perlukah panic buying berlaku
'Panic buying' yang berlaku di seluruh negara menyebabkan masalah baharu kepada golongan yang berpendapatan rendah.

‘Panic buying’ atau membeli barangan terlalu banyak pada satu masa mula berlaku setelah kerajaan menetapkan arahan ‘Kawalan pergerakan’ selama 2 minggu.

Masyarakat mula berpusu-pusu ke pasar raya besar seperti Giant, Mydin, AEON termasuklah kedai-kedai runcit kecil untuk membeli barang keperluan mereka. Ia sebenarnya tidak salah memandangkan arahan yang dikeluarkan kerajaan itu menyekat pergerakan harian untuk keluar membeli barang.

Namun, apa yang menjengkalkan adalah bagaimana ada segelintir pihak yang mengambil keputusan untuk membeli barang keperluan dengan terlampau banyak tanpa berfikir akan orang lain. Apa yang menghairankan lagi adalah barangan yang dibeli kebanyakan cepat rosak seperti ayam, sayur, ikan, susu dan lain-lain lagi. Jadi, adakah mereka ini berfikir dengan rasional sebelum membeli atau adakah mereka hanya panik akan keadaan yang berlaku sekarang?

Malah, kejadian sebegini juga menunjukkan jurang antara rakyat di mana mereka yang berkemampuan akan membeli banyak barangan sekali gus meninggalkan hanya sedikit stok bagi mereka yang kurang berkemampuan. Jadi, adakah ia tindakan yang betul? Jika semuanya disapu oleh mereka yang berkemampuan, apa lagi yang tinggal buat masyarakat lain?

Walaupun anda berasa jengkel melihat individu tidak bertanggungjawab ini, elakkan membuat spekulasi awal yang mungkin salah dan boleh menjadi fitnah. Pastikan anda dapat membezakan apakah itu ‘panic buying’ dan apakah itu membeli barangan yang sama dalam kuantiti yang banyak.

Ada individu yang terpaksa membeli barangan secara pukal mungkin kerana mereka adalah peniaga kedai makan yang masih beroperasi (‘take away’ sahaja) ataupun mereka ini membeli untuk tujuan mendermakan sebahagiannya kepada golongan kurang bermampuan seperti anak yatim, warga emas, orang kurang upaya mahupun ibu tunggal. Dengan adanya media sosial, pelbagai berita boleh tersebar dengan pantas begitu sahaja. Jadi, jangan cepat buat spekulasi dan menyebarkannya di media sosial tanpa mengetahui keadaan sebenar.

Seterusnya, hal ini bukan sahaja berlaku di negara ini sahaja, malah turut berlaku di kebanyakan negara luar terutama apabila mereka juga perlu mengikuti arahan kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19 ini. Menurut akhbar TheStar, cara rakyat di German ‘panic buying’ adalah melalui pemborongan tisu tandas. Ia mungkin agak pelik kerana apakah kaitan tisu tandas dengan langkah pencegahan wabak ini?

Namun, kesemua aktiviti ‘panic buying’ ini masih tidak wajar dilakukan. Fikirkan tentang mereka yang kurang berkemampuan dan marilah bantu satu sama lain dalam keadaan sekarang. Janganlah kita menyusahkan lagi golongan sebegini. Perintah ‘Kawalan pergerakan’ bukanlah bermaksud anda tidak boleh keluar langsung, namun ia perlu dilakukan untuk mengurangkan jangkitan yang anda mungkin boleh dapat semasa berjumpa dengan orang lain di luar.

Jadi, beli apa yang perlu sahaja. Kerajaan sudah menjamin bahawa bekalan barangan adalah mencukupi bagi semua orang, jadi anda boleh sahaja keluar membeli barangan sekiranya perlu dengan menitik beratkan aspek kebersihan setiap masa.

SUMBER

  1. https://www.thestar.com.my/tech/tech-news/2020/03/23/covid-19-german-toilet-paper-calculator-takes-aim-at-virus-panic-buying
  2. https://www.worldofbuzz.com/covid-19-panic-buying-surges-throughout-msia-as-pm-announces-movement-controlled-order/
  3. https://www.bbc.com/worklife/article/20200304-coronavirus-covid-19-update-why-people-are-stockpiling
Summary
Article Name
‘Panic buying’: Adakah ia patut berlaku?
Description
‘Panic buying’ atau membeli barangan terlalu banyak pada satu masa mula berlaku setelah kerajaan menetapkan arahan ‘Kawalan pergerakan’ selama 2 minggu.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: