nafas berbau
Nafas berbau, atau secara medikalnya dipanggil halitosis, boleh berlaku disebabkan kebersihan gigi yang buruk dan mungkin menjadi petanda bagi masalah kesihatan lain.

Pengenalan

Nafas berbau boleh berlaku disebabkan kebersihan gigi yang buruk dan mungkin menjadi petanda bagi masalah kesihatan lain. Malah, masalah nafas berbau juga boleh menjadi lebih teruk berdasarkan jenis makanan yang anda makan dan tabiat gaya hidup yang tidak sihat.

Penerangan

Bau nafas yang khusus adalah berbeza bergantung kepada punca masalah. Ianya adalah lebih baik untuk meminta kawan atau saudara terdekat anda untuk menentukan bau mulut anda kerana ia sukar untuk dinilai sendiri.

Jika tiada siapa yang boleh membantu, terdapat satu cara untuk memeriksa bau nafas sendiri iaitu dengan cara menjilat pergelangan tangan, biarkan ia kering buat seketika dan kemudian bau kawasan itu. Bau yang tidak menyenangkan di kawasan pergelangan tangan mungkin menunjukkan bahawa anda mempunyai halitosis.

Sesetengah individu bimbang akan hal ini walaupun mereka mungkin mempunyai bau mulut yang sedikit. Keadaan ini dipanggil halitofobia dan boleh menyebabkan kelakuan pembersihan mulut yang melampau.

Penyebab yang berkemungkinan

Potensi penyebab nafas berbau termasuk:

  • Tembakau: Produk tembakau boleh menyebabkan bau mulut yang tersendiri. Selain itu, produk ini meningkatkan peluang berlakunya penyakit gusi yang juga boleh menyebabkan nafas berbau.
  • Makanan: Pecahan zarah makanan yang tersangkut di gigi boleh menyebabkan bau di mulut. Sesetengah makanan seperti bawang merah dan bawang putih juga boleh menyebabkan nafas berbau. Apabila dicerna, pecahan produk dibawa dalam darah ke paru-paru di mana ia boleh menjejaskan nafas anda.
  • Mulut kering: Air liur secara semula jadi dapat membersihkan mulut. Jika mulut anda secara semula jadi kering atau menjadi kering disebabkan penyakit tertentu seperti xerostomia, ini juga boleh menyebabkan pengeluaran bau mulut.
  • Kebersihan gigi: Memberus dan floss gigi memastikan penghapusan zarah makanan kecil yang boleh terkumpul dan dipecahkan perlahan-lahan, lalu menghasilkan bau. Selaput bakteria yang dipanggil plak terkumpul jika anda memberus gigi secara tidak tetap. Plak ini kemudian boleh mengganggu gusi dan menyebabkan keradangan di antara gigi dan gusi yang disebut periodontitis. Gigi yang tidak dibersihkan dengan kerap atau dengan betul juga boleh menyimpan bakteria yang menyebabkan halitosis.
  • Diet yang tersasar: Berpuasa dan amalan diet rendah karbohidrat boleh menghasilkan halitosis. Ini terjadi kerana pecahan lemak menghasilkan bahan kimia yang dipanggil keton. Keton ini mempunyai aroma yang kuat.
  • Ubat: Pengambilan ubatan tertentu boleh mengurangkan air liur dan kemudian meningkatkan bau mulut. Ubat-ubatan lain boleh menghasilkan bau apabila mereka dipecahkan dan boleh mengeluarkan bahan kimia dalam nafas. Contohnya termasuklah nitrat yang digunakan untuk merawat penyakit angina, beberapa bahan kimia kemoterapi, dan beberapa ubat penenang seperti phenothiazines. Individu yang mengambil suplemen vitamin dalam dos yang besar juga boleh terdedah kepada nafas berbau.
  • Masalah mulut, hidung dan tekak: Kadangkala, biji yang dilindungi bakteria boleh terbentuk pada tonsil di belakang tekak dan menghasilkan bau. Ia juga boleh menyebabkan jangkitan atau keradangan di hidung, tekak atau sinus yang kemudian mengakibatkan halitosis.
  • Benda asing: Nafas berbau boleh berlaku disebabkan benda asing yang tersimpan dalam rongga hidung, terutamanya pada golongan kanak-kanak.
  • Penyakit: Beberapa penyakit kanser, kegagalan hati dan penyakit metabolik lain boleh menyebabkan halitosis. Ini terjadi disebabkan campuran kimia tertentu yang terhasil. Di samping itu, penyakit refluks gastroesofagus (GERD) juga boleh menyebabkan nafas berbau kerana refluks biasa bagi asid perut.

Penyebab nafas berbau yang jarang terjadi

Seperti dinyatakan sebelum ini, faktor paling biasa yang menyebabkan nafas berbau adalah kebersihan mulut, tetapi keadaan lain juga boleh dikaitkan.

Penyebab nafas berbau yang jarang terjadi termasuklah:

  • Ketoasidosis: Apabila kadar insulin bagi pesakit diabetes adalah sangat rendah, tubuh mereka tidak lagi boleh menggunakan gula dan mula menggunakan simpanan lemak. Apabila lemak dipecahkan, keton dihasilkan dan mula membina dalam badan. Ia boleh menjadi beracun apabila ditemui dalam jumlah yang banyak dan mampu menghasilkan bau nafas tersendiri dan tidak menyenangkan. Selain itu, ketoasidosis adalah keadaan serius dan berpotensi untuk mengancam nyawa.
  • Penyumbatan usus: Nafas anda boleh berbau seperti najis jika terdapat tempoh muntah yang berlanjutan, terutama jika adanya halangan di usus anda.
  • Bronchiectasis: Ini adalah keadaan jangka panjang di mana saluran pernafasan menjadi lebih luas daripada biasa dan membolehkan pembentukan lendir yang menyebabkan nafas berbau.
  • Pneumonia aspirasi: Pembengkakan atau jangkitan di paru-paru mahupun saluran pernafasan akibat menghidu muntah, air liur, makanan atau cecair tertentu juga boleh menyebabkan masalah nafas berbau.

Bila perlu menghubungi doktor

Sekiranya anda mempunyai nafas berbau, semak semula tabiat kebersihan mulut anda. Cuba lakukan perubahan gaya hidup seperti memberus gigi dan lidah selepas makan, menggunakan floss gigi, dan minum banyak air.

Jika nafas berbau anda berterusan selepas membuat perubahan sedemikian, sila berjumpa dengan doktor gigi anda. Jika doktor gigi mengesyaki keadaan yang lebih serius sebagai punca kepada masalah nafas berbau itu, beliau boleh merujuk anda kepada pakar perubatan untuk mencari puncanya.

Apa yang boleh diharapkan di klinik

Doktor gigi anda mungkin akan membau kedua-dua nafas dari mulut dan nafas dari hidung anda. Kemudian, doktor gigi akan menilai bau tersebut berdasarkan skala yang tetap. Memandangkan belakang lidah biasanya menjadi sumber bau tidak menyenangkan ini, doktor gigi anda juga boleh mengikis sampel di situ dan menilai baunya.

Di samping itu, terdapat juga pengesan yang canggih bagi mengenal pasti bahan kimia yang bertanggungjawab untuk nafas berbau, namun ia tidak selalunya tersedia di klinik pergigian.

Rawatan

Bagi mengurangkan masalah nafas berbau, elakkan kaviti mulut dan kurangkan risiko penyakit gusi, amalkan kebersihan mulut yang baik secara konsisten. Rawatan lanjut untuk nafas berbau boleh berbeza-beza, bergantung kepada sebabnya. Jika nafas berbau anda dianggap terjadi kerana keadaan kesihatan lain, doktor gigi mungkin akan merujuk anda kepada pakar perubatan.

Bagi sebab-sebab yang berkaitan dengan kesihatan mulut, doktor gigi akan bekerjasama dengan anda untuk membantu mengawal keadaan yang lebih baik. Langkah pergigian mungkin termasuk:

  • Pembilas mulut dan ubat gigi. Jika nafas berbau anda disebabkan oleh pembentukan bakteria (plak) pada gigi, doktor gigi anda boleh mengesyorkan pembilas mulut untuk membunuh bakteria. Malah, ubat gigi yang mengandungi agen antibakteria juga boleh disyorkanorkan untuk membunuh bakteria yang menyebabkan pembentukan plak.
  • Rawatan penyakit pergigian. Sekiranya anda mempunyai penyakit gusi, anda boleh dirujuk kepada pakar gusi (periodontist). Penyakit gusi ini boleh menyebabkan gusi seperti ditarik daripada gigi, meninggalkan poket mendalam terisi dengan bakteria yang menyebabkan bau. Kadangkala, hanya pembersihan secara profesional sahaja dapat membuang bakteria ini. Di samping itu, doktor gigi anda juga boleh mengesyorkan menggantikan gigi rosak, lalu menutup tempat pembiakan bakteria.

Rawatan di rumah

Perubahan gaya hidup yang lain dan rawatan di rumah bagi menangani bau mulut termasuklah:

  • Memberus gigi: Pastikan untuk memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari, sebaik-baiknya selepas setiap hidangan.
  • Floss: Flossing dapat mengurangkan pembentukan zarah makanan dan plak dari antara gigi. Memberus gigi sahaja hanya membersihkan sekitar 60 peratus permukaan gigi.
  • Membersihkan gigi: Apa-apa sahaja yang masuk ke dalam mulut anda, termasuk gigi palsu, ‘bridge’, atau ‘mouth guard’ harus dibersihkan seperti yang disyorkan setiap hari. Pembersihan sebegini menghalang bakteria daripada membina dan dipindahkan ke mulut. Menggantikan berus gigi setiap 2 hingga 3 bulan juga adalah penting kerana sebab yang sama.
  • Berus lidah: Bakteria, makanan dan sel-sel mati biasanya berkumpul di lidah, terutamanya bagi perokok atau individu yang mempunyai mulut yang sangat kering. Menggunakan pengikis lidah kadangkala mungkin berguna bagi hal ini.
  • Elakkan mulut kering: Minum banyak air dan elakkan penggunaan alkohol dan tembakau yang boleh mengeringkan mulut anda. Mengunyah gula-gula atau makanan manis, (sebaik-baiknya jenis bebas gula) boleh membantu merangsang penghasilan air liur. Sekiranya isu mulut kering anda adalah teruk, doktor mungkin memberi ubat yang merangsang aliran air liur.
  • Diet: Elakkan pengambilan bawang merah, bawang putih dan makanan pedas. Makanan manis, kopi dan alkohol juga telah dikaitkan dengan nafas berbau. Mengambil sarapan pagi yang melibatkan makanan kasar boleh membantu membersihkan bahagian belakang lidah.

Jika masalah bau nafas ini berterusan walaupun anda telah mengawal faktor-faktor ini, anda disyorkan berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan ujian lanjut bagi menolak keadaan kesihatan lain.

RUJUKAN

https://www.webmd.com/oral-health/guide/bad-breath#1

https://www.medicalnewstoday.com/articles/166636.php#causes

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/bad-breath/diagnosis-treatment/drc-20350925

Summary
Nafas berbau (Bad breath)
Article Name
Nafas berbau (Bad breath)
Description
Nafas berbau boleh berlaku disebabkan kebersihan gigi yang buruk dan mungkin menjadi petanda bagi masalah kesihatan lain.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: