Meningitis Cerebrospinal
Meningitis merupakan keradangan pada membran (meninges) yang meliputi otak dan saraf tunjang. Keradangan ini menyebabkan bengkak yang kebiasaannya mencetuskan gejala seperti sakit kepala, demam dan rasa tegang di bahagian leher.

Meningitis Serebrospinal merupakan sejenis keradangan pada membran (meninges) yang meliputi otak dan saraf tunjang anda. Keradangan ini menyebabkan bengkak yang biasanya mencetuskan gejala seperti sakit kepala, demam dan rasa tegang pada bahagian leher.

Jika anda mengesyaki seseorang individu yang mempunyai tanda-tanda meningitis, nasihati mereka untuk mendapatkan rawatan perubatan dengan segera. Rawatan awal terutamanya rawatan bagi meningitis bakteria boleh mencegah berlakunya komplikasi yang lebih serius.

Jenis Meningitis Serebrospinal

Terdapat beberapa jenis meningitis, termasuklah jenis bakteria, virus dan kulat.

  • Meningitis bakteria boleh membahayakan nyawa dan boleh menjangkiti individu yang berhubungan secara dekat dengan individu lain yang telah dijangkiti penyakit ini.
  • Meningitis virus tidaklah seteruk meningitis bakteria dan kebanyakan individu yang menghidap penyakit ini sembuh sepenuhnya tanpa rawatan.
  • Meningitis kulat pula jarang berlaku. Biasanya, penyakit ini hanya berlaku pada seseorang yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah dan tidak mampu menghalang serangan kuman.

Punca Meningitis Serebrospinal

Dua punca utama penyakit meningitis adalah virus dan bakteria. Bakteria atau virus biasa boleh menyebabkan jangkitan di bahagian badan seperti di kulit, saluran pencernaan atau saluran pernafasan. Jangkitan ini kemudiannya boleh merebak melalui aliran darah ke sistem saraf. Selain itu, bakteria juga boleh menjangkiti sistem saraf secara terus jika terdapat kecederaan teruk di bahagian kepala.

Meningitis juga boleh terjadi disebabkan kulat, protozoa dan parasit lain walaupun ia jarang berlaku. Dalam beberapa kes yang jarang berlaku, penyakit kanser, penyakit lain atau pengambilan ubat-ubatan tertentu juga boleh mencetuskan keradangan ‘meninges’.

Simptom Meningitis Serebrospinal

Gejala meningitis boleh muncul secara mendadak atau beransur-ansur. Simptom-simptom ini biasanya muncul antara 3 hingga 7 hari selepas individu dijangkiti.

Gejala awal meningitis termasuklah:

  • Pening dan muntah.
  • Demam.
  • Sakit kepala dan rasa tegang di leher .
  • Sakit otot.
  • Sensitif terhadap cahaya.
  • Berasa keliru.
  • Tangan atau kaki yang sejuk dan kulit yang coreng (mottled).
  • Ruam tidak boleh hilang dalam beberapa kes.
  • Gejala selanjutnya termasuklah kejang dan koma.

Bayi yang dijangkiti pula boleh menunjukkan tanda seperti:

  • Pernafasan yang deras.
  • Enggan disuap makanan dan cepat marah atau mengamuk.
  • Menangis tanpa henti dengan suara yang tinggi.
  • Menjadi kejang dengan pergerakan yang tersentak-sentak, ataupun tidak bermaya.

Faktor Risiko Meningitis Serebrospinal

Meningitis bakteria boleh berlaku pada semua peringkat umur, tetapi golongan bayi lebih mudah terdedah kepada penyakit ini.

Antara faktor lain yang meningkatkan risiko dijangkiti meningitis termasuklah:

  • Mempunyai kecederaan teruk yang mengakibatkan kecacatan atonomi seperti patah tengkorak. Ia juga boleh terjadi disebabkan beberapa pembedahan yang boleh menyebabkan jangkitan bakteria terhadap sistem saraf.
  • Jangkitan di bahagian kepala atau leher.
  • Berada di lokasi yang dipenuhi orang ramai pada masa yang lama, contohnya seperti di sekolah atau kolej.
  • Menetap atau mengunjungi lokasi tertentu seperti di Afrika sub-Sahara.
  • Mempunyai sistem ketahanan badan yang lemah kerana pengambilan ubat-ubatan atau rawatan perubatan.
  • Bekerja di makmal dan lokasi yang terdapat kehadiran patogen meningitis.

Jangkitan meningitis bakteria berkemungkinan untuk berulang tetapi ia adalah jarang sekali. Kajian menunjukkan bahawa 59 peratus daripada kes yang berulang adalah disebabkan oleh kecacatan anatomi badan, manakala 36 peratus lagi berlaku pada individu yang mempunyai sistem ketahanan badan yang lemah.

 

Diagnosis Meningitis Serebrospinal

Doktor atau pakar pediatrik boleh membuat diagnosis meningitis berdasarkan sejarah perubatan, pemeriksaan fizikal dan ujian diagnostik tertentu. Semasa pemeriksaan, doktor akan memeriksa tanda jangkitan di sekitar kepala, telinga, tekak dan kulit di sepanjang bahagian tulang belakang.

Anda atau anak anda mungkin menjalani ujian diagnostik seperti berikut:

– Ujian darah

Sampel darah diletakkan di dalam piring khas untuk melihat jika mikroorganisma, terutamanya bakteria boleh tumbuh di atasnya. Selain itu, sampel lain juga boleh diletakkan pada slaid dan diwarnakan dengan “Gram’s stain” yang kemudiannya dikaji di bawah mikroskop untuk melihat kehadiran bakteria.

– Imbasan pengimejan

Imbasan tomografi berkomputer (CT scan) atau pengimbasan resonans magnetik (MRI scan) dapat menunjukkan tanda bengkak atau keradangan pada kepala.     Sinar-X (X-ray) atau imbasan tomografi berkomputer (CT scan) pada dada atau sinus juga boleh menunjukkan jangkitan di kawasan lain yang mungkin berkaitan dengan meningitis.

– Tebukan spinal (tusukan lumbar)

Bagi mendapatkan diagnosis meningitis yang muktamad, prosedur tebukan spinal yang mengumpul cecair tulang belakang perlu dilakukan. Cecair tulang belakang bagi penghidap meningitis kebiasaannya menunjukkan tahap gula (glukosa) yang rendah berserta kiraan sel darah putih yang tinggi dan peningkatan kadar protein.

Selain itu, analisis cecair tulang belakang juga boleh membantu doktor mengenal pasti jenis bakteria yang menjadi punca meningitis. Jika doktor mengesyaki jangkitan meningitis berpunca disebabkan virus, doktor boleh menjalankan ujian berasaskan DNA yang dikenali sebagai amplifikasi rantaian polimerase (polymerase) ataupun ujian antibodi terhadap virus tertentu. Ini dibuat untuk mengenal pasti punca meningitis dan menentukan rawatan yang betul.

Rawatan Meningitis Serebrospinal

Rawatan untuk penyakit ini bergantung kepada jenis meningitis yang menjangkiti anda atau anak anda.

  • Meningitis bakteria

Meningitis bakteria jenis akut mesti dirawat dengan segera dengan penggunaan antibiotik intravena atau kortikosteroid. Rawatan ini dapat membantu dalam proses pemulihan dan mengurangkan risiko komplikasi seperti pembengkakan otak dan kekejangan atau sawan.

Antibiotik atau gabungan beberapa antibiotik yang diberikan bergantung kepada jenis bakteria yang menyebabkan jangkitan. Doktor biasanya akan mengesyorkan antibiotik dengan spektrum luas sehinggalah punca sebenar jangkitan meningitis dapat ditentukan.

Selain itu, doktor juga akan mengeringkan sinus atau mastoid (tulang di belakang bahagian luar telinga yang bersambung ke bahagian tengah telinga) yang dijangkiti.

  • Meningitis virus

Penggunaan antibiotik tidak boleh menyembuhkan meningitis virus dan kebanyakan kes ini pulih dengan sendiri dalam masa beberapa minggu. Rawatan kes-kes ringan meningitis virus biasanya termasuklah:

  • Rehat di atas katil.
  • Minum banyak air.
  • Pengambilan ubat tahan sakit untuk mengurangkan demam dan melegakan kesakitan pada badan.

Doktor mungkin akan memberikan kortikosteroid untuk mengurangkan bengkak di otak dan ubat ‘anticonvulsant’ untuk mengawal kekejangan. Jika virus Herpes yang menyebabkan meningitis tersebut, ubat antivirus akan diberikan kepada pesakit.

  • Jenis meningitis yang lain

Sekiranya penyebab meningitis anda tidak jelas, doktor anda mungkin akan memulakan rawatan anti-virus dan antibiotik secara serentak sementara menentukan punca meningitis.

Rawatan untuk meningitis kronik pula bergantung kepada punca yang tersembunyi. Ubat anti-fungus dapat merawat meningitis kulat dan gabungan antibiotik tertentu boleh merawat meningitis tuberkulos. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini boleh memberi kesan sampingan yang serius, jadi rawatan akan dihentikan sehinggalah makmal dapat mengesahkan bahawa penyebab jangkitan itu adalah kulat.

Bagi meningitis yang tidak sembuh akibat tindak balas alahan atau penyakit autoimun pula, ia boleh dirawat dengan kortikosteroid. Dalam sesetengah kes, tiada rawatan diperlukan kerana ianya akan pulih sendiri. Meningitis berkaitan dengan kanser pula memerlukan terapi bagi jenis kanser tertentu.

Langkah Pencegahan Meningitis Serebrospinal

Terdapat banyak cara yang boleh anda lakukan untuk melindungi diri anda dan keluarga daripada jangkitan meningitis ini. Gabungan vaksin dan penjagaan kebersihan yang asas seperti membasuh tangan boleh mengurangkan kemungkinan anda mendapat penyakit ini.

– Vaksin Meningitis

Meningitis meningokokal adalah penyakit serius yang boleh menyebabkan keradangan di bahagian otak dan saraf tunjang. Anda boleh mencegahnya dengan mendapatkan vaksin meningokokus. Tiga jenis vaksin yang boleh didapati adalah seperti berikut:

  • Vaksin konjugat meningokokus (Meningococcal conjugate vaccine – MCV4): Menactra (MenACWY-DT) dan Menveo (MenACWY-CRM).
  • Vaksin polisakarida meningokokus (Meningococcal polysaccharide vaccine – MPSV4): Menomune.
  • Serogroup B’ meningokokus B: Trumenba (MenB-FHbp) dan Bexsero (MenB-4C).

Vaksin konjugat meningokokus dan vaksin polisakarida meningokokus mampu menghalang 70% jenis penyakit meningokokal. Kedua-dua vaksin berkesan terhadap sembilan daripada 10 orang penerima vaksin. Vaksin ‘Serogroup B’ juga ada disediakan. Kebanyakan doktor akan mengesyorkan agar kanak-kanak mendapat suntikan MCV4 pada usia 11 atau 12 tahun. Suntikan perangsang (booster) pula akan diberikan apabila mereka berumur 16 tahun.

Mereka yang berisiko untuk dijangkiti juga perlu mempertimbangkan untuk mendapatkan vaksin termasuk:

  • Mereka yang telah bersentuhan dengan orang yang menghidap meningitis meningokokus.
  • Pelajar kolej yang tinggal dalam asrama pada tahun pertama.
  • Rekrut tentera.
  • Pengunjung/ pelancong yang melawat kawasan di mana penyakit meningokokal kerap berlaku, contohnya Afrika.
  • Individu yang mengalami kerosakan limpa atau mengalami gangguan sistem imun yang dikenali sebagai kekurangan komponen pelengkap terminal.
  • Pekerja makmal yang selalu berurusan dengan bakteria meningokokus.

Jika anda jatuh sakit sewaktu anda dijadualkan untuk mendapatkan suntikan, tunggu sehingga anda sembuh dahulu. Elakkan mengambil vaksin jika anda:

  • Mempunyai tindak balas alergi yang teruk terhadap dos sebelumnya.
  • Mempunyai alergi yang teruk terhadap sebarang bahan vaksin.

Anda mungkin akan mengalami sakit ringan atau kemerahan pada tempat anda disuntik. Hubungi doktor anda sekiranya anda mempunyai tindak balas yang kuat terhadap vaksin seperti demam, rasa lemah atau tanda-tanda tindak balas alahan seperti masalah pernafasan, degupan jantung yang pantas atau pening kepala.

– Vaksin lain untuk Mencegah Meningitis

Terdapat juga vaksin lain yang dapat mencegah banyak penyakit yang menjurus kepada meningitis. Kebanyakan suntikan ini diberikan secara rutin kepada kanak-kanak. Sebahagian daripadanya termasuklah:

  • Vaksin Hemofilus Influenza Jenis B.

Ia menghalang jangkitan yang boleh menyebabkan pneumonia, meningitis dan masalah lain. Kanak-kanak biasanya menerima suntikan ini sewaktu mereka berusia antara 2 hingga 15 bulan. Ia juga diberikan kepada kanak-kanak yang berusia lebih 5 tahun atau orang dewasa dengan keadaan perubatan tertentu. Selain itu, hemofilus influenza jenis B ini pernah menjadi penyebab utama meningitis bakteria pada kanak-kanak di bawah umur 5 tahun, namun dengan suntikan vaksin yang betul, kes jangkitan virus ini semakin jarang berlaku.

  • Vaksin Pneumokokal.

Vaksin ini melindungi individu daripada dijangkiti meningitis bakteria. Ianya terbahagi kepada dua jenis iaitu ‘Vaksin Konjugasi Pneumokokal’ dan ‘Vaksin Polisakarida Pneumokokal’. Doktor biasanya akan memberikan suntikan Vaksin Konjugasi Pneumokokal kepada kanak-kanak di bawah umur 2 tahun manakala Vaksin Polisakarida Pneumokokal disyorkan untuk orang dewasa yang berumur lebih daripada 65 tahun. Di samping itu, individu dewasa yang lebih muda dan kanak-kanak yang tidak mempunyai limpa, mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah atau yang menghidap penyakit jangka panjang tertentu juga perlu mengambil suntikan vaksin ini.

  • Vaksin campak-beguk-rubella (measles-mumps-rubella – MMR)

Kanak-kanak memerlukan vaksin ini untuk melindungi mereka daripada meningitis yang boleh terhasil kesan daripada penyakit campak dan beguk.

  • Vaksin Varisela (chickenpox) dan Vaksin Kayap (shingles)

Vaksin ini mensasarkan pada virus varisela yang berpotensi menyebabkan meningitis virus.

– Langkah berjaga-jaga yang lain

Selain suntikan vaksin, anda boleh mengikuti beberapa langkah mudah untuk menjauhkan diri dan keluarga anda dari dijangkiti penyakit meningitis. Antaranya adalah dengan berhati-hati dengan orang yang menghidap meningitis. Terdapat kemungkinan bahawa penyakit ini boleh tersebar melalui ciuman, bersin, batuk atau perkongsian barang seperti berus gigi.

Jika ahli keluarga anda dijangkiti meningitis, cuba untuk kurangkan sentuhan dengan orang yang dijangkiti dan basuh tangan anda dengan sabun dan air dengan kerap.

Di samping itu, jika anda berhubung rapat dengan seseorang yang mengalami meningitis, hubungi doktor anda. Bergantung pada jenis meningitis yang ada, doktor mungkin akan menyarankan anda untuk mengambil antibiotik sebagai langkah berjaga-jaga.

Langgani buletin kami dan dapatkan berita terbaru mengenai kesihatan serta promosi-promosi rakan kami.

Summary
Meningitis Serebrospinal (Cerebrospinal Meningitis) - Jenis, Punca, Simptom, Faktor Risiko, Diagnosis, Rawatan dan Langkah Pencegahan
Article Name
Meningitis Serebrospinal (Cerebrospinal Meningitis) - Jenis, Punca, Simptom, Faktor Risiko, Diagnosis, Rawatan dan Langkah Pencegahan
Description
Meningitis merupakan keradangan pada membran (meninges) yang meliputi otak dan saraf tunjang. Keradangan ini menyebabkan bengkak yang kebiasaannya mencetuskan gejala seperti sakit kepala, demam dan rasa tegang di bahagian leher.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *