Panax Ginseng
Panax Ginseng adalah sejenis tanaman yang tumbuh di Korea, China, dan Siberia.

Pengenalan

Panax Ginseng memperbaiki pemikiran, tumpuan, ingatan, Alzheimer, kecekapan kerja, stamina fizikal, mencegah kerosakan otot dan daya tahan. Panax Ginseng adalah sejenis tanaman yang tumbuh di Korea, China, dan Siberia. Akarnya digunakan untuk menghasilkan ubat. Namun begitu, jangan terkeliru antara dengan ginseng Amerika, ginseng Siberia, atau ginseng pseudo Panax.

Segelintir individu menggunakan Panax Ginseng untuk membantu mereka mengatasi tekanan dan sebagai tonik umum untuk meningkatkan kesejahteraan. Kadangkala Panax Ginseng dipanggil sebagai “adaptogen” apabila ia digunakan untuk tujuan tersebut.

Selain itu ia juga digunakan untuk mengatasi kemurungan, kegelisahan, keletihan umum dan sindrom keletihan kronik (CFS – Chronic Fatigue Syndrome), sklerosis berbilang, meningkatkan sistem imunisasi tubuh, dan memerangi jangkitan tertentu dalam penyakit paru-paru yang digelar fibrosis sistik. Jangkitan tersebut disebabkan oleh bakteria Pseudomonas.

Sebahagian individu menggunakan Panax Ginseng untuk merawat kanser payudara dan mencegah kanser ovari, kanser hati, kanser paru-paru, dan kanser kulit.

Kegunaan lain termasuk rawatan anemia, bronkitis kronik, selesema babi, pradiabetes dan kencing manis, radang lapisan perut (gastritis), demam, mabuk, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), HIV / AIDS, masalah kesuburan dan disfungsi seksual dalam kalangan lelaki, meningkatkan rangsangan seksual pada wanita, dan asma.

Ia juga digunakan untuk merawat gangguan pendarahan, kehilangan selera makan, muntah, masalah usus, batu karang, nafas berbau, fibromyalgia, masalah tidur (insomnia), sakit saraf, sakit sendi, pening, sakit kepala, kehilangan pendengaran, kekejangan, gangguan kehamilan dan kelahiran anak, sensasi panas akibat menopaus, demam dan selesema, kegagalan jantung, tekanan darah tinggi, memperbaiki kualiti hidup, kedutan kulit, dan melambatkan proses penuaan.

Segelintir lelaki menggunakan Panax Ginseng pada kulit zakar sebagai sebahagian daripada produk  untuk merawat rangsangan awal (ejakulasi pramatang).

Dalam bidang perindustrian, ia digunakan dalam penghasilan sabun, barangan kosmetik, dan sebagai perasa minuman.

Kegunaan

Penyakit Alzheimer. Bukti menunjukkan bahawa pengambilan akar Panax Ginseng setiap hari selama 12 minggu dapat meningkatkan prestasi mental dalam kalangan individu dengan penyakit Alzheimer.

Penyakit paru-paru yang digelar penyakit paru-oaru obstruktif kronik (COPD). Mengambil Panax Ginseng melalui mulut dilihat dapat memperbaiki fungsi paru-paru dan beberapa simptom COPD.

Fungsi mental. Mengambil secara oral boleh memperbaiki pemikiran abstrak, kemahiran aritmetik mental, dan masa reaksi pada individu pertengahan umur yang sihat, tetapi bukan pada individu dewasa muda. Namun begitu, pengambilan tungga; tidak dapat meningkatkan daya ingatan. Tetapi terdapat beberapa bukti yang menunjukkan bahawa gabungan ekstrak daun Panax Ginseng dan ginkgo dapat meningkatkan daya ingatan dalam kalangan individu sihat yang berusia 38 hingga 66 tahun.

Disfungsi ereksi (ED). Pengambilan Panax Ginseng melalui mulut dilihat dapat meningkatkan fungsi seksual pada lelaki dengan disfungsi ereksi.

Selesema. Pengambilan tertentu secara oral dilihat dapat mengurangkan risiko demam atau selesema. Tetapi, pengambilan Panax Ginseng didapati tidak mengurangkan simptom dan tempoh demam.

Keletihan akibat sklerosis berbilang. Mengambil setiap hari selama 3 bulan boleh mengurangkan keletihan dan meningkatkan kualiti hidup wanita dengan sklerosis berbilang.

Ejakulasi pramatang. Menyapu krim yang mengandungi akar angelica, Cistanches deserticola, spesis Zanthoxyl, biji torlidis, bunga semanggi, akar asiasari, kulit kayu manis, dan racun kodok (Krim SS) pada zakar satu jam sebelum persetubuhan dan mencucinya segera sebelum melakukan persetubuhan dilihat dapat membantu mencegah ejakulasi pramatang.

Rangsangan seksual. Pengambilan serbuk ginseng merah Korea, sejenis Panax Ginseng, didapati meningkatkan keghairahan dan kepuasan seksual dalam kalangan wanita pascamenopaus. Selain itu, penggunaan produk tertentu yang mengandungi ginseng merah Korea dan bahan-bahan lain (ArginMax for Women, Daily Wellness Company) dilihat dapat memperbaiki keinginan seksual pada wanita yang dilaporkan mengalami masalah seksual.

Prestasi atletik. Mengambil Panax Ginseng melalui mulut sehingga 8 minggu tidak meningkatkan prestasi senaman.

Kehilangan ingatan yang berkaitan dengan usia. Pengambilan produk tertentu yang mengandungi Panax Ginseng dan bahan-bahan lain (Memo, Pharco Pharmaceuticals) melalui mulut selama 4 minggu meningkatkan daya ingatan pada orang tua dengan beberapa gangguan mental.

Kanser payudara. Penyelidikan yang dilakukan di China menunjukkan bahawa segelintir individu dengan kanser payudara yang dirawat dengan mana-mana jenis ginseng (Amerika atau Panax) mempunyai kualiti hidup yang lebih tinggi dan risiko kematian yang lebih rendah. Namun, hasil ini mungkin bukan daripada pengambilan Panax Ginseng. Peserta kajian ini turut dirawat dengan ubat antikanser tamoxifen yang dipreskripsikan. Jadi adalah sukar untuk mengetahui berapa banyak faedah yang boleh dikaitkan.

Jangkitan saluran udara dalam paru-paru (bronkitis). Mengambil ekstrak Panax Ginseng (G115) melalui mulut bersama antibiotik, mungkin lebih berkesan membunuh bakteria pada paru-paru individu yang menderita bronkitis buat jangka panjang berbanding rawatan antibiotik sahaja.

Kanser. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan Panax Ginseng melalui mulut dapat mengurangkan risiko beberapa jenis kanser, termasuk kanser perut, kanser paru-paru, kanser hati, kanser ovari, dan kanser kulit. Namun begitu, terdapat juga penyelidikan lain yang menunjukkan bahawa ia tidak mengurangkan risiko mendapat kanser. Tetapi beberapa kajian lain pula menunjukkan bahawa ia dapat melambatkan risiko kanser dan meningkatkan kualiti hidup pesakit kanser.

Keletihan yang berkaitan dengan kanser. Penyelidikan awal menunjukkan bahawa ia dapat mengurangkan keletihan dalam kalangan beberapa individu yang mengalami keletihan yang berkaitan dengan kanser.

Demam biasa. Terdapat beberapa bukti bahawa pengambilan ekstrak Panax Ginseng (G115) secara khusus dapat mengurangkan kemungkinan demam.

Kegagalan jantung. Pengambilan Panax Ginseng melalui mulut pada setiap hari, dengan atau tanpa ubat konvensional, dilihat dapat memperbaiki fungsi jantung.

Kencing manis. Terdapat bukti yang tidak konsisten mengenai kesan Panax Ginseng kepada pesakit kencing manis. Selain itu, sesetengah kajian menunjukkan pengambilan melalui mulut pada setiap hari dapat memperbaiki kadar bacaan gula dalam darah. Walau bagaimanapun, kajian lain pula menunjukkan bahawa pengambilan Panax Ginseng (AIPOP, Gangdown-Do, Korea) atau ginseng merah Korea, iaitu sejenis Panax Ginseng, melalui mulut tidak memberi kesan kepada kadar gula darah dalam kalangan individu yang menderita penyakit kencing manis.

Keletihan. Penyelidikan awal menunjukkan bahawa ia dapat mengurangkan keletihan dalam kalangan segelintir individu dengan keletihan kronik.

Fibromyalgia. Penyelidikan menunjukkan bahawa pengambilan ekstrak akar Panax Ginseng melalui mulut pada setiap hari selama 12 minggu tidak mengurangkan kesakitan, keletihan, kualiti tidur, kegelisahan, atau kualiti hidup pada individu dengan fibromyalgia.

Penyakit pundi hempedu. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan bersama ubat pundi hempedu selama 24 minggu tidak mengurangkan batu hempedu.

Nafas berbau. Penyelidikan awal menunjukkan bahawa pengambilan ginseng merah Korea, iaitu sejenis Panax Ginseng, setiap hari selama 10 minggu dapat membantu mengurangkan bau mulut. Ini berlaku terutamanya pada individu yang mengalami ulser perut akibat jangkitan H. pylori.

Mabuk alkohol. Kajian menunjukkan bahawa meminum minuman yang mengandungi ekstrak Panax Ginseng dan memakan sebiji keju dalam masa 5 minit setelah minum alkohol boleh menurunkan kadar alkohol dalam darah dan mengurangkan simptom mabuk.

Hilang pendengaran. Penyelidikan awal menunjukkan bahawa mengambil Panax Ginseng selama 14 hari dapat mengurangkan gangguan pendengaran sementara yang disebabkan oleh bunyi yang terlalu kuat. Tetapi ia mungkin kurang berkesan berbanding penggunaan N-asetil cysteine bagi mencegah kehilangan pendengaran sementara yang disebabkan oleh bunyi yang terlalu kuat.

HIV. Bukti awal menunjukkan bahawa ginseng merah Korea mungkin memperbaiki fungsi imunisasi badan. Tetapi ia tidak mempengaruhi jumlah virus HIV yang berada dalam darah individu dengan HIV.

Tekanan darah tinggi. Terdapat bukti yang tidak konsisten tentang kesan Panax Ginseng terhadap tekanan darah pada individu dengan tekanan darah tinggi. Beberapa penyelidikan awal menunjukkan bahawa pengambilan dalam tiga dos yang dibahagi setiap hari selama 8 minggu dapat mengurangkan sedikit tekanan darah pada individu dengan tekanan darah tinggi. Tetapi pengambilan produk tertentu (Ginseol K-g1) setiap hari selama 8 minggu tidak mengurangkan tekanan darah pada individu dengan tekanan darah tinggi.

Pradiabetes. Mengambil ginseng merah bersama cheonggukjang Korea, sejenis pasta kacang soya yang diperam, dapat mengurangkan kadar gula darah sebelum makan pada individu yang menghidap pradiabetes. Mengambil Panax Ginseng yang diperam juga dapat mengurangkan kadar gula darah selepas makan dan meningkatkan keberkesanan insulin selepas makan pada individu yang menghidap pradiabetes.

Kemandulan lelaki. Prostat bengkak yang disebabkan oleh jangkitan Chlamydia telah dikaitkan dengan penurunan kesuburan lelaki. Penyelidikan awal menunjukkan bahawa mengambil produk tertentu yang mengandungi Fertimev bersama antibiotik dapat meningkatkan kepekatan sperma dan pergerakan sperma pada individu dengan prostat bengkak yang disebabkan oleh Chlamydia.

Ingatan. Mengambil ekstrak Panax Ginseng (G115) bersama vitamin, mineral, dan dimetilaminoetanol bitartrate dapat meningkatkan daya ingatan pada individu yang mengalami masalah ingatan.

Simptom menopaus. Ia didapati boleh memperbaiki beberapa, tetapi bukan semua, simptom yang berkaitan dengan menopaus. Sesetengah penyelidikan awal menunjukkan bahawa Panax Ginseng dapat meningkatkan kualiti hidup dan memperbaiki simptom menopaus, seperti keletihan, insomnia, dan kemurungan pada wanita pascamenopaus. Ia juga dilihat dapat menurunkan kadar kolesterol pada wanita pascamenopaus. Namun begitu, terdapat kekeliruan hasil kajian sama ada ia dapat mengurangkan sensasi panas atau tidak. Walau bagaimanapun, Panax Ginseng dilihat tidak dapat meningkatkan daya ingatan atau tumpuan pada wanita pascamenopaus.

Kualiti hidup. Walaupun segelintir kajian menunjukkan bahawa Panax Ginseng dapat meningkatkan kualiti hidup, terdapat juga kajian lain yang tidak menunjukkan sebarang manfaat.

Kulit berkedut. Penyelidikan awal menunjukkan bahawa mengambil akar ginseng merah Korea bersama Torilus fructus dan Corni fructus setiap hari selama 24 minggu dapat mengurangkan kedutan kulit. Tetapi ia didapati tidak mempengaruhi kelembapan, keanjalan, ketebalan, atau warna kulit.

Lebih banyak bukti diperlukan untuk menilai Panax Ginseng bagi kegunaan ini:

  • Kemurungan.
  • Kebimbangan.
  • Anemia.
  • Pengekalan cecair.
  • Keradangan perut dan masalah pencernaan lain.
  • Sindrom keletihan kronik (CFS).
  • Demam.
  • Selsema babi.
  • Masalah tidur (insomnia).
  • Gangguan kehamilan dan kelahiran anak.
  • Kejang.
  • Gangguan pendarahan.
  • Hilang selera makan.
  • Kesakitan saraf.
  • Sakit sendi.
  • Pening.
  • Penuaan.
  • Keadaan-keadaan lain.

Kesan Sampingan

Panax ginseng MUNGKIN SELAMAT apabila digunakan pada kulit dalam jangka pendek.

Ia MUNGKIN TIDAK SELAMAT apabila diminum dalam jangka masa panjang (lebih dari 6 bulan). Para penyelidik berpendapat bahawa ia mungkin mempunyai beberapa kesan sampingan terhadap hormon yang berbahaya. Jadi penggunaannya secara berpanjangan adalah tidak digalakkan.

Kesan sampingan yang paling biasa:

  • Masalah tidur (insomnia).

Kesan sampingan yang kurang biasa:

  • Masalah haid
  • Sakit payudara
  • Peningkatan degupan jantung
  • Tekanan darah tinggi atau rendah
  • Sakit kepala
  • Kehilangan selera makan
  • Cirit-birit
  • Gatal-gatal
  • Ruam
  • Pening
  • Perubahan emosi
  • Pendarahan fara
  • Kesan sampingan lain.

Kesan sampingan yang jarang yang dilaporkan:

  • Ruam teruk yang disebut sindrom stevens-johnson
  • Kerosakan hati
  • Reaksi alahan yang teruk.
  • Kehamilan dan ibu menyusu: Ia MUNGKIN TIDAK SELAMAT jika diminum semasa hamil. Salah satu bahan kimia dalam Panax ginseng didapati boleh menyebabkan kecacatan kelahiran pada haiwan. Jadi, jangan gunakan jika anda hamil.

Namun, keselamatan semasa menyusu bayi masih belum diketahui sepenuhnya. Tetap di sisi yang selamat dan elakkan penggunaan.

  • Bayi dan kanak-kanak: Panax ginseng SANGAT TIDAK SELAMAT bagi bayi dan kanak-kanak. Menggunakannya pada bayi dikaitkan dengan keracunan yang boleh membawa maut. Walau bagaimanapun, keselamatan Panax ginseng pada kanak-kanak yang lebih tua adalah masih tidak diketahui. Oleh itu, sehingga lebih banyak maklumat diketahui, jangan gunakan walaupun pada kanak-kanak yang lebih tua.

“Penyakit autoimun” seperti sklerosis berbilang, lupus (lupus erythematosus sistemik, SLE), rheumatoid arthritis (RA), atau keadaan lain: Panax ginseng didapati boleh meningkatkan aktiviti sistem imun. Keadaan ini mungkin menjadikan penyakit auto-imun lebih teruk. Jangan guna jika anda mempunyai keadaan auto-imun.

Pendarahan: Panax ginseng didapati mengganggu pembekuan darah. Jangan gunakan jika anda mengalami pendarahan.

Keadaan jantung: Panax ginseng boleh mempengaruhi irama jantung dan tekanan darah pada hari pertama ia digunakan. Namun, kebiasaannya tidak ada sebarang perubahan jika digunakan secara berterusan. Walau yang demikian, ia belum dikaji pada individu yang menderita penyakit kardiovaskular. Gunakan dengan berhati-hati jika anda menghidap penyakit jantung.

Kencing manis: Panax ginseng boleh menurunkan gula darah. Bagi penghidap kencing manis yang mengambil ubat untuk menurunkan gula darah, pengambilannya mungkin menurunkan gula darah dengan terlalu banyak. Pantau gula darah anda dengan teliti jika anda menghidap kencing manis dan turut menggunakan Panax ginseng.

Keadaan hormon sensitif seperti kanser payudara, kanser rahim, kanser ovari, endometriosis, atau fibroid rahim: Panax ginseng mengandungi bahan kimia (ginsenosides) yang boleh bertindak seperti estrogen. Sekiranya anda mempunyai keadaan yang mungkin dijejaskan akibat pendedahan terhadap estrogen, jangan gunakannya.

Masalah tidur (insomnia): Dos Panax ginseng yang tinggi telah dikaitkan dengan insomnia. Sekiranya anda mengalami masalah tidur, gunakan dengan berhati-hati.

Pemindahan organ: Panax ginseng mungkin menjadikan sistem imun anda lebih aktif. Ini boleh mengganggu keberkesanan ubat-ubatan yang diberikan setelah pemindahan organ untuk mengurangkan kemungkinan penolakan organ. Sekiranya anda telah menjalani pemindahan organ, jangan gunakannya.

Skizofrenia (gangguan mental): Dos yang tinggi telah dikaitkan dengan masalah tidur dan pergolakan dalam kalangan individu dengan skizofrenia. Berhati-hatilah ketika menggunakan Panax ginseng jika anda menghidap skizofrenia.

Interaksi Panax Ginseng

Doktor menasihatkan agar seseorang tidak mengambil bersama ubat-ubatan antidepresan yang digelar monoamine oxidase inhibitor (MAOIs). Pengambilan antidepresan ini bersama Panax ginseng boleh menyebabkan episod dan gegaran manik.

Panax Ginseng dapat mengubah kesan ubat-ubatan tekanan darah, kencing manis, dan jantung, termasuk penyekat saluran kalsium seperti nifedipine. Jangan sekali-kali menggunakan bersama ubat-ubatan tersebut tanpa berjumpa doktor terlebih dahulu.

Ia juga dapat meningkatkan risiko pendarahan jika diambil bersama ubat pencair darah, seperti warfarin atau aspirin.

Ia boleh meningkatkan kesan kafein dan perangsang lain dan menyebabkan degupan jantung yang cepat serta kemungkinan berpeluh atau insomnia. Ia juga dapat menghilangkan kesan morfin.

Dos Panax Ginseng

Tiada dos tunggal yang disyorkan.

Sebagai contoh, dalam kajian tahun 2018 yang menilai 91 ujian klinikal mengenai kesan Penax ginseng terhadap pelbagai keadaan kesihatan melaporkan bahawa dos dan cadangan yang sesuai sukar disimpulkan kerana kepelbagaian percubaan. Dalam ujian klinikal ini, dos antara 0.2 g hingga 9 g Panax ginseng setiap hari selama empat hingga 24 minggu telah digunakan.

Walaupun ia dapat meningkatkan tenaga anda dan membantu anda menguruskan keadaan kesihatan tertentu, jika anda mempertimbangkan untuk mengambilnya, adalah penting untuk berjumpa dengan doktor atau ahli farmasi anda terlebih dahulu.

SUMBER

https://www.webmd.com/vitamins/ai/ingredientmono-1000/panax-ginseng

https://www.verywellhealth.com/the-benefits-of-ginseng-89219

https://www.medicalnewstoday.com/articles/262982#interactions

Summary
Panax Ginseng (Masalah kesihatan keseluruhan) - Kegunaan, Kesan sampingan dan Interaksi
Article Name
Panax Ginseng (Masalah kesihatan keseluruhan) - Kegunaan, Kesan sampingan dan Interaksi
Description
Panax Ginseng memperbaiki pemikiran, tumpuan, ingatan, Alzheimer, kecekapan kerja, stamina fizikal, mencegah kerosakan otot dan daya tahan.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: