NEUROLOGI
Neurologi adalah cabang perubatan yang berkaitan dengan kajian dan rawatan mengenai gangguan sistem saraf.

Pengenalan

Neurologi adalah cabang perubatan yang berkaitan dengan kajian dan rawatan mengenai gangguan sistem saraf. Sistem saraf adalah sistem yang kompleks dan canggih yang mengatur dan menyelaraskan aktiviti badan. Malah, ia adalah sistem yang terdiri daripada dua bahagian iaitu sistem saraf pusat dan periferal. Ini merangkumi otak dan saraf tunjang.

Seorang doktor umum mungkin membuat rujukan kepada pakar neurologi jika mereka percaya bahawa seseorang menunjukkan tanda-tanda adanya masalah neurologi. Masalah neurologi ini boleh merangkumi pelbagai keadaan, termasuk penyakit Alzheimer, neuropati diabetes, sakit kepala dan kerosakan saraf.

Kepakaran pakar neurologi

Pakar neurologi adalah doktor perubatan yang pakar dalam merawat penyakit sistem saraf tetapi mereka tidak melakukan pembedahan. Sekiranya salah seorang pesakit memerlukan pembedahan, mereka akan merujuknya kepada pakar bedah saraf.

Satu mitos yang umum adalah bahawa pakar bedah saraf hanyalah pakar bedah otak. Namun, menurut Persatuan Ahli Bedah Neurologi Amerika (AANS), mereka biasanya menghabiskan lebih banyak masa untuk keadaan dan prosedur tulang belakang berbanding keadaan dan prosedur otak. Keadaan biasa yang dirawat oleh pakar bedah saraf adalah sakit belakang, sakit leher, ‘sciatica’, ‘herniated disc’, penyakit degeneratif tulang belakang, gangguan serebrovaskular, tumor otak dan tulang belakang, serta strok.

Penyakit, gangguan dan kecederaan yang melibatkan sistem saraf sering memerlukan pengurusan dan rawatan oleh pakar neurologi. Memandangkan sistem saraf adalah satu sistem yang kompleks, kebanyakan pakar neurologi memberi tumpuan untuk merawat populasi tertentu atau individu yang mempunyai penyakit neurologi tertentu.

Bila anda perlu dapatkan rawatan

– Gangguan

Seorang pakar neurologi boleh merawat gangguan sistem saraf pusat dan periferal, termasuk otak, saraf tunjang, saraf kranial, saraf periferal, akar saraf, sistem saraf autonomi, persimpangan neuromuskular dan otot.

Gangguan sistem saraf yang biasa termasuk:

  • Epilepsi: Gangguan neurologi yang berkaitan dengan aktiviti elektrik tidak normal di otak, boleh menyebabkan kejang yang berulang, tidak diprovokasi dan hilang kesedaran.
  • Penyakit Alzheimer (dan demensia lain): Kemerosotan mental progresif yang terjadi disebabkan degenerasi otak secara umum.
  • Strok (dan penyakit serebrovaskular lain): Strok berlaku apabila saluran darah dihalang daripada menyampaikan oksigen dan nutrien ke otak, disebabkan oleh pembekuan darah atau pecah.
  • Migrain (dan gangguan sakit kepala yang lain): Sakit kepala yang teruk dan berulang sering berpasangan dengan simptom seperti loya dan gangguan penglihatan.
  • Tumor otak: Jisim sel yang tidak normal di otak, dan menyebabkan gangguan fungsi kognitif.
  • Kecederaan otak (dan kecederaan lain dari sistem saraf): Kecederaan otak dari kekuatan luar, kadangkala membawa kepada keadaan kesedaran yang berubah, dan gangguan fungsi kognitif, fizikal atau psikososial yang kekal atau sementara.
  • Sindrom Tourette (dan gangguan fungsi lain): Gangguan neurologi, ditambah dengan bunyi dan suara yang tidak disengajakan, dan juga seruan yang tidak sesuai.
  • ‘Amyotrophic Lateral Sclerosis’ (ALS, Penyakit Lou Gehrig): Kemerosotan progresif neuron motor bagi sistem saraf pusat, yang menyebabkan atrofi otot dan kelumpuhan.

– Penyakit

Pakar neurologi akan merawat penyakit yang menyerang sistem saraf, seperti:

  • Jangkitan (bakteria, virus, kulat)
  • Kanser (ganas, jinak)

Prosedur rawatan nefrologi

Pakar saraf dan pakar bedah saraf bekerjasama untuk beberapa keadaan, kadangkala berada di bilik pembedahan bersama-sama. Tetapi, pakar neurologi melakukan pelbagai ujian dan prosedur yang berbeza untuk mendiagnosis dan merawat keadaan neurologi.

Beberapa prosedur ini merangkumi:

Tusukan lumbar

Seorang pakar neurologi boleh menggunakan tusukan lumbar untuk mengumpulkan sampel cecair tulang belakang. Mereka mungkin menggunakan prosedur ini untuk membantu mendiagnosis keadaan berikut:

  • Meningitis
  • Ensefalitis
  • Myelitis
  • Leukemia
  • Penyakit autoimun, seperti sklerosis berganda (MS)
  • Demensia
  • Pendarahan di otak

Pakar neurologi juga boleh menggunakan ujian ini untuk merawat keadaan yang mempengaruhi saraf tunjang. Mereka boleh menyuntik anestetik, antibiotik, atau rawatan kanser menggunakan jarum tusukan lumbar.

Elektromiografi

Pakar neurologi boleh menggunakan elektromiografi (EMG) untuk menilai sejauh mana otot individu bertindak balas terhadap rangsangan elektrik daripada neuron motor, iaitu saraf khusus yang mengawal pergerakan otot.

Semasa prosedur EMG, seorang juruteknik terlatih akan memasukkan jarum kecil yang disebut elektrod ke dalam otot. Elektrod-elektrod ini merekodkan aktiviti elektrik berlainan yang berlaku pada tisu otot semasa pergerakan dan keadaan rehat. Pakar neurologi boleh menggunakan hasil EMG untuk mendiagnosis penyakit neuromuskular, seperti ‘myasthenia gravis’ dan ALS.

‘Electroencephalogram’

Pakar neurologi menggunakan ‘electroencephalograms’ (EEG) untuk mengukur dan merekodkan aktiviti elektrik di otak. Neuron di otak berkomunikasi dengan neuron lain melalui impuls elektrik, yang boleh direkodkan oleh EEG. Malah, ia juga dapat mengesan corak gelombang otak.

Semasa prosedur EEG, seorang juruteknik akan meletakkan elektrod di kepala individu tersebut. Elektrod ini menyambung ke komputer yang menukarkan isyarat elektrik menjadi corak yang dapat dilihat oleh juruteknik di skrin atau mencetak pada sehelai kertas. Pakar neurologi boleh menggunakan keputusan EEG untuk mengenal pasti aktiviti elektrik tidak normal di otak dan mendiagnosis keadaan tertentu, seperti:

  • epilepsi
  • sawan
  • tumor otak
  • masalah tidur

Ujian ‘Tensilon’

‘Myasthenia gravis’ adalah penyakit neuromuskular yang jarang berlaku dan melemahkan otot di lengan dan kaki. Seorang pakar neurologi boleh menggunakan ujian darah yang disebut ujian ‘Tensilon’ untuk mendiagnosis keadaan ini.

Semasa ujian ‘Tensilon’ dilakukan, seorang pakar neurologi akan menyuntik sejumlah kecil ‘Tensilon’ ke dalam aliran darah. Kemudian, mereka akan meminta individu itu melakukan pergerakan yang berbeza, seperti:

  • berdiri dan duduk
  • memegang lengan di atas kepala mereka
  • menyilang kaki dan kembali ke keadaan normal

Pakar neurologi akan terus memberikan dos ‘Tensilon’ setiap kali individu berasa letih. Sekiranya individu menyedari bahawa kekuatannya kembali setelah setiap suntikan ‘Tensilon’ diberikan, ini menunjukkan bahawa dia mungkin mengalami ‘myasthenia gravis’.

Ujian lain

Pakar neurologi boleh menggunakan ujian berikut untuk membantu mendiagnosis gangguan neurologi:

  • ujian makmal, seperti analisis darah dan air kencing
  • ujian pencitraan, seperti ultrasound dan imbasan MRI, CT dan PET
  • ujian genetik
  • biopsi
  • angiografi

Anggaran kos

Umum mengetahui bahawa kos rawatan di hospital kerajaan adalah jauh lebih murah berbanding di hospital swasta. Namun, kosnya mungkin bervariasi mengikut keadaan dan masalah yang anda hadapi.

Jika di hospital swasta, rawatan berkaitan neurologi seperti pembedahan tumor otak adalah sekitar RM 60 ribu dan ke atas. Bagi masalah seperti sawan yang melibatkan pengambilan ubat secara kerap, konsultasi bersama doktor boleh mencecah sehingga RM 550 atau lebih. Memandangkan sawan memerlukan rawatan secara berterusan, maka kosnya juga akan semakin bertambah.

Bagi rawatan-rawatan lain, anda boleh dapatkan maklumat lanjut mengenai kosnya daripada hospital pilihan anda kerana kosnya mungkin bervariasi mengikut keadaan dan betapa parahnya penyakit neurologi anda.

SUMBER

https://www.healthline.com/find-care/articles/neurologists/neurologist

https://www.medicalnewstoday.com/articles/326717

https://www.urmc.rochester.edu/highland/departments-centers/neurology/what-is-a-neurologist.aspx

https://www.wwmedgroup.com/blog/conditions-neurologists-treat/

Summary
Neurologi
Article Name
Neurologi
Description
Neurologi adalah cabang perubatan yang berkaitan dengan kajian dan rawatan mengenai gangguan sistem saraf.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: