narkolepsi
Narkolepsi adalah gangguan neurologi yang mempengaruhi tidur.

Jam menunjukkan pukul 10 pagi. Anda baru sahaja menjejakkan kaki ke tempat kerja. Sebelum sempat memulakan sebarang tugas, tiba-tiba mata anda terasa sangat berat. Anda bangun dan pergi ke pantri untuk menyediakan secawan kopi. Setelah kembali ke tempat duduk, anda minum kopi tersebut dan mula melakukan tugas anda. Sepuluh minit berlalu, anda masih berasa mengantuk keterlaluan. Sangat mengantuk. Kopi yang diminum tidak memberi kesan langsung pada anda. Anda tidak mempunyai semangat langsung untuk meneruskan tugasan anda, badan anda juga berasa sungguh lemah. 

Ia bukan kali pertama keadaan ini berlaku. Malah, hampir setiap hari, di waktu pagi, anda terlelap sewaktu melakukan tugas sehingga rakan sekerja anda melabel anda sebagai seorang ‘pemalas’.

Adakah situasi di atas berasa dekat dengan diri anda? Jika ya, anda mungkin salah seorang penghidap ‘narkolepsi’ .

Apa itu narkolepsi? Narkolepsi adalah gangguan neurologi yang mempengaruhi tidur. Individu yang menghidap narkolepsi sering berasa sangat mengantuk keterlaluan pada siang hari dan tidur hampir setiap masa di waktu siang. Paling bahaya, serangan tidur yang mendadak ini boleh berlaku di mana-mana saja, sewaktu menjalani sebarang jenis aktiviti pada bila-bila masa.

Simptom Narkolepsi atau Mengantuk Keterlaluan

Jika anda mengesyaki diri anda mengalami narkolepsi atau mengantuk keterlaluan, berikut merupakan beberapa gejala yang boleh diperiksa:

• Mengantuk yang berlebihan pada siang hari: Mengantuk yang berlebihan pada siang hari dan tidur yang tidak cukup pada waktu malam mengganggu aktiviti normal harian anda. Individu yang sentiasa mengantuk keterlaluan pada siang hari telah melaporkan bahawa mereka mengalami gangguan mental, kurang tenaga dan tumpuan, memori merosot, berasa tertekan atau keletihan yang melampau.        

• Katapleksi: Simptom ini terdiri daripada kehilangan kekuatan otot secara mendadak yang membuatkan pesakit berasa lemah serta hilang kawalan terhadap otot sukarela (voluntary muscle) mereka. Ia mengakibatkan pesakit tidak boleh mengekspresikan emosi secara berlebihan seperti ketawa, marah atau terkejut kerana setiap kali berbuat demikian, mereka boleh jatuh pengsan secara tiba-tiba.

• Halusinasi: Pengalaman halusinasi ini terasa jelas dan seringkali ianya menakutkan. Deria utama akan diaktifkan sewaktu halusinasi seperti pandangan, pendengaran dan sebagainya.. Halusinasi terbahagi kepada dua jenis iaitu halusinasi hypnagogic (apabila ia mengiringi permulaan tidur) dan halusinasi hypnopompic (berlaku sewaktu dalam jaga).

• Kelumpuhan tidur (Sleep Paralysis): Simptom ini melibatkan ketidakupayaan sementara untuk bergerak atau bercakap sewaktu tidur atau jaga. Episod ini secara amnya adalah singkat danbertahan selama beberapa saat sehingga beberapa minit. Selepas episod berakhir, kemampuan pesakit untuk bergerak dan bercakap pulih sepenuhnya.

Punca Narkolepsi atau Mengantuk Keterlaluan

Punca sebenar narkolepsi atau penyakit mengantuk keterlaluan masih tidak diketahui. Terdapat kemungkinan bahawa narkolepsi merupakan penyakit autoimun yang diwarisi yang menyebabkan kekurangan hypocretin atau orexin, kimia yang diperlukan oleh otak. Mungkin juga ada faktor genetik terlibat, maksudnya ia boleh terjadi dalam kalangan ahli keluarga.

Hypocretin adalah sejenis neurotransmiter (kimia saraf-isyarat). Ia mengawal perbuatan sama ada individu sedang tidur atau terjaga dengan bertindak pada kumpulan sel saraf yang berlainan atau neuron di otak. Ia dihasilkan di kawasan hipotalamus otak.

Hypocretin diperlukan untuk membantu individu terjaga. Apabila anda kekurangan hypocretin, otak akan membenarkan fenomena tidur REM pada bila-bila masa. Akibatnya, individu yang mengalami narkolepsi mengalami masalah mengantuk pada siang hari dan masalah tidur pula pada malam hari.

Gangguan pada autoimun mengakibatkan sistem imun badan menyerang dirinya sendiri dan melawan sel sihat seolah-olah iaadalah penyerang asing. Penyakit autoimun lain termasuklah arthritis reumatoid, diabetes jenis 1, dan penyakit seliak .   

Diagnosis Narkolepsi

Pemeriksaan fizikal dan sejarah perubatan yang lengkap adalah penting bagi membantu proses diagnosis narkolepsi atau mengantuk keterlaluan dijalankan dengan tepat. Walau bagaimanapun, tiada gejala utama yang khusus bagi mengantuk keterlaluan. Biasanya, sebelum diagnosis dapat disahkan, beberapa ujian khas akan dilakukan di klinik gangguan tidur atau makmal tidur.

Dua ujian yang perlu dilakukan untuk mengesahkan diagnosis narkolepsi adalah polisomnogram dan ujian latensi tidur berganda (multiple sleep latency test).

  • Polisomnogram. Merupakan ujian semalaman yang mengambil pelbagai ukuran corak tidur secara berterusan semasa pesakit tidur untuk mendokumenkan sebarang abnormal dalam kitaran tidur. Ia membantu mendedahkan sama ada tidur REM berlaku pada masa yang tidak normal dalam kitaran tidur pesakit atau tidak.
  • Ujian latensi tidur berganda. Dilakukan pada siang hari untuk mengukur kecenderungan seseorang untuk tidur dan menentukan sama ada unsur-unsur terpencil seperti tidur REM mengganggu pada waktu yang tidak sesuai semasa pesakit sedang berjaga. Sebahagian daripada ujian, pesakit diminta untuk mengambil empat atau lima kali tidur pendek yang biasanya dijadualkan selang dua jam.

Faktor Risiko Narkolepsi

Terdapat beberapa faktor risiko yang diketahui untuk narkolepsi atau mengantuk keterlaluan, termasuklah:

• Umur. Narkolepsi biasanya bermula antara usia 10 hingga 30 tahun.          

• Sejarah keluarga. Risiko narkolepsi adalah 20 hingga 40 kali lebih tinggi jika anda mempunyai ahli keluarga yang mengalami narkolepsi.          

Komplikasi Narkolepsi

• Salah faham awam tentang narkolepsi. Narkolepsi atau mengantuk keterlaluan boleh menyebabkan masalah serius pada anda secara profesional dan peribadi. Individu lain mungkin beranggapan anda sebagai seorang yang lesu atau pemalas. Prestasi anda mungkin menurun di sekolah atau di tempat kerja.          

• Gangguan dengan hubungan intim. Perasaan yang keterlaluan seperti kemarahan atau kegembiraan boleh mencetuskan tanda-tanda narkolepsi iaitu, katapleksi. Katapleksi menyebabkan individu menarik diri dalam sebarang interaksi emosi.          

• Kecederaan fizikal. Serangan tidur boleh menyebabkan kemudaratan fizikal kepada individu yang mengalami narkolepsi. Sekiranya anda sedang memandu, anda mempunyai risiko tinggi untuk terlibat dalam kemalangan kerana narkolepsi boleh menyerang pada bila-bila masa.  Antara risiko lain adalah mengalami kecederaan dan luka ketika melakukan sebarang aktiviti yang boleh membahayakan keselamatan seperti memasak atau memotong sayur dan sebagainya.  

• Obesiti. Individu yang mempunyai narkolepsi lebih cenderung untuk memiliki berat badan berlebihan. Penambahan berat badan ini mungkin berkaitan dengan tahap metabolisme yang rendah.          

Rawatan Narkolepsi

Tiada ubat bagi menyembuhkan narkolepsi atau mengantuk keterlaluan. Tetapi, terdapat ubat-ubatan yang boleh membantu menguruskan gejala dialami seperti perangsang dan antidepressan. Peransang boleh menghilangkan mengantuk dan antidepressan pula mengawal gejala katapleksi dan tidur REM yang tidak normal.

Selain itu clomipramine, selective serotonin reuptake inhibitors (SSRIs) dan selective norepinephrine reuptake inhibitors (SNRIs) juga boleh digunakan untuk merawat gejala narkolepsi. 

Mengantuk pada siang hari (Excessive Daytime Sleepiness)

Mengantuk siang hari boleh dirawat dengan perangsang seperti amphetamine, dexamphetamine, methylphenidate, atau modafinil. Ubat-ubatan ini adalah terapi garis pertama kerana kosnya rendah tetapi ketersediaan, dan keberkesanan adalah tinggi.

Ia adalah bahan terkawal dan boleh membawa kepada penyalahgunaan (kecuali Modafinil). Kesan sampingan pengambilan ubat-ubatan ini termasuklah kerisauan atau, kebimbangan dan insomnia. Selain itu,modafinil  juga boleh menyebabkan sakit kepala dan loya.    

Ubat lain yang boleh digunakan untuk melegakan gejala adalah sodium oxybate. Bukan itu sahaja, ia juga boleh membantu anda menguruskan tidur malam yang tidak berkualiti, dan katapleksi. Ia hanya mempunyai sedikit kesan sampingan dan tahap interaksi yang sangat sedikit berbanding ubat-ubatan lain.

Katapleksi

Katapleksi boleh dikurangkan oleh ubat antidepresan, yang menyekat tidur REM.

Ubat seperti Clomipramine digunakan untuk merawat narkolepsi. Selective serotonin reuptake inhibitors (SSRIs) dan selective norepinephrine reuptake inhibitors (SNRIs) juga mungkin berkesan.    

Kesan sampingan yang boleh dialami dari pengambilan antidepressan  adalah mulut kering, sembelit, dan penglihatan menjadi kabur.  

Sodium oxybate boleh melegakan perasaan mengantuk serta meningkatkan kualiti tidur malam. Ia mempunyai kesan sampingan yang sedikit dan interaksi yang sangat sedikit dengan ubat-ubatan lain.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/narcolepsy/symptoms-causes/syc-20375497

https://www.webmd.com/sleep-disorders/guide/narcolepsy

https://www.healthline.com/health/narcolepsy

https://www.medicalnewstoday.com/articles/155244

Summary
Narkolepsi (Narcolepsy) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko, Komplikasi dan Rawatan
Article Name
Narkolepsi (Narcolepsy) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko, Komplikasi dan Rawatan
Description
Narkolepsi adalah gangguan neurologi yang mempengaruhi tidur. Individu yang menghidap narkolepsi sering berasa mengantuk keterlaluan di waktu siang hari.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: