operasi menyah cemar seluruh negara sudah bermula
operasi menyah cemar telah mula diadakan hari ini

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Sebagai tambahan kepada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), usaha serius dan berterusan pihak kerajaan dalam memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 termasuklah operasi menyah cemar di seluruh negara.

Walaupun operasi menyah cemar besar-besaran ini akan bermula hari ini seperti yang diumumkan oleh Menteri Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pihak berkuasa di sesetengah negeri telah mula menyah cemar kawasan-kawasan yang berisiko tinggi.

Datuk Ismail Sabri berkata, Kementrian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah ditugaskan untuk mengerahkan proses tersebut kepada pihak berkuasa tempatan, SWCorp, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Operasi menyah cemar besar-besaran oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah berlangsung semalam di sekitar pusat bandar, terutamanya di kawasan Sri Petaling, yang telah dikategorikan sebagai zon merah COVID-19 di wilayah persekutuan Kuala Lumpur.

Di Perak, hampir kesemua 15 pihak berkuasa tempatan telah memulakan operasi tersebut di kawasan-kawasan tertentu sejak awal minggu ini dengan menumpukan pada kawasan seperti pasar awam, taman atau padang rekreasi, rumah-rumah ibadat, dan balai polis.

Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dan JBPM turut menjalankan operasi menyah cemar di Stesen Keretapi Ipoh dan Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah pada hari ini.

Di Selangor pula, segelintir penguatkuasa tempatan termasuklah Majlis Bandaraya Shah Alam telah mula menyah cemar kawasan-kawasan seperti pasar basah seksyen 18 dan pasar Kampung Baru Subang di seksyen U5 pada hari ini.

Proses menyah cemar turut dijalankan oleh Majlis Perbandaran Klang sejak 23 Mac lalu dan melibatkan 35 lokasi termasuklah Stesen Bas Pandamaran, Stadium Kota Raja, Stesen KTM Kampung Raja Uda dan Terminal Bas Klang Sentral.

Di Melaka, sesetengah pihak berkuasa tempatan seperti Majilis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah telah menjalankan proses terbabit sejak semalam.

Antara kawasan yang ditumpukan adalah Melaka Sentral, Stadium Tun Fatimah, Taman Bandaraya Bukit Serindit, gerai MBMB di Bachang, Dataran Keris Alor Gajah, pasar basah Gadek, medan selera Menggong dan pasar basah Alor Gajah.

Di Johor pula, operasi menyah cemar COVID-19 akan bermula esok dengan memberi tumpuan pada pekan Simpang Renggam berhampiran Kluang dan Kampung Sinaran Baru, Kempas.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri , Ayub Jamil berkata Simpang Renggam dipilih kerana jaraknya yang hampir dengan Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Dato’ Ibrahim Majid yang berada dalam PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat) manakala kes positif dilaporkan di Kampung Sinaran Baru.

Majlis Daerah Mersing turut melakukan operasi menyah cemar di premis-premis awam sepert pasar, jeti, tandas awam, gerai makan dan stesen bas.

Dalam pada itu, antara negeri yang akan menjalankan operasi menyah cemar esok adalah Pulau Pinang, Terengganu dan Kedah.

Pengarah JBPM Pulau Pinang, Saadon Moktar menjelaskan operasi menyah cemar besar-besaran akan diadakan esok dengan kolaborasi bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai.

Beliau berkata, operasi tersebut akan bermula di pasar basah Chai Leng dan pasar Padang Apollo, Butterworth.

Di Terengganu, pengarah JBPM negeri, Md Hilman Abd Rashid berkata, jabatan itu akan mula menjalankan operasi menyahkumar integrasi di sebuah madrasah di Kampung Kubang Bikut, pada pagi esok diikuti dengan Penjara Marang pada hari berikutnya.

Di Kedah, wakil dari JBPM negeri menjelaskan jabatan itu akan melakukan proses menyah cemar di kawasan Kuala Muda esok.

SUMBER

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/675643/covid-19-operasi-nyah-cemar-di-masjid-seri-petaling

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/04/561580/operasi-nyah-cemar-diperluas

https://www.utusanborneo.com.my/2020/05/10/bomba-sarawak-teruskan-operasi-nyah-cemar-di-enam-lokasi-hari-ini

Summary
Operasi Menyah Cemar Di Seluruh Negara Sudah Bermula  (COVID-19)
Article Name
Operasi Menyah Cemar Di Seluruh Negara Sudah Bermula (COVID-19)
Description
Operasi menyah cemar kini dijalankan di sebagai tambahan kepada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi membendung jangkitan COVID-19 .
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: