Pelajar Terengganu Cipta i-ProD, Teknologi Untuk Jemur Keropok Keping

Pelajar terenganu

Sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut membangunkan satu sistem teknologi baharu, i-ProD, untuk menangani masalah yang dialami pengusaha keropok keping di negeri itu.

Disebabkan cuaca hujan yang tak menentu, ia mengakibatkan para pengusaha ini menghadapi masalah untuk menjemur keropok keping.

Sistem teknologi yang dinamakan ‘I Best Protection Device’ (i-ProD) dibangunkan oleh empat pelajar, Wan Ahmad Nu’man Wan Saidi, Muhammad Imdad Abdul Salam, Muqri Syamil Aiman Mazdi Amram, dan diketuai oleh Muhammad Amzar Najmi Saharuddin.

Muhammad Amzar berkata dengan kos hanya RM49, mereka mengambil masa sebulan untuk menyiapkan prototaip i-ProD.

Menariknya, inovasi yang dihasilkan mereka menggunakan kotak, batang aiskrim, lidi, sensor hujan, straw terpakai, dan beberapa alat sensor yang lain.

Pelajar itu juga berkata melalui sistem ini, mereka dapat menjemur keropok dengan lebih efisien tanpa memerlukan ramai tenaga kerja dan dapat mengurangkan risiko kerugian.

See Also
samsung

Tambahnya lagi, hasil soal selidik menunjukkan 96% pengusaha keropok keping mengakui keberkesanan operasi teknologi i-ProD.

Kata pelajar itu, untuk kegunaan industri, modal permulaan untuk memasang i-ProD agak mahal namun berbaloi untuk penggunaan jangka masa panjang.

Sumber : Bernama

error: Content is protected !!