Pacat - gigitan lintah dan pacat
Jika anda digigit ketika berada di dalam hutan atau kebun, itu adalah pacat. Sebaliknya, jika anda digigit di kawasan berair seperti di kawasan berpaya atau tepi sungai, itu adalah lintah.

Bagi mereka yang sering masuk ke kebun atau kawasan paya mesti pernah digigit pacat atau lintah kan? Kadangkala, ia tidak disedari sehinggalah anda berasa sakit seperti digigit di satu bahagian badan selepas pulang ke rumah.

Tapi, bagi orang biasa, lintah dan pacat mungkin sukar dibezakan kerana kedua-duanya berperanan sama iaitu menghisap darah daripada tubuh kita.

Justeru itu, artikel ini akan membincangkan lebih lanjut tentang gigitan lintah dan pacat serta bagaimana kita boleh mencegahnya lebih awal.

Apakah perbezaan antara lintah and pacat?

Walaupun kedua-duanya boleh menghisap darah kita, namun terdapat perbezaan tentang di mana lintah dan pacat boleh dijumpai. Lintah hidup di dalam air, manakala pacat pula hidup di daratan.

Jadi, jika anda digigit ketika berada di dalam hutan atau kebun, itu adalah pacat.

Kredit: https://www.facebook.com/musmountainsoutdoor/posts/pacat-serangan-pacat-mmg-susah-nak-dielak-tutup-atas-kena-bawah-sebenarnya-peger/416506128832778/

Sebaliknya, jika anda digigit di kawasan berair seperti di kawasan berpaya atau tepi sungai, itu adalah lintah.

Kredit: https://www.mstar.com.my/xpose/famili/2019/01/02/terapi-hirudo

Lintah dan pacat kedua-duanya boleh menghisap darah sehingga 3 kali ganda berat badannya. Selepas menghisap darah, ia akan jatuh daripada perumahnya dan mula mencari pasangan.

Darah individu boleh mengalir buat seketika selepas lintah atau pacat jatuh, kerana itulah ianya penting untuk mengesan dan merawatnya dengan cepat.

Bagaimana untuk ketahui jika anda digigit lintah atau pacat?

Biasanya, terdapat kesan gigitan serta pendarahan yang mungkin berlaku akibat tusukan giginya. Namun, jika gigitan tersebut sudah berlangsung dengan lama, ada juga individu yang boleh kelihatan pucat dan lesu kerana kekurangan darah.

Jadi, jika anda berasakan gejala seperti gatal-gatal, rasa tidak selesa pada anggota badan terutama di tangan, kaki atau leher, periksa badan anda dengan segera. Kadangkala, lintah dan pacat mungkin tidak dapat dilihat dengan jelas kerana ia mungkin berada di bahagian belakang badan atau celah-celah badan anda.

Komplikasi daripada gigitan lintah atau pacat

Bagi individu biasa, gigitan lintah atau pacat mungkin tidak begitu berbahaya terutama jika ia dikesan lebih awal sebelum mereka jatuh selepas kekenyangan. Namun, keadaan ini boleh mengancam individu yang mengalami masalah anemia terutama jika lintah atau pacat sudah menghisap darahnya dalam jumlah yang banyak.

Malah, mereka juga mungkin perlu mengambil ubat untuk mencairkan darah serta boleh juga berhadapan dengan pendarah yang teruk. Di samping itu, luka akibat gigitan tersebut juga mungkin menyebabkan kegatalan yang serius bagi mereka dengan kulit sensitif.

Jika anda mengalami jangkitan kuman yang serius pada kesan gigitan tersebut, segera dapatkan rawatan doktor.

Bagaimana untuk membuangnya dengan betul?

Lintah atau pacat biasanya akan jatuh selepas kenyang. Sekiranya anda mengesannya sebelum ia jatuh dan harus membuangnya sebelum ia “kenyang”, ikuti langkah-langkah seperti berikut:

  1. Kenal pasti bahagian anterior (mulut), biasanya di bahagian hujung yang lebih kecil.
  2. Letak jari anda selari dengan mulutnya.
  3. ‘Slide’ jari dengan kemas ke arah luka tempat lintah atau pacat menyedut darah.
  4. Umpil dengan kuku anda perlahan-lahan.
  5. Apabila bahagian mulut sudah tercabut, alihkan bahagian posterior (badan) dengan segera.
  6. Selepas mencabutnya, pastikan anda membersihkan kesan luka untuk elakkan jangkitan.
  7. Jangan gunakan api rokok, ubat nyamuk, losyen anti-serangga atau menarik lintah atau pacat dengan cepat kerana ia mungkin menyebabkan luka lebih dalam dan kesan parut.

Antara cara lain yang anda boleh buat sekiranya kaedah di atas tidak berkesan adalah dengan menaburkan garam di atasnya, menitiskan perahan jus limau, menuang sedikit minyak angin atau minyak kapas atau menitiskan air tembakau di atasnya agar ia jatuh dengan sendiri.

Tapi, pastikan ia dilakukan oleh orang dewasa dengan faktor keselamatan yang dititik beratkan.

Rawatan selepas digigit lintah atau pacat

Rawatan awal boleh dilakukan sendiri atau dengan bantuan orang di sekeliling. Ambil langkah seperti di bawah untuk mengelakkan berlakunya komplikasi lain.

  1. Bertenang dan tenangkan diri.
  2. Cuci luka dengan air bersih jika ada.
  3. Tekan kawasan luka dengan kain bersih supaya darah tidak mengalir keluar.
  4. Tuamkan dengan air suam/ sedikit panas di bahagian yang terkesan untuk mengurangkan bengkak.
  5. Jika anda diserang lintah dan pacat yang banyak, dapatkan bantuan dan rawatan daripada anggota perubatan dengan segera.

Dalam kes yang serius, doktor mungkin akan memberikan rawatan perubatan seperti berikut:

  • Ubat tahan sakit, gatal dan antibiotik
  • Krim tertentu untuk kurangkan kegatalan

Cara mengelakkan gigitan lintah dan pacat

Gigitan lintah dan pacat boleh dielakkan sekiranya anda mengambil perhatian terhadap beberapa perkara seperti:

  • Elakkan berada di kawasan yang lembap dan basah.
  • Jangan rendam anggota badan dalam lumpur, paya atau sebagainya dengan terlalu lama.
  • Gunakan pakaian pelindung seperti baju berlengan panjang, seluar panjang sertai pakai stokin diperbuat daripada kapas untuk elakkan gigitannya.
  • Lumurkan kaki dan tangan dengan minyak panas atau minyak cap kapak untuk menjauhi lintah dan pacat.
  • Semburkan ‘insect repellent’ pada kasut untuk mengelakkan ia dipanjat oleh lintah dan pacat.

SUMBER

http://agrolist.blogspot.com/2008/07/lintah-dan-pacat.html

http://www.mierahassan.com/2017/11/tips-jika-digigit-pacat.html

https://aktivitichemat.blogspot.com/2017/11/petua-menjauhkan-diri-dari-gigitan.html

http://www.myhealth.gov.my/diserang-lintah-dan-pacat-rawatan-awal/

Summary
Pacat - Gigitan lintah dan pacat
Article Name
Pacat - Gigitan lintah dan pacat
Description
Bagi orang biasa, lintah dan pacat mungkin sukar dibezakan kerana kedua-duanya berperanan sama iaitu menghisap darah daripada tubuh kita.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: