Pakaian Tradisional

Pakaian tradisional melayu atau busana klasik melayu sangat cantik dipakai wanita kerana dapat menonjolkan sifat sopan serta aura keayuan seseorang.

Apabila bercakap tentang pakaian tradisional melayu, pasti ramai yang menggambarkan Baju Kurung dan Baju Melayu, walhal istilah pakaian tradisional Melayu itu jauh lebih luas daripada itu. Sisi pemakaian busana tradisional Melayu sebenarnya memiliki kepelbagaian yang tersendiri.

Musim raya hampir tiba, tinggal beberapa hari sahaja lagi Aidilfitri bakal menjelma dan disambut umat Islam untuk meraikan kemenangan setelah cukup sebulan berpuasa.

Adalah menjadi kewajipan bagi yang berkemampuan memakai dan menggayakan pakaian baharu di pagi raya. Bagi kaum wanita diluar sana tu, sudah adakah pilihan baju raya yang berkenan di hati?

Kalau belum, kami sesungguhnya amat bersenang hati untuk menyajikan kamu dengan beberapa idea pakaian tradisional Melayu klasik yang bukan sahaja cantik, tetapi juga sopan -khas buat kaum hawa sekalian.

Pakaian Tradisional Melayu: Kebarung

Merupakan sejenis kebaya yang sering digayakan wanita dahulu kala. Kebarung memiliki rekaan yang sedikit longgar berbanding Kebaya biasa.

Bahkan, ia tidak mempunyai sebarang potongan pinggang. Sangat sesuai untuk semua jenis bentuk tubuh badan, baik yang bertubuh genit mahupun yang berisi.

Busana Kebarung akan kelihatan lebih indah seandainya ia dipakai bersama kain sarung seperti batik mahupun pelekat. Sebagai aksesorinya pula, Kebarung biasanya ditemani perhiasan berupa kerongsang ibu dan anak yang akan disemat kemas pada bahagian dada baju.

Jika kamu merupakan gadis urban yang berjiwa klasik, boleh cuba cetuskan kelainan dengan menggayakan kebarung bersama seluar palazzo. Mana tahu kalau-kalau kamu boleh menjadi “trendsetter” pula nanti.

Helah untuk kelihatan lebih ayu dalam persalinan Kebarung adalah dengan memakai Kebarung yang labuh. Lebih labuh, lebih ayu tau!

Pakaian Tradisional Melayu: Kurung Cekak Musang

Jangan tak tahu, Baju Kurung juga ada dalam pilihan dengan perincian Cekak Musang. Rekaan ini adalah dipopularkan menerusi penggayaan wanita-wanita asal Johor dan Kepulauan Riau.

Seperti Baju Melayu lelaki, kurung jenis Cekak Musang memiliki potongan leher yang berkolar tinggi. Ia dihiasi kemas dengan jahitan butang menegak dari bahagian dada sehingga ke pangkal leher.

Untuk gadis atau wanita bertudung yang suka melilit tinggi tudung yang dipakai, kurung Cekak Musang adalah pilihan tepat yang membolehkan kamu bergaya sakan semasa Aidilfitri nanti.

Potongan lehernya yang tinggi tampak lebih sopan dan secara tidak langsung mampu memberi aura ‘Wanita Melayu Terakhir’ buat sang pemakai.

Pakaian Tradisional Melayu: Kurung Kedah

Molek sekali untuk wanita yang gemarkan gaya pemakaian ringkas bersahaja. Kurung Kedah adalah rekaan baju kurung diperbuat daripada fabrik kapas ringan yang mengetegahkan potongan helaian kurung pendek paras punggung.

Ia lazim digayakan wanita dahulu kala bersama kain sarung menggunakan cara ‘ikatan ombak mengalun’ yang disemat ke bahagian sisi pinggang. Cara ini akan memudahkan si pemakai bergerak lincah.

Jika kamu merupakan individu yang sering berada di dapur untuk menyediakan juadah buat para tetamu yang hadir menziarah ke rumah raya nanti, bolehlah fikir-fikirkan untuk menyarung helaian Kurung Kedah sebegini.

Senang hendak bergerak lincah bila memakai kurung pendek.

Pakaian Tradisional Melayu: Kurung Pahang

Kamu adalah seorang wanita yang berperwatakan feminin? Kurung Pahang mungkin sesuai dengan jiwa kewanitaan yang ada pada diri kamu kerana rekaan Kurung Pahang ini merupakan helaian kurung yang tirus berpinggang.

Berbeza dengan kurung biasa, Kurung Pahang adalah sedikit labuh dan berlengan lebar. Hasilnya, bahagian bawah Kurung kelihatan lebih kembang -memberi ilusi seolah ukuran tubuh lebih ramping buat wanita yang memakainya.

Pakaian Tradisional Melayu: Kurung Teluk Belanga

Manisnya pakaian tradisonal Melayu adalah terletak pada sifat kesopanan yang ditonjolkan menerusi helaian-helaian yang sengaja direka dengan potongan yang berupaya menutup hemat hampir keseluruhan bahagian kulit pada tubuh seseorang.

Seperti Kurung Teluk Belanga berbutang satu yang berasal dari negeri Johor ini, ianya dilihat sangat sopan kerana potongan kurungnya yang longgar serta memiliki pesak.

Akan tetapi, cara wanita Melayu dahulu kala menggayakannya adalah apa yang menjadikan busana ini sangat istimewa.

Meski perincian leher bulatnya yang agak terbuka dengan menampakkan bahagian penuh leher, wanita Melayu dahulu kala biasanya menutup kepala dan bahagian kulit leher mereka dengan mengenakan kain kelubung. Mungkin kamu boleh mengembalikan semula pemakaian kain kelubung musim raya ini?

Kesimpulannya, pakaian tradisional Melayu klasik rata-ratanya manis belaka dan masih boleh diterima masyarakat hari ini.

Walaupun rata-rata rekaan busana tradisional Melayu adalah sopan dan agak ringkas, kita sebenarnya boleh sahaja menerapkan pemakaian aksesori klasik seperti rantai dokoh, gelang kaki mahupun set kerongsang ibu dan anak untuk menaikkan serinya.

Jadi, siapa bilang gadis Melayu tak menawan?

SUMBER

https://www.nst.com.my/lifestyle/sunday-vibes/2019/08/513680/enduring-charm-baju-kurung

https://thread.zalora.sg/5-fun-facts-about-baju-kurungs-bb3e79de7fd

Summary
Pakaian Tradisional Melayu Untuk Wanita Berjiwa Klasik
Article Name
Pakaian Tradisional Melayu Untuk Wanita Berjiwa Klasik
Description
Pakaian tradisional melayu atau busana klasik melayu sangat cantik dipakai wanita kerana dapat menonjolkan sifat sopan serta aura keayuan seseorang.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: