Operasi menyah cemar membazir
Adakah operasi menyah cemar jalan raya satu pembaziran?

Operasi menyah cemar membazir itu yang dikatakan segelintir pihak yang menunjukkan kebimbangan mengenai proses tersebut. Operasi menyah cemar di seluruh negara telah dimulakan sejak beberapa hari lepas oleh pihak berkuasa. Ia merupakan usaha yang patut dipuji, namun ada segelintir pihak yang menunjukkan kebimbangan mengenai proses tersebut.

Menurut NST, bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman agak terkejut apabila melihat sebuah rakaman yang menunjukkan kakitangan operasi menyah cemar menyemburkan cecair disinfeksi pada permukaan jalan raya. Beliau membantah kaedah yang dijalankan tersebut dan menjelaskan sepatutnya mereka perlu menumpukan pada benda-benda yang sering disentuh seperti tombol pintu, butang lif, dan tempat pemegang eskalator.

“Apakah yang pihak berkuasa lakukan dalam video tersebut? Siapa yang menasihati mereka? Ia merupakan perkara yang sia-sia. Bagaimana jalan raya boleh dicemari? Adakah dengan cara orang ramai batuk ke atasnya? Walaupun ia dicemari, bagaimana virus dan kuman boleh naik ke atas muka? Adakah orang ramai akan menggosok tangan ke atas tar jalan raya yang kasar itu dan menyentuh muka?”

“Jadi, apakah bukti yang boleh diterima untuk melakukan perkara sedemikian (menyah cemar jalan raya)? Ya, mungkin mereka akan berkata bahawa mereka hanya mengikuti SOP, namun siapakah yang menyediakan SOP tersebut? “

“Dan lihatlah dalam rakaman itu, bagaimana keadaan manusia di sekeliling yang memerhatikan pekerja bertugas, bukankah itu meletakkan mereka pada risiko tinggi?”

Beliau menambah lagi, sebaliknya duit yang dibelanjakan sepatutnya digunakan untuk tujuan lain yang lebih bermakna seperti membantu staf hospital yang terpaksa menyediakan pakaian perlindungan PPE mereka sendiri.

Seorang lagi pakar, Professor Emeritus Datuk Lam Sai Kit yang merupakan seorang ahli virologi turut menyatakan bahawa jalan raya kurang berkemungkinan dicemari oleh Coronavirus. Beliau juga percaya pencemaran adalah lebih banyak di permukaan-permukaan yang disentuh.

“Menyah cemar jalan raya mungkin satu pembaziran. Kakitangan sepatutnya dilatih untuk menyah cemar kawasan yang cenderung mengandungi titisan-titisan virus daripada sumber jangkitan. Bukannya jalan raya.”

“Melalui gambar yang tersebar di media sosial (di mana kakitangan sedang menyah cemar jalan raya), ia kelihatan seperti mereka sedang membersihkan jalan raya.” Beliau berharap tiada aerosol yang dihasilkan melalui pancuran air yang mungkin boleh menjejaskan kesihatan orang ramai.

Selain Datuk Dr Lokman dan Professor Lam, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar menjelaskan operasi menyah cemar membazir sumber.

Beliau telah menulis, adakah cara tersebut berkesan untuk membunuh Coronavirus? Atau ia hanyalah satu pembaziran sumber dan bahan nyah cemar, di samping menimbulkan perasaan selamat yang salah?

Sehingga hari ini, masih belum ada penjelasan daripada Ketua Pengarah Kesihatan mengenai perkara tersebut.

SUMBER

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/03/671499/covid-19-operasi-nyah-cemar-tidak-ikut-sop-kkm

https://www.malaysiakini.com/news/517996

https://www.sinarharian.com.my/article/76671/KHAS/Koronavirus/Covid-19-Operasi-nyah-cemar-perlu-ikut-garis-panduan-KKM

Summary
'Operasi Menyah Cemar' membazir?' - Apa Kata Pakar
Article Name
'Operasi Menyah Cemar' membazir?' - Apa Kata Pakar
Description
Operasi menyah cemar membazir itu yang dikatakan segelintir pihak yang menunjukkan kebimbangan mengenai proses tersebut.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: