berlaku semasa anda berbaring, anda akan berasa seperti terdapat cecair di bahagian belakang tekak sebelum darah keluar dari hidung. Anda dinasihatkan untuk tidak menelan darah kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan rasa mual dan anda mungkin akan muntah. Pendarahan hidung yang teruk memerlukan perhatian perubatan segera. Malah, perkara lain yang perlu diperhatikan termasuklah:

  • Pendarahan berat
  • Palpitasi (degupan jantung yang tidak teratur)
  • Menelan sejumlah besar darah sehingga menyebabkan muntah
  • Menjadi pucat

Penyebab yang berkemungkinan

Kebanyakan pendarahan hidung yang berlaku adalah spontan. Ia berlaku tanpa diduga dan tidak mempunyai sebarang sebab. Tetapi, jika anda mengalami pendarahan hidung yang banyak, ia mungkin berlaku kerana:

  • Udara yang mengeringkan bahagian dalam hidung anda
  • Mencubit hidung atau menggosoknya terlalu keras
  • Demam
  • Menghembus hidung secara berulang
  • Kecederaan pada hidung anda
  • Alergi atau ubat alergi yang boleh mengeringkan hidung anda
  • Ubat lain yang anda ambil seperti ubat penipisan darah tertentu
  • Jangkitan sinus

Selain itu, terdapat juga kemungkinan pendarahan hidung yang dialami terjadi disebabkan oleh gangguan pendarahan, tetapi ia jarang berlaku. Sekiranya ia tidak berhenti atau anda mengalami banyak pendarahan dari gusi atau  luka kecil, maka anda perlu berjumpa doktor dengan segera. Gangguan pendarahan boleh menjadi serius kerana platelet dalam darah anda yang membantu membekukan darah semakin berkurangan atau tidak berfungsi langsung.

Apa yang boleh diharapkan di klinik

Sekiranya anda mendapatkan rawatan perubatan untuk pendarahan hidung, doktor anda akan menjalankan pemeriksaan fizikal untuk menentukan puncanya. Beliau akan memeriksa hidung anda untuk mengenalpasti sebarang tanda-tanda kehadiran objek asing dalam hidung. Selain itu, beliau juga akan bertanyakan soalan mengenai sejarah perubatan dan ubat-ubatan semasa yang anda ambil.

Beritahu doktor tentang sebarang simptom lain dan jika anda ada mengalami kecederaan baru-baru ini. Walau bagaimanapun, tiada ujian tunggal untuk menentukan punca . Jadi, doktor mungkin menggunakan ujian diagnostik untuk mencari puncanya. Ujian tersebut termasuklah:

  • Jumlah darah lengkap (CBC), yang merupakan ujian darah untuk memeriksa gangguan darah
  • Masa tromboplastin separa (PTT), merupakan ujian darah yang memeriksa berapa lama darah anda dibekukan
  • Endoskopi hidung
  • Imbasan CT hidung
  • X-ray wajah dan hidung

Rawatan

Rawatan untuk pendarahan hidung bervariasi bergantung kepada jenis dan penyebabnya. Teruskan membaca untuk mengetahui tentang rawatan bagi punca yang berbeza.

1. Pendarahan Hidung Anterior

Pendarahan hidung anterior berlaku apabila darah keluar dari bahagian depan hidung anda dan melalui lubang hidung. Anda boleh mengubati pendarahan hidung anterior di rumah sahaja. Semasa duduk, cuba tarik bahagian lembut hidung anda. Pastikan hidung anda ditutup sepenuhnya. Pegang hidung selama 10 minit, bersandar sedikit ke depan dan bernafas melalui mulut anda.

Jangan sesekali berbaring apabila cuba untuk menghentikannya. Berbaring boleh mengakibatkan anda tertelan darah dan ia boleh merengsakan perut anda. Lepaskan lubang hidung anda selepas 10 minit dan periksa hidung jika pendarahan telah berhenti. Ulangi langkah ini jika pendarahan masih berterusan.

Selain itu, anda juga boleh menggunakan mampatan sejuk di atas tulang hidung anda atau menggunakan penyembur hidung untuk menutup saluran darah kecil.

Berjumpalah doktor dengan segera jika anda tidak dapat menghentikannya sendiri. Ini mungkin petanda bahawa anda mempunyai pendarahan hidung posterior yang memerlukan rawatan yang lebih invasif.

2. Pendarahan Hidung Posterior

Jika anda mempunyai pendarahan hidung posterior, anda akan mengalami pendarahan dari bahagian belakang hidung anda. Dalam kes ini, darah cenderung mengalir dari belakang hidung ke dalam leher anda. Pendarahan hidung posterior jarang berlaku dan dianggap lebih serius berbanding anterior.

Selain itu, pendarahan hidung posterior tidak boleh dirawat di rumah. Hubungi doktor anda dengan segera atau pergi ke bilik kecemasan (ER) segera jika anda mengesyaki anda mengalami posterior.

3. Pendarahan hidung disebabkan objek asing

Sekiranya objek asing adalah punca hidung berdarah anda, doktor boleh mengeluarkan objek tersebut.

Cauterization

Teknik perubatan yang dipanggil cauterization juga boleh menghentikan hidung berdarah yang kerap atau berterusan. Doktor akan “membakar” saluran darah dalam hidung anda dengan alat pemanas atau nitrat perak, iaitu sebatian yang digunakan untuk mengeluarkan tisu.

Ataupun, doktor anda akan memasukkan kapas, kasa atau span ke dalam hidung anda. Beliau juga juga boleh menggunakan kateter belon untuk meletakkan tekanan ke saluran darah anda justeru dapat menghentikan pendarahan.

SUMBER

https://www.healthline.com/health/nosebleed#treatment

https://www.webmd.com/first-aid/causes-nosebleeds#1

https://www.medicalnewstoday.com/articles/164823.php

Summary
Pendarahan Hidung (Nosebleed)
Article Name
Pendarahan Hidung (Nosebleed)
Description
Pendarahan hidung yang berlaku secara spontan merupakan perkara biasa, terutamanya pada golongan kanak-kanak.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: