sindrom ovari polisistik
Sindrom ovari polisistik (PCOS) adalah gangguan hormon yang paling biasa berlaku pada wanita dalam lingkungan umur yang boleh mengandung serta boleh menyebabkan masalah kesuburan

Sindrom ovari polisistik (PCOS) adalah gangguan hormon yang paling biasa berlaku pada wanita dalam lingkungan umur yang boleh mengandung serta boleh menyebabkan masalah kesuburan. Wanita yang mempunyai penyakit ini mempunyai tahap hormon lelaki yang lebih tinggi dan kurang sensitif kepada insulin atau perintang insulin.

Simptom Sindrom Ovari Polisistik (PCOS)

Tanda-tanda dan gejala PCOS ini kerap berkembang sekitar tempoh haid pertama semasa zaman akil baligh. Kadangkala, penyakit ini juga boleh berlaku pada peringkat kemudian. Sebagai contoh, sindrom ovari polisistik terjadi sebagai tindak balas kepada peningkatan berat badan yang besar.

Seterusnya, simptom penyakit ini adalah berbeza-beza. Diagnosis PCOS dibuat apabila anda mengalami sekurang-kurangnya dua tanda berikut:

  • Androgen yang berlebihan. Tahap peningkatan hormon lelaki boleh menyebabkan tanda-tanda fizikal seperti rambut dan bulu badan yang banyak (hirsutismhirsutisme). Ia juga kadangkala boleh menyebabkan jerawat yang teruk dan masalah kebotakan pola lelaki.
  • Ovari polisistik. Ovari anda mungkin mengalami pembesaran dan mengandungi folikel yang mengelilingi telur. Akibatnya, ovari mungkin gagal berfungsi seperti biasa.

Punca Sindrom Ovari Polisistik (PCOS)

Punca sebenar sindrom ovari polisistik masih tidak diketahui. Faktor-faktor yang mungkin memainkan peranan termasuk:

  • Insulin yang berlebihan. Insulin adalah hormon yang dihasilkan dalam pankreas bagi membolehkan sel-sel menggunakan gula sebagai bekalan tenaga utama badan anda. Sekiranya sel-sel anda menentang terhadap tindakan insulin, tahap gula darah anda boleh meningkat dan badan anda mungkin akan menghasilkan lebih banyak insulin. Kadar insulin yang berlebihan mungkin meningkatkan pengeluaran androgen dan menyebabkan masalah ovulasi.
  • Keradangan gred rendah. Istilah ini digunakan untuk menggambarkan penghasilan bahan-bahan darah putih untuk melawan jangkitan. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa wanita dengan sindrom mempunyai jenis keradangan gred rendah yang merangsang ovari polisistik untuk menghasilkan androgen. Ini seterusnya boleh menyebabkan masalah jantung dan saluran darah.
  • Keturunan. Penyelidikan menunjukkan bahawa gen tertentu mungkin dikaitkan dengan penyakit sindrom ovari polisistik.
  • Androgen yang berlebihan. Ovari yang menghasilkan androgen lebih banyak boleh menyebabkan hirsutisme dan jerawat.

Diagnosis Sindrom Ovari Polisistik (PCOS)

Tiada ujian boleh dilakukan untuk mendiagnosis sindrom ini secara tepat. Namun, doktor mungkin bermula dengan perbincangan sejarah perubatan anda, termasuk tempoh haid dan perubahan berat badan anda. Pemeriksaan fizikal termasuklah pemeriksaan tanda-tanda pertumbuhan rambut yang berlebihan, ketahanan insulin dan jerawat.

Doktor mungkin mengesyorkan:

  • Ujian pelvik. Doktor secara visual dan manual akan memeriksa organ-organ pembiakan anda untuk sebarang jisim, pertumbuhan atau keabnormalan lain.
  • Ujian darah. Darah anda boleh dianalisis untuk mengukur tahap hormon. Ujian ini boleh mengecualikan kemungkinan penyebab kelainan haid atau kelebihan androgen yang meniru sindrom ini. Di samping itu, anda mungkin perlu menjalani ujian darah tambahan untuk mengukur kadar toleransi terhadap glukos berserta tahap kolesterol dan trigliserida puasa.
  • Ultrabunyi. Doktor akan memeriksa penampilan ovari anda dan ketebalan lapisan rahim anda. Alat seperti tongkat (transduser) diletakkan di dalam vagina anda (ultrabunyi ‘transvaginal’). Transduser ini akan mengeluarkan gelombang bunyi yang diterjemahkan ke dalam imej pada skrin komputer.

Sekiranya anda didiagnosis dengan sindrom ovari polisistik, doktor mungkin mencadangkan ujian tambahan untuk mengesan komplikasi. Ujian tersebut boleh termasuk:

  • Pemeriksaan berkala bagi tekanan darah, toleransi glukos berserta tahap kolesterol dan trigliserida.
  • Pemeriksaan tanda kemurungan dan kerisauan.
  • Pemeriksaan tanda apnea tidur obstruktif.

Rawatan Sindrom Ovari Polisistik (PCOS)

Rawatan PCOS memberi tumpuan untuk menguruskan kebimbangan individu, seperti masalah ketidaksuburan, hirsutisme, jerawat atau obesiti. Rawatan khusus mungkin melibatkan perubahan gaya hidup atau pengambilan ubat.

Perubahan gaya hidup

Doktor boleh mengesyorkan anda menurunkan berat melalui pengamalan diet kalori rendah yang digabungkan dengan aktiviti senaman secara sederhana. Walaupun pengurangan berat yang sederhana dalam berat badan anda – sebagai contoh, kehilangan 5 peratus berat badan anda, ini mungkin dapat memperbaiki keadaan anda sekarang. Seterusnya, kehilangan berat badan juga boleh meningkatkan keberkesanan ubat-ubatan yang dicadangkan oleh doktor untuk merawat sindrom ini serta boleh membantu dengan masalah kemandulan.

Ubat-ubatan

Bagi mengawal kitaran haid anda, doktor mungkin mencadangkan:

  • Gabungan pil kawalan kelahiran. Pil yang mengandungi estrogen dan progestin dapat mengurangkan pengeluaran androgen dan mengawal kadar estrogen. Melaraskan hormon anda dapat menurunkan risiko kanser endometrium dan memperbaiki pendarahan yang tidak normal, pertumbuhan rambut yang berlebihan dan masalah jerawat. Berbanding pengambilan pil, anda mungkin menggunakan tompokan kulit atau gegelung faraj yang mengandungi gabungan estrogen dan progestin.
  • Terapi progestin. Pengambilan progestin selama 10 hingga 14 hari setiap satu hingga dua bulan dapat mengawal tempoh haid dan melindungi anda daripada kanser endometrium. Terapi progestin ini tidak meningkatkan tahap androgen dan tidak menghalang kehamilan. Progestin dalam bentuk pil kecil atau peranti intrauterin yang mengandungi progestin adalah pilihan yang lebih baik jika anda ingin mengelakkan kehamilan.

Bagi membantu anda dengan proses ovulasi, doktor mungkin mencadangkan:

  • Clomiphene (Clomid). Ubat anti-estrogen oral ini diambil semasa bahagian pertama kitaran haid anda.
  • Letrozole (Femara). Rawatan kanser payudara ini boleh berfungsi untuk merangsang ovari.
  • Metformin (Glukcofphajge, Fortamet, yang lain). Ubat oral bagi diabetes jenis 2 ini dapat meningkatkan daya rintangan insulin dan menurunkan kadar insulin. Jika anda tidak hamil selepas menggunakan clomiphene, doktor mungkin mengesyorkan anda menambah pengambilan metformin. Tambahan pula, jika anda mempunyai pradiabetes, metformin juga boleh melambatkan perkembangan diabetes jenis 2 dan membantu menurunkan berat badan.
  • Gonadotropin. Ubat hormon ini boleh diberikan melalui suntikan.

Seterusnya, bagi mengurangkan pertumbuhan rambut yang berlebihan, doktor mungkin mencadangkan:

  • Pil kawalan kelahiran. Pil ini akan mengurangkan pengeluaran androgen yang boleh menyebabkan pertumbuhan rambut secara berlebihan.
  • Spironolactone (Aldactone). Ubat ini menghalang kesan androgen pada kulit. Ia boleh menyebabkan kecacatan lahir, jadi pengambilan kontraseptif yang berkesan sangat diperlukan semasa mengambil ubat ini. Ubat ini tidak digalakkan untuk diambil jika anda sedang hamil atau merancang untuk hamil.
  • Eflornithine (Vaniqa). Krim ini boleh melambatkan pertumbuhan bulu muka pada wanita.
  • Elektrolisis. Jarum kecil dimasukkan ke dalam setiap folikel rambut. Ia kemudian akan mengeluarkan arus elektrik untuk merosakkan dan akhirnya memusnahkan folikel. Anda mungkin memerlukan beberapa rawatan sebelum ia menunjukkan kesan yang ketara.

SUMBER

https://www.healthline.com/health/polycystic-ovary-disease

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/pcos/symptoms-causes/syc-20353439#:~:text=Polycystic%20ovary%20syndrome%20(PCOS)%20is,fail%20to%20regularly%20release%20eggs.

https://www.medicalnewstoday.com/articles/265309

https://www.webmd.com/women/what-is-pcos

Summary
PCOS - Sindrom Ovari Polisistik (Polycystic ovary syndrome) - Simptom, Punca, Diagnosis dan Rawatan
Article Name
PCOS - Sindrom Ovari Polisistik (Polycystic ovary syndrome) - Simptom, Punca, Diagnosis dan Rawatan
Description
PCOS atau Sindrom ovari polisistik adalah gangguan hormon yang biasa berlaku pada wanita dalam umur yang boleh mengandung serta menyebabkan masalah kesuburan.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: