Pembedahan Buasir
Pembedahan buasir membuang pembuluh darah yang bengkak atau dikenali sebagai buasir di dalam atau di sekitar dubur dan rektum.

Pembedahan buasir membuang pembuluh darah yang bengkak atau dikenali sebagai buasir di dalam atau di sekitar dubur dan rektum.

Buasir sering mengakibatkan kesakitan dan ketidakselesaan terhadap pesakitnya. Sekiranya anda mengalami buasir dan ingin merawatnya, terdapat beberapa pilihan pembedahan yang berbeza untuk merawat buasir. Pembedahan biasanya bertujuan untuk menyekat bekalan darah atau mengeluarkan buasir.

Masa pemulihan untuk pembedahan buasir adalah berbeza-beza, tetapi bagi kebanyakan orang, ia boleh mengambil masa sekurang-kurangnya satu minggu.

Artikel ini akan membincangkan tujuan pembedahan buasir, jenis pembedahan yang berbeza dan masa pemulihan bagi pembedahan buasir.

Tujuan Pembedahan Buasir

Beberapa jenis pembedahan buasir termasuklah ligasi pita getah, pembekuan (coagulation), skleroterapi, ‘hemorrhoidectomy’ dan ‘hemorrhoid stapling’. Buasir atau ‘hemorrhoids’ (juga digelar sebagai ‘piles’) adalah urat yang bengkak di dalam atau di sekitar dubur dan bahagian bawah rektum.

Bergantung kepada lokasinya, terdapat dua jenis buasir iaitu buasir luaran (external hemorrhoids) dan buasir dalaman (internal hemorrhoids). Buasir luaran terbentuk di bawah kulit dubur, manakala buasir dalaman terbentuk dalam lapisan dubur dan bahagian bawah rektum.

Dalam kebanyakan kes, buasir berlaku tanpa gejala dan anda mungkin tidak dapat mengesannya. Dalam kes lain pula, gejala boleh menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan dan memerlukan rawatan.

Gejala buasir luaran adalah:

  • Gatal di sekitar dubur.
  • Rasa sakit di sekeliling dubur, terutamanya semasa duduk.
  • Terdapat benjolan di sekitar dubur.

Gejala buasir dalaman pula termasuklah:

  • Pendarahan semasa pergerakan usus (membuang air besar).
  • Buasir jatuh keluar dari dubur, yang dikenali sebagai ‘prolapse’.


Bentuk rawatan yang paling berkesan untuk buasir adalah melalui pembedahan buasir. Biasanya, ini merupakan pilihan atau jalan terakhir bagi pesakit yang mana gejalanya tidak bertindak balas terhadap terapi lain, seperti perubahan diet.

Tujuan pembedahan adalah untuk mengecutkan atau membuang buasir. Prosedur yang dilakukan biasanya melibatkan:

  • Mengeluarkan buasir.
  • Mengurangkan bekalan darah ke buasir.

Pembedahan boleh membantu gejala yang menyebabkan kesakitan ketara. Doktor boleh mengeluarkan buasir dengan cepat melalui prosedur ini. Walau bagaimanapun, pemulihan pembedahan boleh mengambil masa selama beberapa minggu.

Satu lagi kelebihan pembedahan adalah doktor boleh mengeluarkan beberapa buasir dalam satu masa sahaja.

Jenis Pembedahan Buasir

Terdapat beberapa jenis pembedahan buasir seperti yang dijelaskan di bawah:

– Ligasi Pita Getah

Prosedur ini bertujuan untuk mengubati pendarahan atau ‘prolapse’ buasir dalaman. Ia melibatkan pakar bedah meletakkan pita getah di sekitar pangkal buasir anda. Keadaan ini akan menyekat bekalan darah ke buasir itu, dan akhirnya menyebabkan buasir itu jatuh.

Kesan sampingan jarang berlaku tetapi termasuklah:

  • Pendarahan dari dubur.
  • Ketidakupayaan untuk mengeluarkan air kencing (pembendungan air kencing).
  • Jangkitan di kawasan dubur.
  • Kesakitan teruk yang tidak bertindak balas terhadap sebarang rawatan untuk melegakan sakit. Keadaan ini mungkin disebabkan getah yang digunakan terlalu dekat dengan kawasan di kanal dubur yang mengandungi rasa sakit.

– Pembekuan (Coagulation)

Pembekuan boleh merawat pendarahan bagi buasir dalaman yang tidak menonjol. Doktor akan menggunakan aliran elektrik atau cahaya infrared untuk membentuk tisu parut pada buasir anda. Tisu ini kemudian akan menyekat bekalan darah ke buasir, seterusnya menyebabkannya jatuh.

Kesan sampingan yang anda mungkin alami termasuklah:

  • Kesakitan yang teruk semasa prosedur dijalankan.
  • Pendarahan dari dubur.
  • Jangkitan di kawasan dubur.
  • Ketidakupayaan untuk membuang air kencing (pembendungan air kencing) yang sementara.

– Skleroterapi

Dalam prosedur ini, doktor akan menyuntik larutan kimia ke dalam buasir dalaman anda. Ia mematikan hujung saraf dan membantu melegakan kesakitan yang dialami pada buasir. Selain itu, ia juga akan membentuk tisu parut dan menyebabkan buasir jatuh.

Kesan sampingan yang mungkin anda alami adalah:

  • Bengkak.
  • Kemerahan.
  • Rasa sakit pada kawasan berhampiran urat yang disuntik.
  • Alahan terhadap larutan yang disuntik.
  • Rasa terbakar pada urat yang disuntik.
  • Kulit berubah warna.

– ‘Hemorrhoidectomy’

Pembedahan ‘Hemorrhoidectomy’ bertujuan untuk mengeluarkan buasir. Pakar bedah melakukan prosedur pembedahan buasir ini di hospital yang mana anda akan menerima sekatan tulang belakang (spinal block) atau anestetik tempatan.

Pakar bedah akan membuka dubur anda dan memotong buasir dengan lembut. Pemotongan dilakukan menggunakan pelbagai instrumen pembedahan seperti gunting pembedahan atau laser. Namun, kedua-dua alat ini mempunyai tahap kesakitan yang sama sahaja. Selepas mengeluarkan buasir dari tubuh anda, pakar bedah akan menutup luka, membiarkan luka terbuka atau gabungan dua kaedah ini.

Mengapa luka dibiarkan terbuka? Ia boleh terjadi kerana dua sebab iaitu luka itu sukar ditutup disebabkan lokasinya atau anda mempunyai keadaan kesihatan lain.

Kesan sampingan yang anda mungkin alami adalah:

  • Jangkitan.
  • Pendarahan dari dubur.
  • Pembocoran najis
  • Masalah membuang air kecil akibat kesakitan.

– ‘Hemorrhoid Stapling’

Pembedahan ini membantu merawat buasir dalaman yang telah berkembang pesat, atau menjadi ‘prolapse’. Walau bagaimanapun, ia tidak boleh dilakukan untuk merawat buasir luar.

Kebiasaannya, pakar bedah akan menggunakan anestetik untuk menjalankan prosedur pembedahan buasir ini. Seterusnya, pakar bedah akan menggunakan alat khas untuk mengubah buasir tersebut kepada posisi normal dalam kanal dubur, Bekalan darah akan berhenti disalurkan ke buasir dan menyebabkan saiznya berkurang secara perlahan.

Beberapa kajian telah menemui bahawa prosedur pembedahan buasir ini kurang menyakitkan berbanding pembedahan tradisional seperti ‘hemorrhoidectomy’. Malah, ia juga mungkin boleh pulih dalam masa yang singkat. Namun begitu, terdapat risiko yang tinggi bahawa keadaan tersebut akan berulang kembali.

Kesan sampingan yang anda mungkin alami:

  • Pendarahan.
  • Jangkitan.
  • Rekahan dubur (anal fissuring) – lapisan kanal dubur terkoyak.
  • Penyempitan dubur atau dinding rektum disebabkan oleh parut.
  • Buasir berulang kembali.

Pemulihan Selepas Pembedahan Buasir

Dalam tempoh pemulihan selepas pembedahan buasir, anda harus minum banyak air untuk membantu memulihkan keadaan anda. Masa pemulihan untuk setiap prosedur adalah berbeza. Prosedur yang mengehadkan bekalan darah ke buasir mengambil masa beberapa hari sebelum buasir jatuh. Luka pembedahan pula boleh mengambil satu hingga dua minggu untuk sembuh sepenuhnya.

Ligasi pita getah yang dijalankan pada buasir boleh dilakukan sebanyak dua hingga empat prosedur bagi mengeluarkan buasir sepenuhnya. Prosedur ini biasanya mengambil masa selama 6 hingga 8 minggu.

Begitu juga dengan tempoh pemulihan untuk prosedur pembedahan yang mengeluarkan buasir, ia adalah berbeza mengikut individu dan cara pembedahan.  Ia mungkin boleh mengambil masa selama satu hingga tiga minggu sebelum anda pulih sepenuhnya.

Selepas pembedahan buasir, anda boleh melakukan perkara berikut bagi membantu proses pemulihan anda:

  • Makan makanan kaya serat.
  • Elakkan duduk dalam tempoh yang lama.
  • Minum banyak air.
  • Mengamalkan mandian sitz.
  • Elakkan meregang atau memulas perut semasa pergerakan usus (buang air besar).
  • Elakkan mengangkat berat atau objek yang berat.

Kesimpulannya, semua jenis pembedahan buasir melibatkan prosedur yang selamat dan boleh merawat buasir dengan berkesan. Ia adalah pilihan yang baik jika rawatan lain tidak berjaya. Dalam kebanyakan kes, pemulihan penuh mungkin mengambil masa dalam satu hingga tiga minggu.

Komplikasi serius pembedahan jarang berlaku, tetapi anda mungkin mengalami pendarahan selepas pembedahan. Sekiranya pendarahan menjadi teruk, ianya adalah penting bagi anda untuk menghubungi dan berjumpa doktor dengan segera.

Sumber:

https://www.webmd.com/digestive-disorders/surgery-treat-hemorrhoids

https://www.healthline.com/health/hemorrhoid-surgery

https://www.uofmhealth.org/health-library/hw212391

https://www.medicalnewstoday.com/articles/324439

Summary
Pembedahan Buasir
Article Name
Pembedahan Buasir
Description
Pembedahan buasir membuang pembuluh darah yang bengkak atau dikenali sebagai buasir di dalam atau di sekitar dubur dan rektum.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: