Memandu sambil mabuk
Sejak akhir-akhir ini, kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk dengan individu-individu tidak bersalah banyak dikhabarkan pada pelbagai platform seperti surat khabar (termasuk yang atas talian), televisyen dan juga di kebanyakan media sosial.

Sejak akhir-akhir ini, kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk dengan individu-individu tidak bersalah banyak dikhabarkan pada pelbagai platform seperti surat khabar (termasuk yang atas talian), televisyen dan juga di kebanyakan media sosial. Apa yang membuatkan masyarakat marah adalah kes ini selalunya mengakibatkan kematian pada individu yang dilanggar manakala pelakunya terselamat dalam keadaan seperti tidak tentu arah.

Tahukah anda, minuman beralkohol boleh memberikan kesan negatif pada otak kita sehingga menyebabkan kita khayal dan seperti berada di dunia lain.

Jadi, mari lihat kesan negatif minum arak secara berlebihan.

Kurang koordinasi badan

Pernahkah anda melihat orang mabuk jalan ke kiri ke kanan tanpa arah yang jelas? Ini selalu terjadi terutamanya jika anda berada di kawasan-kawasan yang berdekatan kelab di bandar-bandar besar pada hujung minggu.

Bagaimanakah arak menjejaskan pergerakan badan? Pengambilan minuman keras secara berlebihan boleh mempengaruhi kemahiran motor seperti mata, tangan dan kaki anda. Justeru itu, individu yang mabuk susah untuk berjalan dan seperti terhuyung hayang. Bangun dari tempat duduk juga mungkin menyusahkan jika ianya kes yang teruk.

Menjejaskan penglihatan

Selepas minum arak, anda mungkin perasan bahawa penglihatan anda seperti berubah-ubah dan tidak tetap. Ini adalah berbahaya terutamanya jika anda perlu memandu untuk pulang atau pergi ke mana-mana destinasi selepas itu. Inilah faktor paling utama yang menyebabkan kemalangan kerana individu mabuk tidak dapat mengagak jarak antara keretanya dengan kenderaan di hadapan.

Anda juga malah boleh mendapat penglihatan berganda walaupun objek itu hanya satu dalam keadaan nyata. Bukankah ini membahayakan terutamanya bagi mereka yang degil dan masih ingin memandu dalam keadaan mabuk?

Reaksi yang perlahan

Apabila alkohol sudah berada dalam sistem badan anda, ia akan menjejaskan tempoh betapa cepat anda membuat keputusan terhadap sesuatu situasi. Anda berasa seperti semua perkara di sekeliling anda bergerak dengan perlahan walhal anda sahaja yang sebegitu. Kes yang selalu berlaku adalah anda tidak dapat berhenti dengan tepat apabila kenderaan di hadapan anda brek dan seterusnya akan menyebabkan perlanggaran.

Satu hal lagi, memandangkan anda berasa dunia dalam keadaan perlahan, anda akan cuba untuk mempercepat segala pergerakan lain seperti semasa memandu. Ketika ini, anda akan menekan minyak dengan lebih lagi agar anda berasa lebih laju daripada dunia sebenar.

Seharusnya, jika anda sudah tahu bahawa anda adalah seorang peminum arak yang tegar atau cepat mabuk, pilihlah langkah yang lebih baik bagi melindungi diri anda mahupun orang lain yang tidak bersalah. Ini termasuklah:

  • Guna perkhidmatan teksi atau setaraf dengannya untuk pulang ke rumah atau ke destinasi lain.
  • Minta rakan anda yang tidak mabuk untuk memandu.
  • Kurangkan pengambilan arak jika anda betul-betul perlu memandu.

Perubahan ini perlulah bermula dari diri anda sendiri. Fikirkan tentang individu lain dan apa impaknya jika anda meragut nyawa orang yang tidak bersalah. Mengapa mereka yang harus menerima akibat atas kecuaian anda?

SUMBER

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/01/650931/hukuman-lebih-berat-bagi-pemandu-mabuk

https://www.alcoholrehabguide.org/alcohol/crimes/dui/

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/tingkat-hukuman-ke-atas-pemandu-mabuk-usaha-pinda-akta-pengangkutan-jalan-1987-dikaji-201760

Summary
Memandu sambil mabuk: Bagaimanakah arak mempengaruhi otak kita?
Article Name
Memandu sambil mabuk: Bagaimanakah arak mempengaruhi otak kita?
Description
Memandu dalam keadaan mabuk pastinya boleh mengundang bahaya terutamanya jika anda memandu. Ia bukan sahaja melibatkan diri anda tetapi juga orang lain.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: